Penulis: Mas Elizawati Mohammad Ali

Cikgu Nazmi memberi ucapan ketika tayangan perdana filem Bullies pada 27 October 2022

Soalan-soalan temubual dengan Edu-influencer, Encik Muhammad Nazmi bin Rosli

Sidang editor Citra. Guru berbesar hati kerana mendapat peluang untuk berwawancara dengan Edu-influencer (Pempengaruh Pendidikan) tersohor di Malaysia, Encik Muhammad Nazmi bin Rosli (atau lebih senang dikenali sebagai Cikgu Nazmi). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris pada tahun 2017, dan dilantik sebagai Penolong Kanan 1 pada tahun lepas di Sekolah Kebangsaan Luagan di daerah Lawas, Sarawak. Di bawah dorongan beliau, Filpen, sebuah kelab usahawan filem di sekolah tersebut, telah dicalonkan sebagai satu daripada 10 sekolah rendah kerajaan di Malaysia yang berjaya ke peringkat kebangsaan Program FINCO Good SENS. Suatu majlis untuk mengumumkan pemenang teratas akan berlangsung pada Khamis, 8 Disember di Kuala Lumpur. (Addendum: Sebelum artikel in dapat dimuat naik, Filpen telah pun ditabalkan sebagai Juara untuk Program tersebut. Syabas, kami ucapkan kepada Cikgu Nazmi dan seluruh geng kelab Filpen!)

Sedikit latar belakang mengenai FINCO dan Good SENS:

(a) Program FINCO (‘Financial Industry Collective Outreach’ atau Jangkauan Kolektif Industri Kewangan) ialah inisiatif kerjasama yang dipelopori oleh semua institusi kewangan di Malaysia dengan sokongan Bank Negara Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2017, ia bermatlamat untuk memberi persediaan kepada kanak-kanak dan belia yang kurang bernasib baik dengan bimbingan dan alat pendidikan yang mereka perlukan untuk mencapai matlamat hidup mereka.

(b) Good SENS (‘Social Enterprise Network for Schools’ atau Rangkaian Perusahaan Sosial untuk Sekolah) pula ialah program celik kewangan utama FINCO yang dibangunkan untuk menangani kemahiran celik kewangan yang rendah di kalangan golongan muda di Malaysia. Melalui program ini, para murid dapat mengenali dengan lebih dekat tentang konsep kewangan seperti perbelanjaan, simpanan dan belanjawan, dan diberi peluang untuk berseronok sambil belajar menjalankan perusahaan sosial mereka sendiri.

Sebagai mentor untuk kelab Filpen, Encik Muhammad Nazmi berasa sangat gembira dengan pencalonan pertama kali bagi Sekolah Kebangsaan Luagan, setelah bersaing dengan 73 pasukan usahawan sekolah rendah lain dari seluruh Malaysia. Mari kita ikuti wawancara selanjutnya dengan beliau.

(1) Sebagai pengenalan, boleh saudara ceritakan serba-sedikit latar belakang saudara (seperti tempat lahir, dibesarkan dan mendapat pendidikan)?

Nama diberi Muhammad Nazmi Bin Rosli, anak kelahiran Lawas, Sarawak. Kini berusia 29 tahun, tahun kelima berkhidmat sebagai guru dan kini Penolong Kanan Pentadbiran di SK Luagan, Lawas. Melanjutkan pelajaran di IPG Kampus Sarawak, Miri, dari 2011 hingga 2016 dalam jurusan TESL.

(2) Apakah atau siapakah yang menjadi inspirasi untuk menceburi kerjaya sebagai guru? Adakkah wujud sebarang titik perubahan (turning point) yang membuat saudara tekad mahu berkhidmat sebagai seorang guru?

Ibu saya merupakan satu figura yang memberikan saya inspirasi di dalam dunia pendidikan. Beliau merupakan seorang guru besar. Beliau telah berpindah randah untuk kerjayanya dan ditempatkan di pelbagai kawasan. Dan saya pun mengikuti beliau berpindah randah. Beliau pernah ditempatkan di pedalaman Sarawak. Waktu tersebut rumah kami tidak menerima elektrik. Dan kami hidup bergantung dengan lilin dan pelita bertahun-tahun. Dan saya nampak ibu berjaga malam membuat persediaan untuk mengajar di dalam gelap pada jam 2-3 pagi. Bila terbangun, saya nampak beberapa lilin yang sudah padam di sekelilingnya, menunjukkan beliau sudah berada di sini untuk beberapa jam.

Ketika memerhatikan gerak-geri ibu di sekolah, saya baru berusia 5 tahun.

Dari kaca mata saya, guru memiliki sifat suka memberi, dan tidak berkira. Menjadi guru memupuk kita untuk memilik sifat tersebut. Ibu saya kumpul botol untuk dijadikan bahan mengajar, beliau tak tidur semalaman memikir idea untuk diajar esok, beliau berhempas pulas semalaman menyiapkan segala yang hendak diajar, korbankan cuti untuk menceriakan sekolah dan sebagainya.

Sebagai guru kelas, beliau sendiri mengecat kelas di sekolah ketika guru-guru lain balik bercuti.

Setelah saya perhatikan penglibatan ibu saya dalam bidang ini, saya menaruh minat untuk menjadi guru.

(3) Di manakah saudara menjalankan tugas sebagai guru praktikal?  Boleh ceritakan jika ada sebarang insiden yang tidak boleh dilupakan atau mencuit hati semasa tempoh praktikum?

Saya menjalankan sesi praktikum saya di SK Sayed Othman, Miri, sebuah sekolah yang betul-betul berada di tengah bandar. Ini bermaksud pendedahan awal yang saya terima adalah dari sekolah bandar.

“Dah habis pencerapan?” kata Tuan Guru Besar kepada kami yang baru selesai dicerap oleh pensyarah kami.

“Jangan stress ya, pergi la ke mall depan, karaoke ke, tengok wayang ke”, ujar beliau, merujuk kepada Permysuri Mall yang betul-betul terletak di hadapan sekolah kami.

Ya, sekolah kami betul-betul di depan sebuah shopping mall (pusat membeli-belah).

Pecut kami keluar. Hehe.

(4) Pada tahun 2017, di manakah saudara mula bertugas sebagai seorang guru sepenuh masa? Adakah sebarang cabaran ketika mengajar di tempat baru?

Di sebabkan pendedahan awal yang saya terima adalah dari sekolah bandar, sudah menjadi kebiasaan untuk saya dapat mengakses bahan pembelajaran secara online, membeli barang keperluan mengajar di mall, dan juga wujud kebergantungan yang tinggi kepada pelbagai kemudahan awam dan elektrik.

Oleh sebab itu, bila saya dihantar ke sekolah di kawasan pedalaman, saya agak terkelu pada awalnya. Elektrik yang dicatu, ketiadaan internet dan kedai alat tulis dan macam-macam lagi. Apatah lagi, nak cari burger jalanan. Bila buka pintu jam 6 petang, nampak semua gelap gelita. Gelap hutan. Tidak boleh dinafikan, saya agak tergamam juga pada mulanya.

Beza kebolehan murid juga mengejutkan saya. Sebak dan terkejut bila saya mengetahui para pelajar tidak tahu apa itu Upin dan Ipin sehinggalah guru-guru yang memperkenalkan kepada mereka.

Begitu juga dari segi ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada dunia luar. Sangat besar jurang di antara para pelajar pedalaman ini dengan pelajar bandar yang saya pernah ajar ketika praktikal dahulu.

(5) Saudara mula terkenal di media sosial kerana mempertengahkan penggunaan alatan bantuan mengajar (ABM) yang kreatif dan menarik untuk sesi PdPc. Bagaimana tercetusnya ilham untuk mengguna bahan-bahan tersebut?

Saya memang meminati seni mencipta barang-barang dari bahan terbuang sejak kecil lagi. Saya juga tidak menyangka minat saya inilah yang menjadi kaedah pedagogi yang sangat sesuai dengan keadaan tempat saya mengajar.

Gambar ihsan dari Facebook Cikgu Nazmi

Dengan menggunakan bahan-bahan terbuang, saya cipta pelbagai benda sebagai ABM saya. Kolam renang, kedai runcit, kapal terbang, stesen kereta api, kedai gunting rambut dan lain-lain lagi.

Semua menggunakan sampah sarap untuk dijadi bahan boleh diguna pakai.

Ketika saya mula mengajar di sana, saya mendapati semua pelajar gagal dalam subjek Bahasa Inggeris Kertas 2, ujian penulisan. Bila dikaji punca kegagalan, mereka tidak dapat menulis karangan yang mencerita pengalaman berkelah di tepi pantai (Paper 2 Section C). Mereka tidak dapat menulis karangan dengan tajuk tersebut kerana mereka tidak pernah ada pengalaman berkelah di pantai. Ini sangat menyedihkan saya.

Namun begitu, dengan kebolehan mengolah ABM daripada bahan terbuang, saya dapat membawa masuk dunia luar ke dalam bilik darjah.

Setelah tiga tahun menggunakan kaedah tersebut, para murid di sekolah ini mendapat top 10 terbaik English Paper 2 untuk UPSR tahun 2019.

(6) Ketika Malaysia dilanda pandemik Covid-19, bagaimana saudara mengatasi batasan untuk mendekatkan diri dengan pelajar, lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar, bila kaedah pembelajaran berfokus kepada dalam talian?

Kami merupakan sekolah pertama di Malaysia menggunakan kaedah penghantaran modul pembelajaran ke kampung-kampung. Kami membuat penghantaran kepada 111 pelajar di 13 kampung sekitar SK Long Sukang. Setiap trip (kembara) penghantaran mengambil masa 2 hari untuk semua modul pembelajaran sampai setiap minggu kepada komuniti kampung.

Ini bukan sahaja menginspirasikan sekolah-sekolah lain di Malaysia untuk turut menggunakan kaedah yang sama, tetapi juga menginspirasikan Kementerian Pendidikan pada waktu itu untuk muncul dengan pendekatan pembelajaran ‘Offsite Learning Mode‘.

Oleh kerana inisiatif ini bermula secara kecil-kecilan, kami tidak menyangka ianya akan mendapat pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa apabila inisiatif ini mendapat gelaran Johan di satu pertandingan inovasi anjuran SEAMEO (Southeast Asian Ministers of Education Organization atau Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara) untuk peringkat antarabangsa.

(7) Bila saudara berpindah kepada sekolah yang sekarang, ada sebarang perbezaan yang ketara tentang sekolah yang baru dengan sekolah yang lama? Misalnya, adakah pendekatan lain yang perlu diterapkan untuk menambah baik PdP bersemuka?

Kaedah pedagogi saya di sekolah pedalaman dahulu sudah kurang impaknya di sekolah baru. Sememangnya, ia tidak seperti ketika mengajar di kawasan pedalaman dan perbezaannya amat ketara. Para pelajar di sini mampu berfikir secara lebih kritikal, mempunyai sifat ingin tahu, dan sangat terdedah dengan perkembangan teknologi terkini.

Oleh itu, saya menggunakan ‘filpen methodology‘ (filpen adalah kata lakur untuk gabungan ungkapan kata ‘filem pendek’) yang mana kita menggunakan kaedah penghasilan filem sebagai modul pembelajaran yang melibatkan penulisan skrip, cinematografi, penyediaan prop, makeup atau solekan, wardrobe master atau penyelia pakaian/kostum, penyuntingan dan banyak lagi.

Kaedah ini memotivasikan pelajar untuk menjadi pengarang yang baik, sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, supaya skrip yang mereka telah sediakan dapat dijadikan filem pendek.

(8) Bilakah kelab Filpen diasaskan dan bagaimana terbitnya idea untuk membuka kelab Filpen? Adakah Program FINCO memberi sebarang bantuan atau dana dalam pembentukan Filpen?

Filpen diasaskan pada tahun 2021 apabila saya sedar bahawa kaedah ini sangat berguna kepada para pelajar kerana mampu mencungkil bakat dan menaikkan nama sekolah. Melalui Kelab Filpen, kami telah menghasilkan banyak filem pendek. Kami juga pernah menjadi Johan di peringkat negeri, Johan peringkat Kebangsaan dan Johan di peringkat Antarabangsa.

Apabila kami terpilih untuk program FINCO Good SENS, satu program entrepreneurship, seorang coach (juru latih) telah datang melawat untuk mengajarkan pula cara menjual filem-filem kami; sesuatu perkara yang kami tidak pernah buat sebelum ini. Kami adalah sekolah pertama di Malaysia menjual filem menggunakan QR Code ketika melakukan sesi jualan di jalanan dan pasar malam. Kami membuat jualan secara online dan juga menganjurkan malam tayangan perdana bertiket. Hasil bimbingan pihak FINCO, dalam masa 3 minggu, kami dapat mengumpulkan sebanyak RM2022 untung bersih dan terpilih menjadi sepuluh sekolah teratas daripada 73 business team seluruh Malaysia dalam FINCO Good SENS.

(9) Syabas kepada pencalonan Filpen! Kedua-dua buah filem Teether dan Bullies yang dihasilkan oleh Filpen telah ditulis oleh para pelajar kelab tersebut. Sebagai seorang guru, apakah peranan dan bagaimanakah penglibatan saudara?

Saya hanya sebagai pemudahcara sahaja. Guru-guru sebagai pembantu. Kerja selebihnya dijalankan oleh murid-murid. Idea milik murid, lakonan, stunt, videografi, solekan, kostum, reka bentuk watak, kesan khas dan lain-lain. Hampir semua pelajar kami mempunyai sijil penglibatan dalam filem pendek peringkat antarabangsa. Semasa kami mendapat gelaran johan peringkat kebangsaan di pertandingan filem pendek anjuran SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pelakon utama kami baru sahaja berumur 5 tahun pada waktu itu. Gelagat pelakon itu berjaya menggamit minat juri dan hakim. Sekarang Bullies dan Teether tengah dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Mohon doakan kami. Terima kasih.

(10) Apakah tema dan pengajaran penting yang tersirat di dalam kedua-dua buah filem ini?Bagaimana seorang pelajar boleh mengaitkan pengalaman masing-masing dengan tema tersebut?

Kedua-dua filem merupakan dua karya berbeza. Namun kedua-duanya berkongsi satu nilai yang penting, iaitu ‘pilihan’.

Apa sahaja yg berlaku merupakan atas pilihan kita. Benda baik benda buruk, kerana kita yang memilih. Kuasa di tangan kita. Pilihan kita memberi kesan. Baik kepada kita sahaja ataupun orang sekeliling.

Pilihan merupakan satu nilai penting kepada para pelajar, terutamanya apabila mereka memasuki alam remaja.

(11) Ahli-ahli Filpen mesti teruja dengan pencalonan kelab usahawan mereka ke peringkat akhir. Adakah murid akan turut dijemput untuk menghadiri acara kemuncak di Kuala Lumpur nanti? Jika ya, adakah ini kali pertama mereka pergi ke Kuala Lumpur?

Ya. Namun atas sebab-sebab tertentu, kami tidak dapat pergi bersama-sama ke Kuala Lumpur. Ini sepatutnya menjadi kali pertama mereka di sana, namun begitu, bukan rezeki mereka untuk berada di sana.

(12) Akhir sekali, sebagai Edu-influencer, apakah nasihat saudara kepada seseorang yang minat untuk memasuki bidang perguruan di masa hadapan?

Jadi diri sendiri. Untuk tahan lama dalam bidang ini, nak ada passion (semangat) dalam bidang ini, nak kekal bermotivasi, nak terus kreatif, kena jadi diri sendiri.

Tak perlu nak bina satu karakter baharu untuk jadi pendidik.

Jadi diri sendiri. Gunakan minat, potensi, kebolehan, kepakaran, kemampuan yang ada untuk bantu murid, dan bantu sekolah.

Kita hanya akan dapat beri yang terbaik, bila kita jadi diri kita yang sebenar. ☺️☺️☺️

Terima kasih Cikgu Nazmi kerana sudi meluangkan masa untuk sesi wawancara bersama sidang editor kami. Kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Filpen untuk segala kegiatan mereka pada masa hadapan. Tahniah sekali lagi!

Nota kecil: Selain dari Facebook, Cikgu Nazmi juga aktif di Twitter dengan nama ChuckeeLittle.

Leave a Reply