Mas Elizawati Mohammad Ali
Semua orang yang sudah biasa mendengarnya tentu tahu bahawa prinsip pertama yang termaktub di dalam Rukun Negara Malaysia adalah Kepercayaan kepada Tuhan. Hatta, seorang warga Malaysia yang mendukungi dan menghayati prinsip tersebut semestinya akan mempercayai tentang kewujudan Tuhan dalam kehidupan yang fana ini. Walaupun demikian, akan ada segelintir orang yang mengaku diri mereka sebagai atheis dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan (Supreme Being) yang menguasai semua yang wujud di alam semesta ini. Adakah mereka tidak boleh dianggap sebagai rakyat Malaysia yang penuh atau sempurna kerana tidak memenuhi kriteria yang terkandung dalam Rukun Negara?
Persoalan di atas diilhamkan setelah penulis membaca siaran (post) di media sosial yang memperbahaskan amalan mengerjakan solat berjemaah di sekolah menengah. Beberapa ibubapa atau penjaga telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kelaziman amalan tersebut. Perlukah murid dipaksa melakukannya sedangkan ia tidak termasuk dalam silibus sekolah? Sudah menjadi kebiasaan sekarang di sekolah sesi petang, tidak kira jenis kebangsaan atau agama, untuk memperuntukkan masa menunaikan solat Zuhur dan Asar beramai-ramai. Pada masa penulis berada di alam persekolahan, tiada masa khusus akan diberikan kepada para pelajar untuk pergi mengerjakan solat. Meskipun begitu, ada juga yang meminta keizinan guru untuk pergi ke surau kecil iaitu sebuah bilik kecil yang telah diubahsuaikan. Itu pun jika mereka ada masa lapang setelah sudah menyiapkan tugasan di dalam kelas. Namun, kebenaran itu diberi kepada sesetengah murid yang sudah ‘dicopkan’ sebagai orang yang kerap pergi ke surau.
Kembali kepada waktu sekarang, amalan solat berjemaah untuk fardhu Zuhur dan Asar adalah satu langkah yang sangat terpuji dan dihargai kerana mendirikan solat merupakan satu hukum agama yang perlu disempurnakan oleh umat Islam yang sudah baligh dalam kehidupan seharian mereka. Kekerapan mengerjakan solat berjemaah boleh membawa kepada kesedaran untuk menunaikan fardhu ain di luar kawasan sekolah, yakni di rumah masing-masing pada awalnya dan di tempat awam kemudiannya. Secara tidak langsung, solat yang dikerjakan boleh dilihat sebagai ‘amali’ kepada ilmu pengetahuan yang sudah dipelajari di bangku sekolah. Demonstrasi yang dilakukan oleh guru agama di sekolah rendah kini dipraktikkan dengan baik bila anak murid berpindah ke sekolah menengah.
Bantahan sesetengah ibubapa atau penjaga mengenai tindakan pihak sekolah menggunakan masa pembelajaran untuk bersolat adalah amat dikesali. Oleh kerana ia tidak tertera secara jelas di dalam silibus pembelajaran, mereka berpendapat bahawa ia tidak perlu diwajibkan untuk semua murid, dan terpulang kepada individu untuk mengamalkannya. Golongan progresif ini mahu pertahankan kebebasan untuk bersuara (freedom of speech) dan beragama (ataupun tidak beragama) (freedom of religion). Bagi mereka, memaksa pelajar menunaikan solat seolah-olah menafikan hak asasi murid tersebut. Pelbagai sangkalan terhadap satu amalan yang bermanfaat ini terus membungkam penulis. Mengapa ada juga yang tidak gembira atau bersyukur dengan kebenaran sekolah yang membolehkan ratusan murid melaksanakan tanggungjawab harian mereka kepada Tuhan?
Para penjaga yang tidak serasi dengan pandangan pihak sekolah mengenai isu solat berjemaah di perkarangan sekolah boleh mengambil alternatif selain daripada mendaftar di sekolah kebangsaan. Antaranya ialah pendaftaran ke sekolah swasta yang dapat memenuhi kehendak kepercayaan sebuah keluarga atau amalan persekolahan di rumah (homeschooling) di mana persekitaran anak dapat dikawal dengan rangsangan (stimuli) yang dipersetujui penjaga. Malangnya, segelintir penjaga menyanggah bahawa mereka tidak mampu untuk menghantar anak ke sekolah swasta. Homeschool pula memerlukan seseorang yang komited sepenuh masa dan tenaga untuk pembelajaran berterusan di rumah. Pada dasarnya, sesetengah ibubapa hanya mahu pihak pentadbiran sekolah melakukan pemisahan antara sekularisme dan agama di peringkat sekolah. Sebarang pembelajaran agama boleh diselami di luar sekolah atas inisiatif keluarga masing-masing kerana para murid mesti memfokuskan diri kepada bidang akademik seperti STEM yang lebih mustahak.
Secara fitrah, semua makhluk manusia dilahirkan untuk menyembah Allah yang Esa, mematuhi segala arahan dan menjauhi segala laranganNya. Orang yang dilahirkan di dalam keluarga beragama Islam memang beruntung kerana mereka telah secara tidak langsung mendapat panduan yang kukuh berlandaskan ajaran Islam. Walaupun begitu, tidak semua orang Muslim mempunyai akses kepada pendidikan Islam yang berterusan dan mantap. Keluarga yang berpendirian sekular ataupun bersikap acuh tidak acuh tentang pembelajaran agama akan lebih berkemungkinan menyambung tradisi tersebut kepada generasi akan datang. Lingkaran ganas (vicious cycle) yang menyebabkan waris kurang berpengetahuan atau mengambil sambil lewa hal ehwal Islam perlu diberhentikan. Jika sokongan untuk mempelajari agama lemah di rumah, pelajar boleh dibimbing oleh guru bertauliah di bilik darjah. Sebagai contoh, amalan solat berjemaah di sekolah akan melembutkan hati anak untuk memahami dengan lebih dekat lagi tentang Islam.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau anak murid enggan juga mengerjakan solat di kawasan sekolah, dia akan cuba lari dari tanggungjawab itu dengan bersembunyi ketika orang lain tengah sibuk bersiap sedia untuk sembahyang. Murid perempuan pula boleh mengatakan dia uzur untuk lari dari mendirikan solat. Lengkap dengan pelbagai taktik, tabiat untuk ‘ponteng’ daripada menunaikan fardhu ain boleh juga berlaku di sekolah berasrama penuh. Seperti yang penulis telah luahkan di permulaan perenggan ini, tindakan seseorang itu beralaskan keputusannya. Adakah dia mahu mengikut arus perdana dan melakukan segala yang wajib? Ataupun biarkan dia sendiri yang menyedari kesalahannya sehingga beliau matang untuk memahaminya?
Siaran (post) yang penulis telah baca juga menyentuh dakwaan seorang penjaga tentang penggunaan rotan kalau anaknya meninggalkan solat berjemaah di sekolah. Namun begitu, kes melibatkan rotan memang jarang berlaku kebelakangan ini lebih-lebih lagi apabila para ibubapa sibuk merungut sebarang hukuman berbentuk fizikal (corporal punishment) ke atas anak mereka. Kalau anak seseorang penjaga bersifat penakut (timid) atau ingin memuaskan kehendak orang lain, dia mungkin akan akur dengan pemikiran kelompok (herd mentality) dan sedia menerima rutin mengerjakan solat berjemaah. Akibatnya, penjaga pula yang akan tidak puas hati dengan keadaan anak beliau yang ‘dipaksa’ melakukan sesuatu yang ekstra dan tidak pula tertera di dalam jadual kelas yang dicetak.
Kalau ada sesetengah pihak tidak mahu berkompromi mengenai amalan solat berjemaah untuk sekolah sesi petang, apakah langkah lain yang patut dilakukan? Ikrar Rukun Negara yang dilaungkan pada setiap perhimpunan rasmi sekolah atau majlis kerasmian yang lain terngiang-ngiang di telinga penulis. Para pelajar melafazkan janji ini pada setiap hari Isnin untuk memupuk semangat patriotisme dan cinta kepada negara. Selain itu, mereka akan lama kelamaan faham maksud yang tersirat di dalam prinsip-prinsip Rukun Negara tersebut. Hasil pencarian penulis di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membawa kepada penemuan berikut: “Berdasarkan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan, semua rakyat Malaysia harus mengakui bahawa Tuhan melebihi kuasa yang lain”. Ketaatan seseorang kepada agamanya akan membawa kepada pembentukan sahsiah diri yang baik dan penerapan nilai-nilai murni. Penyataan MKN juga menyebut bahawa sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini.
Intihanya, sesiapa yang hidup berlandaskan hukum agama masing-masing tidak akan rasa ada sebarang kepincangan dengan Rukun Negara kita. Bimbingan agama yang awal melahirkan generasi anak muda yang mempunyai sifat-sifat terpuji dan menghormati cara hidup masyarakat Malaysia yang majmuk. Antara cara kita berbuat demikian adalah dengan memahami ibadah ritual yang perlu ditunaikan oleh setiap individu yang berlainan agama. Bak kata peribahasa Muafakat membawa Berkat, penerimaan komuniti sekolah tentang solat berjemaah seterusnya akan menjalinkan tali ukhuwah yang kuat di kalangan pelajar beragama Islam. Kebebasan beragama memang ada di Malaysia, tetapi bukan sebaliknya. Tanpa sebarang alasan yang kukuh, janganlah kita memperlekehkan kurikulum sekolah kebangsaan di negara sendiri. Sesiapa yang bergelar ibubapa atau penjaga sejujurnya dapat meraih manfaat daripada pendekatan holistik terhadap pendidikan instruktif ini. Kerohanian anak terpelihara seperti yang dicerminkan oleh prinsip pertama Rukun Negara yang telah berulangkali dibaca dengan penuh semangat oleh anak mereka.