Mas Elizawati Mohamad (Malaysia)
Di zaman pasca-kemerdekaan ini, sistem persekolahan di Malaysia sudah melalui banyak perubahan yang ketara dalam mengikuti arus kemodenan yang pesat. Perubahan yang berlaku secara berperingkat dalam tempoh beberapa dekad, melontarkan cabaran dan risikonya yang tersendiri. Antara cabaran utama yang dihadapi pihak sekolah dan para guru khususnya, ialah hal disiplin. Dalam mendisiplinkan pelajar, beban tanggungjawab terletak di bahu guru. Untuk meringankan beban guru-guru yang menjunjung peranan sebagai pendisiplin semua murid-murid mereka, kebanyakan sekolah mengambil langkah menyerahkan tanggungjawab kepada seorang individu yang bergelar guru disiplin. Pembentukan jawatan guru disiplin, yang secara teorinya adalah untuk membantu menyelesaikan masalah disiplin di sekolah, malangnya mempunyai beberapa kelemahan yang jelas dalam situasi sebenarnya di sekolah.
Kebiasaannya seorang lelaki yang berani, cekal hati dan garang selalu dipilih menjadi guru disiplin. Kebanyakan guru jeran dalam melakukan tugasan yang berat ini. Malah, ramai menjadi serik dan bimbang memikirkan tindakbalas dari para ibubapa jikalau anak mereka melaporkan tuduhan palsu terhadap guru atau memperbesarkan perkara yang dianggap remeh. Oleh kerana itu, kewujudan guru disiplin meringankan sedikit beban yang dipikul oleh guru-guru lain terutamanya mereka yang mengajar di peringkat sekolah menengah. Pelajar remaja mudah rasa tertekan dan diganggu emosi. Apabila mereka tiada tempat untuk menyalurkan perasaan, pelajar-pelajar mungkin terjebak dalam salah laku sosial atau tindakbalas yang bermotifkan pemberontakan terhadap sekolah.
Guru disiplin berperanan sebagai perantara dalam menangani masalah disiplin di dalam kelas atau persekitaran sekolah, lalu memberi ruang untuk guru-guru lain menumpukan tenaga dan usaha mereka dalam menyampaikan ilmu dalam subjek-subjek tertentu. Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak yang mendesak agar sempadan tugas guru disiplin itu diperluaskan ke kawasan luar sekolah untuk membanteras isu ponteng di kalangan pelajar. Pengawasan di pusat membeli-belah, kawasan semak atau padang permainan berdekatan sekolah telah dicadangkan, tetapi ini melampaui skop tugas guru disiplin. Ibu bapa tidak patut mempersalahkan guru disiplin atau pihak sekolah bila anak mereka sendiri nekad tidak mahu hadir ke sekolah.
Selain dari mengawasi disiplin dan akhlak para pelajar dan merekodkan kesalahan dan denda yang dikenakan terhadap pelajar sepanjang hari persekolahan, guru disiplin juga menetapkan pemilihan dan perlantikan para pengawas. Dengan bantuan lembaga pengawas, guru disiplin dapat menerima laporan tentang sebarang salah laku murid untuk tindakan seterusnya. Dalam masa yang sama, beliau juga bekerjasama dengan guru-guru bertugas bagi meningkatkan kawalan murid dan berkomunikasi dengan guru kaunseling untuk hal ehwal pelajar.
Ada kemungkinan timbul masalah apabila guru disiplin mempunyai perspektif yang berat sebelah dalam sesuatu situasi ataupun enggan menerima kemungkinan seseorang pelajar yang tertuduh itu bercakap benar. Tidak boleh disangkal lagi jawatan guru disiplin memang berat dan perlu memenuhi pelbagai kriteria seperti pandai berhujah, bertikam lidah dan memahami ‘mood’ pelajar. Namun begitu, beliau juga haruslah memastikan kepercayaan peribadi tidak mempengaruhi keputusan mereka ketika menjatuhkan hukuman ke atas pelajar. Apabila guru disiplin bebas membentuk falsafahnya tersendiri, beliau ada kemungkinan melakukan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman dengan lebih menyebelahi pihak yang bersalah. Di samping itu, kegagalan membaca ‘mood’ pelajar dengan betul akan membawa kepada kebarangkalian menuduh pesalah kali pertama (‘first time offender’) membuat sesuatu yang tidak dia lakukan. Ini berlaku apabila masalah itu kerap di praktikkan oleh golongan pelajar di kebanyakan sekolah.
Contoh kes sebegini adalah kes yang membabitkan murid yang menyerahkan kerja folio lapangan kepada guru subjek sebelum sekolah ditutup untuk pembelajaran secara talian apabila fasa kawalan pergerakan dikuatkuasakan sewaktu pandemik Covid19. Guru subjek kemudiannya tidak menemui projek kerja yang sudah dihantar sebaik sahaja sekolah dibuka untuk sesi secara bersemuka. Akibatnya guru disiplin diminta untuk membuat penyiasatan bagi pihak guru subjek, lalu beliau menuduh pelajar sudah menipu dan menganggapnya tidak pernah menghantar kerja tersebut. Tanpa memeriksa dengan teliti, murid itu terus dianggap bersalah hanya kerana ramai murid lain yang menggunakan teknik yang serupa.
Terdapat juga kes di mana pelajar perempuan menjadi mangsa diraba oleh rakan lelaki sekelasnya. Setelah membuat aduan kepada guru disiplin, ada guru yang bersifat cauvinis akan memperkecil-kecilkan kesalahan pelajar lelaki tersebut dan lebih menyalahkan murid perempuan kerana dilihat sebagai penggoda si lelaki dengan pakaian yang dianggap ketat dan sebagainya.
Dengan rujukan kes-kes ini kita dapat lihat bahawa sungguhpun jawatan guru disiplin ini dibelenggu dengan isu berat sebelah dan ketidakadilan, ia perlu wujud supaya pihak sekolah dapat memantau masalah salah laku pelajar dan seterusnya melindungi persekitaran agar sentiasa bersesuaian untuk pembelajaran. Suatu sistem semak dan imbangan (‘checks and balances’) melalui biro kaunseling murid adalah satu cara untuk memastikan lembaga disiplin mengikuti misi dan komitmen terhadap pelajar dengan sepenuhnya tanpa pengaruh pihak ketiga atau pendapat sendiri. Murid lebih cenderung untuk berterus-terang tentang diri mereka dengan guru kaunseling daripada guru disiplin. Sebarang maklum balas yang guru kaunseling terima boleh disalurkan balik kepada guru disiplin untuk memperbaiki pendekatan dan memperluaskan perspektif beliau.
Secara tuntas, jawatan dan peranan guru disiplin adalah penting dan mesti diambil serius oleh pihak sekolah, pelajar, ibubapa dan masharakat. Sememangnya, banyak perkara yang dipertaruhkan dalam melepaskan kuasa pendisiplinan kepada guru disiplin. Dengan campurtangan dan kerjasama guru bimbingan kaunseling, kuasa mutlak tidak terserah bulat-bulat ditangan guru disiplin. Bak kata peribahasa, Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Perbincangan terbuka di antara kedua pihak ini akan membuahkan hasil yang begitu positif dengan memelihara kesejahteraan para pelajar di sekolah.