RENCANA PENGAJARAN
KHALINA M. KHALILI, Ph.D. (Malaysia) – perkongsian tentang bagaimana untuk menarik minat pelajar bagi mempelajari topik yang memerlukan hafalan dan latihan tubi seperti sifir, ejaan, hafazan al-Quran dan lain-lain. Topik yang diutarakan adalah pengajian kalam atau lebih khusus lagi, Sifat 20. Teknik kali ini menggabungkan kesenian dan faktor sejarah dalam menghasilkan suatu manuskrip ala-ala zaman silam.
Dalam proses pengajaran bertema, apa yang utama adalah suatu tajuk yang dibincangkan dalam berbagai subjek atau disiplin ilmu. Contohnya, jika kita membincangkan tentang alam atau cakerawala, kita dapat membincangkannya dari sudut sains, matematik, geografi dan agama. Bukan itu sahaja! Apabila kita mengumpulkan semua karya insan sepanjang zaman, kita dapat menikmati begitu banyak nukilan, karangan, lukisan, gambar fotografi dan rekacipta objek yang dicetuskan oleh tajuk ini.
Ini ertinya apa?
Ertinya, tajuk sebegini tidak khusus kepada subjek sains semata. Sebagaimana para pelajar yang merupakan anak-didik kita, kita sendiri sebagai seorang guru tidak hanya cenderung ke satu arah atau bidang. KIta seharusnya mencetuskan minat pelajar untuk mendalami suatu topik yang baru bagi mereka dengan mengaitkannya dengan berbagai bidang ilmu yang lain, sebagai usaha kita mempermudahkan proses pembelajaran mereka.
Dalam penulisan ini, saya kongsikan rencana pengajian agama Islam yang diterapkan dengan aktiviti kesenian yang mana ilhamnya muncul dari faktor sejarah. Apa yang saya maksudkan disini adalah pengajian matan akidah. Dalam pengajian Islam, para guru agama dikalangan mazhab Asha’irah bergantung secara langsung dengan alat pedagogi yang diberi nama Sifat 20. Dalam kelas agama saya, teknik kepelbagaian mata-pelajaran telah digunakan dengan menggabungkan aktiviti kesenian menggunakan kertas ala-ala manuskrip lama untuk penulisan, bagi membangkitkan suatu kesedaran tentang sejarah ilmu.
Sifat 20, ini pada dasarnya adalah suatu proses pembalajaran yang memerlukan pelajar untuk menghafal beberapa sifat-sifat yang wajib dipercayai tentang Tuhan. Ramai yang merendahkan pedagogi tradisional seperti ini (dalam Islam dan juga agama warisan tradisional yang lain) kerana ianya dianggap suatu aktiviti pasif yang tidak melibatkan kognitif ataupun daya fikir aras tinggi mahupun pemikiran kritikal. Bagi para guru agama Islam, dan lebih-lebih lagi golongan agamawan, cara fikir sebegini menonjolkan kesilapan yang berpunca dari kegersangan ilmu. Ini kerana, dalam situasi khusus ini, tajuk sifat 20 menonjolkan 20 sifat tentang Sang Pencipta – yang mana manusia secara amnya tidak mungkin dapat mengetahuinya melainkan dengan Tuhan sendiri yang mencerahkannya melalui perantaraan para Rasul dan risalat mereka. Bagi umat Islam, al-Qur’an itulah risalah yang dimaksudkan.
Dengan bersenjatakan ilmu tentang sifat-sifat yang wajib difahami tentang Tuhan yang wujud, maka umat Islam di perlengkapkan dengan jawapan kepada persoalan-persoalan yang dapat meruntuhkan iman mereka dimasa depan. Beginilah seharusnya cara fikir seorang guru apabila membekalkan ilmu ini kepada anak-anak didiknya. Dewasa ini, ramai anak-anak akan mempersoalkan tindak-tanduk gurunya tanpa segan silu. Kita harus bersedia menyedarkan mereka dengan menulis objektif atau tujuan pembelajaran ini. Bezanya, pembelajaran sifat 20 ini, terlalu mendalam untuk mereka fahami kesemuanya secara serentak dalam satu sesi pembelajaran. Kerana itulah, hafalan juga diterapkan untuk pengajaran secara berperingkat.
Jadi apakah sifat 20 tersebut dan bagaimanakah caranya untuk murid mendapat suatu keseronokan ketika belajar?
Seperti gambar yang diutarakan diatas, saya telah menyediakan kertas minyak berwarna perang untuk di potong dengan ukuran lebar 12 cm dan ukuran panjang sebanyak 17 cm. Kemudiannya setiap, keping kertas minyak itu dibakar di bahagian ukur-lilitnya agar kelihatan usang dan antik seolah-olah ianya sekeping manuskrip lama.
Apabila kepingan ‘manuskrip’ ini diagih-agihkan kepada para pelajar, mereka sering teruja lalu bertanya bagaimana cara saya membakar setiap satu dari kepingan kertas tersebut. Tentu sekali saya menerangkan kesukaran yang dihadapi ketika membakar kertas tersebut. Dengan tujuan berjenaka, saya nasihati mereka agar “don’t do it at home” (jangan di ulang dirumah!)
Secara keseluruhannya, rencana pengajaran seperti ini telah melibatkan beberapa keupayaan dikalangan pelajar seperti keupayaan menyanyi, menulis kaligrafi, kesedaran sejarah selain dari objektif utama iaitu mengenal Tuhan (ma’rifatullah). Dari sudut sentuhan sejarah pula, pelajar diberi kesedaran akan cara penulisan keilmuwan di masa silam ketika mesin pencetak belum lagi dicipta. Setiap warkah ilmu dan buku-buku yang menyampaikan risalah akidah dan keilmuan dunia harus ditulis dengan tangan. Kertas-kertas juga tidak mudah di miliki, dan hanya dihasilkan untuk kegunaan golongan bangsawan. Begitu juga dengan tinta yang di gunakan. Kebolehan menulis itu sendiri tidak diajarkan kepada setiap orang dizaman lampau kerana orang kebanyakan biasanya sibuk bertani – kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pelajar harus disedarkan bahawa mereka amat bertuah dapat pergi ke sekolah dan diajar membaca dan mengira dan terus diberi peluang menuntut ilmu ke peringkat tertinggi dalam sesuatu bidang ilmu.
Walau bagaimanapun rencana pengajian Sifat 20 tidaklah sepatutnya untuk hafalan semata. Aktiviti ini hanyalah sebagai batu loncatan bagi menyediakan pelajar untuk sesi dialektik yang meningkatkan daya pemikiran mereka agar suatu hari nanti, mereka boleh memberi jawapan kepada sebarang persoalan yang timbul kerana mereka telah mula kenal Sang Pencipta dengan teknik pengajian yang diwarisi ulama Islam dari turun-temurun dan tidak pernah lapuk dek hujan atau lekang dek panas.
Tontoni video pengajaran topik aqidah yang dibincangkan oleh Ustazah Dr Khalina M. Khalili dalam bahasa Inggeris.https://youtu.be/VH-Gkrjv7U4