TERJEMAHAN KARYA AGUNG ISLAM DALAM BAHASA CINA
Muhammad Afiq (Malaysia)
Mungkin masih belum terlewat untuk mengucapkan tahniah kepada Y.A.B. Perdana Menteri
Malaysia ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kembali mengejutkan pentas politik sebagai
kerajaan dengan ucapan-ucapan yang menggunakan perbendaharaan kata bahasa Melayu
yang jarang digunakan oleh ahli politik lain. Bagi yang mengikuti perkembangan politik
tanah air sejak 30 tahun dahulu, sudah pasti memahami bahawa Anwar Ibrahim ialah seorang
ahli politik yang amat mementingkan penguasaan bahasa memandangkan beliau sendiri ialah
lepasan bidang Pengajian Melayu yang pernah menuntut ilmu dengan Tan Sri Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas. Selain bahasa Melayu sebenarnya Anwar Ibrahim juga pernah
giat mempromosikan bahasa Mandarin sewaktu menjawat jawatan sebagai Menteri
Pendidikan dahulu.
Baru-baru ini beliau juga menyarankan agar orang muda membaca karya-karya agung
dunia dengan merujuk kepada sekeping ilustrasi. Dalam ilustrasi tersebut menunjukkan para
pekerja dalam pejabat Anwar Ibrahim membaca karya beberapa tokoh sarjana silam iaitu
Socrates, Lao Tze, Confucius dan Abu’l Fath al-Busti. Itu juga menunjukkan penekanan
terhadap pemikiran Cina mungkin kerana sehingga kini universiti di Malaysia sendiri jarang
melahirkan pakar dalam pemikiran Cina. Itu mungkin pula disebabkan tujuan universiti kini yang kurang mementingkan pengajian falsafah dan kemanusiaan. Lebih buruk lagi sekiranya pemikiran Cina hanya disempitkan kepada tokoh seperti Confucius dan Lao Tze sahaja sedangkan pada masa kini di negara China sendiri telah banyak menerbitkan buku-buku karya agung Islam yang diterjemahkan dalam bahasa Cina.
Menurut Mi Shoujian & You Jia dalam karyanya bertajuk Islam in China yang
diterjemahkan oleh Min Chang terbitan China Intercontinental Press pada tahun 2004,
kegiatan terjemahan dan penulisan karya Islam di China direkodkan telah giat berlangsung
sejak abad ke-17 menerusi pendidikan di masjid. Mereka yang terlibat sewaktu itu adalah dari
kalangan alim ulama’ yang mahir dalam empat aliran fikiran di China iaitu Konfusius,
Buddha, Tao dan Islam. Karya-karya kebanyakannya ditulis dalam bahasa Arab oleh sarjana
China sendiri kemudian diterjemahkan ke bahasa Cina. Ada karya yang khusus untuk etnik-
etnik Islam tertentu seperti Hui dan Han, manakala ada karyanya untuk kaum Muslimin
umumnya.
Antara karya agung silam yang diterjemahkan dalam bahasa Cina sekitar abad ke-17
itu adalah terjemahan Lawa’ih karya Jami’ yang diterjemahkan oleh Liu Chih (h. 1660 – w.
1739) seorang alim pada zaman Dinasti Qing yang pada masa kini telah dikaji oleh Sachiko
Murata dalam bukunya yang bertajuk Chinese Gleams of Sufi Light terbitan State University
of New York Press pada tahun 2000. Lawa’ih karya Jami’ itu juga antara karya yang menjadi
rujukan dalam mendalam pemikiran Hamzah Fansuri di Alam Melayu yang telah dikaji oleh
Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya yang bertajuk The Mysticism
of Hamzah Fansuri, iaitu kajian PhD beliau di SOAS yang mengkaji tiga naskah Jawi karya
Hamzah Fansuri iaitu Asraru’l-‘Arifin, Sharabu’l-‘Ashiqin dan al-Muntahi yang diterbitkan
oleh Universiti Malaya pada tahun 1970.
Pada masa kini pula terdapat beberapa karya agung Islam yang telah diterjemahkan
dalam bahasa Cina oleh penterjemah masa kini di China. Karya-karya ini wajarlah sekiranya
dipelajari di sekolah-sekolah Cina di Malaysia terutamanya pada peringkat menengah atas
sama ada sebagai rujukan subjek Sastera Cina mahupun lebih khusus lagi sebagai kandungan
mata pelajaran khusus bagi subjek Pendidikan Islam di sekolah-sekolah jenis kebangsaan
Cina sama ada sekolah kerajaan mahupun sekolah swasta. Untuk itu karya-karya ini
haruslah dipelajari di peringkat universiti terlebih dahulu oleh para pensyarah bagi program
Sastera Cina dan Pendidikan di institut-institut, maktab-maktab dan universiti-universiti yang
melatih para guru yang bakal mengajar subjek-subjek tersebut.
- Terjemahan 23 jilid Karya-karya Agung Parsi (汉译波斯经典文库) dalam bahasa Cina
terbitan The Commercial Press Beijing
The Commercial Press (商务印书馆) adalah rumah penerbitan moden pertama di negara
China yang ditubuhkan pada tahun 1897 di Shanghai. Pada mulanya mereka hanya terbitkan
buku laporan dan perniagaan. Namun demikian, pada tahun 1905 mereka telah bergabung
dengan sebuah perniagaan buku Jepun dan sejak itu mereka mula menerbitkan buku-buku
turath Cina. Pada tahun 1954 mereka pindah ke Beijing dan mula menerbitkan buku-buku
turath seluruh dunia bukan sahaja turath Cina. Inilah yang telah ghaib dalam kalangan
penerbit-penerbit buku ilmiah di Malaysia: buku-buku turath dianggap tidak sesuai dengan
masa kini, manakala buku-buku masa kini sahaja yang dianggap sesuai dengan masa kini, akibat
pensekularan akal dan pensekularan hati. Koleksi terjemahan ini asalnya diterbitkan oleh
Hunan Literature and Art Publishing House (湖南文藝出版社), yang ditubuhkan pada tahun 1985,
sebanyak 18 jilid. Naskah 18 jilid tersebut juga pernah dijadikan hadiah kerajaan China
kepada kerajaan Iran untuk hubungan diplomatik dan kebudayaan. Naskah 23 jilid ini pula
adalah pembetulan terjemahan dan terjemahan semula dari karya terjemahan 18 jilid tersebut.
Karya-karya dalam koleksi 23 jilid ini adalah 6 jilid Mathnawi (玛斯纳维全集) karya Rumi (梅夫拉
那·贾拉尔-阿德-丁·穆罕默德·鲁米), 2 jilid Diwan (哈菲兹抒情诗全集) karya Hafez (沙姆斯丁·穆罕默德 ·哈菲兹), Ruba’iyat (鲁拜集) karya Omar Khayyam (欧玛尔·海亚姆), Bustan (果园) karya Sa’di (萨迪),
Gulistan (蔷薇园) karya Sa’di (萨迪), 8 jilid Shahnameh (列王纪全集) karya Firdawsi (菲尔多西),
Sha’ir (内扎米诗选) karya Nizami (内扎米), Layla Majnun (蕾莉与马杰农) karya Nizami (内扎米),
Sha’ir (鲁达基诗集) karya Rudaki (鲁达基), dan Beharistan (贾米 春园) Jami’ (贾米).
- Terjemahan 2 Jilid Ihya’ ‘Ulum al-Din (圣学复苏精义) karya al-Ghazali (安萨里) dalam
bahasa Cina, diterbitkan oleh The Commercial Press Beijing
Ihya’ ’Ulum al-Din (圣学复苏精义) karya al-Ghazali (安萨里) ini diterjemahkan oleh Zhang
Weizhen (张维真) iaitu seorang ’alim yang berkhidmat sebagai pengetua di Sekolah Linxia (临夏
外国语学校). Beliau mendapat pendidikan di Iraq dan Malaysia dan pernah berkhidmat sebagai
Dekan di Najiaying College of Islamic Culture (纳家营伊斯兰文化学院). Jarang atau tidak pernah
pengetua sekolah-sekolah di Malaysia yang menterjemahkan karya agung Islam. Kenapa itu
terjadi? Mungkin disebabkan latihan untuk guru-guru sewaktu di maktab, institut atau
universiti yang dikecilkan hanya untuk industri, bukan untuk kegiatan perbukuan, terjemahan
apatah lagi untuk memahami karya agung Islam itu sendiri juga mungkin tidak begitu diberi
penekanan dan peruntukan yang sewajarnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan
Kementerian Pendidikan di Malaysia.
- Terjemahan 2 jilid Fusus al-Hikam (智慧珍宝) karya Ibn ’Arabi (伊本·阿拉比) dalam
bahasa Cina terbitan Social Sciences Academic Press China
Fusus al-Hikam (智慧珍宝: 翻译, 注释与研究. 上册) karya Ibn ’Arabi (伊本·阿拉比) ini
diterbitkan oleh Social Science Academic Press (社會科學文獻出版社) iaitu sebuah penerbit di
negara China yang menerbitkan buku-buku bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan iaitu
Bahasa, Pendidikan, Sejarah, Sosiologi, Ekonomi, Perundangan dan Alam Sekitar, yang
ditubuhkan pada tahun 1985 di bawah Chinese Academy of Social Sciences. Inilah yang telah
ghaib dalam fakulti-fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Malaysia: tiada mengkaji
pemikiran Ibn ’Arabi sedangkan karya-karya Ibn ’Arabi itulah sumber terpenting dalam
Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
- Terjemahan Rihlah (游记) Ibn Battutah (伊本·白图泰) dalam bahasa Cina, terbitan China
Ocean Press
Rihlah (异境奇观:伊本·白图泰游记(全译本)) Ibn Battutah (伊本·白图泰) ini diterbitkan oleh
China Ocean Press iaitu sebuah penerbit di negara China yang banyak menerbitkan buku-buku perihal hidupan laut, pelayaran, biologi marin, dan seumpamanya. Inilah yang telah
ghaib dalam fakulti-fakulti Sains di Malaysia: tiada mengkaji khazanah Islam yang berkaitan
dalam fakultinya dan lebih kepada khazanah Pembaratan, Perindustrian dan Pensekularan.
Yang ada mungkinlah para graduan yang terpaksa mendapatkan bimbingan daripada fakulti
Sains sesebuah universiti di Malaysia bagi mengkaji karya turath Sains namun bukan sebagai
graduan fakulti Sains itu sendiri, yang bermakna kajian sedemikian itu seolah-olah
dianaktirikan, tidak dianak-kandungkan oleh fakulti Sains.
- Terjemahan Muqaddimah (历史绪论) karya Ibn Khaldun (伊本·赫勒敦) dalam bahasa Cina,
terbitan Ningxia People’s Publishing House
Muqaddimah (历史绪论) karya Ibn Khaldun (伊本·赫勒敦) ini adalah satu daripada siri
karya warisan Islam (阿拉伯经典著作译丛) yang diterbitkan oleh Ningxia People’s Publishing
House (宁夏人民出版社) iaitu rumah penerbitan yang ditubuhkan pada tahun 1958 yang khusus
menumpukan kepada sejarah Islam dan etnik Hui di China menerusi penerbitan dan jualan
buku, majalah, filem, dan juga pendidikan dan periklanan. Pada masa kini di Malaysia
mungkin tiada syarikat yang mampu merencana pemikiran Islam dalam pelbagai media. Apa yang jelas, bahawa usaha penerbitan and pengedaran karya agung Islam dalam bahasa Cina seperti ini harus digiatkan di nusantara. Tentulah guru-guru di sekolah Cina mampu menjadi pemula bicara pada dialog antara-budaya yang memartabatkan tahap cendekiawan masyarakat kita.
RUJUKAN AKHBAR
The Straits Times (Weekly Overseas Edition), 16 September 1995. Anwar urges Malaysians
to learn Mandarin. Hlm. 10. (online)
https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Page/stoverseas19950916-1.1.10
The Straits Times (Weekly Overseas Edition), 8 Januari 1994. Wo men yi jia ren, says
Anwar. Hlm. 10. (online)
https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Page/stoverseas19940108-1.1.10
The Straits Times (Weekly Overseas Edition), 6 Januari 1990. Chinese language in M’sia will
not die: Anwar. Hlm. 2. (online)
https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Page/stoverseas19900106-1.1.2
The Straits Times (Weekly Overseas Edition), 22 Oktober 1988. Govt would like students of
all races to learn Mandarin, says Anwar. Hlm. 9. (online)
https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Page/stoverseas19881022-1.1.9
The Straits Times (Weekly Overseas Edition), 27 Ogos 1988. Learn Chinese, too, Anwar tells
Malay students. Hlm. 10. (online)
https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Page/stoverseas19880827-1.1.10