Mas Elizawati Mohamad Ali (Malaysia)
Sabtu, 2 April yang lepas telah berlangsung Hari Kesedaran Autisme Sedunia. Pengiktirafan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2008 untuk merayakan hari istimewa ini bertepatan dengan misi PBB untuk meningkatkan kualiti hidup mereka yang mempunyai autisme dan kesedaran tentang tanda, gejala dan maklumat mengenai Autisme.
Secara lazimnya, bulan April juga dikenali sebagai Bulan Kesedaran Autisme. Bagaimanapun pada tahun 2021, pengelasan bertukar nama kepada Bulan Penerimaan Autisme.
Walaupun semakan ini nampak mudah, ia amat penting kepada komuniti yang bersangkut rapat dengan Autisme.
Persatuan Autisme Amerika yang mengumumkan peralihan terminologi ini, ingin mencetuskan perubahan dalam kehidupan mereka yang mempunyai autisme dan keluarga mereka. Di mana kesedaran ialah mengetahui bahawa seseorang itu mempunyai autisme, penerimaan pula adalah bila kita menyertakan orang yang ada autisme dalam aktiviti dan hubungan seharian kita.
Autisme dikenalpasti melalui pelbagai keadaan yang boleh menjejaskan cara individu berkelakuan, berkomunikasi, berinteraksi dan belajar. Ia juga dikenali sebagai Gangguan Spektrum Autisme (‘Autism Spectrum Disorder’ atau ‘ASD’), merujuk kepada pelbagai keadaan yang berkaitan dengan perkembangan otak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (‘WHO’).
Setiap tahun, Hari Autisme Sedunia akan ada tema yang berbeza dan unik. Untuk 2022, temanya ialah Pendidikan Berkualiti Inklusif Untuk Semua (‘Inclusive Quality Education for All’).
Penutupan sekolah dan pembelajaran dalam talian semasa pandemik Covid memberi kesan yang tidak seimbang kepada pelajar autisme. Mereka tidak dapat pendedahan yang sesuai dengan tingkah laku dan cara pemikiran mereka. Tema tahun ini bertujuan untuk mengetengahkan apa lagi yang perlu dilakukan untuk menyediakan pendidikan inklusif dan berkualiti untuk murid di bawah kategori ASD.
Di peringkat Malaysia, Kempen Semarak Biru (atau ‘Light it up Blue’) yang dimulakan pada tahun 2019 terus dijalankan. Orang ramai dan kakitangan awam disarankan memakai baju berwarna biru pada Hari Autisme Sedunia dan digalakkan, jika mampu, untuk memakai rona biru ini untuk seluruh bulan April. Bangunan kerajaan dan korporat juga memasang cahaya lampu berwarna biru untuk meraikan hari istimewa ini.
Selain itu, khalayak ramai juga boleh melihat dan mengetahui dengan lebih lanjut hasil karya orang-orang terkenal dengan autisme, samaada dalam bidang seni, akademi dan politik. Kita juga boleh memberi sokongan kepada perniagaan dan majikan yang ‘mesra autisme’.
Banyak lagi cara dan langkah yang perlu diusahakan untuk memberi kesedaran dan penerimaan kepada orang yang mempunyai autisme. Melalui sokongan penuh orang umum dan pembiayaan berterusan untuk penyelidikan dan sektor pendidikan, kita dapat menwujudkan masyarakat yang lebih inklusif untuk mereka yang berada di bawah kategori ASD ini.