Muhammad Afiq
Dalam sejarah, terdapat institusi pendidikan yang boleh dikatakan universiti walaupun menggunakan istilah madrasah kerana pengajiannya meliputi pelbagai bidang ilmu yang meliputi ilmu ugama dan ilmu dunia, dan ilmu ugama menjadi ilmu dasar pengajiannya. Dasar ini penting dan berkait dengan latar institusi pendidikan yang telah ada pada zaman Nabi Muhammad. Institusi ini sama ada dilengkapi pengajian rendah sehingga kesarjanaan, atau institusi khusus untuk mendidik sarjana. Berdasarkan sejarah institusi pendidikan tinggi pada zaman Rasulullah, institusi pengajian tinggi pertama sebenarnya adalah Dar al-Arqam. Ini kerana jumlah para Sahabat yang dididik ketika itu tidak ramai malah kebanyakannya terdiri daripada orang dewasa, dan kesemuanya yang mula-mula dididik di al-Arqam itu kemudiannya menjadi pemimpin kaum Muslimin. Sewaktu itu juga sudah ada pengajian tinggi orang-orang yang bukan Islam.
1. Dua Madinah pada Zaman Nabi Muhammad
Terdapat tiga kota yang merupakan pusat pendidikan empayar Aryanshah atau dalam bahasa Inggeris disebut Sasanian Empire iaitu Gondishapur di Iran, Ctesiphon di sebelah tenggara Baghdad kini, dan Ras al-‘Ayn di Syria. Universitinya atau institusinya di Ctesiphon dan Ras al-‘Ayn ini tidak diketahui, tetapi merupakan pusat pendidikan Sasanian Empire. Pada zaman Nabi Muhammad, Ctesiphon dikenali sebagai al-Mada‘in kerana pembangunannya yang pesat yang dicirikan sebagai metropolis. Di kotanya terdapat Tāq Kisra atau dalam bahasa Inggeris disebut Arch of Ctesiphon, iaitu istana Raja Kisra. Sewaktu Muslim menawan kota ini pada abad ke-7 selepas perang al-Qādisīyyah, Tāq Kisra itu ditukar jadi masjid. Pada abad ke-10, Khalifah al-Muktafi menggunakan sebahagian batu-batuan dari Tāq Kisra ini untuk membina istananya iaitu Istana Taj di Baghdad. Al-Mada‘in adalah kota yang terbesar di dunia ketika abad ke-6 itu. Mungkin kebesarannya umpama New York, London dan Tokyo masa kini. Dalam Old Testament kota ini disebut sebagai Casphia dari nama bangsa Cas kemudian timbul istilah Caspian dan Qazwin. Dalam Talmud, kota ini disebut Aktisfon. Juga disebut al-Mada‘in al-‘Atīqah, maksudnya kota lama. Di bahagian selatannya dekat Aspanbar, terkenal sebagai pusat hiburan. Terdapat tiga ajaran dalam kota ini sewaktu zaman Nabi Muhammad, iaitu Yahudi, Zoroaster dan Kristian termasuk satu ajaran yang bernama Mānī. Ajaran Mānī mula diajarkan pada abad ketiga oleh Mānī, seorang yang mengaku dirinya nabi. Mānī menulis tujuh karangan dalam bahasa Suryani. Menurut ibn al-Nadim dan al-Biruni, Mānī menerima ajaran itu daripada jelmaan seseorang yang dikatakan kembarnya. Jelmaan ini dalam Mani Codex disebut Syzygos. Ajaran Mānī ketika empayar Aryanshah ini tersebar sampai negara China. Kota ini juga menempatkan pelbagai bangsa seperti Parsi, Greek, Suryani dan Iram. Ras al-‘Ayn juga satu kota yang merupakan pusat pendidikan empayar Aryanshah. Kota ini dikenali sebagai kota yang mempunyai banyak sumber mata air. Kota ini terletak di utara Syria. Dalam karangan Ptolemy kota ini disebut Raisena sewaktu zaman empayar Rumawi. Al-Idrisi menggelarkan kota ini Diyar al-Rabi‘a, maksudnya tempat suku al-Rabi‘a. Justeru kita dapati latar suasana zaman Nabi Muhammad itu sangat maju dengan kewujudan al-Mada‘in tersebut. Sebaliknya di Yathrib, Nabi Muhammad memberikan nama baru untuk Yathrib iaitu Madinah. Dalam Madinah di Yathrib itulah adanya Nabi yang sebenar, adanya pendidikan yang sebenar, adanya pembangunan yang sebenar dan adanya pemerintahan yang sebenar untuk tauladan seluruh manusia ketika itu sehingga kini. Pada zaman Nabi Muhammad sudah ada bangunan seperti Tāq Kisra yang merupakan “single-span vault of unreinforced brickwork” yang terbesar di dunia. Justeru, tidak patut untuk mengatakan zaman Nabi Muhammad itu tiada berus gigi atau tiada teknologi tinggi, malah tiada adab dengan Nabi Muhammad jika kata sedemikian.
2. Universiti pada Zaman Nabi Muhammad
Lazimnya diketahui bahawa Baytul Hikmah telah wujud. Tetapi dari mana Khalifah al-Ma‘mun dapat orang-orang untuk kerja di Baytul Hikmah pada abad ke-9? Beliau telah mengambil graduan dari Universiti Gondishapur. Universiti ini wujud pada zaman pemerintahan empayar Aryanshah atau bahasa Inggerisnya disebut Sasanian Empire di Iran kini. Universiti ini adalah antara tiga universiti dalam empayar Arsyanshah dan aktif sehingga kemudiannya pusat pendidikan Abbasiyyah beralih ke Baghdad. Sewaktu Raja Kisra 1 memerintah pada abad ke-5, universiti ini menjadi pusat pengajian Greek, pengajian perubatan dan pusat terjemahan bahan-bahan bacaan Greek dan perubatan Suryani ke bahasa Pahlavi serta pusat pendidikan Kristian. Raja Kisra 2 pula hidup pada zaman Nabi Muhammad abad ke-6. Sewaktu itu beliau menerima surat daripada Nabi Muhammad untuk masuk Islam tetapi beliau sombong dengan Nabi Muhammad dan mengoyakkan surat itu lantas hancur kerajaannya dihancurkan oleh keluarganya sendiri. Itulah impaknya apabila tiada adab dengan Nabi Muhammad walaupun ketika itu mereka ada sebuah universiti dan dua lagi kota pendidikan. Universiti ini dihidupkan semula pada tahun 1955 dengan nama Jondishapur University. Canselor pertamanya ialah Dr. Muhammad Kar dilantik pada tahun 1959. Kemudian nama universiti ini ditukar kepada Shahid Chamran University of Ahvaz. Kemudian ditukar lagi namanya kini Ahvaz Jundishapur University of Medical Sciences. Pada tahun 1960an, naib canselor perempuan pertama universiti ini dilantik iaitu Dr. Tal’at Basari, pakar dalam bidang bahasa dan sastera Parsi. Beliau menulis beberapa kritikan terhadap Shahnameh karangan Ferdowsi. Kemudian beliau dipecat dari universiti kerana menganut agama Baha’i dan kini menetap di New Jersey. Binaan tinggalan tapak asal Universiti Gondishapur terletak di daerah Dezful, dalam wilayah Khuzestan dekat Iran.
3. Dari Ekpaideutērion ke Madrasah Sultan Muhammad al-Fatih
Sewaktu zaman Nabi Muhammad juga sudah ada universiti Kristian di Constantinople yang ditubuhkan oleh Theodosius 2 dan terdapat sebanyak 31 subjek, 15 subjek dalam bahasa Latin dan 16 subjek dalam bahasa Greek. Sewaktu zaman Theodosius 1, penganut ajaran Mānī ramai dibunuh oleh Theodosius 1 dan amalan ajaran yang bukan Kristian secara terbuka dilarang. Sebaliknya kedatangan Nabi Muhammad membawa contoh tentang Madinah yang bermakna. Universiti-universiti dan kota-kota utama negara masa kini harus menginsafi akan perkara penting ini. Jadi universiti yang ditubuhkan Theodosius 2 ini namanya Pandidakterion atau dalam bahasa Inggerisnya disebut University of Constatinople sewaktu zaman pemerintahan empayar Byzantine Rumawi abad ke-5 sebelum kelahiran Nabi Muhammad pada abad ke-6. Kemudian Theodosius 2 menubuhkan jawatankuasa perundangan dan menerbitkan Codex Theodosianus, undang-undang yang dikumpul dan dikemaskini sejak Constantine 1. Lanjutan dari itu, pada abad ke-9, Caesar Bardas menubuhkan sebuah institut falsafah dalam istananya yang dinamakan Ekpaideutērion di Magnaura, iaitu sebuah bangunan besar dalam istana di Constatinople berdekatan Hagia Sophia. Pada tahun 1453, selepas Sultan Muhammad al-Fatih menumbangkan puak-puak mereka, maka Ekpaideutērion itu dijadikannya madrasah. Selain itu gereja Pantokrator juga Sultan Muhammad al-Fatih jadikannya Madrasah Zeyrek, yang dipimpin oleh Mevlana Zeyrek.
4. Perempuan Menubuhkan Universiti pada Abad ke-9
Selepas ayahanda Fatimah al-Fihri meninggal dunia, semua harta ayahandanya yang beliau warisi digunakan untuk menubuhkan Universiti al-Qarawiyyin di Fez dekat Maghribi. Fatimah al-Fihri pernah berkahwin tetapi seketika sahaja hidupnya dengan suami kerana suaminya meninggal dunia. Tidak banyak maklumat sejarah awal Universiti al-Qarawiyyin yang masih ada berikutan perpustakaannya yang pernah terbakar pada tahun 1323. Universiti ini ditubuhkan pada tahun 859 selepas Fatimah al-Fihri membeli masjid al-Qarawiyyin daripada Sultan Yahya ibn Muhammad, pemerintah dinasti Idrisi di Maghribi. Masjid ini mula dibina semula pada tahun 845, dan Fatimah al-Fihri membesarkan masjid itu dengan membeli lagi kawasan di sekitarnya. Pembinaannya memakan masa sehingga 18 tahun lamanya. Selepas masjid itu siap, barulah universiti itu ditambah sebagai tambahan kepada masjid itu. Dalam masa 18 tahun ini juga Fatimah al-Fihri berpuasa. Lama bukan beliau berpuasa? Inilah kesungguhan orang kaya dahulu dalam menubuhkan universiti. Kemudian pada tahun 1349, pemerintah dinasti al-Marini, Sultan Abu Inan Faris menghadiahkan sebuah perpustakaan yang mengandungi koleksi manuskrip yang banyak. Antara bidang yang diajarkan di universiti ini adalah pengajian Islam, matematik, perubatan dan astronomi. Antara graduan universiti ini ialah al-Idrisi, ahli geografi, ibn Khaldun, ahli sejarah dan Musa bin Maymun, ahli falsafah bangsa Yahudi. Pada abad ke-13 terdapat jam yang dijana dengan air di sini yang terletak dalam bilik penjaga waktu (al-muwaqqit) dalam menara itu. Jam ini dibuat pada tahun 1287 oleh ibn al-Habbak al-Tilimsani, kemudian dibaikpulih pada tahun 1348 oleh Abu Abdallah al-‘Arabi dengan penambahan fungsi astrolab untuk menjejak bintang.
5. Profesor Muda di Universiti pada Abad ke-11
Universiti Nizamiyyah didirikan pertama kalinya oleh Nizam al-Mulk pada tahun 1065 di Baghdad dalam pemerintahan empayar Saljuq. Terdapat beberapa cawangannya selepas itu iaitu antaranya di Nishapur, Amol, Balkh, Herat dan Isfahan. Pada bulan Julai tahun 1091, Nizam al-Mulk melantik Imam al-Ghazzali sebagai profesor ketika umur Imam al-Ghazzali baru sahaja 33 tahun. Universiti ini adalah universiti percuma, dan merupakan universiti yang terbesar di dunia pada abad ke-11. Imam al-Haramayn Juwayni, iaitu Imam bagi dua Tanah Haram, mendidik Imam al-Ghazzali di cawangan Nishapur sewaktu Imam al-Ghazzali belajar sebelum dilantik ke jawatan paling penting ketika itu iaitu profesor di Baghdad. Imam al-Shahrastani pengarang al-Milal wa al-Nihal juga berkhidmat sebagai pensharah di universiti ini pada tahun 1116. Penyair Sufi terkenal Sa‘di belajar di sini pada tahun 1195 sehingga tahun 1226, menuntut ilmu selama 30 tahun di situ. Sewaktu Imam al-Ghazzali meninggalkan universiti ini untuk “sabbatical leave”, atau “suluk”, pada tahun 1096 terdapat seramai 3000 orang murid yang belajar di sini. Tinggalan binaan Universiti Nizamiyyah kini terletak di kampung Khargird dekat Iran.
6. Jam Berdering di Universiti pada Abad ke-13
Daripada keturunan Nabi Muhammad sebelah pakciknya iaitu keluarga Abbasiyah, lahirnya Universiti Mustansiriyyah yang ditubuhkan oleh Khalifah al-Mustansir di Baghdad pada abad ke-13. Pelbagai bidang diajarkan di sini seperti falsafah, matematik, perubatan dan yang utamanya adalah pengajian Islam. Dalam pengajian Islam dibahagikan kepada Dar al-Qur‘an dan Dar al-Hadith. Dalam Dar al-Qur’an terdapat para pembaca al-Qur‘an dan mereka yang mengajar membaca al-Qur‘an. Terdapat asrama untuk 30 orang anak yatim piatu. Semua murid diberikan makanan dan biaya duit yang sama. Ya, dapat biaya semuanya, berbeza dengan universiti kini yang ikut Barat. Bahagian Perubatan pula dipimpin oleh doktor Muslim yang senior yang diwajibkan untuk mendidik 10 orang murid dan memberikan mereka gaji. Terdapat hospital dan farmasi untuk latihan dan pelajaran perubatan. Semua keperluan asas disedikan untuk semua murid-muridnya iaitu asrama, pakaian dan biaya duit bulanan. Pada mulanya perpustakaannya mengandungi 80000 naskah kitab yang diberikan oleh khalifah. Koleksi ini kemudian bertambah sehingga 400000 naskah. Koleksi ini tidak terusik sewaktu serangan Mongol pada tahun 1258. Tetapi koleksi ini kemudiannya dipindahkan ke Universiti Nizamiyyah pada tahun 1393 dan lama kelamaan ada naskahnya yang hilang tidak dapat dikesan. Sewaktu Uthmaniyyah menguasai Baghdad pada tahun 1534, buku-buku di istana dan perpustakaan diambil sebagai harta rampasan perang dan menjadi koleksi terpenting di perpustakaan diraja dekat Istanbul. Universiti ini kemudiannya dihidupkan semula pada tahun 1963, dengan dana yang dikumpulkan oleh Kesatuan Guru-guru Iraq. Presiden universiti kini ialah Dr. Hamid Fadil Hasan al-Tamimi, seorang pakar dalam ilmu siyasah. Pada tahun 1235 terdapat sebuah jam berdering dibina dekat pintu masuk universiti ini. Jam ini dijana dengan air dan berdering apabila masuk waktu solat fardu, siang dan malam.
7. Terhutang Budi kerana Ilmu di Universiti
Di sebelah Andalus zaman Umayyah pula, al-Hakam mendirikan empat institusi pendidikan di Qurtuba, Granada, Cadiz dan Seville. Universiti yang diketahui adalah Universiti Qurtuba dan Universiti Granada. Al-Hakam ialah keluarga Saidina Mu’awiyyah, seorang Sahabat Nabi Muhammad. Perlu difahami bahawa meskipun terdapat peristiwa di antara Saidina Mu’awiyah dengan Saidina Ali, tetapi kedua-duanya ialah Sahabat Nabi dan kedua-duanya telah dijamin masuk Syurga. Perpustakaan Universiti Qurtuba adalah yang terbesar di Eropah dari abad ke-9 sehingga abad ke-13. Kebesarannya ini mungkin seumpama British Library di London masa kini. Universiti Qurtuba ini lebih awal berbanding Universiti Bologna. Pengajiannya juga meliputi banyak bidang iaitu pengajian Islam, matematik, perubatan dan kesenian. Tiada maklumat berkenaan universiti di Seville dan Cadiz. Sumbangan kerajaan untuk pendidikan pada waktu ini pula kebanyakannya untuk buku dan biaya murid yang menuntut ilmu ugama yang dikutip menerusi derma daripada orang ramai dan ibu bapa murid yang kaya, serta murid yang menuntut ilmu sambil berkerja yang kaya. Menurut ibn Rushd, setiap buku yang disumbangkan perlu dicatat nama penyumbang berserta saksi. Antara sumbangannya termasuk pencen dan biaya serta sumbangan rumah. Berkenaan Universiti Granada, dalam surat daripada wakil Universiti Granada pada tahun 1878 untuk majalah Universiti Dublin bilangan 92, wakilnya mengimbas kembali semangat Universiti Granada yang mulai ditubuhkan pada tahun 1236. Menurutnya, Universiti Granada mulanya dikatakan bertempat di Alhamra. Peranannya ketika itu sebagai menara api untuk pencerahan Eropah dan merupakan bukti bahawa orang-orang Kristian Sepanyol terhutang budi kepada orang-orang Arab Sepanyol kerana ilmu. Apabila Kristian menawan Muslim, orang-orang Muslim yang menetap di Granada mereka gelarkan sebagai Mudejar. Istilah ini diambil dari bahasa Arab “mudajjan”, maksudnya “haiwan yang dijinakkan”. Begitulah kebiadapan orang Kristian terhadap orang Islam sewaktu itu. Alhamra adalah sebuah kompleks istana yang terletak di Granada, Andalusia. Pada dindingnya banyak khat Arab. Keseniannya ini dinamakan Seni Mudejar, yang asalnya diamalkan dalam kalangan Muslim tetapi kemudian diamalkan oleh Kristian di Sepanyol mulai abad ke-13.
8. Permaisuri Menubuhkan Universiti Abad ke-13
Universiti al-Firdaus ditubuhkan oleh Permaisuri al-Malika Dayfa Khatun pada zaman Kesultanan Ayyubi di Aleppo, Surya, pada tahun 1236. Beliau ialah anak perempuan Sultan al-Malik al-Adil, raja Surya dan Mesir. Universiti ini ditubuhkan sewaktu Permaisuri Dayfa Khatun memangku pemerintahan selepas anaknya meninggal dunia, kerana cucunya masih kecil lagi untuk memerintah, baru 7 tahun umurnya. Permaisuri Dayfa Khatun ialah menantu Sultan Salah al-Din al-Ayyubi. Suaminya iaitu al-Malik al-Zahir berkahwin dengan Dayfa untuk menamatkan persengketaan di antara keluarga Sultan Saladin dengan keluarga Sultan al-Malik al-Adil. Universiti ini terletak di Bab al-Maqam merupakan pintu masuk utama ke Aleppo dan laluan para haji yang hendak pergi menunaikan haji. Tujuan universiti ini dibina di kawasan laluan sibuk ini adalah sebagai tanda kekuasaan dan kekayaan pemerintah serta sebagai punca doa yang baik daripada orang ramai yang lalu lalang di situ. Terdapat 5 bahagian dalam universiti ini iaitu maqam, ribat untuk orang miskin menetap, tempat sufi zikir, zawiyah untuk didikan peribadi dan khanqah untuk didikan kepada para sufi yang telah jadi sarjana. Didikan di khanqah sarjana ini lebih banyak peraturannya berbanding didikan di zawiyah itu. Antara yang dipanggil berkhidmat di universiti ini ialah para pembaca al-Qur‘an, para fuqaha’ dan para Sufi dari pelbagai tariqat. Dana universiti ini dikumpul sebahagiannya daripada waqf dan sumbangan orang kampung Kafr Zayta, manakala 2/3 daripada sumbangannya adalah daripada pendapatan dari perusahaan berdekatan. Universiti ini dikelilingi maqam yang dibina untuk menempatkan kubur diraja dan ulama’ yang meninggal dunia.
9. 150 Orang Tukang Kebun di Universiti pada Abad ke-14
Rashīd al-Dīn Faḍlullāh Hamadānī atau dikenali juga sebagai Rashīd al-Dīn Ṭabīb membina satu universiti pada abad ke-14 iaitu Rabi‘ Rashīdī. Beliau ialah pengarang Jāmiʿ al-Tawārīkh yang ditulis atas titah perintah Ghazan Khan pemerintah Dinasti Īlkhānī. Beliau ialah seorang doktor perubatan, ahli sejarah dan wazir, dan juga seorang yang berbangsa Parsi-Yahudi, kemudian masuk Islam sewaktu umurnya 30 tahun. Dana untuk universiti beliau adalah 50000 dinar. Terdapat dua orang profesor berkhidmat dengan gaji 500 dinar setahun. Seorang profesor itu ada seorang pembantu bergaji 200 dinar setahun dan 10 orang murid yang dibayar 30 dinar untuk tempoh pengajian selama 5 tahun. Seorang lagi profesor ada 2 orang murid. Terdapat maqam dalam universitinya. Di maqam ini terdapat 24 orang pembaca al-Qur‘an yang membaca al-Qur‘an di maqam dan setiap pembaca memberikan 50 dinar kepada warga universiti itu. Terdapat satu ruang khas untuk para Sufi berzikir. Shaykh yang memimpin itu diberi gaji 150 dinar, manakala murid-muridnya yang berzikir diberi gaji 30 dinar. Terdapat hospital juga. Ketua doktornya diberikan gaji 300 dinar, doktor mata dan doktor bedah diberi gaji 100 dinar. Murid doktor diberi 30 dinar untuk latihan selama 5 tahun. Dan banyak lagi kemudahannya. Universiti ini ada 150 orang tukang kebun.
10. Tukang Dilantik sebagai Ketua Pensharah Universiti pada Abad ke-15
Universiti Ulugh Beg ditubuhkan pada abad ke-15 dalam pemerintahan dinasti Timurid oleh Sultan Ulugh Beg. Sewaktu siap pembinaannya pada tahun 1420, Sultan Ulugh Beg menyatakan bahawa ketua pensharah universiti beliau ini mestilah seorang yang menguasai semua bidang ilmu. Maka sewaktu beliau menyatakan itu seorang tukang yang terlibat dalam pembinaan di situ yang sedang duduk di antara batu-batuan pembinaan lalu menampilkan diri untuk berkhidmat sebagai ketua pensharah universiti itu. Selepas ditemubual oleh Sultan Ulugh Beg sehingga puas hatinya, maka tukang itu lantas dititahkan untuk pergi mandi dan kemudian diberikan pakaian yang sesuai sebagai seorang ketua pensharah. Pada hari pembukaan rasmi universiti, seramai 90 orang sarjana telah datang. Dalam majlis ini, tukang itu tadi iaitu Maulana Muhammad telah menyampaikan ucaptama perasmian. Kecanggihan dan ketinggian ucapan perasmian beliau ini hanya difahami oleh Ulugh Beg dan guru yang mendidik Ulugh Beg sahaja iaitu Qadi Zada Rumi. Begitulah dasyatnya universiti ulama’ di masa lalu. Bukan orang awam yang memang tidak faham, tetapi 90 sarjana yang tidak faham apa yang ketua pensharah sampaikan. Antara bidang yang diajarkan adalah pengajian Islam, matematik dan astronomi. Satu ketika seorang murid di universiti Ulugh Beg ini didapati telah bosan membaca buku pengajian agama Islam, maka perkara ini sampai kepada pengetahuan seorang pensharah di situ yang bernama Khwaja Ahrar. Maka, Khwaja Ahrar memberikan seluruh buku dalam biliknya kepada murid tersebut untuk dibaca. Ulugh Beg juga menempatkan sebuah ruangan untuk para Sufi berzikir dalam kompleks universiti beliau di dataran Registan itu. Ulugh Beg sendiri merupakan pakar dalam astronomi dan mengarang Zij Sultani iaitu koordinat bintang-bintang sabitah yang dikemaskini datanya dari data Ptolemy dan Abd Rahman al-Sufi menerusi cerapan baru di observatori beliau yang paling canggih pada abad ke-15. Pada tahun 1974, para angkasawan Amerika memohon kepada para angkasawan di Russia untuk mengadakan lawatan angkasawan Amerika ke Samarqand. Tujuannya adalah untuk mengetahui impak kehidupan Sultan Ulugh Beg di Samarqand. Universiti Ulugh Beg yang indah permai di Uzbekistan kini hanya jadi tempat melancong. Antara sarjana Sufi yang pernah belajar di sini ialah Nur al-Din Jami‘.
11. Universiti Bayt al-Rahman di Alam Melayu pada Abad ke-17
Universiti pertama di Alam Melayu yang mesti dibanggakan setiap tahun pada bulan kemerdekaan adalah Universiti Bayt al-Rahman di Aceh. Universiti ini pada mulanya adalah Masjid Bayt al-Rahman. Kemudian sewaktu pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, pada abad ke-17, masjid ini dijadikan Jami‘ah Bayt al-Rahman. Terdapat 17 dār iaitu fakulti yang didirikan ketika itu, iaitu: (1) Dār al-Tafsir wa al-Hadith (Fakulti Tafsir dan Hadith), (2) Dār al-Tibb (Fakulti Perubatan), (3) Dār al-Kimiya (Fakulti Kimia), (4) Dār al-Tarikh (Fakulti Sejarah), (5) Dār al-Hisab (Fakulti Matematik), (6) Dār al-Siyasah (Fakulti Pentadbiran), (7) Dār al-‘Aqli (Fakulti Akal), (8) Dār al-Zira‘ah (Fakulti Pertanian), (9) Dār al-Ahkam (Fakulti Hukum), (10) Dār al-Falsafah (Fakulti Falsafah), (11) Dār al-Kalam (Fakulti Kalam), (12) Dār al-Wizara’ah (Fakulti Pemerintahan), (13) Dār Khazanah Bayt al-Mal (Fakulti Kewangan dan Perbendaharaan Negara), (14) Dār al-Ardi (Fakulti Geografi), (15) Dār al-Nahwi (Fakulti Nahu), (16) Dār al-Mazahib (Fakulti Mazhab), dan (17) Dār al-Harbi (Fakulti Peperangan). Sewaktu pemerintahan Sultanah Safiatuddin di antara tahun 1641 sehingga tahun 1675, pendidikan di universiti ini digalakkan, dan para ulama’ diminta untuk menulis buku-buku kemudian dihantarkan buku-buku itu kepada Raja-raja dan Ulama’ di Alam Melayu. Kini tiada lagi universiti di Masjid Bayt al-Rahman di Aceh kini, hanya terdapat payung-payung baru seperti Masjid Nabawi. Mungkin boleh dihidupkan semula universitinya jika umat Islam ada cita-cita yang tinggi dan agung dalam ilmu.
Rujukan
Christopher Dean Flesoras, (2009). The Historical Place and Character of Mentoring in Higher Education: A Study of Christian Formation in the Byzantine East. University of California, Dissertation Doctor of Philosophy
Ghulām Muhyiʼd Dīn Sūfī, (1941). Al-Minhāj: Being the Evolution of Curriculum in the Muslim Educational Institutions of India. Lahore: Sh. Muhammad Ashraf
Glenn Hardaker & A’ishah Ahmad Sabki, (2012). An insight into Islamic pedagogy at the University ofal-Qarawiyyin, dalam Multicultural Education & Technology Journal, 6 (2). Melbourne: Emerald Publishing. Hlm. 106—110
Hala Mundhir Fattah & Frank Caso, (2009). A Brief History of Iraq. New York: Infobase Publishing
Hamid-Reza Giahi Yazdi & Pouyan Rezvani, (2015). Chronology of the Events of the Samarqand Observatory and School Based on Some Old Persian Texts: A Revision, dalam Suhayl: International Journal for the History of the Exact and Natural Sciences in Islamic Civilisation, 14. Barcelona: Publicacions de la Universitat de Barcelona. Hlm. 145—165
Ibn Hazm, (1982). Maratib al-Ulum , terj. Anwar Chejne. Chicago: Kazi Publications
John Rosser, (2001). Historical Dictionary of Byzantium. Maryland: The Scarecrow Press Inc.
Kennedy, H., (2006). From Shahristan to Medina, dalam Studia Islamica, 102/103. Paris: Maisonneuve & Larose. Hlm. 5—34
Kennedy, H., (1985). From Polis to Madina: Urban Change in Late Antique and Early Islamic Syria, dalam Past & Present, 106 (February). Oxford: Oxford University Press. Hlm. 3-27
Lulat, Y. G-M., (2005). A History of African Higher Education from Antiquity to the Present: A Critical Synthesis. Connecticut: Praeger Publishers
Manar Hammad, (2005). Madrasat al Firdaws: Essai d’Analyse, dalam Protée, 33 (2). Québec: Département des Arts et Lettres, Université du Québec à Chicoutimi. Hlm. 79-92
Park, T. K & Boum, A., (2005). Historical Dictionary of Morocco. Oxford: The Scarecrow Press
Robert Hannah, (2007). The Meridiana of Ulugh Beg in Hagia Sophia, Constantinople, dalam Nuncius, 22 (1). Florence: Leo S. Olschki Publisher. Hlm. 7—14
Savant, S. B., (2013). Forgetting Ctesiphon: Iran’s Pre-Islamic Past, c. 800–1100, dalam Philip Wood (peny.), History and Identity in the Late Antique Near East. DOI:10.1093/acprof:oso/9780199915408.003.0009. Oxford Scholarship Online (May)
Shalem, A., (1994). The Fall of al-Madā’in: Some Literary References concerning Sasanian Spoils of War in Mediaeval Islamic Treasuries, dalam Iran, 32. London: British Institute of Persian Studies. Hlm. 77—81
Söylemez, M. M., (2005). The Jundishapur School: Its History, Structure, and Functions, dalam The American Journal of Islamic Social Sciences, 22 (2). Washington D.C.: IIIT. Hlm. 1—27Vasiliev, A. A., (1952). History of the Byzantine Empire, 324—1453. Madison: The University of Wisconsin Press