Rancangan Pengajaran Harian: Susah atau Senang?
oleh: Mas Elizawati Mohammad Ali
Bergantung kepada keadaan, rancangan pengajaran harian (atau nama pendeknya, RPH) boleh menjadi perkara yang merumitkan atau yang memberangsangkan sesuatu pembelajaran sebenar di dalam bilik darjah. Ia boleh menjadi panduan yang berguna jika dilakukan dengan betul, atau sesuatu yang mengelirukan jika ia dilaksanakan secara acuh tak acuh. Apabila seorang guru menulis RPH, dia akan dapat memberi tumpuan kepada objektif pembelajaran yang perlu diajar pada hari itu. Selain itu, guru dapat memastikan bahawa dia sentiasa berada di laluan yang betul untuk mencapai matlamat seperti digariskan di dalam RPH.
Sebagai seorang yang telah memasuki profesion mengajar lebih empat tahun lepas, saya sebenarnya terkejut bila mendapat tahu bahawa menulis RPH adalah sebahagian daripada keperluan asas untuk pengalaman pembelajaran yang efektif. Saya hanya telah ditugaskan sebagai guru kelas sepenuh masa tahun lepas dan disebabkan pembelajaran hampir sepanjang tahun lepas berlaku di talian, keperluan untuk menyediakan RPH tidak diutamakan. Malah, guru amat sibuk menyediakan slaid pelajaran harian dan membuat kuiz dalam talian untuk menaikkan semangat para murid bila rutin belajar masa pandemik menjadi perkara yang menjemukan.
Pembukaan kelas fizikal atau bersemuka pada awal tahun ini bermaksud menyesuaikan kendiri dengan keadaan persekolahan yang pseudo normal. Ini juga bermakna RPH boleh dilaksanakan dengan sepenuhnya untuk membuahkan hasil pengajaran yang padu. Walau bagaimanapun, perjalanan untuk mengeluarkan RPH yang paling ideal dan hebat tidak selalunya cerah dan mudah. Situasi kehidupan sebenar kadangkala menghalang kualiti dan ketepatan waktu RPH yang dihasilkan.
Artikel yang ditulis oleh pendidik prolifik di Sarawak, Encik Muhammad Nazmi bin Rosli menjelaskan masalah yang dihadapi para guru ketika menyediakan RPH mereka. Memandangkan saya bekerja di sebuah tadika milik persendirian, saya tidak begitu arif dengan cara guru beroperasi di sekolah kerajaan. Artikel ini, secara tidak langsung, menolong saya dalam memahami dengan lebih dekat lagi bagaimana kurikulum sekolah kerajaan dimanifestasikan.
Untuk memahami isu RPH yang ditulis oleh Encik Nazmi di dalam artikel ini, saya telah menyelidiki pelbagai terminologi dan akronim yang digunakan di sekolah kerajaan dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan. Pertama sekali, sesuatu objektif yang boleh diukur dan perlu dicapai akan digariskan di dalam RPH. Kedua, tindakan guru untuk melaksanakan RPH bergantung kepada peruntukan masa yang diberikan untuk satu subjek dan mengikut pelbagai tahap keupayaan pelajar. Dalam kata lain, RPH merupakan ‘eviden bagi guru bertindak sebagai perancang perlaksanaan PdPc’ (Pembelajaran dan Pemudahcaraan).
Encik Nazmi ialah seorang guru yang sebelum ini popular di media sosial dengan idea-idea PdPc yang kreatif, telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) di sekolahnya. Selepas setahun menjadi PKP, beliau membuat refleksi dan pemerhatian berkaitan guru dan tugasan RPH mereka. Menurutnya, guru akan menghasilkan RPH yang hambar apabila empat perkara ini berlaku:
- bila guru sibuk
- Selain daripada mengajar, guru di sekolah kerajaan mempunyai peranan dan fungsi lain yang perlu dilaksanakan. Mereka akan sibuk terutamanya pada musim tertentu seperti hari sukan atau perlawanan antara sekolah untuk Guru Sukan, waktu pengedaran Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk guru SPBT, dan kemasukan data dua kali setahun bagi penilaian bilik darjah (PBD) untuk guru PBD.
- bila guru menjaga terlalu banyak kelas atau mengajar terlalu banyak mata pelajaran
- Kekurangan tenaga pengajar di sesebuah sekolah menyebabkan seorang guru memikul tanggungjawab untuk menjaga beberapa buah kelas. Ini seterusnya membawa kepada penulisan RPH yang sama ada tidak lengkap ataupun ‘cukup makan’. Apabila guru perlu mengajar 6-7 kelas dalam satu hari, RPH mereka kelihatan tergesa-gesa dan tidak menangkap intipati aktiviti sebenar di dalam kelas. Jika RPH mereka pun tidak berkualiti, mana ada lagi masa untuk menyediakan Alat Bantu Mengajar (ABM) yang berfungsi untuk memudahcarakan (‘facilitate‘) pemahaman topik yang diajar.
- bila masa lapang guru digunakan secara maksimum
- Selepas seisi persekolahan tamat, guru ada pula mesyuarat kakitangan untuk dihadiri, atau aktiviti kokurikulum untuk diseliakan. Akhirnya bila hendak pulang ke rumah, mereka akan terperangkap dalam kesesakan jalanraya dan kemudian menunaikan tanggungjawab mereka di rumah pula. Ada kalanya, mereka perlu menulis minit mesyuarat atau membuat laporan pemfailan selepas mereka sampai ke rumah. Dengan kesibukan begini, kreativiti mereka sudah tentu akan terbantut dan terjejas. Ini jelas dapat dilihat melalui penyampaian pelajaran mereka (dan RPH) yang kurang menarik dan tidak berimaginasi.
- bila sekolah bersaiz kecil dan mahu melakukan segalanya
- Sekolah yang mempunyai bilangan guru yang kecil mestilah menumpukan perhatian kepada kekuatannya sahaja. Jangan membuang tenaga dan masa para guru yang wajib mengendalikan program kokurikulum yang tidak memenuhi minat atau bakat para pelajar. Sebagai contoh, sekolah kecil tidak sepatutnya terlibat dalam pertandingan menari peringkat daerah jika ia tidak mempunyai ahli murid yang berbakat dalam bidang tarian. Sebaliknya, ia boleh menyalurkan sumber dan tenaganya kepada sesuatu yang sesuai dengan kekuatan pelajar dan guru mereka seperti bermain catur.
En. Nazmi seterusnya merumuskan di dalam artikel itu bahawa pihak pentadbiran sekolah hendaklah bijak menguruskan sumber tenaga manusia dan lebih perihatin dengan keadaan sebenar di dalam kelas dan guru yang mengajar murid. Pihak ini juga perlu meneliti beban semasa tenaga pengajar dan kualiti pengajaran dan pemudahcara (PdPc) di sekolah dan mencari penyelesaian yang menguntungkan untuk semua yang terlibat.
Kekurangan tenaga pengajar, sukatan pelajaran yang lebih sukar dan fungsi kerja bukan mengajar yang mendesak telah menyumbang kepada kekurangan kreativiti di dalam RPH dan penyampaian pelajaran yang sebenar. Kerajaan memainkan peranan untuk melatih dan menetapkan wangsa guru baru yang berkualiti di setiap sekolah. Kewujudan satu sistem di mana terdapat kerjasama jangka panjang dan komunikasi lateral di antara sekolah dan pejabat pendidikan daerah mereka adalah langkah penting dalam memerangi masalah yang dihadapi oleh para guru setiap hari. Bila semua sudah teratur, pembikinan RPH menjadi lebih senang dan tidak merungsingkan guru malahpun PKP yang membacanya.