Mas Elizawati Mohd Ali

Tanpa sebarang mukadimah, anak perempuan saya bertanya kepada saya tentang cara menghantar surat. Bukan e-mail, tetapi surat berbentuk fizikal. Yang boleh dipegang tangan, dilihat sendiri dengan dua biji mata kegirangan, yang ditulis di atas kertas dengan tulisan tangan yang unik dan menunjukkan keperibadian. Pada mulanya, saya terkejut dengan soalan yang agak rawak ini. Akan tetapi, saya lagi tertarik kerana dia telah memilih laluan talian komunikasi yang paling perlahan di dalam zaman perhubungan sepantas kilat masa kini.
Dia mahu menghantar mel biasa (‘snail mail’) kepada rakannya di benua Eropah yang dia telah berkenalan melalui Instagram. Apabila saya mengetahui latar belakang permintaannya, saya pada mulanya berasa bimbang sepertimana seorang ibu yang mahu melindungi anaknya dari dianiayai atau dikhianati orang asing. Ya, saya memang paranoid. Kes penyamaran dan penipuan identiti dalam talian terus datang dalam minda saya. Secara tipikal, saya sudahpun memikirkan senario kes yang paling buruk.
Anak perempuan saya meyakinkan saya bahawa rakan Belandanya memang sebenarnya wujud dalam alam nyata dan dia berumur sebaya dengannya. Lantas, saya akur dengan permintaannya dan membawanya untuk membeli barang yang paling penting dalam penghantaran surat: sampul surat! Selepas kami memperolehinya, dia pun bersungguh-sungguh menulis surat dengan tulisan tangannya yang kemas. Bils selesai, dia melipat kertas hasil tulisan dan memasukkannya ke dalam sampul surat.
Secara jujur, saya memang berasa sangat terhibur melihat anak perempuan saya sedang melalui suatu ritus peralihan (‘rite of passage’) yang melibatkan proses menulis surat fizikal. Dia juga kena bertanya kepada saya tentang cara yang betul untuk menulis alamat di atas sampul surat. “Di mana saya perlu tulis alamat: sebelah kanan, sebelah kiri, atas atau bawah?” Budak milenial yang menulis surat dengan rela hati adalah sesuatu yang anda tidak akan nampak setiap hari! Ini adalah satu pengalaman yang saya akan ingat untuk sepanjang hidup.
Keesokan harinya, kami pun bergegas ke pejabat pos untuk menghantar surat itu. Awal-awal lagi, saya telah melakukan kesilapan kerana tidak membawa banyak wang tunai. Saya sering tidak membawa banyak wang sebab sudah menjadi kebiasaan untuk saya berurus niaga melalui kad debit. Pekerja pos di kaunter memberitahu hanya wang tunai sahaja untuk pembelian setem. Dari segi ini, saya berasa pejabat pos bersifat agak anakronistik dalam era berteknologi tinggi sekarang. Mengapa ia tidak dapat memenuhi keperluan generasi bertransaksi tanpa tunai? Walaupun saya dan anak perempuan terkapai-kapai mencari duit yang mungkin terselit di dalam dompet masing-masing, kami bernasib baik dan akhirnya berjaya memperolehi wang ringgit yang secukupnya untuk membeli setem.
Sememangnya, saya terkejut dan tidak sangka harga setem sekarang begitu mahal! Dengan kadar pertukaran mata wang tidak memihak kepada orang Malaysia, kami terpaksa membayar jumlah yang banyak hanya untuk menghantar sepucuk surat biasa ke luar negara. Mungkin pada masa hadapan, kami terpaksa melayan idea untuk menukar sekeping kertas tulis dengan kertas surih (‘tracing paper’) supaya dapat mengurangkan berat untuk bayaran setem!

Secara menyeluruh, pengalaman baru menghantar surat ini mengingatkan saya kepada zaman dahulu di mana saya telah mendapat sahabat pena dari luar negara. Pada zaman sekolah menengah, menulis kepada seseorang di negara asing sudah menjadi trend yang popular dan diikuti ramai. Dekad yang tidak mempunyai internet di hujung jari, seseorang yang berminat untuk mencari sahabat pena, perlu mengisi borang yang diiklankan di dalam suratkhabar.
Antara benda yang perlu ditulis ialah tiga buah (kalau saya tidak silap) negara yang menjadi pilihan untuk mencari kawan. Sebuah syarikat asing yang menyelia operasi dan mempunyai sumber untuk mencari sahabat pena, bertanggungjawab untuk mencari kawan yang sepadan dengan keperluan yang telah ditulis di atas borang. Sesetengah syarikat meminta bayaran yang agak minima untuk perkhidmatan mereka. Syarikat ini kemudiannya akan menghantar semula beberapa pilihan (mungkin tiga juga) dan saya akan membuat keputusan terakhir dan menulis kepada mereka yang saya mahu berkenalan.

Paling diingati sehingga sekarang ialah seorang sahabat pena lelaki dari Jordan. Saya benar-benar lupa namanya sekarang. Kali kedua dia menulis, dia telah menghantar saya beberapa keping gambar dia di Jordan. Gambar yang masih saya ingat kerana ia paling menonjol ialah gambar dia bergaya di Petra. Sebuah tapak warisan dunia UNESCO, Petra merupakan sebuah tempat yang menakjubkan dan saya tidak percaya tempat seperti itu wujud di Timur Tengah. Setelah surat-menyurat beberapa kali, keadaan menjadi janggal apabila dia mula menyatakan minatnya kepada saya. Penulisan surat akhirnya menjadi kurang kerap apabila saya mula bersiap sedia untuk belajar di luar negara. Malangnya, saya menjadi sibuk dan telah putus berhubungan dengannya.
Saya membuat persamaan tentang pengalaman saya sendiri yang mempunyai rakan pena asing dengan minat anak perempuan saya untuk berkawan dengan orang dari budaya dan adat yang lain. Berdasarkan pengalaman ini sahaja, saya memutuskan untuk memberi keizinan dan membiarkan anak perempuan saya meneruskan persahabatan ini dengan kehendaknya sendiri. Walaupun dunia jauh berbeza daripada 35 tahun yang lalu bila saya mempunyai rakan pena, saya percaya dengan pertimbangan dan kearifan anak perempuan saya untuk melalui pengalaman baharu yang sihat dan berfaedah.
Para ibu bapa dan guru sama-sama boleh mendidik generasi yang lebih muda mengenai penggunaan internet yang selamat dan memberi petua tentang cara untuk mengenalpasti bendera merah (‘red flags’) di dalam talian. Komunikasi yang terbuka dan jujur di antara kedua-duanya akan membuka jalan untuk melaporkan secara sukarela sebarang aktiviti yang mencurigakan seperti pengantunan seksual (‘grooming‘) dan pemangsa seksual. Orang dewasa mestilah sentiasa bersedia untuk menjawab soalan-soalan berkaitan yang ingin diketahui oleh para remaja. Bila perlu, mereka juga mesti tegas dalam menetapkan had harian untuk mengakses internet.
Sudah hampir dua minggu sejak kami mengeposkan surat perintis itu ke negara Belanda. Kerana kurang arif tentang tempoh masa yang biasa untuk sekeping surat sampai, anak perempuan saya sering bertanya tentang berapa lama lagi ia akan tiba. Saya memberitahu pada zaman saya, ia mengambil masa sebulan lebih kerana kebanyakan mel mengikut laluan kapal. Bila dia tertanya-tanya kenapa ia mengambil masa yang lama, saya pun mengusik, “Awak sepatutnya cakap apa sahaja yang awak mahu katakan dalam talian, ia adalah lebih cepat”. Dia menjawab secara jujur, “Saya tidak mahu. Ia berbeza dengan cara begini”. Ya, saya bersetuju sama sekali: menulis surat adalah sesuatu baru yang perlu dipelopori dan dihidupkan semula oleh generasi milenial!