Mas Elizawati Mohammad Ali
Iklan Raya Netflix tahun ini yang bertajuk Drama Koraya telah berjaya menguntum senyuman penuh bermakna di raut muka ketika sibuk membuat persiapan terakhir menjelang Raya. Pertama kali ditonton, peminat tegar dapat peluang untuk meneka beberapa adegan yang diparodikan dengan drama-drama Korea kegemaran mereka. Sayangnya, saya tidak dapat meneka satu sahaja kerana belum lagi sempat menonton drama tersebut. Licik sungguh iklan ini kerana ia berjaya membuat saya berazam untuk menonton dengan kadar segera supaya dapat memahami parodi yang dilakonkan.
Sememangnya, banyak drama Korea yang sudah terpahat di hati penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Populariti drama Korea (ataupun dipanggil k-drama, singkatan untuk Korean drama dalam bahasa Inggeris) adalah termasuk di dalam fenomena Gelombang Hallyu (Hallyu Wave) yang pesat berkembang dan tersebar di seluruh dunia sejak akhir 1990-an, termasuk di negara kita Malaysia. Mengikut tinjauan pada tahun 2019 yang melibatkan 500 orang responden dalam lingkungan umur 15 hingga 59 tahun, 40 peratus berpendapat drama Korea sangat popular di Malaysia. Angka tersebut semestinya sudah naik ketika pandemik dan pasca pandemik dengan keleluasaan perkhidmatan penstriman secara langganan seperti Netflix, Viu dan DisneyHotstar. Khidmat strim ini telah membolehkan pelanggan menonton drama kegemaran mereka di hujung jari mereka di mana saja mereka berada.
Saya memang sudah lama berminat menonton drama Korea. Atas cadangan ibu, kakak dan adik perempuan saya yang bercakap dengan ghairah tentang siri drama Korea yang mereka sedang ikuti, saya pun berjinak-jinak untuk cuba menonton pada akhir tahun 2013. Saya ingin tahu apa yang membuat mereka kecoh sangat tentang drama Korea. Selepas merasmikan langkah saya ke dalam alam ajaib drama Korea dengan menonton Boys over Flowers, hati saya sudah terpaut untuk menonton siri yang lain. Tahun ini genap 10 tahun drama Korea telah menjadi sahabat dampingan yang setia di waktu suka dan duka. Ia merupakan saluran eskapisme yang sungguh berkesan untuk menghilangkan stress saya, walaupun untuk sementara waktu. Drama Korea menawarkan gambaran yang menarik kepada kehidupan orang lain yang memberi pengajaran sama ada dalam bentuk pedoman atau inspirasi. Jalan ceritanya yang sungguh berkesan membuatkan penonton meraih simpati kepada protagonis yang disenangi ramai.
Di dalam tempoh dasawarsa menonton drama Korea, saya sudah menjamu mata dan minda dengan pelbagai genre yang dapat disampaikan dan senang dikisahkan kepada orang ramai. Daripada komedi, romantik, melodrama, seram, aksi, thriller, fantasi hingga ke sageuk (drama Korea zaman bersejarah), siri drama Korea mempunyai keunikan plot dan watak yang menarik perhatian penonton. Mereka tidak akan berfikir dua kali untuk menghabiskan masa lapang mereka dengan jalan cerita drama yang berkualiti. Sememangnya, jika dibandingkan kualiti dan plot 10 tahun yang lepas, drama Korea telahpun melalui evolusi yang berterusan dari segi jalan cerita, arahan, sinematografi, bajet dan semestinya lakonan.
Walau bagaimanapun, di dalam keasyikan menonton drama Korea, ia perlu ditekankan seseorang penonton mestilah pandai memisahkan realiti hidup daripada fantasi yang diolah oleh penulis drama. Bila ada penonton yang terlalu ghairah di dalam mengikuti jalan cerita drama Koreanya, dia dikhuatiri akan menerapkan apa yang telah ditonton ke dalam alam nyata. Ciri-ciri lelaki idaman lagi romantik yang selalu dijumpai dalam drama Korea merupakan ideal yang sukar ditandingi dan dicari di luar sana. Paling penting ialah beberapa elemen kepercayaan dan tradisi Korea yang bercanggah dengan ajaran Islam.
Terdapat di kalangan siri drama Korea di mana idea dilahirkan semula (being reborn) lazim diketengahkan sebagai peranti plot (plot device) untuk mendorong jalan cerita yang lebih menarik. Konsep kelahiran semula tidak wujud sama sekali di dalam agama Islam. Manusia yang lahir ke dalam dunia akan pergi ke alam barzakh setelah meninggal dunia dunia dan akan dibangkitkan semula pada Hari Kiamat. Bila sesuatu idea menjadi kelaziman, kita perlu berwaspada agar ia tidak terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian kita. Ini termasuk kepada adat, budaya dan cara hidup orang Korea yang disunting di dalam siri drama untuk tontonan ramai.
Antara adegan-adegan yang menjadi kebiasaan di dalam drama Korea ialah pertandingan minum arak atau babak meminum arak hingga mabuk di kedai makan atau gerai tepi jalan, memakan perut babi panggang (grilled pork belly) di restoran memanggang, dan sujud di hadapan meja ritus yang disediakan untuk kaum keluarga atau nenek moyang yang sudah mati. Meskipun majoriti orang Islam tahu tentang keharaman alkohol dan babi, ada yang mungkin tidak kisah atau mengambil ringan isu ini apabila berpindah ke luar negara. Segelintir juga akan hilang rasa pantang larang (sense of taboo) setelah berada di persekitaran asing yang baru tanpa jagaan atau panduan orang Islam yang lebih arif.
Belia yang kurang terdedah kepada hukum-hakam agama memerlukan bimbingan supaya akidah tidak terpesong dengan penontonan drama untuk jangka masa yang panjang. Seperti benda lain yang wujud di dunia ini, drama Korea juga membawa mesej bawah sedar (subliminal message) yang dapat mempengaruhi pemikiran orang muda yang mudah terpengaruh. Sebagai contoh, pelakon Korea dengan kecantikan atau kekacakan yang sempurna (flawless beauty) boleh memberi konsep yang salah tentang imej badan dan wajah yang ideal. Seterusnya, sesetengah penonton merasa rendah diri dengan pembawaan diri dan mahu melakukan pembedahan plastik untuk menjadi lebih sempurna dan bahagia. Oleh sebab itu, di peringkat sekolah, para guru memainkan peranan penting dalam mengetengahkan mesej salah yang terdapat di dalam drama Korea. Mereka bertanggungjawab untuk memberitahu dan mengajar para pelajar tentang pandangan agama Islam mengenai anasir-anasir subversif dan haram yang digambarkan di dalam jalan cerita drama Korea yang tampak seronok.
Di sebalik kegusaran tentang drama Korea, saya akur tentang kewujudan unsur-unsur positif di dalam plot drama seperti persahabatan, keakraban keluarga, penebusan dosa, pengorbanan diri dan ketabahan hati. Malah, elemen sebeginilah yang menyebabkan drama Korea menjadi pujaan ramai di serata dunia. Seperti petikan yang telah saya menterjemahkan daripada Puan Areum Jeong, pakar budaya popular Korea dan penolong profesor Pengajian Korea di Arizona State University: “Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kejayaan drama Korea, termasuklah isu sosiobudaya yang dibungkus dalam cerita yang menghiburkan, lakonan dan reka bentuk yang mahir, platform yang senang diakses untuk membolehkan jutaan orang melihat dan mesej yang meggamit emosi penonton.”
Dalam kesibukan berbincang tentang drama Korea, saya teringat satu peribahasa Melayu yang sesuai untuk memerikan gelombang Hallyu yang melanda peminat drama Korea di Malaysia secara khusus dan di dunia secara amnya. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Memanglah benar jika tidak diawasi penontonan drama Korea, unsur-unsur yang buruk mungkin akan ditiru dan diamal oleh pelajar (malah orang dewasa) yang mudah terpengaruh. Walaupun demikian, para guru mestilah mengambil jalan tengah – tidak terlalu tegas dan tidak pula secara lewa – dalam mendidik anak murid mereka mengenai daya tarikan sejagat yang ada pada drama Korea. Kalau murid ada soalan jujur berkisar tentang jalan cerita drama, dengarlah dengan teliti dan jawab tanpa sebarang prasangka. Penduduk di negara asing seperti Korea Selatan mempunyai adat, budaya and cara hidup mereka yang tersendiri. Nilai-nilai murni yang bagus dan bersesuaian dengan ajaran Islam sememangnya amat dialu-alukan. Mata bonus – banyak perbendaharaan kata Bahasa Korea yang sudah saya pelajari selama 10 tahun menonton! Akhir sekali, hangug deulama gamsahabnida! (terima kasih drama Korea!)