Mulai bulan ini, kami ingin memaparkan segmen terbaru berbentuk vlog untuk tontonan dan bacaan para pembaca. Vlog pertama pilihan kami datang daripada saudari Kautsar, seorang warganegara Indonesia yang telah berhijrah bersama suami dan anak perempuannya ke Tehran, Iran pada akhir tahun lepas. Blog beliau berkisar tentang pelancongannya ketika berada di negara tersebut.
Sidang redaksi amat tertarik dengan gaya dan arahan vlog Puan Kautsar yang penuh estetik dan kreativiti. Selain diiringi oleh muzik latar instrumental yang menenangkan, vlog melancong ini juga menggunakan tona dan penapis video (video filter) yang menyerlahkan warna bumi di tempat tumpuan pelancongan yang dikunjungi Puan Kautsar dan keluarganya.
Vlog pertama daripada Youtube Channel beliau di bawah nama yang sama, mempelawa penonton untuk turut serta mengikuti pengembaraan mereka ke Gunung Tochal yang terletak di utara Iran. Video ini dimuatkan dengan tempoh perjalanan mereka daripada rumah yang terletak sejam jauhnya ke destinasi, sehingga sampai ke penghujung ekspedisi yang singkat tapi sungguh bermakna. Puan Kautsar juga bijak dalam menyelitkan kapsyen (caption) untuk beberapa tempat penting di dalam video, lantas memberi jalan cerita kepada pengembaraan mereka. Semestinya, penggunaan cap masa (timestamps) bersama dengan kapsyen dapat memanfaatkan penonton jikalau mereka mahu kembali ke detik tertentu yang menarik perhatian di dalam video tersebut. Sebagai contoh, penonton mungkin ingin mencari maklumat terperinci tentang pelbagai harga berlainan untuk menaiki kereta kabel ke tiga buah stesyen Gunung Tochal yang mempunyai aras tinggi yang berbeza.
Pembikinan vlog seperti ini memang sangat informatif dan dialu-alukan di kalangan komuniti sekolah secara khususnya. Selain dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah di serata dunia, para pelajar juga boleh menghargai kehidupan dan gaya hidup orang lain di negara asing. Penonton juga akan mendalami adat dan budaya sesuatu kaum melalui kaca mata pemilik vlog yang arif. Kandungan vlog yang lebih memfokuskan kegiatan seharian yang santai dan bersahaja, akan menjadi tempat tumpuan penonton yang mahu membayangkan pengalaman tersebut menerusi pengesyoran vlogger yang disanjungi. Di samping itu, nilai-nilai murni seperti menghormati adat resam warganegara asing dan mematuhi peraturan di tempat orang, dapat diterapkan di kalangan murid-murid yang mengikuti vlog melancong atau mana-mana vlog yang boleh meluaskan minda dan pengetahuan mereka.
Sajian vlog daripada pencipta kandungan (content creator) di rantau Asean memang perlu diketengahkan demi mempromosikan angkatan karyawan ada potensi untuk mengharumkan nama negara masing-masing di peringkat antarabangsa. Di dalam dunia tanpa sempadan sekarang, sesiapa pun berkemampuan untuk bersaing dengan saluran-saluran Youtube yang terletak di negara Barat. Yang penting ialah dedikasi dan daya tahan seseorang untuk menjayakan dan mempelbagaikan kandungan vlog atau video yang unik, menyeronokkan dan penuh inspirasi.
Klik di sini untuk mengikuti saudari Kautsar di laman Instagram beliau.