MUKADIMAH KEPADA FALSAFAH: REFLEKSI SEMPENA HARI FALSAFAH 2022
Oleh: Muhammad Shuib bin Rosli
Pada tahun 524M, seorang tokoh politik berbangsa Romawi, Boethius, telah dijatuhkan hukuman mati oleh pemerintah Empayar Ostrogoth akibat tuduhan liar yang telah mencemarkan reputasinya. Ketika berada dalam tahanan pemerintah, beliau memujuk hati nan lara dengan menulis dan menulis saban hari. Limpahan idea yang dijelmakan menjadi sebuah tulisan telah mencetuskan revolusi pemikiran bangsa Eropah ketika itu dalam pelbagai sudut, terutamanya seputar kehidupan, agama, pemerintahan, dan lain-lain. Apakah karyanya itu? Karyanya diberi judul The Consolations of Philosophy atau ‘Bujukan Filsafat’, yakni sebuah karya falsafah yang membicarakan kehidupan, kebahagiaan, ketuhanan, kebaikan, kejahatan, dan kebarangkalian. Tatkala takdir membungkamkan dirinya ke lembah kehinaan, Boethius memilih falsafah sebagai tauladan sejati yang menemani hari-hari akhir kehidupannya.
Buat pembaca yang tidak pernah menggeluti penulisan-penulisan seputar falsafah, penulis amat percaya bahawa sebuah pertanyaan pasti tercetus dalam minda – apakah itu falsafah? Sebelum memberikan sebuah definisi yang menjelaskan makna dan kepentingan falsafah, penulis ingin mengajak para pembaca untuk mengenang semula perjalanan hidup lampau. Pernahkah para pembaca menyoal orang sekeliling perihal perkara-perkara yang terjadi atau benda-benda yang wujud untuk mengetahui asal-usul, sebab-musabab, dan hikmah di sebaliknya? Jika jawapan yang diberikan ialah ya, maka penulis ingin mengucapkan tahniah kerana para pembaca sebenarnya telah memulakan langkah awal dalam dunia falsafah kendatipun tidak menyedari hakikat ini.
Ada tiga perspektif utama untuk memahami falsafah, yakni perspektif ‘orang kebanyakan’, perspektif ‘orang akademik’, dan perspektif ‘ahli falsafah’. Pertama, orang kebanyakan memahami falsafah menerusi bahasa pertuturan sebagai suatu kepercayaan mendalam yang dicapai menerusi gerak daya akal rasional. Bagi orang akademik pula, falsafah ialah suatu subjek yang membicarakan perkara-perkara dasar yang tidak dibicarakan dalam subjek lain, iaitu metafizik, epistemologi, estetika, etika, dan logika. Menurut para filsuf sejati, falsafah tidak boleh disempitkan kepada sekadar sebuah subjek khusus dipelajari di institusi pengajian tinggi misalnya kursus MPU Falsafah dan Isu Semasa dek sifat semula jadi falsafah yang maha luas serta menjadi dasar kepada beraneka disiplin ilmu.
Pokok pangkalnya, falsafah itu sebuah pencarian, perjalanan, dan penaakulan berliku-liku untuk menggapai permata yang digelar sebagai ‘kebijaksanaan’ dan ‘kebenaran’. Wajah falsafah itu berbagai-bagai dek keanjalannya sehingga dimartabatkan sebagai ‘ratu’ yang mampu melahirkan pelbagai ilmu seperti sains, ekonomi, politik, dan sastera sebelum pengkhususan pengetahuan diamalkan pada zaman kontemporari. Intelektualisme yang dijelmakan sebagai sebuah budaya kehidupan menjadi tunjang perkembangan ilmu falsafah dek tujuan akhirnya merupakan cita-cita murni manusia berakal. Bertitik tolak daripada fakta tersebut, wajarlah golongan filsuf amat berani melontarkan soalan-soalan yang menggugat pemikiran masyarakat yang tidak berdaya mengubah status quonya demi mengembangkan ilmu pengetahuan ke tahap kemajuan seperti dikecapi pada hari ini.
Golongan berkecimpung dalam ilmu falsafah dan sering bergelumang dengan perbahasan-perbahasan ilmiah pasti mendapat kecaman dan label dek kecenderungan falsafah menyentuh perkara-perkara bersifat teoretikal belaka. Kendatipun begitu, kefahaman menyeleweng dipaparkan mampu diluruskan dengan memahami hakikat bahawa ilmu teoretikal inilah menjadi dasar kepada pembentukan ilmu praktikal lain misalnya kejuruteraan, pengaturcaraan, pentadbiran kerajaan, dan lain-lain. Mempelajari falsafah juga bukanlah suatu usaha yang sia-sia, apatah lagi membuang masa, memandangkan falsafah mendidik kita untuk membentuk sebuah kerangka fikir holistik, sehingga berkeupayaan memandang sesuatu isu menerusi pelbagai lensa dan perspektif. Inilah kefahaman yang tidak terjangkau oleh pemikiran golongan yang merendahkan ilmu falsafah, terutamanya dalam zaman kini yang menayangkan hakikat ilmu sudah semakin celaru dan keliru.
Tambahan pula, fenomena misinformation (kesalahan maklumat) dan disinformation (ketidaksampaian maklumat) memburukkan lagi keadaan. Capaian Internet meluas menjadi pemangkin, sejajar gerak daya globalisasi, membawa percambahan maklumat dengan pantas namun mengundang bencana pula apabila kebenaran kabur, sedangkan fitnah, tohmah, kepalsuan, dan penyelewengan meracuni pemikiran pengguna. Acap kali, persoalan yang sama bakal timbul seputar cara gaya membezakan antara benar dengan salah, baik dengan buruk, dan hak dengan batil namun kerap bertemu jalan buntu dek kewujudan lambakan maklumat yang bertentangan. Di sinilah falsafah memainkan peranan penting sebagai pembentuk kerangka fikir berdaya mengenali dan mengiktiraf perbezaan antara kaca dengan permata lantas meletakkannya menurut tempat serta kadaran selayaknya.
Sehubungan itu, penulis menyeru kepada khalayak pembaca untuk mendalami semula ilmu falsafah sebagai agenda pemberdayaan diri demi memperoleh kemerdekaan daripada belenggu kejahilan kepada cahaya kebijaksanaan. Pengkajian falsafah menerusi pembacaan serius ke atas pustaka-pustaka warisan para filsuf, sama ada falsafah Barat, Islam, atau Timur, yang mengkayakan korpus keilmuan beraneka bidang pasti meluaskan ufuk pemikiran menatijahkan diri terdidik untuk sentiasa berkata dan bertindak berlunaskan hikmah sebagai panutan. Secara tidak langsung, keadaan ini sudah tentu berdampak positif kepada warganegara yang menetap di negara yang mengamalkan demokrasi apabila mereka mampu untuk mengenali seraya membezakan antara pemimpin benar dengan pemimpin salah. Lantaran itu, pembuangan undi yang dilaksanakan oleh warganegara tersebut pasti bersandarkan kepada analisis kritis, berpandangan jauh, serta tidak berlunaskan emosi yang bersifat sementara sahaja.
Wujud juga lontaran pandangan daripada sesetengah agamawan yang berpendapat bahawa hukum mempelajari falsafah itu haram. Natijah dangkal yang dikemukakan dapat dipatahkan menerusi pemahaman bahawa hubungan falsafah dan agama sangat intim memandangkan falsafah mengajar penuntutnya agar sentiasa berfikir serta bersikap rasional dalam mencari kebenaran. Matlamat akhir falsafah dalam Islam juga bukanlah seperti pembawaan golongan Sufastaiyah yang sekadar mempersoal isu-isu agama tanpa jawapan meyakinkan sampai timbul keraguan dalam benak umat, tetapi untuk mengenali Allah sebagai Rabb dan Ilah, menjalani kehidupan dengan memartabatkan akhlak mahmudah sebagai tuntunan, serta mengiktiraf wahyu sebagai sumber teragung pengetahuan. Kendatipun idea-idea para filsuf Muslim dalam beraneka disiplin ilmu telah lama dikemukakan, namun tetap bersifat malar segar memandangkan sumber utama yang dirujuk mereka kekal relevan selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan Hadis Rasulullah.
Sebagai strata sosial yang bakal membentuk pewaris tampuk pimpinan negara, guru-guru mestilah terlibat secara aktif dan kritis dalam wacana intelektual, perbahasan ilmiah, dan pembacaan karya falsafah untuk membentuk idealisme jelas nan kukuh dalam perjuangan membangunkan citra dan watak anak bangsa beradab yang didambakan. Para guru juga tidak boleh leka hanyut dibawa arus hedonisme dengan mengajar, mengasuh, dan mendidik anak bangsa secara sambalewa, apatah lagi tidak ikhlas dalam gerak daya tersebut. Tinjauan ke atas biografi ahli falsafah misalnya Ibnu Sina, Al-Ghazali, Aristotle, dan Wittgenstein memaparkan bukti bahawa guru memainkan peranan penting sebagai pembimbing dan pengawal selia dalam menumbuhkan mereka sebagai ilmuwan berjasa kepada kemajuan peradaban manusia.
Wa akhirul kalam, penulis berpendapat bahawa setiap jiwa di muka bumi ini wajib mempelajari ilmu falsafah beserta segala pembahagiannya, yakni metafizik, epistemologi, etika, estetika, dan logik dalam upaya membentuk insan terdidik. Tidak mungkin ilmu-ilmu lain misalnya ekonomi dan politik mampu terjelma seperti bentuknya kini tanpa falsafah sebagai dasarnya. Sesungguhnya falsafah mendidik setiap penuntutnya supaya berfikir, bertutur, dan bertindak berwajahkan kerasionalan dan keilmiahan sebagai paksi utama. Justeru, permasalahan taklid buta dek kecelaruan-kekeliruan ilmu dan lambakan maklumat mampu diselesaikan kerana perolehan setiap maklumat tidak dilakukan secara membuta tuli bahkan ada proses jelas. Sehubungan itu, para guru perlu memulakan langkah untuk berkecimpung dalam pembelajaran falsafah supaya idealisme yang menjadi pegangan para guru mampu menggerakkan para guru ke hala tuju benar dalam dunia pendidikan.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Hari Falsafah Sedunia, klik disini.
Pengawai Penyelidik Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE)