Ke Arah Pendigitalan Buku Teks Sekolah
Penulis: Mas Elizawati (Malaysia)
Dewasa ini teknik pembelajaran semakin diteliti rapat oleh ibubapa prihatin yang mahukan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Pendigitalan kandungan pelajaran merupakan suatu inovasi penting yang harus diterajui di peringkat sekolah. Dengan pelbagai kemajuan teknologi di hujung jari mereka, pelajar dari semua peringkat umur sekarang boleh belajar dengan lebih interaktif serta dapat memilih cara dan masa mereka mahu diajar. Ketika seluruh dunia sedang melalui Revolusi Perindustrian Keempat (Fourth Industrial Revolution)(‘4IR’), Malaysia ada banyak perkara yang perlu dikejar untuk memastikan negara ini berada di dalam liga yang sama dengan negara-negara maju. Dari segi pembangunan 4IR, ia tidak boleh dinafikan bahawa faktor-faktor seperti isu pembiayaan, masalah capaian teknologi, jurang pendapatan dan sikap berpuas hati (complacency) akan juga meresap ke dalam sektor pendidikan. Guru dan pelajar sama-sama akan mendapat manfaat daripada pengenalan teknologi terkini yang boleh membantu mereka mengemudi kemahiran yang diperlukan untuk menjadi relevan pada abad ke-21.
Pada bulan Ogos yang lepas, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa ia telah merancang untuk meningkatkan kualiti buku teks pembelajaran melalui kaedah digital. Langkah ini adalah selaras dengan perubahan teknologi pesat yang berlaku di seluruh dunia berikutan peningkatan kesalinghubungan (connectivity) dan automasi pintar (smart automation). Dikenali secara meluas sebagai Revolusi Perindustrian Keempat (Fourth Industrial Revolution), 4IR atau Industri 4.0, integrasi pelbagai teknologi bertujuan untuk mengaburkan garis antara dunia fizikal, digital dan biologi.
Selaras dengan objektif 4IR, pendigitalan buku teks ini telah pun melalui eksperimen yang canggih seperti realiti terimbuh (Augmented Reality atau AR), realiti maya (Virtual Reality atau VR) dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI). Projek rintis kelas hibrid yang juga diumumkan pada pertengahan Ogos lepas akan menolong memdedahkan murid dalam penggunaan aplikasi pembelajaran digital, Kementerian Pendidikan berharap dengan inovasi yang berfokus kepada teknologi imersif (immersive technology), pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah akan menjadi lebih interaktif dan menyeronokkan. Ini seterusnya akan menghasilkan generasi pelajar dengan set kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pemain global yang berjaya pada masa hadapan.
Untuk mencapai matlamat tersebut, guru mesti cekap dan bersedia untuk membina pengetahuan dalam menggunakan aplikasi ini supaya mereka boleh meneruskan tugasan mengajar murid. Jika guru tidak bersedia untuk menyesuaikan diri dengan teknologi terkini, pelajar akan ketinggalan dan kekal jahil tentang isu semasa yang boleh merevolusikan cara mereka belajar. Pelajar pula memainkan peranan dalam mengasah kemahiran kepimpinan dan memelihara budaya mereka ketika mengguna teknologi terbaharu. Gabungan aktiviti digital dan kepimpinan yang kukuh akan menjadikan teknologi tersebut transformatif dan seterusnya membawa kepada kematangan digital dalam bidang akademik.
Banyak halangan akan merumitkan rancangan Kerajaan untuk mendigitalkan sektor pendidikannya. Salah satu isu utama yang timbul ialah kebimbangan warganegara mengenai privasi anak-anak mereka bila data dimuat-naikkan. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan telah melancarkan platform pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan pelajar, iaitu DELIMa, atau ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’, pada Jun 2020. Projek ini dijayakan melalui usaha bersama Google, Microsoft dan Apple. Walaupun projek ini amat dialu-alukan, akses mudah data akademik kepada pihak ketiga secara tidak sengaja mencetuskan rasa tidak percaya kepada pengawasan kerajaan.
Selain itu, komitmen pengurusan atasan yang rendah untuk melaksanakan projek pendigitalan akan menjejaskan penggunaan meluas teknologi ini di peringkat sekolah. Kedua-dua pejabat pendidikan daerah dan pentadbiran sekolah mesti mengambil serius misi mereka untuk melatih guru dalam mempelajari dan menggunakan teknologi di bilik darjah. Ini hanya akan dapat dijalankan apabila Kementerian Pendidikan mengerahkan tenaga kerjanya sendiri untuk melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan (stakeholders) dan mempromosikan secara aktif projek buku teks baharu ini.
Semestinya, Kementerian Pendidikan memerlukan bajet yang cukup besar untuk menjayakan semua aktiviti promosi, latihan intensif guru dan penaiktarafan prasarana digital di sekolah. Bila segala pembiayaan sudah ada, sebarang pelaksanaan projek akan menjadi mudah. Bagi mengelak kemungkinan berlaku rasuah dan pilih kasih, peruntukan dana kepada pejabat daerah hendaklah dilakukan secara adil dan telus. Walaupun kos ekonomi yang tinggi boleh menjadi penghalang kepada permulaan projek ini, faedah jangka panjangnya adalah melebihi perbelanjaan yang mungkin terlibat.
Akhir sekali, peluang yang tidak sama rata bagi mengakses teknologi ini untuk rumahtangga yang berbeza pendapatan akan mewujudkan keretakan dalam masyarakat. Pelajar yang datang daripada demografi berpendapatan rendah barangkali tidak dapat menggunakan aspek pendigitalan dalam pembelajaran kerana mereka tidak memiliki peranti pintar yang diperlukan. Di samping itu, masalah boleh terjadi bila jabatan pendidikan tidak dapat berhubung dengan pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar atau kampung untuk mendidik mereka tentang alatan teknologi terkini. Apabila seseorang menjadi leka (complacent) dengan persekitaran mereka, sebarang percubaan untuk memperkenalkan perubahan atau perkara baharu adalah sangat mencabar. Oleh itu, inisiatif untuk pendigitalan pendidikan mesti mempertimbangkan jurang pendidikan yang kini wujud antara sekolah di bandar dan luar bandar.
Pendigitalan buku teks sekolah pastinya akan membuka jalan kepada lebih banyak ketersambungan dan automasi di sekolah pada masa hadapan. Mengetepikan isu belanjawan dan privasi buat sementara waktu, perusahaan teknologi yang diterajui Kerajaan ini akan membuktikan kepada rakyat bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menjadi pemain utama dalam zaman moden 41R. Kejayaan untuk melancarkan projek besar ini bergantung kepada penyertaan aktif dan kesanggupan semua pihak berkepentingan. Paling penting sekali sudah tentu pelajar di mana reaksi dan penyesuaian mereka terhadap teknologi baharu akan memberikan petunjuk tentang bagaimana kita semua harus mendekati pembelajaran pada abad ke-21. Sebaik sahaja seorang murid ‘berasa imersif’ dalam pembelajaran, kita akan berasa lega kerana semua kerja keras dalam mengusahakan teknologi pendigitalan telah pun membuahkan hasil lumayan.
Untuk Pembelajaran Atas Talian menggunakan platform yang menyeluruh, sila layari VSchool Trend dan langgan dari kami bagi menyertai kelas tambahan percuma. WhatsApp Citra Ilmu Online Learning di 0162390353.