Setiap awal tahun, pasti setiap dari kita merasa sesuatu apabila memasuki ambang tahun baru. Mungkin kita terasa gementar akan ketidakstabilan hidup ketika ini, ataupun kita melangkah dengan harapan dan motivasi baru. Begitu jugalah umat Islam merasakan suatu detik istimewa apabila kalendar Hijriyyah ke 1445 dimulakan pada hari Rabu 19 Julai 2023 yang lepas. Bagi guru yang beragama Islam, peralihan tahun baru Hijriyyah ini harus disambut dengan serius dan penuh harapan. Mengapa? Apakah yang pentingnya tentang peralihan tahun yang hanya melibatkan sejarah umat Islam sahaja? Lagipun sejarah tidak memainkan peranan utama dalam kehidupan seharian kita. Mungkin ini fikir kebanyakan dari kita.
Tetapi sebaliknya, peralihan tahun Hijriyyah itu amat penting bagi murid-murid kita yang masih muda kerana mereka sendiri mungkin mengalami suatu peralihan besar dalam perkembangan jasmani dan minda mereka, dan lebih-lebih lagi dalam kesedaran ruhani dan seksual mereka. Anak-anak yang berumur 9 tahun ke 15 tahun sedang melalui proses perkembangan yang sangat pesat. Ianya kadang-kadang terzahir dihadapan mata kita, melalui perubahan sikap yang ketara mahupun kelakuan yang tidak diduga di belakang kita, di luar sekolah. Seharusnya kita menyediakan mereka dengan kelengkapan ruhani dan cuba menjawab segala kerumitan yang mereka alami walau dalam kesibukan kita menyampaikan silibus matapelajaran yang ditanggungjawabkan kepada kita. Itulah guru yang sejati.
Di awal tahun Hijriyyah, sesuai sekali untuk guru-guru memupuk suatu semangat dalam diri untuk berhijrah dari yang buruk ke yang lebih ekstatik, dari yang alpa kepada yang lebih prihatin agar jiwa anak-anak didik kita semakin mekar dan matang. Inilah perisai mereka untuk cabaran hebat yang tidak putus-putus menerpa mereka dan juga kita.
Aktiviti paling sesuai dan seronok bagi setiap tahun baru adalah mengira umur kita. Disini saya mencadangkan agar para guru membantu pelajar untuk mencari dan mencatitkan tarikh lahir mereka mengikut kalendar Hijriyyah. Mungkin ramai yang sudah sedar bila mereka dilahirkan mengikut kalendar Hijriyyah. Tapi ramai sekali yang tidak tahu dan tidak kisah untuk tahu. Kerana itu sewajarnyalah kelas dimulakan dengan mencari semula tarikh kelahiran hijrah para pelajar.
Di laman sesawang berikut, kita hanya perlu masukkan tarikh kelahiran mengikut kalendar Masihi atau Gregorian.
https://www.islamicfinder.org/islamic-date-converter/
PHOTO
Perbezaan kalendar Hijriyyah dan Masihi begitu ketara kerana kalendar Hijriyyah dikira berdasarkan pusingan bulan mengelilingi bumi. Jumlah hari bagi setiap bulan adalah sebanyak 29 ke 30 hari selama 12 bulan, lalu menghasilkan jumlah hari sebanyak 355 ke 356 hari setahun. Ini adalah perbezaan yang agak ketara, dimana beza kiraan umur kita mungkin menjangkau 10 hari setiap tahun. Jadi, umur kita sebenarnya pasti lebih tua apabila dikira dengan kalendar Hijriyyah berbanding dengan kalendar Masihi. Dengan itu, pelajar-pelajar mungkin tersilap jika mereka sangkakan diri mereka masih di bawah umur, sedangkan ramai yang sudah akil baligh apabila mencecah umur 15 tahun mengikut hukum shariat agama Islam.
Pelajar yang Aqil Baligh Memulakan Tahun Baru dengan Ilmu dan Amal yang Diredhai Allah
Pasti pelajar-pelajar kita akan terperanjat apabila mengetahui bahawa mereka sebenarnya sudah aqil baligh dan telah dipertanggungjawabkan untuk memenuhi segala perintah Allah dan menghindari segala laranganNya umur 15 tahun ataupun mungkin lebih awal dari itu, mengikut tanda-tanda tertentu dari segi jasmani dan peristiwa-peristiwa peribadi.