Saya amat tertarik dengan penulisan jujur dan bernas Cikgu Najwa Ayub di Facebook. Bila seorang sahabat mengesyorkan saya membaca nukilan hati Puan Najwa di laman Facebooknya, saya merasa asyik dengan pelbagai karyanya yang berkisar pendidikan. Saya dapat merasakan hubungan kuat dengan pendekatannya, memandangkan beliau juga bekerja di dalam bidang tadika.
Tulisan beliau mengenai peruntukan waktu luar kelas (‘outdoor time‘) pada 25 Januari lepas, merupakan salah satu perkara yang menarik perhatian saya. Mengikut Kurikulum Prasekolah di Malaysia, masa luar kelas diperuntukkan selama 120 minit (atau 2 jam) dalam seminggu. Di peringkat sekolah rendah dan menengah, waktu luar kelas secara majoritinya dihabiskan melalui aktiviti kokurrikulum yang wajib disertai oleh semua murid. Bergantung pada umur, waktu yang diperuntukkan untuk kokurikulum berbeza dari 5 hingga 10 jam.
Jika dikira mengikut bulanan, 8 jam diperlukan untuk peringkat tadika. Pendedahan beliau membuat saya terus menghitung masa yang anak murid saya habiskan di luar kelas. Secara jujur, jumlah jam seminggu kurang kerap sampai kepada 2 jam yang diperuntukkan. Oleh sebab itu, saya ingin melakukan inisiatif lain untuk waktu pembelajaran di luar kelas seperti duduk di kawasan ruang legar (‘foyer’) dan melakukan rutin pagi (‘morning routine’) ataupun menggunakan masa untuk bermain di taman permainan yang disediakan oleh sekolah tadika.
Cikgu Najwa juga membuat perbandingan dengan kerangka berkanun pendidikan awal (‘EYFS (Early Years Foundation Stage)‘) yang dilaksanakan di United Kingdom (UK), di mana pembelajaran di luar kelas sangat digalakkan dan selalunya melebihi satu jam setiap hari. Menurut falsafah pendidikan mereka, aktiviti luaran amat penting untuk perkembangan mental, emosi dan fizikal kanak-kanak. Sensasi sentuhan menjadi lebih terangsang dan saraf otak bersambung dengan baik lagi bila kanak-kanak dapat menerokai dunia di luar sana.
Mungkin ada ibubapa atau penjaga yang khuatir tentang cuaca di Malaysia yang panas terik bila anak mereka melakukan aktiviti luar kelas. Takut darah hidung, pengsan ataupun berpeluh secara berlebihan, adalah antara kebimbangan yang biasanya dibincangkan. Saya setuju dengan pendapat Cikgu Najwa: kita perlu ingat bahawa keturunan kita sudah lali dengan iklim sebegini untuk berkurun lamanya. Jangan jadikan negara kita bukannya UK sebagai alasan untuk tidak membuat rutin luaran harian. Dalam kehidupan, semua benda mestilah dilakukan secara sederhana (‘moderation is key’) dan pendekatan yang sama dikenakan untuk aktiviti luar kelas. 30 minit atau satu jam sehari untuk tempoh seminggu sudah memadai apabila keadaan cuaca yang melampau, seperti sekarang, tidak mengizinkan kegiatan luar kelas.
Di peringkat sekolah rendah atau menengah, murid boleh turun ke padang pada waktu subjek pendidikan jasmani untuk melakukan riadah atau bersenam. Namun, pasca pilihanraya, kurikulum sekolah di bawah kerajaan baru telah disemak semula termasuk pengurangan peruntukan waktu untuk pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan (atau kedua-dua lebih dikenali dengan akronim PJPK). Misalnya, peruntukan waktu untuk PJPK di sekolah menengah telah disingkatkan daripada 2 jam seminggu kepada 1 jam 30 minit seminggu. Aktiviti kokurikulum pula masih berlaku secara bergilir-gilir dua kali seminggu. Secara kumulatif, waktu PJPK dan kokurikulum masih dapat mencapai objektif minimum 5 jam yang disyorkan untuk kegiatan kokurikulum.
Sebagai guru dan juga penjaga, saya rasa perubahan dari segi jadual perjumpaan kokurikulum hendaklah dilancarkan untuk meringankan beban pelajar memenuhi rekod kehadiran program kokurikulum. Pada pendapat saya, waktu perjumpaan kokurikulum di waktu pagi untuk sekolah sesi petang dan sebaliknya, adalah tidak praktikal. Para murid yang tiada sebarang pengangkutan untuk pulang semula ke rumah (atau jarak rumah mereka jauh dari sekolah) selepas melakukan kokurikulum di waktu pagi, terpaksa tinggal di kawasan sekolah. Mereka menukar pakaian tanpa dapat mandi atau dengan keadaan berpeluh. Bila ditinggalkan sendiri, murid lebih cenderung untuk lepak di kawasan luar sekolah. Saya akur ada sekolah yang melakukan ‘lockdown’ (penutupan dan penyekatan) untuk membendung murid dari melepak; tetapi murid mempunyai pilihan makanan yang terhad atau tidak mencukupi bila disekat keluar.
Cadangan saya ialah aktiviti kokurikulum mesti berlangsung berdekatan dengan atau di dalam jadual waktu pembelajaran harian. Ini boleh dibuat sama ada sejurus sebelum waktu belajar yang sebenar dijalankan atau di akhir waktu belajar yang sebenar di mana slot masa subjek pertama dipercepatkan untuk hari kokurikulum. Sebagai contoh, (1) aktiviti kokurikulum boleh bermula pada pukul 10:30 pagi jika waktu sebenar pembelajaran ialah 1 petang. Atau (2) slot masa pertama pembelajaran boleh bermula seawal-awal 10:30 pagi jika ko-kurikulum hendak dilaksanakan pada waktu petang hingga bersurai. Kalau sekolah tiada kelas kosong untuk memberi laluan kepada opsyen kedua, opsyen pertama adalah lebih wajar untuk jadual kokurikulum. Ini berlainan dengan kebiasaan sekarang di mana perjumpaan kokurikulum berlaku di awal pagi (8 atau 8:30 pagi).
Tidak dapat dinafikan, kegiatan luar darjah memang penting untuk mengekalkan kesimbangan antara aktiviti akademik dan kokurikulum. Untuk anak-anak kecil, masa yang dihabiskan di luar kelas membantu perkembangan otak dan pembangunan mental, emosi dan fizikal yang sihat. Kegiatan luaran mesti dijadikan suatu norma dari usia yang muda supaya para murid dapat menyesuaikan diri dengan rutin, persekitaran dan apa yang diharapkan daripada mereka ketika aktiviti dijalankan. Murid yang tidak gentar dengan kawasan sekelilingnya dapat mengawal bagaimana dia bereaksi dengan masalah atau isu semasa. Jika berani mencuba dan meneroka, generasi sekarang dan akan datang mempunyai peluang untuk terus berjaya di persada negara dan seterusnya antarabangsa.