Mas Elizawati Mohammad Ali
Selamat Hari Penulisan Kebangsaan! Di Amerika Syarikat, Majlis Kebangsaan Guru Bahasa Inggeris (National Council of Teachers of English atau NCTE) telah menetapkan 20 Oktober sebagai hari untuk meraikan seni penulisan dari semua lapisan masyarakat. Pada mulanya, National Day On Writing ini telah diisytiharkan sebagai inisiatif untuk menarik perhatian kepada kepelbagaian penulisan luar biasa orang Amerika dan untuk membantu menyedarkan para penulis tentang kraf mereka yang tersendiri.
Walaupun ramai yang tahu bahawa penulisan adalah penting untuk celik huruf (literacy), ia sebenarnya memerlukan perhatian dan sambutan yang lebih besar. Oleh sebab itu, pada hari perayaan istimewa ini semua orang hendaklah berkongsi pengetahuan mereka tentang penulisan, menganjurkan penyertaan untuk aktiviti-aktiviti di sekolah atau komuniti, dan berusaha mengubah pemahaman orang ramai tentang penulisan dan peranan yang dimainkannya dalam masyarakat hari ini.
Kebanyakan orang lebih cenderung berfikir bahawa menulis hanya dari segi “tugasan pensil dan kertas’. Tanpa kita sedari dan tidak kira siapa kita, menulis adalah sebahagian besar daripada kehidupan seharian kita. Malah, ia merangkumi pelbagai aspek hidup seperti cara kita bekerja, cara kita belajar, cara kita mengingati dan cara kita berkomunikasi. Selain itu, ia memberi suara kepada siapa kita dan membolehkan kita menyuarakan sesuatu perkara yang penting kepada kita.
Pada dasarnya, kita menulis lebih daripada yang kita fikirkan dan jangkakan. Satu kajian berbentuk korporat telah menunjukkan bahawa purata pekerja pejabat menulis panjang saiz novel setiap tahun — itu pun dalam penulisan e-mel sahaja! Ini membuktikan bahawa kita mungkin bergantung pada keupayaan kita untuk menulis lebih daripada yang kita sangka.
Sebaliknya, dengan kelaziman penggunaan komputer dan baru-baru ini, kecerdasan buatan (artifical intelligence) di tempat kerja, menulis sudah menjadi kemahiran yang benar-benar berharga untuk kelangsungan hidup seseorang. Walaupun begitu, terdapat 32 juta orang dewasa di Amerika Syarikat yang tidak dapat menulis e-mel mudah — dan malangnya, jumlah itu tidak berubah dalam tempoh sepuluh tahun.
Di samping itu, menulis akan menyerlahkan identiti kita kerana melaluinya kita bercerita tentang diri kita, meluahkan emosi kita dan menarik perhatian kepada isu-isu yang penting kepada kita. Dengan cara yang sama, kraf halus seseorang penulis memang tidak ternilai harganya dalam memberikan kesan yang mendalam kepada kita.
Semenjak 11 tahun yang lalu, NCTE telah melihat ribuan orang berkongsi respons mereka dan terlibat diri pada hari ini dengan pelbagai aktiviti yang berkisarkan tema #WhyIWrite. Semestinya, suara kolektif mereka meningkatkan kesedaran mengenai sambutan hari tersebut. Oleh hal yang demikian, kita digalakkan berkongsi tanda pagar (hashtag) itu di beraneka laman media sosial untuk mempromosikan Hari Penulisan Kebangsaan.
Pada hari ini, banyak aktiviti yang boleh dilakukan untuk meraikan penulisan dalam erti kata yang lebih luas. Antaranya ialah menjejaki semua penulisan yang kita lakukan seperti mesej teks, kad hari jadi dan tweet di Twitter. Secara tidak langsung, kita akan menyedari sejauh mana kita benar-benar menulis! Kongsi jumlah perihal penulisan dengan beberapa orang sahabat dan lihat siapa yang paling banyak menulis.
Selain itu, kita boleh bermain beberapa permainan bahasa untuk melihat kehebatan menulis masing-masing melalui penyertaan dalam Spelling Bee (Lebah Ejaan), Scrabble, Scattergories, Taboo, Mad Libs dan Hangman. Marilah kita raikan penguasaan kosa kata kita dengan pusingan permainan perkataan (word game) kegemaran.
Akhir sekali, ambil inisiatif untuk menulis sesuatu di luar zon selesa kita. Tulislah lirik lagu, soneta atau sekeping fiksyen kilasan (flash fiction)? Jangan takut untuk menerokai wilayah yang tidak dikenali, dari segi penulisan, dan biarkan jus kreatif itu mengalir. Mungkin kita akan mengejutkan diri sendiri dengan kreativiti dan kemahiran menulis benda yang asing.
Di peringkat sekolah pula, seorang guru boleh menggalakkan para pelajar beliau untuk mendedahkan semua jenis penulisan yang mereka telah buat setiap hari. Ini dapat dilakukan dengan meminta mereka menyimpan senarai semua benda yang mereka tulis, daripada mesej teks kepada tugasan sekolah, e-mel kepada catatan diari, dalam satu hari yang dipilih. Selepas murid-murid membuat senarai semua perkara yang ditulis dalam sehari, tolong mereka melihat kepelbagaian dalam tulisan mereka, secara individu dan sebagai sebuah kelas.
Letakkan helaian kertas carta berwarna-warni dengan soalan yang bersesuaian dengan umur tentang tujuan, penonton, genre atau jenis dan teknologi di sekeliling bilik darjah. Minta pelajar membuat sumbang saran (brainstorm) kategori yang berbeza untuk setiap poster berdasarkan penulisan yang mereka sudah serahkan. Tulis kategori pilihan pada poster dan kemudian minta pelajar menyumbang contoh daripada senarai peribadi mereka. Buka sebuah ‘galeri’ untuk poster-poster tersebut setelah semua pelajar menyerahkan sumbangan mereka. Galakkan pelajar melihat dan merenung semua jenis penulisan – tidak kira tujuan, penonton, jenis atau teknologi.