Memperalat Pengkhususan Ilmu di Universiti:Ulasan Buku bertajuk Homo Academicus karya Pierre Bourdieu terbitan Stanford University Press
oleh Muhammad Afiq Abdul Rahman (Malaysia)
Apabila yang bukan penyanyi cuba menjadi penyanyi walaupun suaranya sumbang, persembahannya canggung, liriknya pula hampa makna, pasti akan menerima kutukan orang yang mendengarnya. Namun pada masa kini dengan kekayaan, seseorang boleh menjadi penyanyi segera semata-mata untuk tujuan pemasaran walaupun dikutuk orang. Ini menunjukkan nyanyian itu sendiri bukanlah tujuannya. Begitu juga dalam bidang-bidang ilmu di universiti yang diperalatkan untuk tujuan ekonomi dan politik sekaligus mengabaikan bidang-bidang ilmu dasar yang sepatutnya berperanan dalam menanam makna pendidikan yang sebenar dalam diri setiap warga universiti disebabkan pengkhususan ilmu itu bukan lagi bertujuan mendidik manusia.

Soalannya, bagaimana pengabaian bidang-bidang ilmu dasar itu berlaku dan sekaligus menyingkap bidang-bidang ilmu yang diperalatkan atas nama pengkhususan bidang? Bagi menjawab soalan itu, karya Pierre Bourdieu bertajuk Homo Academicus mungkin dapat memberikan gambaran yang berlaku menerusi kajian Sosiologi yang dijalankannya selama 20 tahun.
Bagi yang tidak biasa membaca karya Sosiologi istilah yang lazimnya digunakan bagi mengungkap sesuatu konflik, fungsi atau simbolik adalah istilah modal. Pierre Bourdieu pula mengembangkan istilah tersebut menjadi modal kebudayaan. Khususnya dalam karya ini Pierre Bourdieu menggunakan lapan petunjuk atau lapan modal bagi mengungkap budaya universiti atau dalam istilahnya disebut academic habitus yang menyuburkan suasana yang menyebabkan berlakunya pengabaian bidang-bidang kemanusiaan di sebalik kejayaan-kejayaan dalam bidang-bidang sains, perundangan dan ekonomi. Lapan petunjuk tersebut ringkasnya adalah: (1) kejayaan ilmu, (2) kelayakan ilmu, (3) kekuatan institusi, (4) kekuatan kajian, (5) taraf kajian, (6) kemasyuran fikiran, (7) kekuatan ekonomi, dan (8) kekuatan politik.
Natijah dari petunjuk-petunjuk tersebut, Pierre Bourdieu menyifatkan kedudukan, kepentingan atau kejayaan bidang-bidang ilmu itu terbahagi kepada kelas atasan dan kelas bawahan. Bidang-bidang ilmu dasar menjadi terabai atau terpencil disebabkan kekuatan modal-modal lapan petunjuk bidang-bidang ilmu sains, ekonomi dan perundangan itu. Ini disebabkan bidang-bidang ilmu sains, ekonomi dan perundangan itu dikuasai oleh golongan atasan, yang akhirnya menindas bidang-bidang ilmu yang dikuasai oleh golongan bawahan.
Lebih memburukkan keadaan apabila bidang-bidang ilmu dasar itu bertindak melulu mengikut telunjuk bidang-bidang ilmu yang diperalat untuk menindas tersebut menerusi kaedah saintifik yang dipaksakan ke atas bidang-bidang ilmu dasar walaupun pada hakikatnya tidaklah saintifik sebagaimana dalam bidang-bidang sains di makmal sehingga menyuburkan keadaan yang disifatkan oleh Pierre Bourdieu sebagai pencemaran itu berterusan berlaku.
Dalam kata lain, pelbagai kaedah-kaedah ilmiah lain dalam tradisi penulisan Islam juga tiada dapat dihidupkan. Misalnya kini setiap kajian siswazah sama ada sains, kemanusiaan atau agama perlu mengemukakan kenyataan masalah, sorotan literatur, metodologi, objektif, manakala jika seseorang hanya mengemukakan sebuah kamus yang disusun sahaja tanpa bab pengenalan itu semua, ini mustahil diterima kerana tidak akan dianggap saintifik—kuasa penindasan itu yang menentukan siapa sarjana, apa yang dianggap sah sebagai kajian dan membantutkan daya cipta sarjana. Akhirnya meskipun keadah saintifik yang diamalkan itu dianggap objektif namun di sebaliknya adalah perancangan subjektif yang direncanakan oleh kekuasaan menindas yang subur di universiti.
Itu seharusnya mengingatkan umat Islam kepada para Sahabat pada zaman Rasulullah yang ramai dari golongan hamba abdi, yatim piatu dan fakir miskin walaupun taraf hidupnya rendah menurut nilai dari sudut kebendaan, namun mereka mampu memahami pendidikan Rasulullah, berbanding golongan para pembesar Jahiliah yang meskipun dipandang mulia dari sudut kebendaan, tetapi fikirannya tidak mampu memahami pendidikan tinggi yang ditawarkan Rasulullah, malah menindas pula golongan bawahan yang memahami pendidikan tinggi, dan pendidikan tinggi itu perlu dilakukan pula secara senyap di rumah al-Arqam.
Malah dalam sejarah kebudayaan Melayu juga turut mengulang semula keadaan zaman Rasulullah itu seperti menurut al-Attas (1972), bahawa fikiran tinggi dalam Islam khususnya pemikiran ilmu tasawwuf itu bukan sahaja dipelajari oleh golongan istana, tetapi turut merebak ke rakyat jelata sehingga menghasilkan karya-karya ilmiah yang bernilai tinggi, berbeza dengan amalan-amalan keagamaan sebelum kedatangan Islam yang tertutup untuk golongan istana dan tiada mampu menghasilkan para pemikir, malah cenderung terhadap takhyul berbanding pengetahuan akliah.
Justeru sebenarnya tidaklah pelik jika terdapat orang kaya atau golongan atasan yang melakukan perbuatan yang tidak selayaknya dilakukan jika mereka mengenal apa yang bernilai tinggi dan apa pula yang bernilai rendah, sama ada perbuatan seperti menyanyi tanpa tujuan menyanyi tersebut, ataupun seperti pengabaian bidang-bidang ilmu dasar dengan memperalat bidang-bidang ilmu sains, ekonomi dan perundangan demi kepentingan politik atau ekonomi semata-mata.
Rujukan
Al-Attas, S.M.N. (1972). Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu: Suatu Mukaddimah mengenai Peranan Islam dalam Peradaban Sejarah Melayu-Indonesia, dan Kesannya dalam Sejarah Pemikiran, Bahasa, dan Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: UKM
Pierre Bourdieu, (1988). Homo Academicus, translated by Peter Collier. California: Stanford University Press