Mas Elizawati binti Mohammad Ali
Bukan senang untuk menjadi seorang guru. Selain menjalankan tugas mengajar, ada banyak lagi atur cara di belakang tabir yang perlu digalaskan oleh guru. Menyediakan rancangan pembelajaran harian, alat bantuan mengajar, dan lain-lain dokumentasi yang perlu dihantar dan dikemaskinikan ke dalam sistem Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ini tidak termasuk pelbagai kursus dan bengkel yang wajib disertai untuk memperkenalkan guru kepada silibus yang terbaru ataupun teknologi pembelajaran yang sofistikated dan terkini.
Meskipun terdapat banyak yang perlu diselesaikan, kebajikan anak-anak murid hendaklah diutamakan. Tidak kira dari segi rohani atau jasmani, murid-murid memerlukan pendidikan yang dapat mengukuhkan pemahaman tentang dunia sekeliling mereka. Akan tetapi, para guru mesti mengambil kira tahap kecerdasan (intelligence) kanak-kanak yang diajar apabila memberi sebarang latihan kepada mereka. Isu ketidaksuaian silibus menjadi tular baru-baru ini setelah seorang pencipta kandungan (content creator) dan pempengaruh (influencer) guru tersohor, Cikgu Fadli, mempertengahkan kandungan matapelajaran yang jauh ke hadapan untuk lingkungan umur tersebut.
Kandungan yang menjadi tandatanya itu tercetak di dalam buku latihan Matematik di mana subjek pertukaran nilai mata wang asing berbanding dengan Ringgit Malaysia dibincangkan. Cikgu Fadli mempersoalkan pembikinan silibus yang kurang sesuai dan tidak munasabah untuk pemahaman kanak-kanak Tahun 3. Pada pendapat beliau, kanak-kanak berumur 9 tahun tidak perlu mengetahui tentang pertukaran mata wang asing kerana ia merupakan konsep yang kompleks untuk keupayaan mereka. Pada usia ini, mereka sedang memahami aritmetik asas yang patut diasah lagi sebelum diperkenalkan kepada silibus yang lebih rumit.
Buku latihan yang dibekalkan oleh KPM ini menjadi persoalan kerana ia mengerahkan para pelajar untuk mencari kadar pertukaran wang asing negara-negara ASEAN bila berbanding dengan nilai RM1. Sebenarnya, Cikgu Fadli pernah mengetengahkan soalan sama mengenai kadar pertukaran mata wang pada Oktober tahun lepas. Tanpa sebarang kiasan, beliau juga memberi jawapan yang telah diterima daripada pihak atasan pada ketika itu. Bagi yang mewakili KPM, mereka berpendapat bahawa seseorang tidak boleh memandang rendah keupayaan pelajar sekolah rendah sekarang. Lagipun, ramai murid yang pergi melancong di luar negara dan perihatin tentang penggunaan dan kadar mata wang asing. Pada pihak KPM, pengetahuan ini penting untuk menyesuaikan diri para murid dengan era globalisasi yang saling berhubung kait dengan dunia luar.
Malangnya, tidak semua pelajar mampu pergi bercuti di luar negara, dan ada segelintir yang tidak juga dapat bersantai di dalam negeri semasa musim cuti sekolah. Generalisasi menyeluruh sebegini patut dapat dielakkan jika pihak KPM berfikir panjang tentang kekangan bajet sesetengah kumpulan pendapatan dan status sosial sesebuah keluarga. Bak kata peribahasa, manusia tertarik oleh tanah airnya, anjing tertarik oleh piringnya. Walau bagaimanapun, yang paling mencolok mata adalah anggapan bahawa murid-murid tahun 3 mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai mata wang Asia dan Barat dan pertukaran mata wang asing. Kalau orang dewasa pun jahil pasal perkara tersebut, inikan pula budak-budak hingusan 9 tahun.
Ini bukan kali pertama Cikgu Fadli merungut perihal ketidaksesuaian silibus matematik. Pada bulan Mei tahun ini, beliau telah juga menyuarakan pendapat tentang soalan matematik aras tinggi (high-level math) yang disertakan dalam buku latihan kelas tahun 3. Soalan itu mungkin senang untuk difahami dan diajarkan jika bilangan murid di dalam sebuah kelas tidak melebihi 25 orang. Di dalam siarannya di media sosial, beliau menulis bagaimana dia menghabiskan hampir satu jam untuk dua soalan rumit itu sahaja. Hatta, cadangan beliau supaya masa untuk pembelajaran Matematik ditambahkan daripada 5 jam kepada 10 jam perlu dipertimbangkan dalam masa terdekat ini. Di samping itu, kemudahan dan infrastruktur di sekolah seperti projektor, computer dan sambungan internet mesti dipertingkatkan sekiranya system sekolah kita mahu berdaya saing dengan system sekolah di negara-negara jiran.
Bersama-sama para guru seperjuangan, Cikgu Fadli lantang mendedahkan ketidakserasian sukatan pelajaran sekolah jika dibandingkan dengan peringkat umur pelajar tersebut. Walaupun beliau pernah diberikan surat untuk tindakan tatatertib pada tahun lepas, Cikgu Fadli masih lagi aktif meluahkan pandangan tentang perkara berbentuk pendidikan terutamanya silibus jika ia tidak menepati aras pemahaman murid-murid yang terlibat. Ini membawa kita kembali kepada masalah yang sebenar: Pertama-tamanya, mengapa menggunakan silibus yang tidak sesuai untuk pelajar?
Motivasi tertentu mungkin telah mencorakkan keputusan untuk memasukkan beberapa konsep pembelajaran ke dalam silibus untuk sesuatu kelas. Ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab merangka silibus untuk KPM mempunyai ideologi dan kemahiran tersendiri yang boleh disatukan secara bertolak-ansur. Selain itu, sesi dialog dengan guru-guru terpilih dan tidak berat sebelah untuk membincangkan silibus akan membuahkan pelbagai idea yang bernas bersesuaian dengan tahap kecerdasan murid di Malaysia. Jangan jadikan sesi itu hanya sebagai formaliti di mana penglibatan para guru agak minimal dan hanya nampak penting di atas sekeping kertas. Jawatankuasa hendaklah turun padang, masuk dan duduk di dalam sebuah kelas untuk melihat realiti pembelajaran masa kini.
Janganlah kita hanya sibuk ingin mencapai sasaran dan objektif yang setanding dengan negara-negara maju di Barat, sehingga kita lupa bahawa kanak-kanak mahukan pembelajaran yang seronok dan senang difahami. Pada usia yang kecil ini, mereka cuma memerlukan bimbingan asas – sama ada mengira atau membaca – sebelum dapat menjawab soalan yang lagi susah. Jika infrastruktur masih lemah, capaian internet terhad, saiz kelas terus besar, masa pembelajaran pendek dan tenaga pengajar tidak mencukupi, pihak atasan semestinya mengutamakan penambahbaikan dan memperbetulkan segala kekurangan yang terkandung di dalam silibus kebangsaan. Prestasi petunjuk utama (Key Performance Indicator atau KPI) untuk tatapan orang kenamaan boleh diabaikan dan diketepikan dahulu. Perbaiki segala yang patut, rombak semua yang perlu, kukuhkan yang asas. Ikhtiar dengan kesungguhan; apa tampangnya, itulah tumbuhnya.
Guru yang komited kepada profesion akan mencari jalan yang terbaik untuk mengajar anak muridnya. Apa yang terbaik tidak subjektik atau bergantung kepada penilaian pihak kementerian. Terbaik di sini bermaksud murid boleh mengikut sukatan pelajaran dengan senang dan sentiasa ingin datang ke sekolah untuk menimba ilmu secara berterusan. Apabila murid tidak menerima tekanan untuk mencapai sebarang prestasi yang keterlaluan, mereka mahu menjalin hubungan yang rapat dengan sekolah yang disanjungi. Persekitaran sekolah yang bersih dan teratur serta kemudahan moden juga membantu pelajar lebih fokus di dalam bilik darjah. Pastinya, ketekalan silibus pembelajaran yang berpandukan peringkat umur murid akan mendorong anak-anak untuk menerokai pelbagai konsep yang lebih canggih. Lama-kelamaan, bila mereka sudah bersedia, kita akan memperoleh generasi pelajar yang berani menyahut cabaran di dalam dunia pasca milenial.