Konsep Kepimpinan Menurut Islam – 2
Muhammad Afiq b. Abdul Rahman (Malaysia)
Setiap seorang dari kita juga ada tanggungjawab yang akan dipersoalkan kepada kita di Akhirat. Rasulullah bersabda:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِه
“Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dipersoal. Seorang imam adalah pemimpin masyarakat dan akan dipersoal. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan dipersoal. Seorang wanita adalah pemimpin rumah suaminya, dan dia pun akan dipersoal. Seorang abdi pula adalah pemimpin harta tuannya dan dia juga akan dipersoal. Sungguh setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipersoal.”
Hadith tersebut menunjukkan setiap manusia, berdasarkan kedudukan dan peranannya, mempunyai taklif, iaitu beban tanggungjawab. Namun pada masa kini ada manusia yang bertindak di luar kedudukan dan peranannya kerana terpengaruh dengan fahaman kebebasan dalam bersuara, iaitu fahaman yang tersebar dengan pesat menerusi jaringan komunikasi internet kini. Misalnya dua tahun lepas, pada tahun 2019, seorang pelajar Universiti Malaya membawa sepanduk naik ke pentas konvokesyen untuk menunjukkan protes terhadap Naib Canselor. Ini menunjukkan pelajar itu tidak mengenal kedudukannya dalam majlis tersebut dan kedudukannya dalam universiti, dan sudah pasti apa yang menjadi tanggungjawabnya sebagai pelajar juga tidak difahami. Perihal tanggungjawab murid pula telah jelas dinyatakan dalam karya-karya ulama’ berkenaan adab menuntut ilmu. Namun soalannya, adakah karya-karya tersebut dipelajari oleh semua pelajar di universiti tersebut? Yang mempelajarinya berkemungkinan hanyalah sedikit dari kalangan pelajar pengajian Islam, sedangkan sepatutnya semua pelajar perlu mempelajarinya, sama ada Muslim atau bukan Muslim, yang sepatutnya dipelajari sejak tahun pertama para pelajar menuntut ilmu di universiti. Malah setiap permulaan semester baru sepatutnya para pelajar dan juga pensyarah perlu diingatkan perihal adab itu, termasuk tujuan seseorang belajar dan mengajar. Misalnya, Universiti Chicago mengadakan majlis rasmi setiap tahun bagi memperingatkan warga universitinya berkenaan tujuan pendidikan. Majlis tersebut dinamakan sebagai The Aims of Education Address yang telah diadakan sejak tahun 1961 sehingga kini. Nama majlis itu diambil bersempena syarahan terkenal oleh Alfred North Whitehead, seorang ahli falsafah dan matematik, kepada hadirin International Congress of Mathematicians di Cambridge yang bertajuk Aims of Education pada tahun 1912 yang kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku pada tahun 1929.
Bentuk kepimpinan Islam terbahagi antaranya kepada bentuk kepimpinan pendidikan, kekeluargaan, pekerjaan dan kenegaraan. Dari segi susunannya setiap bentuk terdapat yang memimpin dan yang dipimpin⸺dalam pendidikan, seorang guru memimpin murid, dalam keluarga, seorang suami memimpin isteri dan anaknya, dalam pekerjaan, seorang pengarah memimpin pengurus, manakala dalam negara, seorang menteri memimpin pegawai. Di sebaliknya, setiap pemimpin tersebut perlu tahu apa yang dipimpinnya dan bagaimana melaksanakannya.
Dalam aspek pendidikan, menurut Shaykh Ahmad Zarruq dalam Qawa’id al-Tasawwuf, diri manusia perlu didasari ilmu dan amal bagi menghindari daripada penyimpangan. Teladannya diambil daripada guru yang tahqiq dalam sunnah dan yang tamkin dalam ilmu, supaya dapat dirujuk oleh murid menerusi pergaulan yang terbit dari dasar diri guru. Namun masalahnya menurut Shaykh Ahmad Zarruq, adakah membaca buku cukup tanpa guru atau tidak? Maka Shaykh Ahmad Zarruq menyatakan tiga pendapat:
- Pendapat Pertama
Pembaca buku dapat mendalami buku dengan guru ta‘lim jika pembaca itu seorang yang cerdik dan arif berkenaan sumber ilmu. Manakala guru tarbiyyah mendidik dengan persahabatan dalam agama dan nasihat yang menurut akal. Guru tarqiyyah pula mendidik dengan pertemuan yang kerap dan sentiasa mengingati. Jika ketiga-tiga aspek ini terdapat pada seorang guru adalah yang terbaik.
2. Pendapat Kedua
Yang lurus bendul mesti dipimpin guru tarqiyyah walaupun dia telah mendalami buku dengan guru ta‘lim agar dia selamat dari kecuaian nafsunya kerana seorang hamba tiada dapat lari daripada terpesona dalam memandang pada dirinya sendiri.
- Pendapat Ketiga
Untuk memahami ketaqwaan tidak memerlukan guru bagi menunjukkan tentang yang umum berkenaannya, tetapi untuk istiqamah memerlukan guru untuk menunjukkan mana yang lebih baik. Yang cerdik berupaya menjalani mujahadah dengan membaca buku tanpa guru. Sebaliknya peningkatan iman memerlukan guru untuk dirujuk berkenaan tandanya.
Dalam aspek kekeluargaan pula, menurut Khalif Muammar & Adibah Muhtar (2019), golongan feminis umumnya tidak menerima ayat al-Qur’an yang menegaskan kepimpinan lelaki dalam rumahtangga dan lebih cenderung menterjemahkan qawwamun sebagai pencari nafkah (breadwinners). Istilah breadwinner itu menurut beliau, mengecilkan peranan suami kepada peranan ekonomi, sedangkan perkataan qawwam bukan bermaksud pemberian nafkah sahaja, manakala lelaki menjadi pemimpin bukan hanya kerana lelaki memberi nafkah, tetapi kerana lelaki diberi amanah dan tanggungjawab untuk memastikan rumahtangga termasuk isterinya, dijaga dan dipelihara dengan baik mengikut kehendak Allah. Maka isteri yang tidak memerlukan nafkah kebendaan daripada lelaki, itu tidak bermakna isteri tidak perlu taat suami dan juga tidak bermakna kuasa suami ke atasnya berkurangan.
Dalam aspek pekerjaan pula,menurut Nizam al-Mulk dalam Siyar al-Muluk, pemimpin yang terdidik tidak pernah memberikan dua atau lebih jawatan kepada seseorang, apalagi satu jawatan untuk dua orang atau lebih. Ini kerana menurut beliau apabila dua jawatan diberikan kepada seseorang, salah satu jawatannya itu pasti dilaksanakan dengan tidak betul, terabai, rosak, hancur dan gagal, malah mereka lazimnya dikutuk. Manakala apabila satu jawatan diberikan kepada dua orang, mereka akan saling tolak-menolak daripada bertanggungjawab sehingga kerjanya tetap tidak dilaksanakan. Apabila kedua-dua keadaan itu berlaku menurut beliau, akar masalahnya bukan mereka yang menerima jawatan itu, tetapi masalahnya terletak pada orang yang memberikan mereka jawatan itu, malah adalah tanda pemimpin itu tiada kebolehan memimpin.
Tambah beliau lagi, pemimpin terdahulu melantik orang yang sama agama dan pemikiran, malah mereka yang menolak menerima tanggungjawab dipaksa untuk terima. Dengan cara ini menurut beliau, pendapatan tidak disalah guna, orang awam tidak ditindas, manakala pemimpin senantiasa aman tenteram zahir dan batin. Namun apabila Yahudi, Zoroaster, Rafidi, Khariji dan Qarmati dilantik bagi mentadbir urusan Turk, ketidakseimbangan berlaku, semangat agama Islam sudah tiada, tiada ketelitian dalam belanja pendapatan dan tiada keprihatinan terhadap orang awam. Sebaliknya, pada zaman Mahmud, Mas’ud, Tughril dan Alp Arslan, tiada Zoroaster atau Kristian atau Rafidi yang berani muncul di khalayak awam apalagi berdepan dengan Turk, malah mereka yang mentadbir urusan Turk ialah pakar-pakar dari Khurasan dari kalangan mereka yang bermazhab Hanafi dan Shafi’i, dan mereka yang menyimpang dalam agama tidak pernah dilantik dalam perkhidmatan awam.
Dalam aspek kenegaraan, menurut al-Attas dalam karyanya bertajuk Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak, kotaraya bagi umat Islam adalah suatu ringkasan susunan masyarakat Islam dan politik Islam, ibarat badan, ruh, qalbu, nafsu dan akal yang bertindak menurut teladan Rasulullah dalam mengawal diri dan juga menghukum diri. Ini kerana menurut al-Attas, istilah din adalah dasar bagi istilah madinah, yang berkait dengan kata kerja maddana, yang merujuk kepada madinah, yang bermakna (1) membina, (2) mendirikan bandar-bandar, menaikkan ke taraf beradab, (3) menghaluskan budi pekerti, dan (4) menjadikan manusia lebih berperi kemanusiaan berlawanan dengan sifat kebinatangannya. Dari kata-kerja maddana itu juga menurut al-Attas, terbentuk istilah tamaddun, yang bermaksud keadaan kehidupan insan yang bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.
Dalam kata lain, bentuk kepimpinan kenegaraan tidak berbeza dengan bagaimana seorang manusia memimpin dirinya. Namun dalam konteks sebuah negara yang hendak menuruti konsep kota Madinah seperti yang dipimpin oleh Rasulullah, yang terpenting dalam kedudukan negara sedemikian adalah seorang Nabi. Menurut keadaan masa kini pula, yang dimaksudkan bukanlah seperti konsep imamah yang diamalkan di Iran yang didasari fahaman Syi’ah. Ini kerana umat Islam kini telah berada jauh dari zaman khalifah terdahulu, yang juga bermakna seorang pemimpin negara yang alim dan soleh itu hampir mustahil ditemukan, dan tambahan pula kebanyakan sistem politik masa kini bukan lagi berteraskan kepimpinan raja-raja yang mutlak. Maka disebabkan itu, apa yang paling praktikal untuk dilakukan adalah seorang pemimpin negara masa kini setidak-tidaknya perlu mengenali alim ulama’ yang sebenar sebagai tempat rujukan agar pimpinan mereka senantiasa menuruti ilmu yang difahami dan diamalkan oleh para alim ulama’.
Itu penting untuk diingatkan kerana agak sukar bagi seseorang yang berkuasa itu mendengar kata alim ulama’ melainkan jika telah menjadi kebiasaan diri sejak sebelum memegang tampuk kepimpinan. Misalnya, jika alim ulama’ dikehendaki untuk mengikut cara atau pandangan pemimpin negara, ini bermakna seorang pemimpin negara telah melakukan kezaliman. Ini kerana kedudukan alim ulama’ dengan pemimpin negara tetap dalam hubungan antara seorang guru dengan murid, bukan menteri dengan rakyat. Dalam kata lain, meskipun seseorang pemimpin negara jahil dalam ilmu agama, maka mereka sepatutnya merendahkan diri di hadapan alim ulama’, dan kebanyakan pemimpin negara masa kini bukanlah dari kalangan alim ulama’, maka sepatutnya para pemimpin sedemikian menyedari hakikat ini dan tidak memandai-mandai dalam membuat keputusan-keputusan yang melibatkan agama Islam dan orang Melayu.
Yang dimaksudkan dengan alim ulama’ pula bukanlah mereka yang terikat dengan kumpulan-kumpulan politik atau gerakan-gerakan dakwah tertentu, sebaliknya yang dimaksudkan dengan alim ulama’ adalah mereka yang menumpukan sepenuh perhatiannya dalam bidang keilmuan berdasarkan tradisi ilmu yang diamalkan zaman berzaman oleh alim ulama’ sebelumnya dalam kegiatan membaca, menulis, mengkaji, memahami dan menjelaskan sumber-sumber ilmu, serta mengenali tipu daya yang tersirat dalam timbunan maklumat-maklumat keilmuan yang beraneka jenis dalam persuratan Islam dan Barat, dan yang telah dapat mengawal dirinya daripada dikawal oleh tabiat buruk. Akibat tiada mengenali maklumat keilmuan Barat maka umat Islam kini ada yang begitu mudah terikut budaya yang asing dari Islam, bukan sahaja budaya berhibur, tetapi dalam budaya keilmuan turut terkesan, kerana kepesatan kemasukan bahan bacaan Barat yang menjadi sumber bacaan dalam pelbagai bidang ilmu.
Apakah pula kedudukan seorang menteri jika menteri itu sendiri alim ulama’? Pada masa lalu seorang ulama’ yang pernah jadi wazir adalah Ibn Khaldun pada abad ke-14, bersamaan lebih kurang 700 tahun lepas. Beliau mulanya bertugas dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Katib al-’Alamah, iaitu penulis dokumen rasmi kerajaan Tunisia. Kemudian disebabkan beliau tidak berpuas hati dengan jawatan tinggi tetapi tidak berapa penting itu, beliau mengikut gurunya ke Maghribi. Sewaktu di Maghribi beliau dilantik sebagai penulis dokumen rasmi kerajaan, dan beliau tidak berpuas hati juga serta menyatakan bantahan yang menyebabkan beliau dipenjara selama 1 tahun 10 bulan. Ketika itu umurnya 25 tahun. Selepas beliau keluar penjara, beliau dilantik semula, dan lagi sekali beliau membantah. Akhirnya Ibn Khaldun diberikan jawatan menteri. Tidak lama kemudian beliau berkhidmat dalam hubungan diplomatik di Granada, dan berselisih fikiran dengan menteri di situ. Kemudian Ibn Khaldun dilantik oleh Sultan Hafsid untuk berkhidmat sebagai menteri untuk kaum Berber kerana Sultan Hafsid adalah sahabatnya di penjara dulu. Kemudian Ibn Khaldun tukar kerajaan lagi, dan berkhidmat untuk kerajaan Tilmisan. Selepas Sultan Tilmisan ditawan, Ibn Khaldun dipenjara lagi. Kemudian, beliau berkhidmat dalam beberapa hubungan diplomatik dengan puak-puak Arab. Akhirnya beliau penat dengan politik, maka beliau tulis karyanya yang terkenal iaitu Muqaddimah, sewaktu diberikan perlindungan politik selama lebih tiga tahun. Kemudian beliau balik ke Tunisia dan berkhidmat di Tunisia untuk menyiapkan Muqaddimah. Tetapi hubungannya dengan pemerintah Tunisia tetap masih tegang kerana pemberontakannya dahulu. Selepas siap, Ibn Khaldun serahkan karya beliau itu kepada pemerintah dan minta pergi haji kemudian ke Mesir pula. Soalannya, setara mana menteri-menteri kini berbanding seorang menteri dulu?
Daripada pengalaman Ibn Khaldun itu beliau menunjukkan kepentingan berpegang dengan prinsip ilmu walaupun terpaksa menggadaikan jawatan banyak kali. Malah pada tahun 1382, bersamaan hari raya aidilfitri, Ibn Khaldun sampai di Iskandariah buat pertama kalinya dan sebulan selepas itu beliau berangkat ke Kaherah. Waktu itu terdapat tiga pusat pengajian tinggi di Kaherah iaitu Jami’ah al-Azhar, Jami’ah Qamhiyah dan Jami’ah Sargatmus. Sebelum beliau sampai di Mesir itu, nama beliau telah terkenal dalam kalangan ulama’ disebabkan buku Muqaddimah yang ditulisnya. Di Kaherah itu beliau sering diziarah oleh tetamu yang hadir untuk menuntut ilmu dengan beliau. Maka Ibn Khaldun terpaksa buat kuliah iaitu buka ruwak di Jami’ah al-Azhar, yang ketika itu di masjid. Di situ beliau mengajar Hadith, Fiqh Mazhab Maliki dan kitabnya iaitu Muqaddimah. Kata Ibn Khaldun, “Tatkala aku masuk kota Kaherah, ramai pelajar berkunjung ke rumah aku, sedangkan ilmu yang aku miliki tidak seberapa. Akhirnya aku terpaksa juga berikan kuliah di al-Azhar.” Dua tahun selepas itu, Ibn Khaldun dilantik sebagai guru besar Fiqh Mazhab Maliki di Jami’ah Qamhiyah, selain turut menyampaikan kuliah-kuliah umum yang dihadiri oleh ulama’, pelajar, pemimpin dan kenamaan. Manakala enam tahun kemudian, Ibn Khaldun dilantik sebagai guru bagi Kursi Ilmu Hadith di Jami’ah Sargatmus. Di situ, beliau mengajar kitab Muwatta’ karya Imam Malik.
Keberkesanan kepimpinan bermaksud apa yang dicita-citakan oleh seseorang pemimpin menjadi nyata. Telah dihuraikan bahawa setiap manusia adalah pemimpin bagi dirinya, dan ini bermakna berdasarkan kedudukannya sama ada dalam aspek pendidikan, kekeluargaan, pekerjaan atau kenegaraan itu, terdapat cita-cita atau matlamat yang hendak dicapai. Ada matlamat yang belum dicapai, ada matlamat yang diperbaharui, ada matlamat yang dihapuskan, dan ada matlamat yang telah dicapai. Umumnya pencapaian terbesar umat Islam adalah ilmu agama Islam yang terpelihara sejak zaman Rasulullah. Ini berbeza dengan perkembangan ilmu pelbagai jenis agama seperti agama Hindu, Buddha, Kristian dan Yahudi yang berubah mengikut arus kehendak insan dari zaman ke zaman. Pencapaian itu adalah hasil usaha pelbagai pihak yang berperanan penting dalam pendidikan, kekeluargaan, pekerjaan dan kenegaraan, dari zaman ke zaman sehingga kini.
Misalnya, Rasulullah mendidik umat Islam pada peringkat awal di rumah al-Arqam. Didikan di rumah al-Arqam ini boleh diibaratkan sebagai pusat pengajian tinggi. Ini kerana para Sahabat yang mula-mula dididik di situ semuanya kemudian diamanahkan untuk mengetuai pimpinan dalam pelbagai urusan kenegaraan sewaktu di Madinah. Institusi pendidikan ini kemudiannya berkembang di Madinah menerusi institusi pengajian di Masjid Nabi, malah para tawanan perang di Madinah yang tidak berkemampuan untuk menebus diri supaya bebas diberikan pilihan untuk mengajar anak-anak orang Islam. Apabila sempurna pengajarannya barulah tawanan itu dibebaskan. Pada peringkat awal pendidikan di Madinah itu kegiatan keilmuan berkembang pesat walaupun ekonomi umat Islam ketika itu merosot.
Pada masa kini terdapat beberapa negara kaum Muslimin yang sedang bergolak. Walaupun negara Malaysia tidak terlibat dalam pergolakan tersebut, tetapi boleh turut membantu berdasarkan cara yang ditunjukkan pada zaman Rasulullah itu. Ini kerana di setiap negara tersebut pasti terdapat ramai sarjana dan ulama’ yang boleh dibawa masuk ke Malaysia untuk berkhidmat. Dengan cara ini, warganegara Malaysia dapat mengambil manfaat daripada keilmuan mereka, dan mereka pula dapat meneruskan kegiatan ilmu seperti sedia kala walaupun bukan di kampung halaman mereka. Begitu juga perpustakaan dan kedai buku di negara-negara yang bergolak tersebut, boleh diusahakan untuk dibawa masuk ke Malaysia, terutama naskah-naskah nadir dalam bentuk manuskrip lama atau buku. Sekiranya tidak dapat dibawa masuk buku dan manuskrip tersebut, masih boleh cuba dengan cara menyalin naskah-naskah tersebut dalam format digital.
Globalisasi pada zaman Rasulullah menerusi hijrah dan perpaduan kaum Ansar dan Muhajirin itu tidak membantutkan mereka dalam keilmuan. Ini merupakan pengajaran terpenting untuk umat Islam masa kini terutamanya dalam keadaan wabak yang melanda seluruh dunia. Ini kerana pimpinan Rasulullah ketika itu dapat menghidupkan majlis ilmu agama dalam keadaan kekurangan dari segi kemajuan kebendaan. Jika dibandingkan dengan keadaan masa kini yang kononnya maju, sepatutnya tidak menjadi penghalang untuk seseorang menghayati kehidupan Rasulullah tersebut dan menerapkan amalannya, lebih-lebih lagi umat Islam di Asia Tenggara ini kebanyakannya hidup dalam keadaan aman damai tanpa pergolakan.
Pada abad ke-11, pengajian di masjid mula beralih ke sistem madrasah. Sebagai pemimpin dalam empayar Saljuk, Nizam al-Mulk berperanan menubuhkan rangkaian Madrasah Nizamiyyah. Pusat utama Madrasah Nizamiyyah terletak di kota Baghdad, manakala cawangannya terletak di kota Naysabur, Amul, Balkh, Herat dan Isfahan. Madrasah ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Saljuk menerusi usaha Nizam al-Mulk. Malah suatu ketika terdapat orang yang hasad dengki dengan Nizam al-Mulk, mendakwa bahawa Nizam al-Mulk salah guna peruntukan kerajaan kerana tidak membangunkan sektor ketenteraan tetapi hanya membina madrasah. Maka di hadapan Sultan Malik Shah I, beliau menyatakan bahawa warga madrasah beliau itu adalah tentera yang berjaga pada waktu malam di saat orang ramai tidur⸺ini kerana madrasah-madrasah tersebut sentiasa penuh dengan kegiatan ilmu dan ibadah. Di Madrasah Nizamiyyah ini juga lahirnya Imam al-Ghazali yang belajar dari kecil sehingga jadi alim yang menguasai ilmu akliah dan ilmu syar’iyyah di bawah bimbingan Imam al-Haramayn al-Juwayni.
Pada masa kini walaupun dunia dikatakan telah maju, tetapi pusat pengajian tinggi masih tidak dapat menandingi apa yang dilakukan oleh Nizam al-Mulk itu. Ini kerana belum ada universiti yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, walaupun universiti itu digahkan sebagai mengamalkan sistem pendidikan yang praktikal kerana mengikut kehendak industri. Dalam kata lain, universiti seolah-olah telah dipermainkan oleh industri. Ini kerana industri sepatutnya boleh berperanan sebagai penaja penuh sesebuah universiti tanpa perlu bergantung kepada kerajaan. Namun sebaliknya, industri hanya mahukan hasil daripada lepasan pelajar universiti, seperti penjajah Barat yang mengaut hasil bumi Tanah Melayu, tanpa usaha menanggung pembiayaan dan operasi sesebuah universiti. Ini berbeza dengan amalan Nizam al-Mulk tersebut yang mampu dan berani manfaatkan peruntukan negara.
Kualiti kepimpinan perlu dibentuk melalui tiga proses penyucian diri iaitu takhalli, tahalli dan tajalli. Takhalli adalah usaha membuang segala sifat mazmumah (keburukan) dalam diri, kemudian tahalli iaitu usaha menanam sifat mahmudah (kebaikan), manakala tajalli pula adalah mengekalkan kebaikan dalam diri dan juga hasil daripada kebaikan yang telah tertanam. Dalam kata lain, seseorang bukan sahaja perlu berhias diri dengan kebaikan, tetapi turut perlu meninggalkan segala keburukan diri.
Selalunya orang berhias diri dengan kebaikan sahaja, tetapi keburukan diri masih tidak ditinggalkan. Ini akan jadi bermasalah terutamanya apabila seseorang berperanan sebagai pemimpin bagi beberapa institusi. Jika seseorang hanya memimpin institusi keluarga, perangai buruknya mungkin hanyalah diketahui oleh ahli keluarga dan kawan-kawan. Sebaliknya jika seseorang bukan sahaja memimpin keluarganya sendiri tetapi turut berperanan sebagai pemimpin dalam urusan kenegaraan, perangai buruknya mungkin dianggap sebagai ikutan bagi orang ramai.
Apabila perangai buruknya diikuti oleh rakyat misalnya, maka kebenaran sukar dikenali, malah apa yang benar mungkin dianggap bukan kebenaran, dan apa yang salah dianggap kebenaran. Ini adalah kezaliman yang timbul secara umumnya apabila proses takhalli tidak dilakukan. Secara khususnya banyak contoh yang dapat dilihat daripada laporan-laporan berita sehari-hari, yang menunjukkan keburukan masih dilakukan oleh pemimpin, walaupun dalam masa yang sama mereka juga melakukan kebaikan. Akhirnya keburukan dianggap sebagai perkara biasa, manakala kebaikan sebenar, iaitu usaha meninggalkan keburukan itu dianggap luar biasa atau dianggap sebagai suatu yang tidak menepati realiti.
Dalam era globalisasi kini, sifat buruk lebih cepat untuk diikuti, kerana perkongsian berita dan cerita sensasi dan kontroversi dikongsikan saban hari. Apabila berita dan cerita sedemikian kerap dikongsikan, ini akan menjadi bahan perbualan orang ramai. Akhirnya orang ramai lebih banyak bercakap berkenaan berita dan cerita sedemikian. Sebaliknya berita dan cerita yang ilmiah semakin kurang dibahaskan. Ini sebabnya kedai buku banyak tidak laku, sebaliknya kedai telefon bimbit dan komputer pesat membangun bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Walaupun komputer dan telefon bimbit adalah alat yang canggih, tetapi tanpa tiga proses pembentukan akhlak mulia itu, alat yang canggih boleh merosakkan diri seseorang. Dalam kata lain, alat yang canggih itu boleh digunakan untuk perkongsian kegiatan keilmuan, dan boleh juga digunakan untuk perkongsian kegiatan yang merosakkan. Dalam hal ini, seseorang yang tidak meninggalkan sifat buruk dirinya, akan terjebak dalam berkongsi kegiatan yang merosakkan. Malah kegiatan yang merosakkan itu mungkin dianggap perkara biasa pula.
Misalnya, pada bulan April lepas, Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan untuk mengadakan pertandingan Tiktok, dan selepas dikecam oleh orang ramai di internet, barulah pengumuman itu ditarik balik. Tiktok dalam hal ini adalah alat. Tetapi alat tersebut tidak sesuai untuk pertandingan yang dianjurkan oleh sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam memimpin pengajian tinggi di Malaysia. Malah orang ramai juga memahami bahawa alat itu tidak sesuai dan membantahnya. Namun, kenapa orang yang berfikiran sedemikian boleh dibenarkan untuk memimpin sebuah kementerian yang sangat penting?
Seorang menteri yang memimpin Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya memikirkan apakah yang boleh disumbangkan kepada para sarjana dan penuntut ilmu, malah seharusnya menteri bagi kementerian ini sepatutnya berperanan sebagai perantara bagi menghubungkan fikiran sarjana dengan para pemimpin, dan bukan sahaja dengan para pemimpin dalam negara tetapi termasuk luar negara. Ini kerana para pemimpin politik umumnya perlu merujuk para ahli ilmu agar tindakan yang dilakukan adalah selari dengan apa yang dikehendaki dalam ilmu. Maka Kementerian Pengajian Tinggi seharusnya merujuk sarjana-sarjana yang pakar dalam ilmu kesarjanaan, iaitu mereka dari kalangan ulama’ yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu dan berpengalaman menguruskan sesebuah institusi tinggi keilmuan, agar dapat merencana kegiatan yang utama dan penting dalam pengajian tinggi. Antara kegiatan yang boleh direncana adalah penerbitan buku-buku ilmiah yang ditulis oleh para sarjana di universiti di Malaysia. Ini kerana banyak kajian Master dan PhD di universiti masih belum diterbitkan dan sepatutnya boleh diterbitkan jika Kementerian Pengajian Tinggi bertungkus lumus memikirkan berkenaannya berbanding mengadakan acara seperti pertandingan Tiktok itu.
RUJUKAN
Ahmad Zarruq, (2004). Qawa’id al-Tasawwuf ‘ala Wajhin Yajma’u bayna al-Shari’ah wa al-Haqiqah wa yasilu al-Usul wa al-Fiqh bi al-Tariqah. Beirut: Dar al-Bayruti
Biadab! Graduan Protes di Pentas Konvo. Dalam berita Astro Awani, 15 Oktober 2019. (online) https://www.astroawani.com/berita-malaysia/biadab-graduan-protes-di-pentas-konvo-220074
John W. Boyer, (T.t). An Introduction to the Annual Lecture on the Aims of Education. (online) https://college.uchicago.edu/student-life/introduction-annual-lecture-aims-education
Khalif Muammar & Adibah Muhtar, (2019). Konsep Kesetaraan Gender Menurut Perspektif Islam & Barat. Dalam jurnal AFKAR, 21 (2). Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Hlm. 33—74
Muhammad bin Alawi al-Maliki, (2002). Prinsip-prinsip Pendidikan Rasulullah, terjemahan Usul al-Tarbiyyah al-Nabawiyyah. Diterjemahkan oleh Muhammad Ihya’ Ulumiddin. Jakarta: Gema Insani Press
Muhammad Hozien, (2010). Ibn Khaldun: His Life and Works. Manchester: The Foundation for Science, Technology and Civilisation (online) https://muslimheritage.com/ibn-khaldun-life-works/
Nashruddin Thaha, (1979). Tokoh-tokoh Pendidikan Islam di Zaman Jaya: Imam Ghazali dan Ibn Khaldun. Jakarta: Penerbit Mutiara
Nizam al-Mulk, (2002). The Book of Government or Rules for Kings: The Siyar al-Muluk or Siyasat-nama of Nizam al-Mulk, translated from the Persian by Hubert Darke. New York: Routledge & Persian Heritage Foundation
Peter Sheridan, (2020). Joe Biden: Tragedy of losing wife and baby in crash shaped empathetic leader he is today. Dalam akhbar Daily Express London, 7 November 2020 (online) https://www.express.co.uk/news/world/1357338/joe-biden-win-us-elections-2020
Syed Muhammad Naquib al-Attas, (2013). Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak. Kuala Lumpur: IBFIM