Dalam meniti arus kemodenan ini, para pelajar semestinya akan melalui proses perkembangan sosial yang memberi kesan mendalam untuk jangka masa yang lama. Bak kata orang tua-tua, masharakat di sekeliling akan mempengaruhi tingkah laku kita, jadi pilihlah rakan yang menonjolkan tabiat yang sihat. Remaja terutamanya, mudah terdedah dengan pengaruh dan tekanan dari rakan sebaya ketika mahu menyesuaikan diri dalam kehidupan dan bersosial. Masalah salah laku akan terjadi jika seseorang pelajar itu mempunyai kesedaran diri yang lemah. Di dalam konteks penyalahgunaan bahan pula, terdapat peningkatan yang amat membimbangkan di kalangan remaja sekolah yang menggunakan Vape.
Seperti yang dijangka, murid sekolah menengah di kawasan bandar lebih cenderung menggunakan Vape kerana ia senang diperolehi melalui orang dewasa yang mencari untung cepat. Maklumat tentangnya mudah diakses secara ‘online’ melalui pelbagai laman web. Dengan bertambahnya bilangan murid yang tidak segan silu menghisap Vape di dalam kawasan sekolah seperti di tandas akan memberi tanggapan yang salah kepada pelajar-pelajar lain, bahawa menghisap Vape adalah perkara biasa atau sesuatu yang ‘cool’ untuk dilakukan.
Selain itu, harga peranti Vape yang lebih murah berbanding sekotak rokok memberi insentif kepada segelintir pelajar untuk merancang perbelanjaan bagi mendapatkan Vape. Dengan kos setiap guna yang lebih rendah daripada rokok tradisional, murid tidak akan berfikir dua kali untuk membelinya. Saiz peranti Vape yang kecil dan mudah alih juga memudahkan pelajar untuk menyorokkan alat ini di sekolah tanpa pengesanan daripada pihak sekolah. Seperti api dalam sekam, mereka boleh menghisap Vape di mana-mana sahaja di kawasan sekolah.
Di samping itu, ada sesetengah pelajar yang menganggap penggunaan Vape tidak berbahaya lebih-lebih lagi bila tiada sebarang akta pengharaman bahan ini atau kempen kesedaran yang meluas tentang bahaya penggunaan Vape. Mereka juga berpendapat Vape sangat sesuai untuk mengganti rokok biasa kerana ia mudah diakses secara sendiri atau dengan orang lain dan mempunyai kepelbagaian aneka rasa untuk dicuba. Malah kekurangan asap bila mengguna Vape menarik minat golongan remaja kerana ia mengurangkan beberapa stigma yang berkait dengan tabiat menghisap rokok.
Semua tanggapan yang salah di kalangan para remaja telah menjadikan penyalahgunaan bahan melalui Vape semakin berleluasa. Paling membimbangkan tentang penggunaan Vape ialah kesannya terhadap remaja yang tidak pernah merokok. Tanpa kawalan diri yang kuat, ketagihan nikotin dalam Vape seterusnya boleh membawa kepada penggunaan produk tembakau tradisional.
Untuk membasmi penyalahgunaan Vape di peringkat sekolah, suatu kempen kesedaran yang aktif perlu dijalankan dengan melibatkan para guru dan pelajar untuk mendedahkan segala fakta negatif berkenaan Vape. Maklumat terkini tentang risiko kesihatan jangka panjang perlu ditekankan supaya para pelajar lebih arif dan prihatin. Misalnya, komposisi nikotin di dalam Vape boleh menaikkan kadar denyutan jantung dan meningkatkan kemungkinan mendapat serangan jantung. Begitu juga bahan kimia bahaya yang membentuk wap (‘vapor’) dalam Vape dan cara ia mempengaruhi kesihatan fizikal dalam jangka masa panjang.
Natijahnya, para pelajar hendaklah membina jati diri yang kuat bagi membendung diri daripada terlibat dalam masalah salah laku sosial seperti menghisap Vape. Program kesedaran yang menggunakan cara-cara mempertingkatkan pertahanan dalam diri perlu ditekankan untuk menjayakan usaha pemulihan pelajar. Orang-orang sekeliling seperti ibu bapa, tenaga pengajar dan masyarakat setempat juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah golongan muda. Bak kata pepatah, Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.