Mas Elizawati Mohamad (Malaysia)
Pandemik di sekitar tahun 2020 yang melanda masharakat di seluruh dunia telah mengakibatkan ramai orang berada dalam keadaan huru-hara. Berjuta manusia kehilangan nyawa, yang hidup pula hilang pekerjaan, kehidupan sosial terhenti serta rutin harian terganggu. Keadaan normal seolah-olah tidak pernah wujud. Tiada apa yang dapat menyediakan kita untuk sesuatu yang baru seperti novel coronavirus 19 (atau dikenali sebagai Covid-19). Salah satu rutin terpenting yang terjejas teruk disebabkan oleh serangan jangkitan ini melibatkan sektor pendidikan. Pendidikan anak-anak dan remaja dari semua peringkat umur – mereka yang merupakan tonggak negara di masa hadapan seakan-akan terhenti secara mendadak. Kerajaan di seluruh dunia melaksanakan langkah drastik untuk mengelakkan peningkatan jumlah kematian akibat penyakit misteri ini. Melihat kepada cara ibu bapa di rantau ASEAN bertindak balas terhadap konsep pembelajaran maya sebagai model baru pembelajaran, jelaslah bahawa penyelesaiannya belum dipetakan bagi membantu demografi atau kumpulan masharakat yang memerlukan bantuan dan perhatian lebih, yakni golongan yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai alat pembelajaran yang cukup untuk mengikuti sistem baru ini.
Di Malaysia, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (‘PKP’) pada 18 Mac 2020, menghentikan semua operasi perkhimatan dan perniagaan, kecuali bagi Perkhidmatan Perlu (‘essential services’) seperti perubatan, minyak, gas, elektrik dan air. Penutupan sekolah dan tempat bekerja yang tidak penting – di bawah kategori Perkhidmatan Bukan Utama (‘non-essential services’) – bermakna kanak-kanak dan ibu bapa perlu membiasakan diri mereka dengan pembelajaran dalam talian, dan mekanisme yang berkisarkan jenis interaksi ini. Ibu bapa yang bekerja dari rumah mesti menyesuaikan diri di antara mesyuarat maya mereka dan memenuhi keperluan anak-anak mereka semasa kelas dalam talian, terutamanya mereka yang berada di prasekolah dan peringkat awal sekolah rendah. Walau bagaimanapun, apabila mesyuarat bertindih dengan waktu kelas anak, kerja pejabat terpaksa diutamakan dan diberi lebih perhatian daripada pembelajaran dalam talian.
Semestinya, model pembelajaran dalam talian akan berfungsi secara optimum apabila semua ahli keluarga dipaksa berkhemah di rumah. Malangnya, apabila sektor ekonomi mula dibuka secara perlahan-lahan, semakin ramai penjaga yang perlu berada di tapak pekerjaan tidak dapat melaburkan masa untuk pendidikan dalam talian anak-anak mereka. Tetapi mereka yang mempunyai anak yang lebih besar, tinggal bersama keluarga besar atau ada pembantu rumah, dapat mengalihkan tugas penyeliaan kelas maya kepada individu-individu tersebut. Namun, seperti semua sistem buatan manusia, pembelajaran maya datang dengan halangan dan batasannya sendiri. Kanak-kanak kecil secara amnya mempunyai rentang perhatian yang singkat dan perlu rehat yang berjadual untuk mengelakkan diri mereka daripada rangsangan yang berlebihan. Selain itu, kekurangan sambungan internet untuk isi rumah berpendapatan rendah juga memaksa pelajar yang terlibat untuk meninggalkan sama sekali kelas dalam talian dan sebaliknya mengambil tugasan bercetak dari perkarangan sekolah mereka sebagai sumber pembelajaran ketika kes Covid tengah meningkat.
Walaupun sekolah telah dibenarkan buka secara bergilir-gilir supaya tidak ramai murid berada di sekolah pada satu masa, masih juga terdapat permintaan di kalangan sesetengah ibu bapa untuk pembelajaran dalam talian yang berterusan kerana kenaikan kes Covid harian baharu. Para penjaga yang terlalu risau tentang anak-anak mereka lebih rela membiarkan mereka tinggal di rumah daripada mendedahkan mereka kepada kemungkinan jangkitan di persekitaran sekolah. Dengan peralihan Malaysia secara beransur-ansur kepada fasa endemik, beberapa ibu bapa menyuarakan kebimbangan mengenai kesesuaian aktiviti fizikal seperti berenang dan kelas pendidikan jasmani atau gim.
Di negara jiran Singapura pula, pendekatan berpusat (‘centralized’) dan atas ke bawah (‘top-down’) oleh pihak kerajaan untuk menangani wabak Covid membawa perubahan pendidikan yang terurus dan adaptif. Malah, terdapat percubaan pembelajaran dalam talian sebelum kerajaan melaksanakan pemutus litar (atau ‘circuit breaker’ yang sama seperti PKP di Malaysia) untuk menutup semua perkhidmatan tidak perlu. Langkah ini sedikit sebanyak menyediakan demografi pelajar tentang apa yang akan diharapkan dari segi akademik semasa penutupan sekolah kerana Covid. Apabila pemutus litar dikuatkuasakan secara rasmi pada 7 April, para pelajar datang ke dalam kelas dalam talian dengan pengetahuan sepenuhnya tentang aspek pembelajaran tersebut. Di samping itu, hakikat bahawa kebanyakan guru telahpun dilatih untuk kemungkinan e-pembelajaran sejak kejadian wabak SARS tahun 2003, menyumbang sebahagian besarnya kepada kejayaan pembelajaran berasaskan rumah (‘home-based learning’ atau HBL) ini di seluruh negara.
Sementara itu, penggunaan aktif portal pembelajaran dalam talian nasional yang sedia ada, Ruang Pembelajaran Pelajar (‘Student Learning Space atau ‘SLS’) membantu e-pembelajaran berlangsung dengan lebih mudah kerana ia membenarkan para guru berkongsi sumber pelajaran tersuai yang boleh diakses oleh pelajar secara bebas dan mengikut kadar pemahaman mereka sendiri. Selain daripada bahan pelajaran, pelajar dapat mengambil kuiz dan aktiviti dari mana guru dapat menilai kemajuan mereka dan seterusnya menangani sebarang jurang pengetahuan. Dengan kebolehcapaian rancangan pengajaran dan sumber kurikulum pada SLS, ia mengurangkan beban guru dengan menyingkirkan keperluan untuk memindahkan banyak bahan fizikal dalam talian.
Malangnya, melalui metodologi atas ke bawah (‘top-down), kerajaan tidak dapat meramalkan beberapa masalah yang akan berlaku di luar sana, seperti akses yang tidak saksama kepada HBL untuk kumpulan pelajar yang terdedah. Bagi kanak-kanak dengan status sosioekonomi rendah (‘socioeconomic status’ atau SES’), mereka tidak mampu untuk memiliki sama ada peranti digital atau sambungan Wifi atau kedua-duanya sekali. Kekurangan ruang kerja bagi mereka yang tinggal di rumah pangsa sewa juga menjadikan HBL bukan pengalaman yang kondusif. Kanak-kanak berkeperluan khas yang memerlukan pengajaran secara bersemuka juga merupakan satu lagi kumpulan yang terdedah, serta kanak-kanak yang ibu bapanya bekerja dalam perkhidmatan perlu. Namun begitu, Singapura pantas bertindak balas dan melancarkan rancangan melalui Kementerian Pendidikan untuk meminjamkan peranti kepada kumpulan sasaran, dan membenarkan kanak-kanak yang tidak ada sebarang pengganti penjaga atau memerlukan penglibatan bersemuka untuk datang ke sekolah sepanjang tempoh pemutus litar.
Secara kontras, satu lagi jiran rapat Indonesia, mengambil tindakan yang berbeza di mana pendekatan secara desentralisasi ditekankan dan dijalankan. Penutupan dan penyekatan (‘lockdown’) berlaku secara berperingkat dan tidak pernah mencapai tahap yang ketat seperti di negara-negara lain. Walaupun Presiden mengesyorkan dalam ucapan di seluruh negara pada 15 Mac bahawa rakyat Indonesia lebih baik bekerja dari rumah, beliau menyerahkan keputusan penutupan kepada pihak wilayah dan daerah. Misalnya, dari segi persekolahan, Jakarta dan wilayah lain yang berkenaan dapat menutup sekolah mereka pada tarikh yang sama. Walau bagaimanapun, semua sekolah hanya ditutup secara rasmi pada 24 April untuk seluruh negara.
Pelaksanaan Pembatasan Sosial Berskala Besar (‘PSBB’) – versi sekatan berskala besar di Indonesia – juga dilakukan secara beransur-ansur kerana permohonan untuk PSBB daripada kerajaan wilayah mesti diluluskan terlebih dahulu oleh kementerian berkaitan. Dalam keadaan ini, beberapa kerajaan tempatan seperti Jakarta memohon PSBB pada 2 April dan mendapat kelulusan untuk tarikh berkuatkuasa pada 10 April, manakala permohonan beberapa kerajaan wilayah lain pula ditolak serta merta dan ditangguhkan untuk kelulusan kemudian.
Bila persekolahan dari rumah telah diumumkan, para ibu bapa yang terpaksa memainkan dua peranan sebagai pencari nafkah dan juga guru, mengalami tekanan yang membawa kepada kes penderaan lisan dan emosi kanak-kanak. Ia telah didokumenkan bahawa kes penderaan kanak-kanak meningkat secara ketara dalam tempoh tiga minggu dari 12 Mac hingga 2 April 2020. Ibu bapa yang kehilangan sumber pendapatan atau menganggur akibat wabak Covid, lebih cenderung untuk meluahkan kekecewaan mereka kepada anak-anak. Oleh sebab itu, pemahaman yang lebih luas tentang konsep asas aktiviti pembelajaran dalam talian mesti ditangani supaya ibu bapa, guru dan pelajar dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan kaedah pengajaran yang baru ini.
Tindak balas yang berbeza daripada kerajaan dan pihak berkepentingan (‘stakeholders’) akademik di ketiga-tiga negara ini, menunjukkan rumitnya sistem geopolitik setiap negara, susunan hierarki yang berkaitan dan sejarah domestik mereka. Akibatnya, ini mempengaruhi cara ibu bapa dan pelajar bertindak balas terhadap dasar pendidikan dan jika mereka boleh mempercayai pihak kerajaan dapat melaksanakan program akademik secara teratur dan rasional. Memandangkan wabak Covid akan terus ada pada masa yang terdekat, semua pihak mestilah menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran yang boleh menangani sebarang isu berkaitan Covid. Di era Covid ini, kemiripan normal (‘semblance of normalcy’) terhadap pembelajaran dalam talian akan membuka jalan kepada pendekatan pendidikan yang lebih mantap dan relevan untuk generasi akan datang.