Sambutan Hari Kemerdekaan di Peringkat Sekolah: Pasca-Covid
Penulis: Mas Elizawati Mohammad Ali
Hari paling bererti untuk semua rakyat Malaysia, Hari Kemerdekaan yang ke-65 semakin dekat. Selepas dua tahun kita dibelenggu pandemik Covid, sambutan tahun ini amat bermakna kerana ini adalah kali pertama perayaan secara besar-besaran dapat dilakukan. Semenjak hampir semua kawalan ketat disebabkan Covid telah dimansuhkan pada awal tahun ini, pihak kerajaan lebih terbuka untuk meraikan Hari Kemerdekaan tanpa sebarang keraguan. Selaras dengan tema Hari Kemerdekaan 2022 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, orang ramai digalakkan untuk menyaksikan pertunjukan dan perarakan yang lebih meriah di peringkat kebangsaan dan negeri. Kelonggaran peraturan ini juga bermakna sekolah di seluruh negara sekarang dapat menganjurkan semula aktiviti fizikal dan bersemuka sempena sambutan Hari Kemerdekaana. Aktiviti yang dirancang betul akan berjaya menyemarakkan semangat patriotik di kalangan warga sekolah, tidak kira tua atau muda.
Seperti yang dijangkakan, aktiviti yang berlainan akan diadakan mengikut peringkat persekolahan seseorang itu. Para guru perlu mengambil kira umur dan tahap kecekapan pelajar mereka semasa merancang projek berkaitan Kemerdekaan di dalam persekitaran sekolah. Namun, memandangkan Covid masih menjadi kebimbangan, apa jua acara yang dirancang untuk memupuk semangat patriotik perlu mematuhi Prosedur Kendalian Standard (atau ‘SOP’ secara ringkas) yang akan memuaskan kehendak semua pihak yang terlibat, terutamanya ibu bapa atau penjaga.
Pertama sekali, di peringkat tadika, kanak-kanak dapat melibatkan diri masing-masing di dalam aktiviti yang sesuai dengan kemahiran dan pemahaman mereka tentang Hari Merdeka. Selalunya, seni dan kraf akan menjadi tumpuan kumpulan umur ini dan dapat menolong mereka rasa teruja dengan sambutan Hari Merdeka. Bagi kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun, guru boleh menyediakan projek yang bertumpu kepada kemahiran motor kasar (‘gross motor skill’) mereka. Guru untuk kelas lima tahun pula boleh menggabungkan kedua-dua kemahiran motor halus (‘fine motor skill‘) dan kreatif untuk menghasilkan seni dan kraf yang hebat. Untuk kelas enam tahun yang lebih matang, mereka bebas menggunakan pelbagai alatan untuk membuat seni dan kraf, yang secara tidak langsung, dapat mengasah kemahiran lanjutan seperti memotong dengan sebilah gunting dan membuat figura daripada sekeping kertas.
Kedua, di peringkat sekolah rendah juga, aktiviti akan dibahagikan kepada kelas rendah bawah dan rendah atas. Sekolah rendah bawah dari Tahun 1 hingga Tahun 3 boleh melakukan beberapa aktiviti mewarna dan seni kraf Merdeka yang mudah. Untuk kelas rendah atas dari Tahun 4 hingga Tahun 6, mereka boleh melaksanakan sebuah projek berskala lebih besar seperti membuat ‘Jalur Gemilang’ gergasi untuk peringkat kelas yang sama (contohnya, inisiatif semua murid Tahun 4), atau menyediakan persembahan tradisional (di kalangan pelajar Tahun 6 yang lebih lincah).
Ketiga, untuk segmen remaja di dalam sistem persekolahan kita, sambutan Merdeka akan diadakan sama ada pada sebelah pagi atau petang bergantung kepada sesi persekolahan pelajar tersebut. Secara amnya, para guru yang terpilih pada sesi tersebut akan bertanggungjawab untuk mengaturkan segala aktiviti yang sejajar dengan tema Kemerdekaan tahun itu. Oleh kerana tahap kekananan (‘seniority’) mereka, para pelajar menengah atas diberi lebih kelapangan untuk membentangkan idea mereka mengenai Kemerdekaan. Dilihat daripada sudut yang lain, pemberian autonomi kepada mereka dapat menolong membangunkan kemahiran berfikir secara kritis (‘critical thinking’). Mereka boleh mendeklamasikan sajak, mempersembahkan tarian interpretatif atau menyanyi lagu-lagu patriotik untuk hiburan khalayak ramai di sekolah. Sementara itu, kumpulan menengah rendah di sebelah petang pula boleh melakukan aktiviti yang lebih amali dan praktikal (‘hands-on activities’) seperti membina ‘Jalur Gemilang’ atau membuat arca bertema patriotisme daripada bahan-bahan kitar semula.
Walaupun terdapat penekanan yang berbeza kepada aktiviti, ada tema sama yang tersirat di semua peringkat sekolah. Tema itu merupakan sebab sekolah mengadakan perayaan Kemerdekaan. Tujuannya ialah mengajar murid-murid tentang Merdeka dan menyemai semangat patriotisme ke dalam identiti mereka. Setelah hampir dua tahun pembelajaran secara talian, inisiatif untuk mengenali arti Kemerdekaan di sekolah amatlah dialu-alukan. Sewajarnya, guru memainkan peranan penting mendidik pelajar mengenai perjuangan nenek moyang kita di dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan. Apabila seorang pelajar berhajat ikhlas untuk berkhidmat demi kesejahteraan negara, seorang guru mesti berasa bangga kerana dia telah berjaya melakukan tugasnya, iaitu membimbing anak murid dengan penuh kesungguhan.