Bila saya menceritakan kepada rakan bahawa saya mengajar pengekodan (coding) di sekolah tadika, dia benar-benar terkejut. Dia tidak boleh percaya pengekodan telah diperkenalkan pada tahap pembelajaran yang asas. Sejujurnya, prasekolah kami telahpun memasukkan pengekodan ke dalam jadual program tengaharinya (program yang berlangsung dari 1:30 hingga 3:30 petang) hampir lima tahun yang lalu. Saya percaya pendedahan awal kepada pengekodan membentuk asas yang kukuh untuk mengasah kemahiran pemikiran komputasional (computational thinking) kanak-kanak. Ini seterusnya akan berguna apabila mereka mempelajari sukatan pelajaran ini di peringkat sekolah rendah dan menengah. Sememangnya, pembelajaran pengekodan adalah sejajar dengan tuntutan dan peluang menerokai bakat di dalam dunia yang lebih terhubung dan berteknologi maju.
Untuk memahami mengapa pengekodan penting, kita mestilah dulu perlu mengetahui apa itu pengekodan. Bagi mereka yang belum tahu, pengekodan ialah cara seseorang berkomunikasi dengan komputer. Dalam erti kata lain, ia adalah proses mencipta arahan yang kemudiannya akan ditafsir dan diikuti oleh komputer. Orang ramai juga menggunakan pengaturcaraan komputer (computer programming) secara bergantian dengan pengekodan, walaupun terdapat sedikit perbezaan antara kedua-duanya. Pada dasarnya, kedua-duanya merujuk kepada proses umum yang sama iaitu memberi arahan kepada komputer dalam jangka masa panjang. Selepas pengaturcara (programmer) (atau pembangun (developer)) menghantar satu set arahan kepada komputer, ia akan melaksanakan pelbagai tindakan yang telah ditujukan oleh pengaturcara.
Bahasa pengekodan atau pengaturcaraan ialah sesuatu yang perlu dipelajari oleh pengaturcara untuk menyampaikan arahan kepada peranti dan membimbing peranti tersebut mengenai cara untuk beroperasi. Pada asasnya, bahasa pengaturcaraan mentakrifkan satu set peraturan yang perlu diikut untuk menulis kod. Melalui bahasa pengaturcaraan ini, seseorang boleh menulis kod untuk membuat laman web, aplikasi web, aplikasi alat mudah alih, aplikasi desktop, permainan dalam talian dan sistem kecerdasan buatan (artificial intelligence).
Walaupun banyak sebab wujud tentang kepentingan pengekodan, saya akan memberi tumpuan kepada tiga perkara yang utama. Pertama, apabila kanak-kanak didedahkan kepada pengekodan, dia akan dapat menyelesaikan masalah menggunakan pemikiran komputasionalnya. Pemikiran komputasional ialah proses penyelesaian masalah strategik yang meleraikan masalah kompleks kepada beberapa bahagian lebih kecil dan terurus dan seterusnya mengikuti proses yang ditetapkan untuk mencipta penyelesaian algoritma (algorithmic solution) yang boleh direplikasi oleh manusia atau komputer. Kedua, pendidikan pengekodan membuka banyak peluang pekerjaan di dalam ekonomi global yang kian dipacu digital. Kemahiran pengekodan pelajar akan memberikannya asas yang dapat mengukuhkan prospek kerjayanya tanpa mengira sama ada dia memasuki industri pengaturcaraan atau tidak. Ketiga, pengekodan memupuk kreativiti. Aspek kreatif berkisar kepada kebolehan seseorang mengekspresikan diri secara teknikal. Sebagai contoh, katakan bahasa pengekodan tertentu mempunyai sekitar 60 perkataan. Seorang pengaturcara mesti kreatif mencari cara untuk menggunakan perkataan kod yang terhad ini untuk menyelesaikan masalah tertentu. Dengan mencadangkan penyelesaian yang bersesuaian dan inovatif kepada sesuatu isu, seseorang mungkin dapat mengubah dunia satu per satu dengan kemahiran pengekodannya.
Di peringkat sekolah rendah, pengenalan kepada topik pengekodan berlaku secara berperingkat bermula pada tahun 2016 apabila subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi telah diperkenalkan kepada murid Tahun 6. Kemudian, pada tahun 2017, di bawah semakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kementerian Pendidikan mengumumkan kemasukan subjek baharu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) untuk murid Tahun 4 hingga 6. Bagi sekolah menengah pula, murid peringkat menengah rendah (Tingkatan 1 hingga 3) boleh memilih antara Asas Sains Komputer (ASK) dan RBT melalui inisiatif Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada tahun 2017. Juga pada tahun yang sama, pelajar peringkat menengah atas (Tingkatan 4 dan 5) boleh memilih untuk meneruskan pembelajaran pengekodan dalam mata pelajaran Sains Komputer, Rekacipta atau Kejuruteraan/Vokasional yang layak diambil sebagai elektif untuk SPM.
Kembali ke peringkat sekolah tadika, sukatan pelajaran berkaitan pengekodan telahpun wujud semasa saya mula bekerja sebagai guru pada tahun 2018. Bermula pada tahun ini, buku kerja dinaik-taraf untuk memasukkan pengekodan untuk pembelajaran semua pelajar yang berdaftar, dan bukan sahaja untuk mereka yang menghadiri program tengahari. Sebelum penggal akademik baharu berlangsung, guru menjalani latihan dalam talian untuk mempelajari cara memudahkan penggabungan pengekodan dalam buku kerja Matematik, Sains dan Bahasa Melayu.
Seperti yang dijangkakan, terdapat beberapa masalah awal (teething problems) semasa memperkenalkan topik pengekodan ke dalam sukatan pelajaran yang sudah biasa diguna. Berdasarkan pengalaman saya dari Mac tahun ini, saya membuat pemerhatian bahawa pengekodan boleh ditafsir secara berbeza oleh pelbagai individu. Akibatnya, pembelajaran pengekodan boleh mengelirukan pelajar yang lembam. Saya juga menyedari bahawa tafsiran saya sendiri berbeza dengan sesetengah pelajar dan ini telah menyebabkan kesukaran untuk merumuskan objektif pembelajaran yang sesuai. Sebagai contoh, di dalam buku kerja berkaitan pengekodan subjek Bahasa Melayu, pelajar diberi beberapa perkataan bergambar dan perlu mencari, di dalam labirin (maze) yang tersedia, sukukata yang betul untuk perkataan tersebut dengan melukis anak panah yang menghubungkan sukukata permulaan kepada sukukata penghujungnya. Memandangkan arahan yang diberi hanya tertumpu kepada matlamat ini semata-mata, kekeliruan terjadi apabila pelajar melakukan proses pengekodan mengikut susunan perkataan yang muncul pada muka surat itu, atau menyelesaikannya secara individu di mana satu perkataan adalah entiti yang berbeza dan berasingan dengan perkataan yang lain (cara yang betul). Walaupun cara kedua nampak lebih ideal, tafsiran yang berbeza dalam pengekodan dapat menyerlahkan kreativiti seseorang.
Memandangkan ini adalah kali pertama pengekodan diperkenalkan di dalam buku kerja, jabatan perihal pembelajaran yang bertanggungjawab menulis latihan pengekodan ini sepatutnya menjalankan kelas percubaan dengan para guru terlebih dahulu untuk mendapat maklumbalas mereka, sekaligus mengelakkan masalah kekeliruan ini dari berlaku. Perubahan kepada pemberian arahan yang tampak lebih jelas juga akan membuat pelajar lebih yakin untuk melakukan pengekodan. Di samping itu, aktiviti pengekodan yang lebih kerap akan membantu murid prasekolah memahami subjek ini dengan baik lagi. Oleh itu, guru perlu menjalankan aktiviti hands-on sebelum menyelami lembaran kerja pengekodan kerana ini akan membantu kanak-kanak menikmati proses pembelajaran.
Bila pengekodan kelas harian dibandingkan dengan program tambahan sesi tengahari, kelas pengekodannya lebih tersusun dan teratur di mana penggunaan aplikasi mudah alih yang dipanggil Scratch membolehkan kanak-kanak menulis satu siri arahan untuk watak pilihan mereka lakukan. Apabila kanak-kanak boleh mencipta arahan mereka sendiri secara bergilir-gilir , mereka akan menghargai kebebasan dan kreativiti yang datang dengan memilih aksi yang akan dilakukan oleh watak tersebut. Pendedahan kepada aplikasi ini seterusnya akan membawa kepada minat untuk mencipta permainan dalam talian tersendiri dengan berbilang arahan pengekodan yang unik.
Apabila orang bercakap tentang pengekodan, perkataan yang sering muncul adalah bersedia (untuk) masa hadapan (future ready). Untuk menjadi kompetitif seperti pelajar di negara maju yang celik teknologi, kerajaan Malaysia telah membuat keputusan yang bijak dengan memperkenalkan pengekodan ke dalam kurikulum akademik negara. Walaupun pembangkang mengkritiknya sebagai langkah yang memaksa keseragaman dalam pembelajaran, ia mempunyai tujuan yang lebih besar iaitu mempersiapkan generasi masa depan kita untuk transformasi digital global. Oleh kerana kebanyakan perkhidmatan dan produk telah didigitalkan, seseorang yang mempunyai pemahaman yang kukuh tentang pengekodan ada peluang yang lebih baik untuk memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang lebih banyak berbanding dengan kerjaya lain. Untuk merealisasikan masa hadapan digital yang cerah, pengekodan di sekolah hendaklah diteruskan dengan lebih gigih untuk memenuhi permintaan kumpulan pelajar yang lebih pintar pasca-milenium.