Mas Elizawati binti Mohammad Ali
Ketika sibuk menghadapi cabaran hidup, Bulan April sudahpun melepasi pertengahan perjalanan. Sementara kita bersemangat menjalankan ibadah puasa Ramadan, terdapat banyak sambutan atau perayaan yang berlaku pada bulan ini, yang terdiri dari perkara yang remeh seperti Bulan Minum Petang Kebangsaan (National Afternoon Tea Month) atau yang lebih serius seperti Bulan Celik Kewangan Negara (National Financial Literacy Month). Yang paling popular pada bulan April semestinya Bulan Kesedaran Autisme Kebangsaan (BKAB) yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan di seluruh dunia tentang autisme. Selain BKAB, perayaan yang menarik perhatian saya dan menjadi fokus artikel saya ialah Bulan Puisi Kebangsaan (National Poetry Month).
Apakah sebenarnya Bulan Puisi Kebangsaan? Bulan Puisi Kebangsaan adalah acara istimewa untuk meraikan kepentingan penyair dan puisi di dalam budaya sesebuah negara. Berasal dari negara Amerika Syarikat, Bulan Puisi Kebangsaan telah dilancarkan oleh Akademi Penyair Amerika (‘APA’) (Academy of American Poets) pada April 1996.
Hampir tiga dekad kemudian, ia telah menjadi perayaan sastera terbesar di dunia, dengan berpuluh juta pembaca, pelajar, guru K–12, pustakawan, penjual buku, kurator acara sastera, penerbit, keluarga, dan—sudah tentu—penyair, meraikan kepentingan puisi dalam hidup kita. Dengan sumbangan mewah daripada rakan kongsi dan penaja Bulan Puisi Kebangsaan, APA telah dapat menganjurkan pelbagai aktiviti, memberi inisiatif penting dan menyediakan sumber supaya sesiapa sahaja boleh menyertai perayaan ini setiap kali bulan April datang.
Bagaimana pula sambutan Bulan Puisi Kebangsaan dapat diterapkan di negara kita, terutama sekali di kalangan para pelajar? Walaupun Bulan Puisi Kebangsaan kurang dikenali di Malaysia, saya berasa ia mempunyai potensi tinggi untuk dipopularkan secara meluas. Memperkenalkan murid-murid kepada puisi pada peringkat umur muda akan mendedahkan mereka dengan kesusteraan Melayu yang begitu indah dan menusuk kalbu. Ini seterusnya akan menzahirkan penghargaan kepada irama dan lagu puisi dan membuahkan inspirasi untuk sendiri menulis deretan rangkap yang menggugah perasaan.
Antara aktiviti-aktiviti yang boleh disyorkan untuk peringkat sekolah adalah seperti berikut:
(a) Mulakan setiap hari atau tempoh satu kelas dengan sebuah puisi baharu. Puisi yang dipilih boleh mengikut tema tertentu untuk minggu itu dan bersesuaian dengan pembaca muda.
(b) Memberi cadangan kepada pustakawan sekolah anda tentang membuat senarai bacaan buku puisi. Mengikut definisi, buku puisi ialah sebarang koleksi puisi yang lebih panjang daripada 48 muka surat. Secara jujurnya, tiada sebarang standard untuk jumlah puisi yang perlu dimasukkan ke dalam koleksi. Apa yang lebih penting adalah sama ada koleksi itu terasa “selesai” kepada penyair.
(c) Menganjurkan buruan puisi kegemaran untuk para murid. Mereka boleh menggunakan sumber dalam talian atau di pustakawan untuk mencari puisi kegemaran. Kemudian, murid boleh mendeklamasikan puisi kegemaran secara bergilir-gilir atau mengikut tema tertentu.
(d) Projek memilih puisi untuk dibacakan kepada keluarga murid masing-masing. Pelajar dikehendaki merakam acara yang bermakna ini dengan aplikasi video.
(e) Tunjukkan kepada pelajar definisi beberapa orang penyair tentang perkataan ‘puisi’ dan minta mereka memberikan definisi mereka yang tersendiri. Apabila membaca definisi penyair terkenal yang membangkitkan emosi dan menimbulkan reaksi yang kuat, pelajar akan mendapat ilham untuk menulis definisi mereka yang sudah tentunya berpuitis.
(f) Terokai glosari berkaitan puisi dan perkenalkan murid kepada istilah puitis yang berbeza setiap hari. Semak imbas senarai istilah puisi, termasuk peranti sastera, bentuk dan teknik puisi, serta sekolah dan pergerakan puisi.
(g) Minta para murid membuat dan menghantar kad ucapan kepada ahli keluarga mereka yang dipilih yang memaparkan baris puisi. Barisan puisi ini akan mencerminkan perasaan murid tersebut terhadap ahli keluarga yang terpilih.
(h) Minta kelas anda memilih puisi dan kemudian menulisnya dengan sebatang kapur di kaki lima atau di sekitar kawasan sekolah. Seterusnya, semuaahli di dalam kelas itu akan mendeklamasikan puisi pilihan mengikut urutan yang telah dipersetujui, kepada sesiapa sahaja yang lalu lalang.
Penghargaan, malah kesedaran, terhadap puisi di kalangan pelajar sekolah rendah atau menengah memang tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Ramai yang lebih suka menghabiskan masa lapang mereka dengan aplikasi telefon pintar seperti Tik Tok, Instagram atau Twitter. Oleh sebab itu, pelaksanaan Bulan Puisi Kebangsaan akan membantu dalam mengorak langkah untuk penghayatan yang lebih mendalam kepada seni menulis puisi. Pendekatan yang menyeronokkan dan terkini terhadap pembelajaran puisi akan menyemarakkan minat murid untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang puisi dan strukturnya yang berbeza. Para guru juga harus komited dan berdedikasi dalam menyebarkan ilmu mengenai puisi, dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Di sini saya akhiri dengan sebuah puisi pendek tapi tersirat tatkala di penghujung bulan Ramadan untuk tatapan kalian pembaca:
Ibadah Puisi
Selain berpuasa aku kerap berpuisi keduanya tetap sama - Puasa menahan diri dari nafsu Puisi menahan air mata dari rindu. - Indra. R