Zulhijjah: Meraikan Musim Haji dengan Mengenal Erti Pengorbanan
Khalina M. Khalili, Ph.D. (Malaysia)
- Apakah erti Haji?
- Mengapakah orang Islam tawaf yakni mengelilingi Ka’bah?
- Apakah kisah disebalik setiap ibadat yang dikerjakan?
Zulhijjah hadir lagi. Kulimpahkan kesyukuran kepada Sang Pencipta yang telah memanjangkan lagi garis masa hidupku untuk sampai ke saat ini. Apakah kepentingan bulan yang sinonim dengan ibadat Haji ini untuk kita semua?
Kepentingannya bagi umat Islam, tentulah Haji – iaitu rukun Islam yang ke-lima. Ini bererti, setiap insan yang berpegang pada aqidah Islam seharusnya menanam niat untuk ke Makkah bagi mengerjakan haji sekiranya belum lagi mendapat sahutan Ilahi. Bagi yang belum mampu, niat tersebut harus ditanam dengan nekad untuk berusaha mengumpul dana minima yang diperlukan.
Bagaimana pula bagi golongan bukan beragama Islam? Sambutan Haji tahun ini pasti terpapar di media sosial dan rangkaian media digital mahupun yang tradisional. Semua yang sedar tentang majlis keramaian terbesar di planet ini akan tertarik hati melihat sorotan gambar atau video jemaah haji yang berjuta ramainya, seakan-akan berhimpit-himpit membentuk orbit manusia mengelilingi objek yang dinamakan Ka’bah. Sebenarnya, ramai dikalangan yang bukan Islam menyangka bahawa umat Islam itu menyembah Ka’bah. Sebenarnya tidak. Ianya merupakan suatu ibadat yang memberi gambaran atau citra akan hubungan insan dengan Tuhannya. Bahawa insan itu walaupun setiap satu dari kita unik, dengan nyawa yang tersendiri, kita saban masa bergantung keberadaan kita di alam ini kepada Dia Yang Maha Esa (unik) dan itulah gambaran yang ditonjolkan ketika para jemaah haji mengelilingi Ka’bah. Tetapi untuk mengatakan bahawa insan tersebut memuja Ka’bah itu sendiri, adalah sama sekali tidak benar.
Pengasas Ibukota Dunia
Begitulah hebatnya Kota Mekah sebagai pusat dunia. Ianya merupakan bandaraya tertua di dunia mengikut pengertian yang diberikan dalam sejarah Islam – yakni umm al-Qura’ yang membawa maksud Ibu kepada segala ibukota. Asalnya adalah suatu lembah yang diberi nama Bakkah (lihat Al-Quran, 3:96 dan Bible, Psalms:84). Dengan kehadiran Nabi Ibrahim dan kaum kerabatnya yang memulakan peradaban manusia disitu, maka ianya menarik perhatian para pedagang, pencinta ilmu dan mereka yang dahagakan Kebenaran dari Tuhan. Kerana itu, Makkah sentiasa seimbang sebagai pusat ekonomi dari segi keduniaan, dan sebagai pusat keruhanian, bagi mereka yang mencari jalan pulang ke Akhirat. Dari sebelum Tuhan mengutus Nabi dan Rasul yang terakhir ke penduduk Mekah, ianya telah lama terkenal sehinggakan gabenor Abrahah, pemerintah negara jirannya pun berazam mengawal kekayaan dan pengaruhnya. Sehinggalah ke zaman kerasulan Nabi Muhammad, puak Quraish kekal sebagai golongan bangsawan yang mengawal ekonomi dan kebudayaan Makkah.
Di bulan Haji ini, kita semua terpanggil untuk mengenang kembali pengorbanan seorang pengasas peradaban yang juga dikenali sebagai bapa kepada tiga Agama besar – yakni sebagai bapa kepada pengikut agama Yahudi, Kristian dan Islam. Dari segi genetiknya, Nabi Ibrahim telah melahirkan dua orang Nabi yang menjadi pelopor peradaban besar – Nabi Ishaq yang merupakan bapa kepada nabi-nabi yang diutus untuk golongan Bani Israel dan Nabi Isma’il yang diutus kepada puak-puak Arab di semenanjung tanah Arab. Bagi umat Islam, Ibadat Haji ini merupakan suatu lakonan semula, bahkan jika tidak dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi Tuhan, ianya mudah sekali menjadi sekadar suatu pementasan.
Pementasan yang dimaksudkan disini adalah apa yang dipanggil manāsik dalam al-Qur’an iaitu setiap kegiatan-kegiatan ibadah yang dilaksanakan setibanya seorang jemaah ke kota Mekah. Mengikut sunnah Nabi sepatutnya jemaah harus terus ke Ka’bah dan berdoa ketika memandangnya buat kali pertama. Apakah yang menyebabkan setiap jemaah begitu sayu ketika memandang Ka’bah tersebut? Tentulah, salah satu sebabnya adalah kerana panggilan Ilahi itu, adalah untuk mereka memandang Ka’bah dan tawaf mengelilinginya (antara lain). Begitu simbolik kepentingan melawat Ka’bah itu, sehinggakan ianya diberi nama Rumah Allah atau bayt-Allah. Dari pandangan itu, pasti jemaah akan terkenang insan hebat yang membinanya, Nabi Ibrahim yang di beri gelaran Teman Karib Allah atau Khalil-Allah.
Sejarah Kewujudan Peradaban Islam
Disini, tempatnya berlaku suatu ujian yang hebat bagi seorang perempuan bernama Hajar. Sudahlah penat berjalan beribu kilometer dari tempat asalnya mengendong bayinya Nabi Isma’il, kemudian ditinggalkan suaminya ditempat yang tiada berpenghuni. Disitu, Hajar meminta kepastian akan tujuan suaminya membawa dan meninggalkannya disitu. Dia yakin dengan ketulusan hati suaminya. Lalu, tentulah ini suruhan Tuhan semata. Suaminya mengiyakan perkara itu.
Beberapa tapak dari Ka’bah itulah tempat Hajar berlari-lari mencari air untuk memberi minum anak kecilnya yang kehausan. Jemaah haji harus tahu berapa kali Hajar berlari-lari anak dilembah itu, diantara dua bukit kecil bernama Safa’ dan Marwah. Ini kerana para Jemaah juga mengulangi kisah ini melalui ibadat haji yang dikerjakan. Bagi Hajar, pencariannya terhenti apabila anaknya Isma’il dianugerahkan mata air yang muncul dari bawah pasir yang kelihatan kering kontang. Hajar menjerit keshukuran sambil mengutarakan ‘zamzam’ dalam bahasa asalnya. Inilah air yang diminum jemaah sehingga ke hari ini, sehingga beribu botol dibawa pulang ke negara masing-masing melalui pesawat.
Ada berbagai ibadat lagi yang perlu dikerjakan oleh jemaah termasuklah bermalam di Mina, melontar batu dan berhenti di padang Arafah. Setiap satu ada kisah lampaunya yang tersendiri, dan ada juga peringatan untuk situasi masa depan yang perlu dilalui mengikut apa yang dijanjikan oleh Tuhan yang merancang segalanya. Pada permulaan 10 hari Zulhijjah ini, kita semua diberi suatu pengajaran yang merentas sejarah ketamadunan manusia di bumi ini. Bagi yang tidak mengerjakan haji, kita mungkin hanya menantikan sambutan Hari Raya Haji dan Korban yang bakal tiba, tetapi disebalik setiap perayaan adalah suatu pengorbanan. Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1443 Hijrah.
About the Author:
Khalina M. Khalili is the director of Citra Ilmu Resources and the coordinator/editor of citra.guru. She teaches Quran, Religion and Philosophy to children, university students and the public. She can be contacted at khalinakhalili@gmail.com