HARI BUKU SEDUNIA 2022

Mas Elizawati Mohamad (Malaysia)
Pada awalnya, penulis Valencia Vicente Clavel Andrés mencadangkan sambutan Hari Buku Sedunia hendaklah pada hari yang menghormati pengarang Miguel de Cervantes. Ini bermakna sama ada pada hari lahirnya, 7 Oktober, atau hari dia meninggal dunia, 23 April. Oleh kerana hari dia meninggal sama dengan tarikh William Shakespeare dan Inca Garcilaso de la Vega juga meninggal dunia, tarikh ini telah dipilih. Anehnya, terdapat beberapa pengarang terkenal lain yang juga telah meninggal dunia pada 23 April, seperti William Wordsworth dan David Halberstam.
Terdapat banyak manfaat membaca buku dan kern its, tabiat ini jangan sekali-kali dipandang remeh. Pertama sekali, membaca adalah cara yang terbaik untuk membina kosa-kata seseorang. Seperti yang ketara di kalangan kanak-kanak, mereka yang suka membaca akan mengenali pelbagai nama objek pada usia yang mentah. Kedua, membina tabiat membaca adalah salah satu bentuk penjagaan diri (‘self care’). Kajian telah menunjukkan bahawa membaca mengurangkan tahap tekanan diri (‘stress’) sebanyak 68%.
Ketiga, seperti yang disarankan dalam peribahasa “Membaca jambatan ilmu”, seseorang yang memperuntukkan 20 minit setiap hari untuk membaca seolah-olah telah membaca 1,800,000 perkataan setahun. Seseorang yang sudah membaca (dan mengingat) banyak perkataan semestinya mampu berkomunikasi dengan lebih efektif dengan orang lain. Akhir sekali, penyelidikan telah mengesahkan bahawa membaca melibatkan rangkaian litar dan isyarat yang kompleks di dalam otak. Apabila keupayaan membaca seseorang itu semakin matang, rangkaian tersebut akan menjadi lebih kuat dan lebih canggih.
Seperti yang dianjurkan oleh petikan dari laman web UNESCO, “Buku-buku telah lama menjelmakan keupayaan manusia untuk mencipta dunia, baik yang nyata mahupun yang dibayangkan, memberikan suara kepada kepelbagaian pengalaman manusia. Ia membantu kita berkongsi idea, mendapatkan maklumat dan memginspirasi kekaguman terhadap budaya yang berbeza, membentuk dialog yang meluas antara insan dengan merentasi ruang dan masa”.
Tema untuk Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022 ialah “Baca, supaya anda tidak pernah berasa sedih” (“Read, so you never feel low”), dan matlamatnya ialah untuk mempertingkatkan skop pembacaan dan mengalihkan perhatian dari pemikiran negatif.

Tahun ini, bandar Guadalajara di Mexico mengambil alih sebagai Ibukota Buku Sedunia (‘World Book Capital’), dengan program setahun yang memberi fokus kepada peranan buku dalam revolusi digital dan tabiat membaca dalam mencetuskan perubahan sosial, memerangi keganasan dan membina budaya yang mengutamakan keamanan.
Sempena Hai Buku Sedunia, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di peringkat sekolah. Antara aktiviti-aktiviti yang disyorkan ialah:
- Hari Berkostum (‘Dress Up Day’)
Pelajar dan guru datang ke sekolah berpakaian atau berkostum seperti watak buku kegemaran mereka. Guru atau kakitangan pentadbir kemudiannya akan mengambil gambar kanak-kanak dan guru mereka untuk dipaparkan ke papan buletin. Kostum-kostum yang paling kreatif dan menarik akan memenangi hadiah buku dari Pengetua.
- Mural literasi (‘Literacy murals’)
Para pelajar mencipta dua mural literasi yang mewakili idea yang datang daripada membaca. Idea ini menggabungkan petikan atau plot yang tidak dapat dilupakan daripada karya sastera kegemaran. Sekolah seterusnya mengupah seorang artis profesional tempatan untuk bekerjasama dengan pelajar dalam mereka bentuk dinding yang unik.
- Temu janji pertama tanpa mengenali dengan buku (‘Blind date with a book’)
Buku-buku terpilih dibungkus dengan kertas minyak dan ditulis sedikit penerangan mengikut gaya iklan janji temu (‘dating’) di bahagian hadapan buku. Kemudian, murid memilih buku berdasarkan penerangan yang mereka suka. Mereka tidak dibenarkan membuka bungkusan buku sehingga meninggalkan kelas. Di dalam bungkusan itu, terdapat penanda buku untuk murid mengisi ulasan mengenai buku yang dipilih. Guru akan membuat pilihan seorang pemenang daripada semua penanda halaman yang diserahkan kembali. Pemenang akan mendapat sekotak gula-gula dan sebuah buku popular terkini.
- Pertandingan membaca yang melampau (‘Extreme reading competition’)
Ajak ibubapa mengambil gambar anak-anak mereka membaca di tempat yang melampau (atau sekurang-kurangnya sangat luar biasa atau pelik) dengan telefon pintar dan e-mel gambar tersebut ke sekolah untuk dipaparkan pada Hari Buku Sedunia. Google ‘membaca melampau’ untuk inspirasi.
- Pertandingan ‘Shelfie’ atau (Swafoto Rak Buku)
Buku dan rak buku tidak boleh dipisahkan. Untuk meraikan perasaan cinta kepada buku dan benda yang sering berkaitan dengan buku, suatu pertandingan swafoto rak buku dapat menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar atau guru. Ia juga akan menghidupkan kembali kenangan indah bersama buku-buku kegemaran. Hiaskan rak buku dan ambil swafoto dengan rak buku dan buku.
(Sempena Hari Buku Dunia ini, Citra.Guru menganjurkan pertandingan ‘Shelfie’ untuk para guru semua. Hantarkan Gambar “shelfie” anda bersama-sama dengan bukti bahawa anda bertugas sebagai guru ketika ini. Hadiah-hadiah istimewa akan diberikan kepada tiga sertaan yang paling kreatif.) Hantarkan kepada Editor citra.guru di khalinakhalili@gmail.com Sebelum 15 Mei 2022.

Tidak boleh disangkal lagi, buku adalah sebahagian daripada teman pembelajaran sepanjang hayat kita. Dengan membaca, kita dapat melihat dunia pada tahap yang berlainan dan lebih berpengetahuan. Kita akan lebih arif tentang isu semasa dan perkara yang memerlukan perbincangan yang mendalam. Tanpa buku, kita hidup dalam kejahilan tentang pandangan dunia tertentu yang akan seterusnya membentuk minda generasi akan datang. Ayuh! Marilah kita bersemangat membaca buku yang penuh dengan ilham dan keajaiban!