Sharah al-Attas ke atas Pengelasan Ahli Falsafah dalam al-Milal wa al-Niḥal karya al-Shahrastānī
Penulis: Muhammad Afiq bin Abd Rahman
Pengelasan ahli falsafah adalah rumusan di antara ilmu sejarah, ilmu agama, ilmu kepustakaan dan ilmu falsafah, yang lahir dari kegiatan penulisan nasab (ilmu sejarah), penulisan hadith (ilmu agama), penulisan mu’jam (ilmu kepustakaan) dan penulisan aliran fikiran Islam (ilmu falsafah). Ilmu nasab adalah satu keistimewaan khusus bagi bangsa Arab dalam memelihara riwayat keturunannya yang daripada kemahiran tersebut lahir pelbagai bentuk penulisan sejarah dalam keilmuan Islam seperti penulisan tabaqat dan penulisan wafayat dan penulisan ilmu rijal.
Pengelasan ahli falsafah dalam al-Milal wa al-Niḥal karya al-Shahrastānī yang meliputi ahli falsafah Yunani, Romawi dan Muslim hanya dibahagikan kepada ahli falsafah terdahulu dan ahli falsafah terkemudian. Menurut al-Attas pengelasan ahli falsafah Muslim oleh al- Shahrastānī tersebut boleh dibahagikan lagi kepada beberapa kumpulan dalam tradisi falsafah Islam iaitu:
- Pertamanya, al-Kindī dan aliran fikirannya iaitu al-Balkhī dan al-Sarakshī dan murid al-Balkhī iaitu al-‘Āmirī. Mereka ini mendalami bidang logik, metafizik, sains, sejarah dan akhlak, serta menulis karya-karya sharah ke atas karya-karya Aristotle.
- Keduanya, tradisi ‘Arisṭūṭālīs tersebut bersambung dari Iskandariyyah ke Baghdad menghasilkan aliran Mashshā’ī iaitu aliran Peripatos aliran Baghdad yang dihasilkan oleh al-Fārābī dan muridnya iaitu al-Ṣaymurī, yang merupakan guru semua ahli falsafah di Baghdad pada hujung abad ke-11, termasuk al-Sijistānī, dan kemudiannya termasuk juga ibn al-Ṭayyib dari Gelanggang Perubatan.
- Ketiganya, bagi ahli falsafah Muslim dalam tradisi ‘Aflāṭūn juga termasuk al-Kindī, al-Ḥarrānī, al-Sijistānī, ibn Miskawayh, dan al-Fārābī sebagai pelopornya.
Menurut al-Attas, tradisi ‘Arisṭūṭālīs dan ‘Aflāṭūn dalam kalangan ahli falsafah Muslim tersebut bercampur di antara satu sama lain menghasilkan kekeliruan yang berpunca dari pengaruh aliran ‘Aflāṭūn-Baru, yang ditularkan dalam kalangan Muslim dan menghasilkan pemikiran keliru tersebut.
Meskipun demikian menurut al-Attas, ahli falsafah Muslim mampu membezakan di antara kedua-dua tradisi tersebut, bukan sahaja perbezaan dalam kaedah falsafah tetapi termasuklah perbezaan dalam masalah qadimnya alam sebagaimana yang difahami oleh ahli falsafah aliran ‘Arisṭūṭālīs.
Berkenaan pengaruh aliran pengikut Phytagoras dan ‘Aflāṭūn-Baru dalam falsafah Islam yang dimaksudkan al-Attas adalah merujuk kepada Rasā’il Ikhwān al-Ṣafā’ di Baṣrah khususnya merujuk kepada salah seorang ahlinya yang berpengaruh iaitu al-Muqaddasī yang juga salah seorang daripada penulis Rasā’il tersebut—namun demikian al-Nasafī pula adalah pelopor aliran falsafah Ismā‘īlī.
Justeru menurut al-Attas, pengelasan ahli falsafah Muslim menurut al-Shahrastānī adalah merujuk kepada penterjemah dan pensharah karya-karya Plato, Aristotle dan Plotinus, dan aliran ‘Arisṭūṭālīs ‘Aflāṭūn-Baru, dan aliran pengikut Phytagoras, dan gerakan-gerakan yang dipengaruhi faham ilmu ‘Aflāṭūn-Baru—yang semuanya merujuk kepada ahli falsafah aliran Peripatos di mashriq iaitu aliran Baghdad dan Iskandariyyah, bukanlah aliran falsafah Peripatos di maghrib iaitu aliran Andalus seperti ibn Bājjah (m. 1138), ibn Ṭufayl (m. 1185) dan ibn Rushd (m. 1198).
Perbezaan di antara aliran mashriq dan aliran maghrib tersebut dinyatakan oleh al-Attas bagi menunjukkan bahawa istilah falāsifah (faylasūf) yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazālī adalah ahli falsafah dari aliran mashriq khususnya merujuk kepada pelopor utamanya iaitu ibn Sīnā yang falsafahnya didasari rasionalisme yang berlawanan dengan faham ilmu dalam ilmu aqidah.
Pengelasan ahli falsafah Muslim oleh al-Attas tersebut menunjukkan: pertamanya, ilmu falsafah itu bukanlah ditolak, sebaliknya yang ditolak itu adalah falsafah yang didasari faham asing dari Islam; keduanya begitu juga aliran falsafah Peripatos juga bukanlah aliran falsafah yang ditolak sepenuhnya, sebaliknya yang diterima adalah aliran falsafah Peripatos dari aliran falsafah Andalus; ketiganya aliran falsafah yang diterima itu adalah falsafah jiwa menurut ibn Bājjah seperti karyanya yang bertajuk Kitāb al-Nafs, falsafah sastera menurut ibn Ṭufayl seperti karyanya yang bertajuk Hay ibn Yaqzān dan falsafah tahāfut menurut ibn Rushd seperti karyanya yang bertajuk Tahāfut al-Tahāfut.
Sebagai bentuk penulisan yang melibatkan rumusan beberapa bidang ilmu, pengelasan ahli falsafah menurut al-Attas telah mengambil kira sepenuhnya bidang-bidang ilmu yang terlibat dengan mengarahkan kepada aspek positif ilmu falsafah agar kaum Muslimin dapat mengambil manfaat daripada para pemikir silam dengan sebaiknya serta berlaku adil dalam menilai sesebuah bidang ilmu.
Reference
Al-Attas, S.M.N. (1986). A Commentary on the Ḥujjat al-Ṣiddīq of Nūr al-Dīn al-Rānīrī: Being an Exposition of the Salient Points of Distinction between the Positions of the Theologians, the Philosophers, the Ṣūfīs and the Pseudo-Ṣūfīs on the Ontological Relationship between God and the World and Related Questions. Kuala Lumpur: of Culture Malaysia. Hlm. 218—221