Dr Khalina Khalili
Baru-baru ini sebuah filem yang bertemakan sejarah sains (history of science) telah ditayangkan dipawagam. Oppenheimer merupakan kisah bapa bom atom, J. Robert Oppenheimer (1904-1967). Filem terbitan Christopher Nolan ini dikarang oleh beliau berdasarkan buku tulisan Kai Bird dan Martin J. Sherwin, bertajuk “American Prometheus”. Dalam buku ini Oppenheimer dikatakan sebagai lambang pembunuhan beramai-ramai di bawah awan cendawan (mushroom cloud). Adakah Oppenheimer seorang saintis jahat sebegitu?
Persoalan sebegini perlu diterbitkan untuk diri kita. Ianya antara faedah menonton filem ataupun kesan utama bagi sebarang aktiviti yang melibatkan kisah orang lain di luar sana. Para pelajar harus tidak khayal dengan keseronokan cerita tersebut tanpa menyedari pengajaran yang ada didalam adegan tertentu. Guru dan ibubapa harus mengambil sebarang kesempatan yang ada untuk melengkapkan anak-murid dengan senjata prinsip dan moral yang membolehkan mereka menyedari baik dan buruk yang ditonjolkan oleh seseorang mahupun sebuah filem.
Oppenheimer, seorang rakyat Amerika berlatarbelakang Yahudi, mengakui tidak berminat dengan politik ataupun peperangan, sehingga pertengahan tahun 1930an akibat dari pembunuhan bangsa Yahudi oleh rejim Nazi Jerman di bawah Hitler. Ianya juga terjadi dizaman inflasi dan maka ramai masyarakat yang kebuluran di seluruh dunia. Ini sering menjadi punca pergaduhan dan peperangan. Oppenheimer mengambil tindakan memberi derma untuk saudara-maranya dan golongan saintis Yahudi di Jerman berhijrah ke negara-negara Barat yang lebih aman dan tidak membenci bangsa Yahudi (anti-semitik).
Tanpa di sangkanya, pihak kerajaan Amerika Syarikat telah mengekori gerak-langkahnya dan juga menghayati kepakarannya dalam bidang atom, lalu menawarkan peluang bagi Oppenheimer untuk bekerjasama membina bom atom bersama dengan angkatan tentera Amerika. Projek tersebut diwujudkan dengan nama Projek Manhattan, dengan tujuan untuk membina bom secepat mungkin, kerana dikhuatiri Adolf Hitler mungkin mampu membinanya dengan bantuan saintis hebat di Jerman, terutamanya Heisenberg. Beberapa makmal dibina bagi tujuan pembinaan tersebut, dengan pusat utamanya di kampung halaman Oppenheimer di Los Alamos, New Mexico.
Beberapa orang pakar Fizik dan atom di panggil untuk bekerjasama di makmal-makmal tersebut. Satu aspek menarik adalah, kebanyakan dari mereka berbangsa Yahudi. Malahan, tema sampingan yang ditonjolkan dalam filem ini adalah, salah tanggap dan layanan perkauman yang di berikan kepada pakar fizik dan matematik berbangsa Yahudi ketika itu. Jelas sekali bahawa apa yang di panggil anti-semitisme itu begitu berleluasa dikalangan orang Eropah dan Amerika sehinggakan pada tahun 1922 Universiti Harvard juga menetapkan hanya 15% pelajar Yahudi dibenarkan menuntut di universiti Ivy League tersebut. Harvard’s president, A. Lawrence Lowell, menyatakan tujuannya untuk mengurangkan sikap perkauman anti-semitism dikalangan pelajar bukan Yahudi.
Filem ini dengan sengaja mengungkit tajuk yang begitu kontroversi ini dengan menonjolkan Albert Einstein dan menyebut perkataan ‘Jewish Science’. Persoalannya adakah penciptaan bom atom itu yang dikatakan Sains Yahudi. Padahal boleh saja dikatakan yang ianya adalah sains abad ke-20, tetapi begitu ramai ahli sains yang mendampingi Projek Manhattan adalah berbangsa Yahudi namun mewakili negara-negara Jerman, Hungary, Poland, Austria dan Italy. Ini disebut oleh Ben-Ami Shillony dalam bukunya The Jews and the Japanese: The Successful Outsiders (1992). Turut membantu J. Robert Oppenheimer mengkaji proses pembelahan nukleus (fission) dan pelakuran nukleus (fusion) adalah Edward Teller, Eugene Wigner, Leo Szilard semuanya dari Hungary, Victor Weisskopf. Max Born, James Franck, Hans Bethe and Otto Frisch dari Jerman. Kesemua mereka adalah anak didik Niels Bohr pada suatu ketika, dan Bohr berasal dari Denmark, namun ibunya berbangsa Yahudi. Yahudi dari Amerika pula adalah Isadore Rabi, Richard Feynman and Eugene Rabinowitz. Joseph Rotblatt pula berasal dari Poland.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Jewish Science? Adakah ianya kerana produk yang dihasilkan itu terhasil dengan objektif utama bagi melindung bangsa Yahudi dari kecaman Nazi? Adakah kerana ilmu yang perlu untuk pembikinan bom itu, kesemuanya hasil ciptaan saintis yang berbangsa Yahudi. Perlu di tekankan bahawa Oppenheimer sebenarnya telah dididik dengan prinsip kemanusian sekular (atau secular humanism) kerana ibubapanya tidak kisah akan pendidikan agama. Begitu juga kebanyakan dari ahli sains yang lain, mereka tidak mengamalkan undang-undang agama Yahudi dalam kehidupan seharian. Nyatalah dalam identiti diri seorang Yahudi itu ada suatu konflik antara Yahudi sebagai suatu agama yang dianuti dan Yahudi sebagai identiti bangsa dan budaya, tanpa sebarang peranan agama atau kepercayaan kepada Tuhan. Tentu sekali pada awalnya, ianya adalah kedua-dua sekali bangsa dan juga agama. Tidak banyak bangsa lain diluar sana yang ada konflik dimana identiti bangsa dan agama harus disatukan. Apabila, sekularisasi menjadikan agama itu hilang kepentingan, identiti diri itu terus hanyut dalam tanda tanya.
“Oppenheimer tidak pernah menyesali pembuatan bom tersebut atau merekomendasikan agar bom tersebut digunakan untuk melawan Jepun – bahkan, dia secara terbuka menyesali bahwa senjata tersebut tidak dikembangkan tepat pada waktunya untuk dijatuhkan pada Nazi Jerman – namun dia takut akan dampak masa depan dari kekuatan mematikan senjata tersebut, termasuk kemungkinan kehancuran dunia. Sepanjang hidupnya, dia berjuang untuk mendapatkan kelegaan batin, namun dia tidak pernah berjaya mendamaikan dilema batinnya sebagai penyelamat banyak nyawa dan juga orang yang membahayakan kehidupan masa depan banyak orang lain.” Robert Oppenheimer: A Life Inside the Center
Oppenheimer di akhir hayatnya, menentang sebarang usaha untuk terus menghasilkan bom yang lebih besar. Beliau mengecam sebarang usaha untuk menggunakan bom atom. Namun usaha tersebut terus berjalan dengan penggunaan isotop hidrogen dan seterusnya partikel eletron dan sub-partikel bagi kajian nuklear kuantum. Namun, tujuan Oppenheimer untuk melindungi masyarakat sebangsa dengannya semakin menebal, sehingga dia sendiri menggesa kerajaan Zionis Israel untuk membina senjata nuklear dan membantu usaha Perdana Menteri Ben-Gurion menyediakan nuklear dari plutonium dari 1947-1958. Dalam sebuah biografi berjudul, Robert Oppenheimer: A Life Inside the Center, penulis Ray Monk menceritakan bahawa rakan karibnya Isidor Rabi juga menganggap bahawa ketandusan pengetahuan agamalah yang menyumbang kepada sifat negatif yang ada pada Oppenheimer. “…it would have been better for Oppenheimer “if he had studied the Talmud rather than Sanskrit…. It would have given him a better sense of himself.” Soal ini bersangkut paut dengan isu identiti.
Sebagai guru, kita harus sedar bahawa identiti para pelajar akan memberi kesan dalam hidup mereka sepanjang hayat mereka. Sifat positif dan perangsang yang diberikan oleh guru-guru dan rakan-rakan disekolah menentukan kejayaan mereka dan juga sifat etika dan moral yang mereka bawa di bidang kerja dan juga di rumah. Tentu sekali semuanya bermula dengan kita. Adakah kita jelas tentang identiti diri kita itu sendiri, atau adakah kita terlalu sibuk menuding jari pada orang lain?
Untuk meluaskan pemahaman tentang nuklear klik sesawang dibawah.
https://wiser.my/nasa-rancang-bina-loji-kuasa-nuklear-di-bulan-pada-tahun-2026