Ayuh Sambut Hari Pi Sedunia
Mas Elizawati Mohammad Ali (Malaysia)
Hari Pi (atau “Pi Day” dalam Bahasa Inggeris) disambut pada 14 Mac di serata dunia, dengan kebanyakan perayaan berlaku di pelusuk Amerika Syarikat. Sememangnya tumpuan ramai lebih banyak di Amerika Syarikat, kerana ia adalah tempat Hari Pi diasaskan pada 1988. Lahir daripada idea seorang ahli fizik, Lawrence N. Shaw, dia tengah ghairah menceritakan tentang misteri pelbagai pemalar matematik bila mendapat ilham untuk memautkan nilai Pi (3.14) dengan tarikh penuh bermakna, Mac (bulan ketiga) dan hari ke-14.
Lawrence, atau lebih senang dikenali sebagai Larry, bekerja sebagai kurator di Exploratorium, sebuah muzium sains, teknologi dan seni di San Francisco, California, bila hari Pi mula diraikan secara sederhana dengan perayaan memakan pai bersama rakan sekerja. Sejak hari itu, beraneka lagi acara telah diadakan untuk tahun-tahun seterusnya seperti perarakan di pusat bandar San Francisco pada pukul 1:59 petang (digit perpuluhan yang seterusnya untuk Pi). Para pelawat atau peserta akan memegang papan tanda dengan digit Pi, membawa keramat kecil Pi, dan memakan pai (samaada buah atau piza).
Pada 2009, Hari Pi akhirnya diiktiraf sebagai hari kebangsaan oleh Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dan secara tidak langsung, telah menggalakkan lagi sambutan di peringkat antarabangsa. Persidangan Agung UNESCO yang ke-40 juga menetapkan Hari Pi sebagai Hari Matematik Antarabangsa pada November 2019. Selain 14 Mac, tarikh-tarikh alternatif untuk perayaan Pi ialah 22 Julai (di mana pecahan 22/7 ialah anggaran untuk π) atau 28 Jun (di mana 6.28 ialah anggaran untuk 2π atau tau).
Walaupun Hari Pi diraikan terutamanya oleh komuniti matematik dan sains, ia sangatlah digalakkan di kalangan para pelajar samaada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Persis kata peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya, sambutan Hari Pi di tahap sekolah rendah akan menzahirkan rasa cinta kepada subjek Matematik pada usia yang muda. Secara amnya, kanak-kanak boleh menyerap semua yang mereka pelajari jika para guru mengambil inisiatif untuk membuat matapelajaran itu seronok dan menarik. Perayaan Hari Pi memperkenankan subjek Matematik jadi lebih mudah diakses oleh semua murid, dan yang paling penting, lagi menyeronokkan untuk mereka yang mungkin menghadapi masalah akademi di sekolah.
Berikut adalah antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan pada Hari Pi di peringkat sekolah rendah:
(a) Memasang rantai kertas Hari Pi – Para pelajar mencipta rantai hari Pi menggunakan gelungan kertas keras yang berbeza warna untuk setiap 10 digit dalam nilai Pi. Setiap ikatan rantai berwarna mewakili tempat perpuluhan atau digit. Sekolah-sekolah di daerah yang sama boleh mengadakan peraduan memecah rekod dunia untuk rantai hari Pi yang paling panjang.
(b) Pengukuran objek bulat – Menyediakan pelbagai objek bulat seperti tin sup dan pai, pinggan kertas, cakera padat dan mangkuk. Para murid mengukur diameter dan lilitan objek bulat pilihan dan kemudian membahagikan lilitan dengan diameter. Pelajar akan terpesona dengan keajaiban yang berlaku apabila nombor yang diperolehi mendekati 3.14 untuk setiap kali objek yang dipilih.
(c) Menghafal nilai digit perpuluhan Pi – Kenalkan murid-murid kepada pemegang rekod yang telah berjaya menyebut digit Pi dengan turutan yang betul. Rajveer Meena membaca 70,000 digit dalam 9 jam, 7 minit (sambil menutup mata) pada 21 Mac 2015. Kemudian, suruh pelajar menghafal sifir dengan menggunakan lagu yang menarik di pautan ini mengenai 100 digit pertama Pi. Guru boleh memainkan lagu ini di latar belakang semasa kanak-kanak mengerjakan projek lain di dalam kelas. Sedikit demi sedikit, mereka akan menghafalnya dalam masa yang singkat. Insentif seperti hadiah atau pingat kepada murid yang dapat menyebut digit Pi, juga dapat menanamkan tahap persaingan yang sihat.
(d) Pertandingan menulis sajak ‘Pi-ku’ – Diinspirasikan oleh sajak haiku dari Jepun, sajak ringkas ini mempunyai aturan yang berbeza dari segi sukukata kerana ia berdasarkan tiga digit pertama (3.14) dalam Pi. Kaedahnya adalah baris pertama mempunyai tiga sukukata, baris kedua satu sukukata dan akhir sekali, baris ketiga empat sukukata.
(e) Membakar biskut berbentuk π – Setelah guru membakar biskut menggunakan acuan istimewa berbentuk π semalaman, para murid ditugaskan untuk menghias kepingan biskut tersebut di sekolah. Biskut yang sudah siap dihias dapat dijual untuk program pengumpulan dana. Di samping itu, pelajar boleh bersama-sama menikmati biskut π ketika melakukan beberapa aktiviti Hari Pi yang lain.
Akhir kata, sambutan Hari Pi merentasi berbagai lapisan masyarakat yang sanggup berhimpun kerana perasaan cinta mereka terhadap matematik dan aplikasinya dalam kehidupan seharian. Selain itu, bila semua aktiviti Hari Pi meliputi aspek-aspek selain Matematik seperti linguistik, seni, dan masakan, pelajar akan menaruh minat untuk mengetahui dengan lebih mendalam subjek Matematik. Dengan galakan pihak sekolah dan guru-guru khususnya bila menyambut Hari Pi, murid-murid akan menjadi lebih cenderung untuk melibatkan diri mereka dalam acara yang beraliran Matematik.
.
“Persis kata peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya, sambutan Hari Pi di tahap sekolah rendah akan menzahirkan rasa cinta kepada subjek Matematik pada usia yang muda.”