ISRAK dan MIRAJ
Dr Khalina Mohamed Khalili (Malaysia)
Pengajaran bertema merupakan suatu corak pembelajaran yang jarang dapat digunakan dalam bilik darjah yang mementingkan silibus berasaskan peperiksaan. Ini kerana faktor masa mempengaruhi keputusan pendidik untuk memperkenalkan suatu tajuk yang tidak mungkin muncul sebagai soalan peperiksaan umum. Akibatnya, silibus persekolahan itu dan guru-guru yang terlibat tidak berani membincangkan isu semasa atau yang ‘trending’ walaupun ianya penting bagi para pelajar ketika itu, seperti isu kemurungan, isu kewangan keluarga. Guru yang memberi perhatian kepada isu sebegini dapat memberi sandaran kepada murid dari segi emosi, rohani dan praktikal. Pembelajaran Bertema adalah satu-satu cara untuk guru menerapkan sebuah tajuk yang terkait dalam beberapa subjek yang berbeza. Dalam subjek Fizik misalnya, topik fizik gunaan yang diajar perlu juga sekali-sekala di terapkan dengan penemuan terbaru bidang sains yang berkaitan dengan fizik quantum dan astrofizik. Kelas bertema dapat menerapkan idea-idea terkini kedalam perbincangan idea-idea statik dalam silibus yang wajib di ajar seadanya.
Walaubagaimanapun dalam rencana ini, saya bawakan suatu saranan untuk pengajaran subjek agama Islam yang bertemakan Israk dan Mi’raj. Topik-topik yang boleh disentuh dalam tema ini adalah Sirah Nabi Muhamad (S), penghayatan ibrah dari tafsir al-Quran dan hadis serta suatu penafsiran sains berdasarkan teori-teori sains tentang bentuk cakerawala (cosmos) atau alam semesta (universe). Rencana pengajaran ini menyentuh serba sedikit perbincangan fizik dan agama, dan boleh diluaskan lagi skopnya untuk meliputi geometri (Matematik) dan bahasa Arab. Bagi pembaca yang bukan beragama Islam, perdebatan tentang keselarian fahaman agama dan fahaman sains boleh menjadi titik-tolak atau hipotesis kajian yang tersendiri dalam bidang ini. Ada beberapa teori fizik quantum yang menyentuh kepercayaan keagaaman terutamanya tentang konsep keupayaan insan atau daya ikhtiar (free will) serta keberadaan (being) dan kewujudan (existence) sesuatu zarah (atom) atau jawhar (particle/substance).
Saya telah mengajar topik ini dalam kelas agama saya untuk pelajar tahap 6 dan pelajar sekolah menengah. Terlebih dahulu saya perlu menerangkan istilah yang diperkenalkan dalam topik ini untuk mengenalkan maksud yang tersurat dan makna yang tersirat. Penerangan makna dapat menjelaskan pandangan alam (worldview) atau struktur pemikiran(cognitive frame) guru yang menyampaikan ilmunya dengan memperincikan apa yang dia sendiri maksudkan dalam perbincangan tersebut. Penerangan istilah mungkin agak membosankan bagi sesetengah orang, jadi ianya boleh diberikan selepas aktiviti pemangkin (anticipatory set) yang biasanya lebih menarik perhatian pelajar.
Langkah 1: Aktiviti Pemangkin (Anticipatory Set)
Bagaimanakah cara kita menarik perhatian pelajar? Sebaiknya kita sudah kenal mereka – dari segi personaliti dan kebolehan akademik masing-masing. Setidaknya kita sedar akan sifat-sifat golongan yang berumur sekitar umur mereka. Adakah mereka peminat setia filem Harry Potter, atau pembaca komik web (webtoon) tentang kolonisasi planet Marikh (Mars). Jika ya, kita patut menarik perhatian mereka dengan menyebut tentang adegan menarik dari contoh-contoh tersebut. Satu lagi saranan adalah dengan menyuruh mereka membayangkan diri mereka meluncur cahaya merentas cakerawala (universe). (Di akhir kelas, ceritakan bahawa Albert Einstein, ahli fizik terkemuka adalah insan sebenar yang pernah bermimpi dirinya meluncur cahaya merentas cakerawala lalu mendorongnya untuk mengesahkan teori relativisinya).
Langkah 2: Selesai aktiviti pemangkin, saya harus dedahkan objektif pembelajaran hari ini, iaitu peristiwa pengembaraan Nabi Muhammad ke Baitul Maqdis yang berlaku dalam sekelip mata dan kemudiannya bagaimana baginda merentas 7 petala langit sehingga ke sempadan akhir yang dipanggil Sidratul Muntaha. (Lihat Surah Mulk, ayat 3). Setiba disitu Nabi Muhammad (S) lalu diizinkan mengadap Tuhan yang Maha Esa (dengan pandangan yang dihijab). Pengembaraan melalui lapisan langit (atau lapisan alam semesta) ini dipanggil mi’raj manakala pengembaraan yang terdahulu dari kota Mekah ke Jerusalam dibawa oleh suatu makhluk seakan-akan himar putih bernama buraq pula dipanggil ‘israk’
Terpulang kepada para guru agama untuk menerangkan apa itu petala langit. Dalam Rencana Pengajaran ini pelajar didedahkan kepada dua kosmologi atau teori alam semesta – yang silam dan yang pasca-moden – teori-teori tentang bentuk cakerawala (universe) akan ditonjolkan seterusnya.
Langkah 3: Istilah
Istilah israk dan mikraj terdapat di dalam Tafsir Surah Ma’arij dan Surah Isra’ dalam kitab suci Al-Quran.
Kata kerja ‘a-ra-ja memberi erti mendaki ke tempat yang tinggi; Kata nama maa’riju membawa maksud tangga (stairway/ladder) menurut Dr Abdullah Abbas Nadwi dalam Vocabulary of the Holy Quran. (m/s 406)
Kata kerja sa-ra-ya pula ertinya berlepas diwaktu malam atau perjalanan yang mengambil masa semalam iaitu masa yang begitu pendek. (Vocabulary of the Holy Quran dan Tafsir al-Jalalayn m/s 590)
Istilah mi’raj boleh didapati dari tafsir surah al-Ma’arij, yang mana kata ganda bagi mi’raj ialah ma’arij yang bermaksud langkah mendaki (keatas) seperti anak tangga. (Tafsir al-Jalalayn, m/s 1243)
Selain itu terjemahan lain untuk Ma’arij ialah tempat-tempat turun naik, yang boleh difahami sebagai tangga. Petikan Surah Ma’arij menyatakan:
“Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik (ma’arij) – yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (ilayhi) yang tempohnya adalah 50 ribu tahun (yang ditafsir sebagai suatu anggaran tempoh yang tersangat lama).” (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman)
Langkah 4: Kisah Isra’ dan Mi’raj
Sebenarnya kesemua istilah agama ada didalam al-Quran, yang mana Allah telah yakinkan kepada mereka yang beragama Islam bahawa kandungannya tidak lain hanyalah Kebenaran (haqiqah) dan tiada keraguan (rayb) didalamnya (al-Baqarah: ayat 1). Dengan ini, dalam pengajian agama Islam, murid harus diberi keyakinan bahawa al-Quran itu adalah satu-satunya sumber ilmu yang benar dan tepat (hakiki). Cuma, sebagai insan yang lemah, kita belum dapat membuktikan kesemua pernyataan yang terdapat didalamnya. Dengan ini, guru dan ibubapa harus membentuk pemikiran anak-anak dan anak didik mereka agar membina suatu pandangan alam Islam (worldview of Islam).
Untuk meyakini kisah Isra’ dan Mi’raj didalam al-Quran, guru dan pelajar harus menghayati firman Allah dalam Surah Al-Isra’:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Israa’ ayat 3-4)
Keajaiban peristiwa ini menyebabkan ramai golongan Quraish yang berubah hati dan tidak yakin lagi dengan Nabi Muhammad (S) setelah mendengar berita ini kerana menganggap bahawa baginda telah mengada-adakan sebuah cerita dongeng.
Langkah 5: Perbincangan Logikal dan Metafizikal
Kebiasaannya para pelajar juga akan merasa sangsi dengan kebarangkalian berlakunya peristiwa yang diluar jangkauan mental insan. Ini adalah suatu persoalan yang patut disambut baik oleh para guru dan asatizah kerana ini adalah pengajaran yang Allah lontarkan dalam Surah Isra’ tersebut. Inilah contoh suatu mukjizat dan semestinya mukjizat itu hanya diterima oleh jiwa yang beriman. Hakikatnya memang ramai yang meragui kemungkinan untuk seseorang insan melepasi lembaran ruang-masa (space-time continuum) dan melepasi orbit mengelilingi matahari dan tiba ke destinasi dihujung alam semesta (universe ataupun multiverse). Secara logiknya, ianya tidak munasabah tetapi dari sudut metafizik berpaksikan iman, Allah mampu melakukan segalanya termasuk yang diluar jangkauan mental insan biasa. Kun fa yakun! (Jadilah! Maka jadilah ia) firman Allah dalam Surah Yasin, ayat 82.
Alangkah beruntungnya kita kerana tahap ilmu sains dewasa ini telah membolehkan alat-alat sains dan teknologi untuk mencerap cakerawala dan mengesahkan keberadaan bahan-bahan yang tidak boleh digarap oleh deria insan. Hal ini tidak dianggap pelik atau mustahil dari pandangan alam Islam kerana umat Islam mengenal sifat Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Mencipta.
Oleh itu, ini masanya untuk para guru menggalakkan pelajar-pelajar Islam untuk mendalami bidang sains dan teknologi dengan berpaksikan kepada ilmu al-Quran dan Hadis Nabi. Ini sesuai dengan cabaran Allah kepada mereka yang yakin dengan Surah al-Rahman, ayat 33:
“Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi, maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan kekuasaan.”
Langkah 6: Penguasaan Sains dari Pandangan Alam Islam
Dengan adanya cabaran diatas, maka tidak salah untuk para guru dan pelajar, malahan ahli sains diluar sana, untuk menjadikan firman Allah ini sebagai batu loncatan – atau dalam metode sains sebagai hipotesis. Maka hipotesisnya ialah insan boleh menembus kawasan diluar langit dengan kekuasaan yang diberi oleh Allah.
Itulah yang terjadi kepada Nabi Muhammad (S). Tetapi masyarakat sains di zaman ini juga sedang rakus untuk melakukan penembusan angkasa ini serta menjajah planet dan satelit. Ada juga yang ingin melombong mineral yang terdapat pada objek angkasa seperti asteroid dan tahi bintang (comet). Kebanyakan usaha-usaha ini dipelopori oleh masyarakat bukan Islam terutamanya dikalangan saintis Barat, China dan India. Maka umat Islam tidak berperanan apa-apa sama ada untuk mendorong atau menghalang usaha tersebut. Salah satu cara untuk memahami kegiatan revolusi pasca-moden ini adalah dengan merujuk kepada teori-teori yang diutarakan tentang bentuk alam semesta (universe).
Kalau dizaman silam bentuk yang diramal dan diyakini adalah bentuk sfera. Bukan itu saja, bentuk tersebut dipanggil concentric circles – yang bermaksud sfera yang berlapis-lapis seperti seulas bawang apabila lapisannya ditanggalkan satu demi satu. Ini dipanggil kosmologi pada zaman sains silam. Pada zaman sains moden, kosmologi ini tidak lagi diterima sebagai gambaran abstrak atau citra sebuah cakerawala (universe).
Memberi penerangan tentang bentuk-bentuk yang dicitrakan oleh para saintis teori fizik. Mereka mengutarakan 3 teori utama tentang bentuk alam semesta – yakni dengan mereka model alam semesta yang bulat dan tertutup, yang terbuka dan kemungkinan berbentuk pelana kuda (horse saddle) dan yang leper. Dewasa ini saintis mengutarakan kemungkinan adanya lohong cacing (wormhole) yang menghubungkan dua daerah cakerawala tersebut. Persoalannya, bentuk cakerawala yang mana yang kelihatan dapat dihubungkan dengan suatu lubang cacing? Dalam sains moden, persoalan seperti ini tidak perlu dijawab segera. Metode sains mementingkan proses untuk mencari jawapan. Bagi sesetengah saintis, persoalan dan cubaan menjawab adalah lebih menyeronokkan dari jawapan yang sahi
Kesimpulan Tentang Pengajaran Bertema
Setelah membaca rencana ini, pasti para guru telah melontarkan beberapa idea tambahan yang boleh di terapkan dalam pengajaran bertema ini. Mungkin juga banyak tentangan dari segi kandungan ilmu serta kemahiran guru yang mengajar. Kemahiran guru penting untuk menentukan tahap pemahaman murid tentang isu ini. Ianya juga bergantung kepada tahap pencapaian murid-murid yang diajar. Sesetengah murid tidak perlukan fakta yang mendalam tetapi kemungkinan ada juga pelajar yang telah mempelajari teori-teori terkini fizik melalui dokumentari dan video di media sosial. Ini bererti guru agama mungkin tidak mempunyai semua jawapan yang dibangkitkan oleh pelajar tersebut. Ini tidak bererti para guru harus segan menghadapi situasi begini. Ini sebenarnya budaya ilmu yang perlu kita harungi dengan meningkatkan tahap pemikiran kita serta kerjasama sesama kita. Kadang-kala murid kita sendiri bisa menambah ilmu kita dengan persoalan yang dilontarkan ataupun kelebihan ilmu mereka dalam bidang tertentu. Sebagai seorang guru yang matang, tugas seorang guru adalah untuk memberi galakan dan bimbingan kepada pelajar seperti ini untuk mencari sumber ilmu yang boleh diyakini. Selamat mencuba!
Rujukan dalam bahasa Melayu
http://pencintailmu01.blogspot.com/2018/08/5-cara-alam-semesta-akan-berakhir-teori.html
https://may.sciences-world.com/astronomy-space/1
Rujukan Islam dan Sains (B.Inggeris)
https://www.miracles-of-quran.com/shape_of_universe.html
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri 1995
Tafsir al-Jalalayn, ed. Aisha Bewley
Rujukan tentang sains astrofizik (https://www.ducksters.com/science/physics/universe.php)