Mohd Zain Abdul Rahman
Tahun ini genap sedekad saya diberikan kepercayaan oleh YM Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk menerbitkan karya-karya beliau. Sehingga kini, sebanyak 20 karya beliau (2 karya baharu dan 18 terbitan semula) telah berjaya saya terbitkan. Satu perkara yang saya temui sepanjang tempoh ini adalah kesemua karya asli YM Prof Naquib diterbitkan di Malaysia sejak dari tahun 1957 hingga kini.
Di sebalik nama yang tersohor seantero dunia khususnya dalam dunia kesarjanaan dan keilmuan, sosok ini berdiri di atas kekuatan intelektual sendiri tanpa perlu menempel diri dengan jenama rumah penerbitan besar dari luar negara untuk dikenali.
Jelas terzahir beliau tekal untuk menaikkan institusi tempatan walau tidak ternama khususnya tempat dan insan yang beliau gauli dan percayai. Justeru dengan tersendiri menaikkan jenama institusi yang beliau restui.
Lihatlah Rangkaian Rubaiyat (1957), The Origin of Malay Sha’ir (1968), Preliminary Statement on a General Theory of the Malay-Indonesian Archipelago (1969), Concluding Postscript to the Origin of Malay Sha’ir (1971) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Some Aspects of Sufism as Understood and Practiced among the Malays (1963) oleh Malaysian Sociological Institute; Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh (1966) oleh Royal Asiatic Society Malaysian Branch; The Mysticism of Hamzah Fansuri (1970) dan The Oldest Known Malay Manuscript (1988) oleh Universiti Malaya; dan Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu (1972) oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
Seterusnya The Correct Date of Terengganu Inscription (1971) dan Comments on the re-examination of al-Raniri’s Hujjatu’l Siddiq – A Refutation (1975) oleh Muzium Negara Malaysia.
Di era tahun 1970an ketika dijemput menjadi murabbi oleh kepimpinan ABIM, beliau memberikan amanah kepada organisasi ini untuk menerbitkan karyanya termasuklah, Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak (1977); Islam and Secularism (1978); dan The Concept of Education in Islam (1980).
Semasa keakraban beliau bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang beliau anggap sebagai murid, beliau menyerahkan A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri (1986) untuk diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Malaysia yang diterajui sang muridnya.
Tertubuhnya ISTAC di era 1980-1990an yang beliau asas dan pimpin, diterbitkan 6 buah monograf sehingga lahirnya Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995) dan Risalah untuk Kaum Muslimin (2001).
Beliau berehat buat seketika setelah diganggu oleh kesan pergolakan politik Malaysia pada tahun 1998 sehingga terhenti khidmatnya di ISTAC. Namun, beliau muncul kembali dengan sebuah karya bersama murid setianya, Prof Wan Mohd Nor Wan Daud berjudul The ICLIF Leadership Competency Model: An Islamic Alternative (2007) oleh The International Centre for Leadership in Finance, sebuah institusi seliaan Bank Negara Malaysia (BNM); Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (2007) oleh Universiti Sains Malaysia; dan Historical Fact and Fiction (2011) oleh Universiti Teknologi Malaysia.
Alhamdulillah, saya berjaya menyambung menerbitkan semula karya-karya beliau dari tahun 2013 hingga 2017 di bawah jenama IBFIM (Islamic Banking and Finance Institute Malaysia), sebuah institusi seliaan BNM. Sebanyak 9 karya berjaya diterbitkan termasuklah Himpunan Risalah (2015) dan On Justice and the Nature of Man (2015) yang diterbitkan bersama Akademi Kenegaraan Malaysia dan CASIS UTM.
Usaha menerbitkan semula karya YM Prof Naquib saya lanjutkan bersama rakan-rakan seperguruan di bawah jenama Ta’dib International pada tahun 2018 sehingga kini. Sebanyak 15 karya telah kami terbitkan semula dengan kemuncaknya adalah sebuah karya terkini yang berjaya diluncurkan dengan gemilang berjudul Islam: The Covenants Fulfilled (2023).
Begitulah perjalanan seorang tokoh ilmuan negara sejati, menabur bakti buat nusa bangsanya, anak Nusantara yang menapak di pentas dunia dengan kekuatan sendiri tanpa perlu bertenggek dengan jenama dari luar negara.
Selamat Hari Kebangsaan.
Buku Kita Wajah Kita
Kita Jaga Kita
Sila ke laman Zain Book House untuk pembelian buku-buku tersohor.