Pengajaran daripada Kes Amuk di Thailand
Penulis: Mas Elizawati binti Mohammad Ali
Pembunuhan beramai-ramai yang terjadi di sebuah taska di wilayah timur laut Thailand pada Khamis lalu telah membuka jurang perselisihan di kalangan rakyat jelata yang majoriti adalah penganut Buddha. Hari yang tidak dinafikan penuh dengan emosi. Perasaan orang ramai bercampur baur. Ada yang amat terkejut, ada yang sungguh sedih dan ada juga yang sangat marah. Kes amuk bekas pegawai polis yang menyerbu ke tempat asuhan untuk menembak dan menikam orang terutamanya kanak-kanak kecil yang tidak bersalah merupakan mimpi ngeri terburuk setiap ibubapa. Walaupun pembunuhan bersenjata secara seorang amat jarang berlaku di negara itu, langkah pencegahan yang lebih ketat perlu diambil untuk mengelakkan insiden ini berulang di dalam masa yang terdekat. Bagi mencari jalan penyelesaian dan melaksanakan sebuah kawalan yang sesuai, kita mestilah terlebih dahulu mencari punca kepada masalah yang menyebabkan berlakunya tragedi ini.
Seorang pensyarah Universiti Nasional Australia, Greg Raymond di dalam artikelnya mempersoalkan kewarasan penyerang dan seterusnya mencadangkan agar perbualan di peringkat nasional mengenai kesihatan mental harus dimulakan semula. Kesihatan mental adalah subjek yang jarang diketengahkan di dalam masyarakat yang berfikiran konservatif seperti Thailand. Usaha yang bertumpu kepada kesihatan mental sangat penting dalam membantu rakyat Thailand menangani tekanan hidup berikutan kemelesetan ekonomi pasca Covid. Kekurangan sumber semasa yang boleh dipercayai untuk menberi sokongan kesihatan mental (‘mental health support‘), bagaimanapun, menghalang dialog yang bermakna di kalangan pihak yang terjejas. Malahan, apabila orang ramai lebih mengambil berat tentang mata pencarian mereka, perbincangan tentang kesihatan mental tidak dapat diutamakan bila dibanding dengan insentif untuk mendapat pekerjaan yang stabil. Peningkatan kadar pengangguran yang mendatangkan tahap kemiskinan yang lebih tinggi juga bermakna lebih ramai keluarga memilih untuk mengeluarkan anak-anak mereka dari sekolah. Tanpa pendidikan, generasi akan datang menjadi jahil tentang konsep kesihatan mental. Ini akhirnya mewujudkan lingkaran ganas (‘vicious cycle’) pada keupayaan untuk mengakses sokongan kesihatan mental.
Dari segi pembelajaran di sekolah awam, suatu kempen kehadiran hendaklah dilaksanakan untuk menggalakkan murid kerap pergi ke sekolah. Oleh itu, pihak pentadbiran sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran sekolah selamat daripada keganasan dan ancaman senjata api. Ini dapat dijayakan melalui program kaunseling sekolah yang perlu mendapat sokongan padat daripada kakitangan sekolah dan komuniti setempat. Usaha bersepadu pihak sekolah dan masyarakat sekeliling memperkasakan gerakan supaya sekolah bebas daripada keganasan dan ancaman senjata api. Ini seterusnya membawa kepada persekitaran sekolah yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran, di mana kaunselor sekolah bersikap responsif di dalam sebarang krisis. Bila peluang untuk keganasan, buli dan bunuh diri tidak wujud, suasana sekolah yang positif dikaitkan dengan pencapaian pelajar dan kadar kelulusan dari sekolah menengah yang lebih tinggi.
Satu lagi perkara yang menjadi pertikaian ialah bilangan orang yang membimbangkan – persendirian atau sebaliknya – yang memiliki senjata api di Thailand. Pemilikan senjata api adalah suatu perkara biasa di dalam budaya negara Thai di mana kepimpinan gaya tentera dimuliakan dan khidmat tentera diwajibkan untuk lelaki berumur lebih 21 tahun. Menurut tinjauan oleh gunpolicy.org di University of Sydney, terdapat lebih 10.3 juta senjata api milik persendirian pada 2017, yang mana hanya enam juta senjata api didaftarkan secara rasmi. Selain itu, insiden membabitkan senjata api kerap berlaku di Thailand. Daripada 31,419 jenayah yang berkaitan senjata api pada 2019, kira-kira 24,000 melibatkan senjata api tidak berdaftar. Perubahan drastik dalam polisi senjata api, terutamanya yang membabitkan pegawai polis bekerja dan pencen, mesti dilakukan untuk mencegah penggunaan senjata api di luar tugas aktif. Pihak berkuasa juga perlu memantau kesahihan pemilikan senjata api dengan memeriksa dua kali setahun untuk memastikan pemilik masih waras dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Akhir sekali, akses yang mudah untuk mendapat dadah di beberapa pelosok negara membawa kepada penyalahgunaan sistemik oleh individu yang mudah terpengaruh. Apabila agensi penguatkuasaan sering menutup mata terhadap pengedaran dadah, rangkaian pengedaran yang mantap ke seluruh negara dan rantau ASEAN telah menyumbangkan kepada permintaan yang tidak terkawal untuk dadah pada harga yang rendah. Kerajaan perlu menyemak dan mengetatkan lagi polisi antidadah dengan memberi hukuman yang lebih keras terhadap pengedar dadah yang ditangkap dan pegawai negeri yang korup. Jika mereka yang berkuasa memang serius dalam usaha pembasmian dadah, kawalan penuh etika dan ketat di sempadan negara untuk menghalang laluan dadah di sepanjang lembah sungai Mekong adalah langkah pertama dan berani yang perlu diambil.
Serangan maut yang membunuh 37 orang di mana 24 daripadanya adalah kanak-kanak kecil, sudah pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada kebanyakan warga negara ini. Sementara seluruh negara berkabung, langkah yang lebih ketat untuk kawalan senjata api dan tindakan keras membasmi dadah secara besar-besaran adalah satu-satunya cara untuk maju ke hadapan. Kempen kesedaran kesihatan mental juga akan memudahkan inisiatif untuk menjaga diri ketika berhadapan dengan tekanan kehidupan pasca pandemik. Pelajaran sejarah sesebuah negara telah mengajar kita bahawa transformasi proaktif datang dari dalam. Dalam di sini merujuk kepada diri sendiri atau secara domestik. Malangnya, ia memerlukan tragedi seperti ini untuk mempercepatkan sebarang perubahan yang perlu.