Mas Elizawati Mohammad Ali
Hari Ahad yang lepas adalah Hari Ibubapa Kebangsaan (‘National Parents Day’). Secara tradisi, ia disambut pada hari Ahad yang keempat pada bulan Julai. Walaupun kewujudan Hari Ibubapa tidak banyak diketahui oleh khalayak ramai, pada pendapat saya perayaannya perlu ditularkan lagi supaya menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat kita.
Setelah kita meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa masing-masing pada bulan Mei dan Jun, ia sememangnya wajar dan bertepatan untuk kita menyambut Hari Ibubapa pula pada bulan Julai. Ia seolah-olah kita mengumpul kedua ibu dan bapa pada bulan ini dan memberikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada mereka sekaligus. Tidak kira di mana ibu bapa kita berada, perayaan hari ini berfungsi untuk meraikan peranan penting ibubapa dalam hidup seseorang insan yang berbudi pekerti.
Bermula di Amerika Syarikat, Hari Ibubapa Kebangsaan telah diasaskan pada tahun 1994 apabila presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton menandatangani Resolusi Kongres untuk menjadikannya undang-undang. Resolusi ini mengiktiraf “…peranan ibubapa dalam yang memberi semangat dan sokongan semasa membesarkan anak-anak.”
Tidak dapat disangkal lagi, ibubapa memainkan peranan yang sangat mustahak dalam kehidupan anak-anak. Sejak anak dilahirkan, ibubapa akan melindungi, mengajar, menyediakan segala keperluan dan menjadi suri teladan kepada ahli baru keluarga ini. Bila menjadi sebahagian daripada sebuah kaum keluarga, anak-anak semestinya akan mencari sebarang bentuk bimbingan daripada ibubapa mereka. Ibu dan bapalah yang akan mencerminkan tingkah laku mereka nanti dan tempat mereka belajar untuk menjadi seorang yang berguna di dalam sesuatu komuniti.
Di sepanjang perjalanan hidup kita, ibu bapa juga dapat memimpin kita menjadi individu yang berdikari dan boleh membuat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri. Tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab tersebut amatlah mencabar. Dunia sekarang berubah dengan kadar yang pantas dan anak-anak zaman kini perlu cepat menyesuaikan diri untuk memahami selok-belok percaturan hidup pasca-milenial. Sudah menjadi kebiasaan untuk ibubapa bersengkang mata kerana sering risau tentang anak-anak dan masa hadapan mereka yang tidak menentu. Persoalan jika mereka berjaya mengharungi liku-liku kehidupan bila dewasa akan sentiasa menjadi sumber kebimbangan utama para ibubapa.
Terutama sekali untuk anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga induk tunggal, perayaan Hari Ibubapa mempunyai makna yang lebih mendalam kerana dwi-peranan yang dimainkan oleh ibu atau bapa yang tinggal dengan anak-anak sahaja. Saya, sebagai ibu tunggal sendiri, sungguh merasa lega dan bersyukur kerana dapat menggalas semua tugas yang telah diamanahkan Allah kepada saya untuk dua anak tersayang. Walaupun banyak rintangan yang perlu dilalui, saya berbesar hati kerana dapat menyaksikan mereka membesar, menjadi lebih matang dan mengasah kemahiran hidup sendiri.
Terdapat banyak cara untuk kita menyambut dan memeriahkan Hari Ibubapa Kebangsaan. Antaranya ialah dengan meluangkan sedikit masa dengan ibu bapa atau, jika ibu bapa kita sudah tiada, melawat seseorang yang seperti ibu bapa kepada kita. Kita boleh membawa mereka keluar untuk makan bersama di restoran kegemaran, atau melakukan aktiviti istimewa seperti beriadah atau berkelah di kawasan yang dapat memberi ketenteraman jiwa kepada mereka.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, ambillah peluang pada hari istimewa ini untuk tarik nafas panjang dan berehat. Ketepikan segala kerja rumah atau pejabat dan pergi melawat taman berdekatan. Gunakan masa yang berharga ini untuk bersendirian dengan setiap anak kita dan tunjukkan kepada mereka betapa sayang dan gembiranya kita menjadi ibubapa mereka. Untuk menggalakkan orang lain meraikan hari Ibubapa Kebangsaan, ibubapa atau anak-anak mereka boleh meletakkan pelbagai foto yang penuh nostalgia di media sosial menggunakan (tanda pagar) #NationalParentsDay atau #HariIbuBapaKebangsaan.
Dalam arti kata yang literal, seseorang itu berasal daripada kedua ibubapa mereka. Sama ada ibu dan bapa itu terus aktif dalam menjalankan tanggungjawab untuk membesarkan anak ialah perkara yang lain sama sekali. Sebagai anak, mereka akan sentiasa mengingati orang yang ada semasa mereka memerlukan tempat untuk mengadu dan diberikan perhatian. Ibu bapa yang bertanggungjawab akan berusaha untuk meluangkan masa dan mencari apa jua jalan untuk memenuhi kehendak anak-anak mereka. Untuk menunjukkan rasa sayang dan terima kasih kepada ibu bapa, marilah kita meraikan semua insan yang bergelar ibu bapa kepada kita pada hari yang penuh tradisi dan bermakna ini.