Khalina Mohammed Khalili, Ph.D.
Pada tahun 1444 Hijrah ini, umat Islam di Asia Tenggara telah sebulat suara menentukan tarikh Hari Lebaran Aildilfitri pada 22 April 2023, bersamaan hari Sabtu. Kesatuan tersebut tercapai dengan tertubuhnya MABIMS iaitu nama singkatan bagi Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Mereka menentukan kriteria pencerapan anak bulan (hilal) bagi setiap tahun sejak 2021, dan tahun ini pencerapan di senja 29 Ramadan tidak memenuhi syarat-syarat tertentu. Maka hari lebaran itu harus berlangsung sehari kemudian. Walaupun sambutannya sama, setiap negara di Asia Tenggara ada cara dan tradisi sambutan Aidilfitrinya yang unik. Di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei hidangan rayanya hampir sama – iaitu nasi himpit, ketupat, lontong bersama rendang, kuah kacang, serunding, sayur lodeh dan opor ayam.
Tahun ini begitu istimewa kerana pandemik Covid19 telah meninggalkan kita, walaupun risiko jangkitan tetap wujud sebagai situasi endemik. Jadi apakah ciri-ciri hari lebaran yang diimpikan oleh setiap insan dan masyarakat setempatnya? Mungkin bagi sesetengah orang Hari Raya Aildilfitri dianggap meriah apabila kita menyambutnya bersama ahli keluarga sambil menikmati hidangan makanan istimewa dan berbusana dengan pakaian tradisional yang paling trending di media sosial. Tetapi mungkin ramai juga yang memilih sambutan yang lebih sederhana namun penuh nostalgia. Ramai juga yang merasakan kehilangan orang tersayang di pagi lebaran, sebagai suatu kesan pandemik yang menduga kesabaran dan ketabahan jiwa kita masing-masing. Hakikatnya sambutan Aidilfitri ini adalah suatu kewajiban bagi umat Islam. Nabi Muhammad (S) menggalakkan kita menyambut kejayaan kita mengerjakan ibadat Ramadan dengan menjamah makanan di pagi Shawwal dan mengerjakan solat hari raya dengan kelompok masyarakat serta bertakbir.
Sembahyang Raya
Apabila kita perhatikan sambutan di pelbagai negara di Asia Tenggara, yang paling menarik perhatian kita adalah masyarakat di Indonesia, yang meraikan Aildifitri pada dua hari yang berbeza – iaitu hari Jumaat oleh kelompok Muhammadiyah dan pada hari Sabtu mengikut pengumuman kerajaan dan kelompok Nahdatul Ulama. Namun semangat kesatuan tetap ditonjolkan oleh masyarakat Indonesia yang terbukti sudah matang menelosori perbezaan pendapat yang sebegini. Dikalangan masyarakat Muslim, kebiasaannya sambutan Hari Raya dapat dilihat di pagi Raya itu sendiri, apabila orang ramai berduyun-duyun ke masjid atau ke kawasan lapang yang ditetapkan untuk mengerjakan solat raya di luar masjid. Di negara bukan majoriti Islam juga, masyarakat Islamnya mendapat izin pemerintah untuk berkumpul mendengar khutbah Hari Raya Aildifitri serta meneruskan sambutan dengan berkelah atau ke taman hiburan kanak-kanak. Ini bersesuaian dengan sunnah Nabi untuk umat Islam mendirikan sembahyang kedua-dua Hari Raya di kawasan lapang, agar semua golongan masyarakat boleh turut serta termasuk kaum wanita yang tidak mengerjakan solat.
Masyarakat Islam Golongan Minoriti
Antara yang menarik di Asia Tenggara adalah suasana di Manila, ibu kota Filipina yang menyaksikan beribu-ribu rakyat Islam Filipina bersembahyang raya di Quirino Grandstand dalam Luneta Park (Rizal Park). Lihat video. Orang Filipina memanggil Eid al-Fitr “Wakas ng Ramadan” yang bererti penghujung Ramadan, “Pagtatapos ng Pag-aayuno” yakni akhir puasa mahupun Araw ng Raya yang bererti Hari Raya. Walaupun ada 200,000 masyarakat Islam yang menetap di Manila, kebanyakan umat Islam berasal dari Filipina Selatan. Daerah yang berbeza-beza malahirkan budaya dan dialek yang berbagai. Contohnya di Maguindanao, hidangan Aidilfitri adalah linigil, ayam bersantan dengan rempah tempatan yang dipanggil palapa dan juga pastil – nasi dengan serunding ayam atau ikan yang dibalut dalam daun pisang. Mereka juga menikmati manisan seperti dudol, tinadtag, p’lil, and kumukunsi. Di kawasan lain seperti Lanao del Sur lebih banyak makanan pedas dihidangkan termasuklah rendang yang dikatakan berasal dari puak Minangkabau di Indonesia. Kini rendang adalah makanan paling terkenal di Asia Tenggara. Dua lagi puak Muslim Filipina – puak Tausug (dari Sulu) dan puak Yakan (dari Basilan) ada hidangan istimewa masing-masing.
Ternyata sambutan Aidilfitri itu disambut secara individu dan juga sebagai suatu masyarakat yang teguh bersatu. Di Malaysia dan negara-negara lain juga, budaya ziarah-menziarahi masih lagi diamalkan dengan setia. Langkah pertama bagi sesebuah keluarga nuklear adalah untuk pulang ke rumah ibubapa mereka sehari sebelum hari raya untuk membuat persediaan lebaran bersama ibubapa dan adik-beradik masing-masing. Bagi yang pulang ke kampung halaman, persediaan ini sering melibatkan lebih ramai saudara-mara termasuklah datuk dan nenek, sepupu dan dua-pupu. Ziarah-menziarahi diteruskan sejurus sahaja selesai solat raya, dengan menziarahi saudara mara dan jiran tetangga di seluruh kampung. Walaupun ianya begitu memenatkan, keseronokan jelas terpancar di wajah masing-masing. Inilah antara kelebihan Hari Raya yang tidak dapat dikecapi ketika pandemik Covid19 dahulu. Namun, ramai juga yang merasakan bahawa Hari Raya adalah sambutan yang harus disambut seadanya – sesuai dengan bimbingan keruhanian yang di rasai ketika beribadat di bulan Ramadan. Setelah berjaya melatih diri berzuhud – menahan diri dari nafsu dunia, seharusnya kita tidak tinggalkan segala hasil usaha tersebut dengan 30 hari berpesta makan-makan raya. Kita juga harus sedar bahawa tidak semua keluarga mampu untuk terus menjamu kita dan berkongsi duit raya untuk anak-anak yang menziarah sahabat handai dan rakan setugas. Jelaslah bahawa makna lebaran yang berpaksikan keruhanian dan kesederhanaan adalah lebih utama.
Saranan Dr. Potre D. Diampuan dari Women’s Interfaith Network, begitu tepat. Antaranya beliau mengesyorkan bahawa Aidilfitri patut menggembirakan kita apabila kita berkumpul, melawat sahabat handai, saudara mara, ahli keluarga dan sebagainya. Namun apabila kita berkumpul didalam satu jemaah besar maka tercapailah penyatuan ummah. (Terjemahan dari “Everybody should be happy,” she said. “It’s the time to get together, to visit friends, relatives, families … It is highly encouraged to congregate in one huge gathering … It always brings out the unity in the umma.”)
Penyatuan ummah yang begitu hebat disaksikan di Selatan Thailand tahun ini dan juga tahun-tahun kebelakangan apabila pemuda-pemuda disana menyambut Hari Raya dengan suatu acara kebudayaan Melayu-Islam lengkap berbusana seperti umat Melayu di zaman kegemilangan Islam di Asia Tenggara. Lihat video. Alangkah baiknya apabila sambutan Akhir Ramadan itu berjaya disambut dengan penyatuan ummah sebagaimana Rasulullah menyatukan puak Ansar dan Muhajirun di Madinah, dan kemudiannya menyatukan seluruh jazirah Arab sehingga baginda melantik khalifah-khalifah yang terus mara membawa berita gembira dan keadilan keseluruh pelusuk dunia. Begitulah pesan Ibn Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah yang membangkitkan kepentingan kesatuan sejagat (asabiyyah) sebelum kesatuan ummah keseluruhannya. Mungkin bagi kita ziarah-menziarah kaum keluarga yang bau-bau bacang itu banyak membuang masa kita, tetapi kesannya di kemudian hari adalah kesatuan umat yang kukuh. Itulah yang harus kita impikan di bulan Shawwal yang mulia. Selamat Menyambut Hari Raya dengan penuh kasih-sayang dan maaf-bermaafan sesama kita.