Pesta Cahaya: Deepavali dari Sudut Sejarah Kebudayaan India dan Keagamaan Hindu

Khalina M. Khalili, Ph.D. (Malaysia)

Sekitar bulan Oktober dan November setiap tahun, lebih 800 juta penganut agama Hindu menyambut perayaan Deepavali.  Ianya adalah suatu perayaan penting di India, tempat asal agama Hindu dan juga dikalangan negara- negara yang mempunyai penduduk berbangsa India. Tetapi Ianya tidak hanya di sambut oleh penganut Hindu (juga penganut Sikh dan Jain) dan orang India sahaja.

Sebenarnya kita sering terlupa bahawa perayaan Deepavali, atau juga dikenali sebagai Diwali adalah perayaan yang disambut oleh penduduk Pulau Bali di Indonesia kerana mereka adalah penganut Hindu di Nusantara.  Agama Hindu dikatakan telah berkembang ke kepulauan Nusantara sejak 100 tahun Masihi. Namun tidak semua penduduk zaman dahulukala mengikut agama tersebut. Bagi orang kebanyakan, kepercayaan animistik dan penyembahan nenek-moyang diwarisi turun-temurun sehinggalah kedatangan agama seperti Hindu, Buddhism dan Islam.

Klik disini untuk menonton video sambutan Deepavali di Indonesia.

Guru-guru di sekolah wajar membincangkan tentang perayaan ini dengan lebih mendalam sebagai salah satu ciri-ciri kepercayaan dan kebudayaan suatu kelompok rakyat Malaysia, Singapura dan Indonesia. Tidak cukup dengan hanya mengisahkan aktiviti yang berlaku di hari perayaan, guru-guru dapat meningkatkan jati diri pelajar-pelajar yang berketurunan India apabila sejarah dan warisan etnik mereka di jelaskan kepada mereka dan rakan-rakan sekelas dari bangsa yang berbeza.  Ini penting bagi membentuk sebuah masyarakat majmuk yang faham-memahami agar terbit kasih dan keyakinan disebabkan oleh ciri-ciri persamaan yang dipupuk dan juga perbezaan yang cuba difahami diantara kaum dan agama yang berbeza.

Sebenarnya banyak peristiwa benar dan hikayat mitos tentang asal-usul manusia di Nusantara dan Asia dapat kita hayati dengan mempelajari tentang sejarah pesta Deepavali.  Ini kerana pesta ini telah mula dirai sejak 2500 tahun yang lampau.  Ini kerana agama Hindu adalah agama tertua yang dianuti oleh manusia.

 Deepavali bererti pesta cahaya.  Menurut blog Sumber Guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Sekolah Menengah, “perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan “Dipa” yang bererti cahaya dan perkataan “Gavali” yang bererti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil.”  Tetapi dizaman dahulu ada berbagai kalendar juga, dan salah satu kalendar India yang lain pula meraikannya pada 15 haribulan Kartika.   Ini diikut oleh penganut Hindu di Bali yang masih merujuk pada kalendar lama zaman Majapahit iaitu kalendar Saka.  Kalendar saka ini ada persamaan dengan kalendar Hijrah yang diikuti oleh umat Islam dari segi peredaran bulan.  Kerana itu penting juga di ketahui bahawa Deepavali tidak dapat disambut ketika gerhana bulan. Ini kerana kuil Hindu harus ditutup daripada upacara sembahyang semasa gerhana bulan.

Bagi penganut apa agama sekali pun, pasti setiap dari kita tertanya-tanya apakah tujuan sesuatu perayaan atau upacara itu terus disambut, terutama setelah beribu tahun berlalu.  Biasanya ada peristiwa penting bagi pengikut asal sesuatu agama – yang mana mereka membina suatu tamadun yang berpaksi pada agama tersebut – sepertimana Deepavali melambangkan suatu kejayaan dalam mengatasi kejahatan.  Pada zaman ini, terlalu banyak kisah yang dipaparkan dalam filem, drama, novel dan komik tidak lagi memberi pengajaran yang jelas antara sifat yang terpuji dibanding dengan sifat yang keji.  Kita sering terpedaya dengan jalan cerita yang mengasihani seorang penjahat atau pembelot atas dasar kisah hidupnya yang sukar sehinggakan ada diantara masyarakat yang menjadi keliru.  Kisah-kisah yang dilambangkan dalam sambutan Deepavali, samada ia dianggap kisah benar atau hikayat, adalah suatu pengajaran agar penganut agama Hindu membina kekuatan jiwa untuk menolak kejahatan.

Inilah yang penting dalam hidup kita.  Dalam masyarakat majmuk yang hidup bersama dalam suatu negara-bangsa seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan lain-lain di Asia Tenggara, kita perlu meningkatkan hubungan antara kaum sambil membina satu bangsa yang patriotik.  Ini sama sekali tidak bercanggah dengan tujuan agar setiap kumpulan etnik merasa aman dan bangga dengan jati dirinya yang diwarisi dari nenek moyang masing-masing.  Negara yang dipenuhi anak-anak bangsa yang merasa terasing atau tersingkir dari yang lain, tidak akan dapat memberi kebahagian kepada rakyatnya secara keseluruhan.  Kerana itu, guru-guru memainkan peranan utama untuk meningkatkan jati diri setiap anak bangsa tanpa mengira latar-belakang etnik atau agama mereka.

Akhir sekali, semua perayaan adalah salah satu cara kita sebagai manusia biasa untuk menzahirkan rasa gembira dalam kehidupan kita walaupun kita sedang diuji dengan pelbagai cabaran hidup.  Oleh itu, setiap perayaan adalah istimewa kerana kita bersatu dengan ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga untuk mengecap kebahagian di dunia.  Dengan jiwa yang bahagia, pasti kita menyebarkan kebaikan dan mengelak diri dari sebarang kejahatan.  Selamat berpesta cahaya bagi yang menyambutnya!

Rujukan

https://www.thepatriots.asia/info-menarik-sambutan-deepavali/

Leave a Reply