Mas Elizawati Mohammad Ali
Selamat Hari Ibu Bapa semua! Setelah kebanyakan negara menyambut Hari Ibu pada bulan Mei dan Hari Bapa pada bulan Jun, hari ini pula adalah sambutan Hari Ibu Bapa (Parents Day). Disambut terutama sekali di Amerika Syarikat, Hari Ibu Bapa dipilih untuk diraikan pada hari Ahad minggu yang keempat bulan Julai. Ini berlainan dengan Hari Ibu yang disambut pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei dan Hari Bapa yang disambut pada Hari Ahad minggu ketiga bulan Jun. Seperti perancangan yang baik, ibu diraikan dulu sebelum bapa dan kemudian disatukan semula untuk bulan yang ketiga!
Kewujudan Hari Ibu Bapa tidak banyak diketahui rakyat Malaysia kerana ia tidak dikomersialkan secara meluas, jika dibandingkan dengan Hari Ibu atau Hari Bapa. Kalau dilihat di antara Hari Ibu dan Hari Bapa pula, Hari Ibu lebih banyak lagi dihebahkan di kalangan warganegara kita yang luas pengetahuan tentang perayaan sampingan dan seperti itu. Lagipun, kedudukan ibu mempunyai signifikan kerana beliau yang melahirkan kita ke dalam dunia ini. Pada asalnya, perayaan Hari Ibu Bapa yang disambut hari ini telah disyorkan oleh bekas Presiden Amerika Bill Clinton pada tahun 1994 untuk menghargai peranan ibubapa dalam membesarkan anak-anak mereka.
Terdapat juga negara-negara lain yang meraikan Hari Ibu Bapa pada bulan yang berlainan. Misalnya, Korea Selatan menyambut Hari Ibu Bapa pada 8 Mei, Filipina pula pada hari Isnin yang pertama untuk bulan Disember dan di Republik Congo, ia disambut pada 1 Ogos. Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) telahpun mengisytiharkan pada 2012 bahawa Hari Ibu Bapa Sejagat (Global Day of Parents) akan disambut pada 1 Jun setiap tahun.
Kelainan hari dalam menyambut Hari Ibu Bapa tidak menjadi penghalang untuk kita mempopularkan perayaan tersebut secara tempatan. Walaupun perayaan ini bukan lagi satu kelaziman di kalangan masyarakat Malaysia, kita boleh mempromosikan sambutan melalui kempen yang dapat menerapkan nilai-nilai murni berkaitan dengan ibu bapa seperti hormat-menghormati, pengorbanan, ketulusan hati dan sanjungan budi. Sesungguhnya, kehadiran ibu bapa memang tiada tandingannya di dalam kehidupan seseorang. Apabila kita menyedari kepentingan ibu bapa, kita akan lebih menghargai betapa mustahaknya peranan mereka dalam pembentukan sahsiah diri kita.
Pasangan yang baru bergelar ibu bapa dengan kelahiran putera atau puteri tercinta, akan sedikit sebanyak memahami tanggungjawab yang mesti dipikul untuk membesarkan anak mereka. Ketika mengharungi pengalaman sendiri, mereka akan akur tentang pengorbanan ibu bapa mereka dalam memenuhi segala permintaan dan kemahuan mereka. Hati mereka akan terusik bila mengingati bagaimana ibu bapa melayan kerenah mereka dan memastikan mereka sentiasa rasa selamat dan selesa.
Namun begitu, ada juga ibu ataupun bapa yang mengabaikan anak kandungan sendiri demi kepentingan diri masing-masing. Mereka berasa lebih serasi dengan gaya hidup yang mengutamakan kebahagiaan dan kepuasan zahir dan batin sendiri. Alangkah malangnya, anak-anak yang terbiar dan kurang kasih sayang ibu bapa bukan kerana kesalahan mereka sendiri. Anak jagaan yang tersisih akan mencari kasih sayang dan perhatian melalui pergaulan yang bebas dan intim dengan orang luar. Jika dibiarkan berlarutan, keadaan boleh menjadi keruh sama ada dalam bentuk hubungan seks yang membawa kehamilan atau penyalahgunaan bahan seperti hidu gam, hisap rokok/vape dan suntikan dadah.
Oleh itu, peranan ibu bapa adalah penting dalam memastikan anak dapat menjalani zaman kanak-kanak mereka dengan bahagia dan membentuk anak itu menjadi individu yang bertanggungjawab. Setelah memasuki alam persekolahan pula, guru dan ibu bapa perlu ada saluran komunikasi yang kukuh dan dua hala supaya hal ehwal murid boleh diselesaikan dengan tenang tanpa sebarang salah faham. Selain itu, guru berfungsi sebagai perantara yang diamanahkan oleh ibu bapa untuk mendidik anak asuhan mereka. Di samping itu, guru mengajar murid tentang hubungan kekeluargaan yang ideal dan cara memupuk sifat-sifat mulia dengan ibu bapa sendiri. Sebagai contoh teladan di sekolah, guru yang mempunyai peribadi keibuan atau kebapaan juga akan menceriakan suasana di bilik darjah dan seterusnya memberi motivasi kepada murid untuk belajar dan berjaya di dalam akademik.
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia. Dan hendaklah kamu berbakti kepada ibu bapa kamu. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam umurmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan yang hina dan janganlah kamu membentak mereka tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”. ~ Quran 17:23
Selain ayat daripada Surah Al-Isra di atas, banyak lagi ayat di dalam Al-Quran dan sabda Nabi di dalam hadith yang menyentuh perkara berkenaan ibu bapa. Tanpa restu ibu bapa, hidup seseorang tidak akan mendapat berkat. Kita mesti berbakti kepada mereka seperti mana mereka telah menyumbang segala harta benda dan jiwa raga untuk kebahagiaan dan keselesaan kita. Pada Hari Ibu bapa ini, bawalah mereka keluar makan atau makan angin di tempat kegemaran mereka. Jika (salah satu) mereka sudah meninggalkan kita, pergilah melawat (beliau) mereka di tempat perkuburan dan memanjatkan doa untuk kesejahteraan arwah di alam barzakh. Tuturkan ayat-ayat penuh dengan kasih sayang dan berikan pelukan akrab untuk mengeratkan ikatan tali kekeluargaan. Sememangnya, kita cinta dan menghormati ibubapa kita setiap hari tapi pada hari istimewa ini, berilah mereka layanan mantap sebagai tanda penghargaan dan sayang kita.