Sambutan Tahun Baru Peradaban Islam: Pendekatan Sejarah dan Ketamadunan

Dr Khalina M. Khalili (Malaysia)

Pada penghujung bulan Julai 2022 ini, umat Islam diseluruh dunia menyambut kedatangan tahun baru hijriyyah.  Apabila matahari terbenam disenja 29 Julai 2022, bermulalah tarikh 1 Muharram 1444 mengikut kalendar lunar (atau mengikut peredaran bulan).  Mungkin hari ini tidak memberi makna yang sama kepada setiap orang.  Tetapi sebagai seorang pendidik, tentu sekali kita harus mengambil kesempatan untuk memupuk kesedaran anak murid kita akan setiap perkara yang dikira mustahak dalam satu-satu kelompok masyarakat.

Awal Muharam atau Ma’al Hijrah mungkin tidak disedari kepentingannya oleh sebahagian masyarakat Malaysia yang tidak beragama Islam.  Tetapi bagi umat Islam, sayang sekali kalau kita biarkan hari ini berlalu tanpa sebarang peringatan bagi ahli-ahli keluarga yang tersayang.  Ini adalah kerana, sambutan Hijrah atau penghijrahan Rasul dari Mekah ke Madinah itu merupakan suatu kebangkitan insan-insan yang hidup berpaksikan kepada hakikat dan Kebenaran.  

Bagi mereka yang berTuhan, kepercayaan kepada Tuhan adalah suatu detik rasa rindu terhadap yang Maha Kuasa ataupun sekadar suatu hubungan intim (connection) yang dikatakan ada antara Tuhan dan makhlukNya.  Tetapi ramai yang tidak sedar (conscious) akan detik rasa tersebut.  Ada ramai juga yang tidak memahami hubungan intim bagaimana yang dimaksudkan oleh para agamawan, lantas hubungan keagamaan tersebut disalah-erti sebagai suatu hubungan atau tali pengikat antara dirinya dengan insan yang mendidiknya erti beragama.  Itulah pemahaman erti ‘religio’ yang membawa kepada perkataan ‘religion’ dalam bahasa Inggeris. Ianya lebih merujuk kepada ikatan kuat antara institusi agama dan pengikutnya. Tetapi agama dalam Islam membawa pengertian dīn atau pandangan hidup dunia dan Akhirat yang menyeluruh.

Bagi kebanyakan masyarakat moden, makna ‘ikatan’ sahajalah erti keagaaman yang difahami oleh kebanyakan orang.  Ramai juga yang cuba melepaskan diri dari belenggu agama disebabkan oleh kefahaman sebegini. Tetapi bagi penganut Islam, keagamaan meliputi individu dan masyarakat.  Jika kesedaran akan kewujudan Tuhan itu belum mekar dalam dada seseorang, kepala masyarakat seperti para ulama, ustaz dan qariah masjid yang giat menguruskan institusi masjid dan aktiviti lain beserta amalan yang berprinsipkan ayat-ayat al-Quran serta hadith Rasulullah (S) menjadi pendorong bagi setiap individu agar mereka cuba mengenal Tuhan yang Mencipta mereka.  Inilah unsur peradaban dalam agama Islam.  Peradaban Islam itu terbentuk hasil pergaulan masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam di Madinah mengikut dasar dan prinsip dustur atau perlembagaan berasaskan al-Quran serta hikmah Rasulullah.  Walau berlainan agama, puak-puak mushrikin (polytheist), Yahudi dan lain-lain yang menetap di Kota Madinah selepas penghijrahan Nabi Muhammad ke situ, telah baginda satukan dibawah tunjang pemerintahan Islam.

Suatu hijrah pasti didahului dengan cabaran dan liku-liku hidup yang menguji kita

Di Awal Muharam kali ini, anak-anak kita harus disedarkan bahawa Hijrah Nabi itu merupakan tunjang peradaban Islam. Di kota Madinah, umat Islam telah memulakan suatu peradaban baru dunia. Tamadun Islam ini bermula selepas Nabi Muhammad berhijrah dari Kota Mekah ke bandar Yathrib yang dinamakan Madinah. Berbagai cabaran dan rintangan terpaksa dihadapi oleh Nabi Muhammad (S) dan pengikutnya ketika di Mekah.  Begitu juga di Madinah, namun setiap peristiwa yang di sebut didalam al-Qur’an berkaitan dengan kehidupan Nabi, ahli keluarga (ahlul bayt), para sahabat dan rakyat bukan Islam dan munafiq yang bernaung dibawah pemerintahan baginda Rasul adalah pengajaran bagi kita dihari ini.

Dengan itu, setiap guru patut mengambil kesempatan untuk menceritakan kembali kisah pilu Nabi Muhammad yang dilaluinya di tahun-tahun sebelum hijrahnya.  Kewafatan bapa saudara Nabi, kewafatan satu-satunya isteri baginda (ketika itu Nabi tidak berpoligami) dan penghinaan yang baginda hadapi di Taif, sehinggalah puak Quraish Mekah menjadi lebih berang dan nekad untuk membunuhnya.  Segala pengorbanan dan kesabaran yang Nabi tunjukkan pada kita dalam kisah Hijrahnya itu diberi ganjaran besar oleh Tuhannya.  Dari seorang pengembala kambing, Nabi Muhammad menjadi pemerintah bagi suatu masyarakat majmuk yang tidak semuanya rela hidup bersama.  Hijrah itu bagi individu Islam ketika itu mungkin ada pahit dan manisnya.  Tetapi bagi Rasulullah, baginda jelas telah mengalami anjakan yang besar – dari sudut pandang politiknya baginda tidak hanya menyelenggarakan sekumpulan ahli puak-puak dari Mekah, tetapi juga golongan Muhajirun dari puak-puak asal Madinah, dan golongan bukan Islam Madinah.  Namun begitu baginda melihat jauh ke depan – jauh ke depan dari segi ruang dan masa (space-time) dan memikirkan tentang peradaban yang jauh lebih maju di sempadan daerahnya – yakni peradaban Byzantium dan Farsi.  

Hijrah itu tidak ada penghujungnya sehingga Hari Kiamat.  Ianya bukanlah perpindahan sempit dari sini ke situ.  Hijrah adalah penambah-baikan yang harus sentiasa diusahakan demi mencapai kesejahteraan bagi semua umat manusia.  Seorang guru seperti kita, termasuklah para Ibu dan ayah, adalah pemangkin penghijrahan bagi kelompoknya.  Pesan Nabi pada pengikutnya agar tampil dengan penuh tanggungjawab terhadap ahli masyarakatnya:

“Setiap kamu adalah gembala dan setiap gembala dipertanggungjawabkan dengan gembalaannya.” (Hadith Muslim & Bukhari)

Begitulah seorang guru, zahirnya seperti seorang gembala yang begitu dekat dengan anak muridnya dalam memberi ilmu dan mendisiplinkan mereka. Namun hakikatnya di masa depan – kitalah yang membentuk peribadi dan meninggikan azam mereka di masa depan. Tiada yang lebih berguna untuk mereka di kala hati jadi gundah gulana mahupun ketika bersuka ria melainkan adanya kesedaran dan keinginan memiliki Kebenaran tentang realiti kewujudan insan. Mungkin itulah azam tahun baru buatku.

Leave a Reply