CAKNA DEMOKRASI: RENUNGAN SEMULA
Muhammad Shuib bin Rosli (Malaysia)
‘Pesta demokrasi’ yang bakal menentukan hala tuju Malaysia buat lima tahun akan datang telah selesai dengan keputusan menggusarkan apabila gabungan-gabungan parti politik tidak mempunyai jumlah minimum kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan kegawatan memandangkan medan politik negara masih bergolak yang pasti mempengaruhi pelbagai aspek misalnya ekonomi, sosial, tadbir urus, hubungan antarabangsa dan lain. Tidak dinafikan, pertembungan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), dan Gerakan Tanah Air (GTA) telah mewujudkan dilema mendalam kepada para pengundi, terutama belia dan pengundi baharu untuk memilih calon berwibawa yang layak diangkat dalam menerajui bahtera pentadbiran negara.
Menyorot kembali sejarah politik sejak zaman lampau, orang politik dikenali bijak menarik khalayak dengan kata-kata indah, hujah lunak, dan ucapan berapi-api dalam meluaskan pengaruhnya. Tanpa literasi politik yang mantap, sudah tentu ramai termakan janji-janji ditaburkan dan propaganda disebarkan oleh pemimpin palsu yang hanya ingin memuaskan tenggorokan sendiri semata-mata tanpa mempedulikan maslahat umum. Acap kali persoalan ‘siapakah yang patut diundi’ dibangkitkan namun kerap bertemu jalan buntu dan ada yang memilih membuta tuli dek desakan keluarga, pengaruh rakan sebaya, bahkan taklid buta terhadap kalam beracun yang diujarkan para politikus. Barangkali, inilah sebabnya Socrates, sang filsuf agung Yunani dan muridnya Plato amat meragui keupayaan sistem demokrasi untuk membentuk sebuah tatanan kenegaraan yang telus, cekap, dan adil dalam upaya pentadbiran mereka.
Para politikus hanya menyuguhkan omongan kosong didandan oleh retorik indah namun palsu demi menarik sokongan pelbagai strata masyarakat kepadanya sedangkan hakikat sebenar menayangkan bahawa kewibawaan dan kepemimpinan tidak terpapar pada sosok, hujah, dan perilakunya. Adakah kritikan dua filsuf agung ini serta para ilmuwan beraneka disiplin ilmu zaman-berzaman mampu menghentikan kemaraan pemimpin palsu? Tidak sama sekali, bahkan sejarah membuktikan bahawa politikus bernuansa Machiavelli sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kekuasaan! Para Nabi dan Rasul dibunuh, para ilmuwan dipenjara, dan propaganda demi propaganda disebarkan kepada masyarakat untuk menyesarkan mereka daripada memilih pemimpin benar.
Nah, apabila masyarakat tidak lagi mampu membezakan antara kaca dan permata, maka kebatilan bawaan pemimpin palsu menerusi propaganda mereka menyusup lantas mempengaruhi pemikiran para pengundi dan memberi impak buruk kepada bahasa dan tabiat pihak akar umbi. Berbagai-bagai dalih digunakan oleh golongan atasan korup, bahkan golongan berpengaruh seperti agamawan, artisan, pedagang, dan lain-lain digunakan bukanlah untuk melakukan semak-dan-imbang, tetapi sebagai alat propaganda semata-mata.
Perubahan zaman dengan kemunculan pelbagai teknologi komunikasi, terutama media sosial pada era ini membolehkan parti dan calon memanipulasi habis-habisan setiap peluang yang ada untuk berkempen, sama ada secara sihat atau tidak demi mencapai matlamat perjuangan. Tinjauan awal ke atas faktor-faktor kemenangan dan kekalahan gabungan yang disebutkan memaparkan perkembangan amat menarik. Kemaraan Parti Islam Semalaysia (PAS) dalam gabungan PN sehingga mampu menjadi parti paling dominan dalam Dewan Rakyat adalah disebabkan populariti mereka dalam kalangan anak muda, terutamanya para pengguna TikTok yang sering memuat naik video-video berkaitan parti itu. Strategi kempen PAS dan PN bermodalkan teknologi terkini menerusi media sosial TikTok berdampak positif sehingga mewujudkan kecenderungan dalam kalangan pengguna untuk memangkah calon PN di konstituensi masing-masing.
Begitulah sifat semulajadi demokrasi bertunjangkan utilitarianism (faham kebergunaan) yang menjadi sistem politik dominan pada zaman kini sekadar menyasarkan keseronokan majoriti sehingga lupa untuk memartabatkan kemaslahatan sebagai agenda utama. Sentimen memainkan peranan amat penting menjadikan calon popular dipilih sedangkan calon berautoriti diketepikan kerana lebih ramai memilih atas faktor populariti dibandingkan autoriti. Fitnah-memfitnah dan kafir-mengkafir sebagai modal berkempen sudah mendarah daging akibat pemikiran politik tidak matang bawaan calon dan parti yang terdesak ingin menang. Justeru, para pengundi perlu celik serta cakna akan kebobrokan sistem demokrasi dek tanggungjawab moral amat besar untuk menyerahkan amanah kepada ahli politik selayaknya untuk mentadbir kerajaan.
Kendatipun sistem demokrasi mempunyai lompong-lompong seperti dipaparkan, adakah bermakna sistem itu yang salah? Jika ya, apakah alternatif terbaik untuk menggantikan demokrasi yang diterima pakai sebahagian besar penduduk global kini? Jika tidak, mampukah sistem demokrasi kekal mapan mendominasi sistem politik global walaupun lompong-lompong menjadikan ramai makin menolak keberadaannya?
Berdasarkan pandangan yang objektif, penulis tidak menolak pengamalan demokrasi dalam upaya pemilihan pemimpin khususnya di Malaysia memandangkan sistem ini memartabatkan penyertaan orang kebanyakan dalam pembentukan kerajaan yang sudah tentu bakal memberi kesan kepada kehidupan mereka. Penolakan Socrates dan Plato kepada sistem demokrasi dinatijahkan oleh sikap pengundi tidak menggunakan akal rasional untuk menilai secara waras dengan ilmiah kerana mereka terperangkap retorik-retorik bawaan kaum Sufastaiyah yang hanya inginkan kuasa demi kepentingan peribadi sedangkan hakikatnya golongan itu hanyalah tin kosong.
Sebagai alternatif, Plato menyuguhkan cadangan ‘negara diperintah Raja-Filsuf‘ di mana ahli falsafah menjadi pemerintah tertinggi disusuli pembahagian kerja yang jelas dalam kalangan rakyat bawahan. Plato mengisyaratkan dengan jelas bahawa pemerintahan perlulah diterajui oleh golongan berintelektual tinggi. Dalam konteks Malaysia, para Sultan wajar mengambil ibrah daripada saranan Plato memandangkan Raja-Filsuf ialah sebuah konsep abstrak dan universal yang boleh diaplikasikan setiap tempat dan ketika. Seseorang Raja atau Sultan juga boleh sahaja menjadi filsuf misalnya Maharaja Marcus Aurelius, Abu Ya’qub Yusuf, atau Sultan Nazrin Shah kerana gelar filsuf tidak terbatas pada jawatan hakiki.
Sama ada demokrasi atau negara cenderung falsafah, setiap satu mempunyai sisi baik dengan buruk tersendiri. Bagi penulis, sebarang sistem pemerintahan pasti akan ada lompongnya justeru pengislahan tidak wajar bersifat sistemik belaka, tetapi perlu juga berfokuskan pengislahan insan sebagai penggerak dan pelaksana sistem tersebut. Penulis lebih cenderung kepada pengislahan pemimpin sehingga terbentuknya sebuah citra dan watak pimpinan kompeten yang menjadi pakar bidang masing-masing. Lantaran itu, mereka pasti mempunyai keupayaan untuk bertindak secara benar berlandaskan ilmu, hikmah, dan kemaslahatan umum demi menyelesaikan pelbagai masalah yang membelenggu masyarakat tanpa mengira latar belakang, pegangan agama, kecenderungan politik, warna kulit, keturunan bangsa, dan lain-lain.
Seorang Muslim pula perlulah menanamkan dalam kalbu nurani bahawa setiap undi yang dibuang pasti disoal oleh Allah di akhirat kelak. Bukankah Allah memerintahkan kita, menerusi firman-Nya dalam surah an-Nisa’ ayat 58-59 supaya memulangkan semula amanah kepada pakar bidang serta membuat keputusan dengan adil menurut syariat-Nya? Nah, inilah prasyarat kepada tertubuhnya negara maju, aman, dan makmur kerana diterajui oleh ulil amri yang sentiasa memartabatkan agenda amar makruf nahi munkar. Bahkan, seperti ditegaskan oleh seorang ilmuwan agung, Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam karyanya Islam and Secularism dan On Justice and the Nature of Man, ayat ini menjadi kunci mengatasi masalah kemunculan pemimpin palsu yang tidak mempunyai kebijaksanaan, kemahiran, kecekapan, dan keupayaan untuk membumikan keadilan dalam rencana pentadbiran, penggubalan dasar, pembuatan keputusan, dan pelaksanaan pelan tindakan mereka.
Erti kata lain, Islam sebagai agama lengkap, sempurna, dan menyeluruh turut menitikberatkan politik dan kepemimpinan seperti yang terzahir dalam Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah. Falsafah politik menurut pandangan alam Islam tidak seperti pegangan golongan sekular yang menganggapnya sebagai tujuan akhir dan negara sebagai entiti agung mesti disembah, melainkan hanya sebagai wadah, wahana, serta sarana kepada manusia untuk menunaikan tanggungjawab asasi mereka iaitu menunaikan ibadah dan menjadi khalifah di muka bumi. Sebagai seorang abid, manusia perlu menunaikan hak-hak Allah, dan sebagai khalifah, manusia perlu menunaikan hak diri, hak manusia lain, hak binatang, hak tumbuhan, dan hak semesta secara amnya. Politik menjadi instrumen penting kepada tercapainya cita-cita unggul ini dengan adil berwajahkan pandangan alam Islam murni mengikut ajaran terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta ijmak ulama dan ijtihad akliah. Prasyaratnya, seorang Muslim hendaklah mempunyai autonomi dan upaya untuk berfikir secara kritis dan kreatif serta berani memerdekakan diri daripada pemikiran yang terbentuk oleh taklid buta.
Pernyataan perenggan-perenggan di atas bukanlah mencemuh sistem demokrasi namun sekadar muhasabah semula terhadap kebobrokan yang telah berlaku. Justeru, setiap warganegara mestilah berupaya membezakan antara hak dengan batil dan benar dengan salah agar pemimpin benar dapat diangkat menerusi pengamalan demokrasi sebagai tunjangnya. Sehubungan itu, tanggungjawab moral dan epistemik yang dibebankan ke atas setiap warganegara untuk mengangkat pemimpin kompeten mestilah dilaksanakan berlandaskan hikmah dan keadilan sebagai nilai penggerak utama. Kenyataan ini akan membuahkan hasil hanya dan jika hanya setiap penilaian dilakukan menerusi akal rasional berwajahkan pandangan ilmiah dan bukan menerusi emosi yang bersifat sementara belaka. Dalam konteks pemerintah pula, pembentukan Raja-Filsuf wajar diberikan perhatian sebagai penyempurna kepada sistem demokrasi sehingga pemimpin yang diangkat itu bukan hanya bijak berpolitik, bahkan berintelektual tinggi.
Encik Muhammad Shuib bekerja sebagai Pengawai Penyelidik Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Yayasan PEACE)