Mas Elizawati Mohammad Ali

Sejak kebelakangan ini, hujan lebat sering turun membasahi bumi lewat tengah malam. Selepas hujan berhenti, suhu pun turun lalu menyejukkan kawasan sekeliling dan membuat semua tidur dengan nyenyak sampai ke subuh. Memang terasa lega sungguh setelah gelombang haba (heatwave) menjadi perkara yang lazim dalam kehidupan seharian kita di Malaysia untuk tiga bulan yang panjang. Walaupun demikian, suhu harian tetap lagi mencecah sekitar 31 hingga 35°C sekaligus masih mengakibatkan ketidakselesaaan untuk seseorang menjalankan aktiviti luar untuk jangka masa yang lama.

Di Malaysia, suhu mula naik pada pertengahan bulan puasa sehingga tiba masanya untuk kembali ke sekolah selepas cuti Raya. Keadaan cuaca yang melampau mula dikesan di bahagian utara Semenanjung Malaysia, di mana corak suhu melebihi 35°C untuk tiga hari berturut-turut telah dicatatkan. Mengikut takrifan Jabatan Meterologi Malaysia, suhu melebihi 35°C selama tiga hari di sesuatu lokasi dianggap sebagai gelombang haba. Sehingga 12 Mei 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sejumlah 14 kes penyakit berkaitan haba semasa keadaan cuaca panas yang luar biasa. Bila kes strok haba yang membawa maut di kalangan kanak-kanak sekolah mendapat perhatian media secara meluas, golongan ibu bapa telah meluahkan perasaan bimbang tentang situasi yang mendesak ini.

Kejadian strok haba dianggap serius bila ia telah membawa kepada dua kes kematian kanak-kanak (bayi 7 bulan dan budak lelaki sebelas tahun) di Kelantan. Antara simptom-simptom strok haba yang perlu diperhatikan ialah kekejangan akibat panas, diikuti dengan tanda-tanda suhu badan mencecah 39°C, degupan jantung yang cepat, pening atau sakit kepala dan keletihan yang melampau. Keadaan yang genting ini membuka jalan kepada Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (atau nama singkatannya, Kongres) untuk mencadangkan lanjutan cuti persekolahan bersasar buat negeri yang benar-benar terkesan dengan cuaca panas ekstrem. Cadangan itu diketepikan pada masa sekarang, tetapi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebaliknya telah memgumumkan pada 3 Mei untuk membenarkan para guru dan murid sekolah berpakaian baju sukan yang sopan sebagai ikhtiar menangani kemungkinan berlakunya kejadian strok haba di kawasan sekolah. Di samping itu, KPM mengeluarkan arahan larangan sebarang aktiviti luar termasuk kokurikulum murid dan pelajar sekolah untuk tujuan yang sama.

Fenomena cuaca melampau atau gelombang haba tahun ini terasa lebih mendadak berbanding tahun-tahun yang lepas. Tahun 2016 merupakan tahun terakhir di mana situasi gelombang haba telah membawa kepada pembentukan pasukan petugas (PP) (task force) pelbagai agensi khusus untuk merangka pelan tindakbalas. PP yang dipertanggungjawabkan untuk menetapkan ambang (threshold) pengisytiharan Kecemasan (atau Darurat), bersetuju pada masa itu bahawa darurat akan diumumkan apabila sesebuah kawasan merekodkan tujuh hari berturut-turut suhu melebihi 40°C. Menurut PP, perintah darurat hanya akan diumumkan setelah melepasi suhu ini kerana suhu tersebut membawa risiko yang lebih tinggi kepada orang ramai untuk mengalami komplikasi berkaitan haba, terutama mereka yang bekerja di luar rumah. Sebelum kita dapat membincangkan lagi solusi kepada masalah gelombang haba secara teliti, kita perlu memahami sebab berlakunya gelombang haba di serata dunia.

Perubahan iklim (Climate change) menyemarakkan pelbagai cuaca ekstrem di seluruh dunia tetapi perubahan yang paling jelas dihasilkan dan dirasai dengan serta-merta adalah suhu panas yang melampau. Gelombang haba yang memecahkan rekod merentasi India, Bangladesh, Laos dan Thailand pada April 2023, misalnya, berkemungkinan sekurang-kurangnya 30 kali ganda disebabkan oleh perubahan iklim. Penggunaan minyak, arang batu dan gas yang berterusan untuk menjanakuasa rumah, kereta dan ekonomi dunia mengakibatkan pembebasan gas yang menyelubungi Bumi, lalu memerangkap lebih banyak tenaga matahari di atmosfera dan tidak dapat membiarkan sebahagian besar daripadanya terlepas di luar atmosfera.

Jika dilihat pada kadar pemanasan global (global warming) untuk planet kita, mungkin ada hikmah di sebalik penemuan koronavirus pada awal tahun 2020. Pandemik Covid-19 telah memaksa penduduk di seluruh dunia melakukan sekatan pergerakan (lockdown) beramai-ramai (en masse) di kediaman masing-masing. Aktiviti harian dijalankan secara ketat di bawah pengawasan polis dan sebilangan besar perniagaan diperintahkan untuk ditutup kepada orang awam. Hanya premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan perlu (essential services) sahaja dibenarkan untuk beroperasi. Secara tidak langsung, bencana virus ini membolehkan bumi mendapat penangguhan sementara (temporary reprieve) daripada terus ‘dirosakkan’ dan ‘didera’ dengan pelbagai pencemaran yang membawa kebinasaan kepada manusia, haiwan dan tumbuhan secara beransur-ansur.

Tiga tahun kemudian, apabila perintah kawalan pergerakan telah banyak dilonggarkan dan penyakit koronavirus telah bertukar status daripada pandemik kepada endemik, pelbagai kes gelombang haba datang kembali dengan penuh agresif. Haba yang terperangkap di atmosfera juga berkaitan dengan kenaikan suhu permukaan lautan yang kini berada di paras paling tertinggi pernah direkodkan. Malah, para saintis berasa takut bahawa lautan mungkin sudah mencapai had kebolehannya untuk menyerap haba. Ini bermakna lebih banyak lagi haba akan tersekat di atmosfera dan seterusnya mencecah rekod termometer yang melambung tinggi.

Malangnya, gelombang haba berpotensi menjadi lebih buruk pada tahun ini apabila fenomena cuaca El Nino muncul pada waktu sama, menandakan lebih banyak cuaca panas dan kemarau di rantau Asia. El Nino berlaku bila pengaliran arus lautan panas dan sejuk beredar di sekeliling perairan laut Bumi. Pakar kesihatan, KKM dan pencinta alam sekitar menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan situasi gelombang haba menjadi berpanjangan disebabkan kedatangan El Nino dengan corak arus lautannya. Walaupun Malaysia diramalkan untuk melalui fenomena El Nino yang lemah mulai Jun dan seterusnya, intensiti fenomena cuaca akan meningkat kepada tahap sederhana menjelang November, dan sejurus itu mengakibatkan pengurangan 20% hingga 40% dalam jumlah hujan yang turun.

Berbalik kepada hal ilmiah, pengumuman KPM pada akhir bulan Mei untuk melanjutkan pemakaian baju sukan di sekolah telah disambut dengan baik oleh para ibu bapa. Dengan sokongan data dan pendapat daripada KKM dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, KPM tidak menetapkan tempoh kebenaran bagi murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya untuk memakai pakaian atau baju sukan semasa cuaca panas begini. Sehingga sekarang, para murid masih lagi diberikan kelonggaran untuk memakai baju sukan ke sekolah, kecuali apabila ada seisi fotografi kelas atau kelab yang memerlukan mereka berpakaian uniform penuh.

Meskipun tindakan pelbagai pihak berkuasa (KKM, KPM dan lain-lain) bertujuan meringankan beban dan kesan gelombang haba kepada rakyat berbilang bangsa dan umur, segala perintah hanya berupaya untuk merawat gejala dan bukannya memberi penyelesaian yang berkekalan kepada punca gelombang haba pada waktu sekarang atau masa hadapan. Pemakaian baju sukan dan pengehadan aktiviti luar darjah dapat mengurangkan risiko kejadian strok haba, tetapi apabila mereka tidak terdedah kepada haba, masalah gelombang haba akan dilupakan dan tidak selesai dalam erti sebenar. Ya, anak-anak perlu dilindungi; ya, hasil pertanian mesti dijaga; ya, punca mata pencarian mesti diperkasa – semua inisiatif menjadi sia-sia belaka sekiranya sikap manusia tidak berubah untuk membela nasib Bumi tercinta.

Pihak kerajaan mestilah menwujudkan kesedaran di kalangan masyarakat Malaysia supaya masalah gelombang haba dapat dibaikpulih sepenuhnya untuk kelangsungan hidup generasi akan datang. Sememangnya, pembentukan pasukan petugas (task force) untuk memerangi fenomena gelombang haba amat dialu-alukan. Tetapi, jika orang awam tidak sedar tentang bagaimana kelakuan mereka akan memburukkan lagi masalah ini, solusi jangka panjang malangnya tidak dapat direalisasikan. Kempen kitar semula perlu dilaksanakan dengan penuh bersungguh-sungguh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Had untuk pelepasan karbon di sesuatu tempat terutamanya di kawasan bandar atau bandaraya perlu dipantau secara konsisten dan ketat. Di peringkat sekolah pula, bengkel kesedaran sivik yang dianjurkan dapat mempertengahkan isu perubahan iklim secara amnya dan gelombang haba secara khususnya.

Bila bercakap tentang fenomena gelombang haba ataupun kejadian strok haba, segala perbincangan berbentuk pesimis apatah lagi berbau politik, hendaklah ditolak sama sekali. Antara menyenangkan hati ibu bapa dan mengekalkan tadbir urus sekolah yang teratur, pihak sekolah mesti pandai mengemudi isu sensitif berkaitan kecenderungan murid terkena strok haba ketika mengerjakan aktiviti luar. Pihak pentadbiran yang sentiasa menitikberatkan kesejahteraan para pelajarnya akan mendapat kepercayaan penuh daripada ibu bapa dan penjaga dalam melakukan apa sahaja yang penting untuk warga sekolah mereka. Rasa bimbang dan gelisah pun hilang. Peneguhan positif (positive reinforcement) seperti inilah yang akan menjayakan pelbagai program kesedaran alam sekitar di peringkat daerah mahupun di peringkat negeri. Langkah-langkah yang bijak lagi bernas akan menghalang ‘arus’ negatif dari terus mencemarkan diskusi tentang gelombang haba dan pemanasan global.

Leave a Reply