Piala Dunia: Legasi untuk Generasi akan Datang
Penulis: Mas Elizawati binti Mohammad Ali
Hari yang ditunggu-tunggukan telah tiba! Perlawanan akhir Piala Dunia FIFA akan menyaksikan sama ada Perancis atau Argentina merangkul gelaran Juara yang sangat didambakan oleh setiap pemain liga bola sepak. Permainan akan bermula pada pukul 6 petang waktu tempatan (atau 11 malam waktu Malaysia) dan berlangsung di Stadium Ikonik Lusail, lokasi terbesar untuk kejohanan ini dengan kapasiti 88,966 tempat duduk! Bermula pada 20 November yang lepas, Qatar menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia edisi ke-22, dan merupakan negara Arab dan Islam pertama yang mengacarakan kejohanan ini. Hari Ahad ini juga adalah Hari Kebangsaan Qatar yang ke-144.
Tentunya, kejohanan Piala Dunia yang diadakan setiap empat tahun ini, adalah tempat permulaan awal yang bagus untuk kanak-kanak mempelajari serba sedikit mengenai Geografi. Pertemuan 6 zon benua atau persekutuan bola sepak (Afrika, Asia, Amerika Utara dan Tengah dan Caribbean, Amerika Selatan, Oceania dan Eropah) ke dalam padang permainan bola sepak di Qatar akan menarik minat pelajar muda yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pasukan yang mereka telah menaruhkan harapan. Dengan pemahaman asas Geografi, kanak-kanak boleh dengan secara perlahan-lahan belajar mengaitkan sesuatu negara dengan lokasinya di atas glob.
Permainan ingatan (memory game) yang mudah untuk mengenalpasti bendera bagi 32 negara yang bertanding dalam Piala Dunia ialah salah satu permainan menghiburkan yang pelajar boleh turut serta untuk membiasakan diri dengan fakta tentang negara tertentu. Memadankan bendera atau negara tersebut dengan kedudukannya pada peta akan secara tidak langsung mengasahkan kemahiran spatial mereka. Kanak-kanak juga dapat meningkatkan pemahaman mereka tentang makna di sebalik perkataan benua dan mengambil tahu dengan lebih mendalam mengenai kekuatan sebuah pasukan di setiap pelosok benua.
Satu lagi permainan menarik yang dapat diperkenalkan ialah pencarian fakta penting tentang negara tuan rumah untuk Piala Dunia 2022 – daripada proses pembidaan kepada pembinaan stadium dan persiapan infrastruktur yang lain. Bila pelajar sangat terasyik dengan aktiviti mewarna 8 buah stadium besar bertaraf dunia dan dan aktiviti mencari fakta, mereka akan merasa kagum dengan kerja keras dan komitmen Qatar untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia. Di samping itu, murid akan belajar untuk menghargai latar belakang sejarah Qatar, warisan budaya dan adat resam mereka yang unik.
Di sebalik kemegahan dan skala melaksanakan projek besar seperti Piala Dunia, terdapat kos yang tinggi dari segi pencemaran alam sekitar. Semestinya, memdidik kanak-kanak tentang jejak karbon (carbon footprint) dan usaha kemampanan (sustainability measures) akan membuka jalan untuk Piala Dunia menjadi lebih ‘hijau’ pada masa hadapan. Perbincangan terbuka dengan para pelajar tentang bagaimana pelancongan dan infrastruktur menyumbang kepada sebahagian besar pelepasan karbon dioksida, mungkin boleh memberi penyelesaian yang memberangsangkan dan seterusnya menggelakkan masalah ini dari melarat.
Walaupun topik jejak karbon mungkin sukar diikuti, mendedahkan kanak-kanak lebih awal kepada isu alam sekitar akan dapat mewujudkan kesedaran untuk menjaga planet kita dengan lebih baik. Beberapa langkah kemampanan yang bijak termasuklah penggunaan bahan api alternatif yang boleh diperbaharui (alternative renewable fuels) untuk pelancongan, pembinaan venue yang lebih baik dan berdekatan antara satu sama lain dan yang juga mengguna tenaga yang rendah, dan pengurangam bilangan penonton bola sepak yang hadir secara fizikal. Dengan anggaran pelepasan (emission) yang akan meningkat sehingga 10 juta tan CO2e (carbon dioxide equivalent atau bersepadan karbon dioksida) untuk pusingan Piala Dunia kali ini, Fifa mesti melakukan peranannya, seperti yang diikrar oleh planet ini, dalam mengurangkan separuh pelepasan sedemikian menjelang tahun 2030.
Memandangkan berbilion-bilion orang berkumpul untuk menonton perlawanan bola sepak yang terunggul ini, Piala Dunia mempunyai potensi besar untuk memberikan impak sosial yang berpanjangan oleh kerana jangkauannya yang meluas di serata dunia. Melalui acara sukan seperti inilah, kesedaran dan pemahaman orang ramai tentang cabaran alam sekitar dapat dipertingkatkan. Seterusnya, mereka akan menjadi lebih cenderung untuk bertindak tanpa paksaan dan menyesuaikan tingkah laku masing-masing selaras dengan trend semasa. Pendekatan yang ‘komited dan rendah karbon’ dalam arena sukan sememangnya boleh mempengaruhi orang ramai untuk membuat dan menerima perubahan dalam kehidupan seharian mereka.
Akibatnya, peminat muda sukan yang mengganggap selebriti sukan mereka sebagai contoh teladan (role model), juga akan mengikuti gaya hidup yang lebih ‘hijau’ apabila idola mereka mengambil serius cabaran iklim global dan melaksanakan perubahan itu sendiri. Selain itu, tayangan pelbagai iklan ‘hijau’ seperti protein vegan, kereta elektrik dan syarikat tenaga boleh diperbaharui di sekitar acara sukan akan membawa mesej yang bermakna tentang nilai-nilai yang ingin diterapkan oleh penganjur kepada para penonton dari semua peringkat umur.
Penutupan Piala Dunia 2022 pasti akan menandakan satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah bola sepak. Sejak penubuhannya pada tahun 1930, Piala Dunia telah melalui banyak perubahan yang besar, bukan sahaja dari segi peraturan tetapi juga impak sosialnya yang berkekalan. Dengan pertambahan pasukan daripada 32 kepada 48 untuk Piala Dunia 2026 yang akan datang, Fifa perlu merangka pelan pengurangan karbon yang lebih agresif. Menangani beban perubahan iklim di planet ini akan menetapkan rentak untuk budaya bola sepak yang lebih mampan di kalangan generasi muda kita. Akhir sekali, ayuh, mari kita semua nikmati perlawanan akhir malam ini!