KONSEP KEPIMPINAN MENURUT ISLAM
Muhammad Afiq bin Abd Rahman (Malaysia)
Penghujung dua tahun lepas Joe Biden, Presiden Amerika ke-46, berkongsi perasaan beliau yang kematian isteri sewaktu beliau masih muda dan sewaktu mula-mula beliau dilantik ke jawatan penting dalam politik di Amerika, menerusi ucapannya dalam sebuah artikel oleh Peter Sheridan (2020) iaitu:
“I began to understand how despair led people to just cash in; how suicide wasn’t just an option but a rational option. But I’d look at Beau and Hunter asleep and wonder what new terrors their own dreams held, and wonder who would explain to my sons my being gone, too. And I knew I had no choice but to fight to stay alive.”
Dalam ucapan tersebut Joe Biden menyatakan bahawa beliau rasa hendak bunuh diri sewaktu berdepan dengan pemergian isterinya, dan beliau menganggap bunuh diri adalah pilihan yang rasional bagi mereka yang turut berdepan dengan dugaan tersebut, tetapi disebabkan memikirkan anak-anaknya, maka beliau mengambil keputusan untuk tidak bunuh diri. Ucapan beliau itu memberikan gambaran berkenaan fikiran Barat dalam hidup sama ada mereka itu pemimpin politik atau orang awam. Bagi beliau bunuh diri itu adalah pilihan yang rasional, dan tindakan beliau menyatakan sedemikian dianggap sebagai memahami perasaan orang yang senasib dengannya.
Dalam Islam, bunuh diri bukanlah suatu pilihan, sebaliknya adalah dosa besar, dan disebabkan ini bunuh diri dalam apa-apa keadaan sekalipun bukanlah pilihan yang rasional, atau lebih tepat lagi, bukanlah pilihan yang masuk akal. Ini kerana akal dalam Islam adalah saluran ilmu yang perlu dipelihara daripada kerosakan dalam berfikir. Salah satu kerosakan berfikir adalah menganggap dosa besar sebagai suatu yang masuk akal.
Begitu juga dalam memahami perasaan orang lain, perlu berdasarkan ilmu, bukan dengan bercakap melulu tanpa didasari ilmu seperti itu. Namun kini terdapat kecenderungan untuk memahami perasaan orang tanpa didasari ilmu, kononnya bertujuan untuk memahami realiti. Daripada kecenderungan sedemikian, timbul pula slogan seperti pemimpin berjiwa rakyat, atau dalam bahasa akademik disebut pendekatan bottom-up, iaitu pendekatan yang kerap diamalkan dalam pengurusan dan pentadbiran sesebuah institusi masa kini. Istilah-istilah ini semua kononnya pendekatan baru berbanding pendekatan pendekatan top-down seperti sistem monarki, oligarki atau aristokrasi.
Itu seharusnya menarik perhatian kita untuk merenung kembali konsep suhbah yang difahami dan telah lama diamalkan dalam Islam. Dasar kepimpinan Islam sememangnya didasari oleh konsep bersahabat di antara Rasulullah dengan para Sahabat. Ini lebih penting lagi untuk difahami kerana hubungan sesama manusia seluruh dunia semakin dekat dalam era globalisasi menerusi jaringan komunikasi dalam talian. Menerusi jaringan komunikasi itu juga timbul pelbagai ragam manusia yang terlibat dalam pelbagai perkongsian secara terbuka⸺ini juga seharusnya menarik perhatian kita untuk merenung kembali konsep muhasabah yang difahami dalam Islam. Dasar kepimpinan Islam sememangnya menekankan konsep bermuhasabah yang sering ditunjukkan oleh Rasulullah sendiri. Di sebalik itu, berlaku lambakan maklumat disebabkan pelbagai sumber yang mudah dicapai⸺ini pula seharusnya menarik perhatian kita untuk merenung kembali konsep hikmah yang difahami dalam Islam. Dasar kepimpinan Islam sememangnya menggalakkan konsep berhikmah yang juga telah diamalkan oleh Rasulullah dan para Sahabat.
Rasulullah menggunakan istilah sahabat untuk merujuk kepada orang yang dipimpin oleh Rasulullah. Ini berlaku sekitar 1400 tahun sebelum Barat memperkenal istilah bottom-up approach, community approach dan participatory approach. Para sahabat pula merujuk kepada mereka pada zaman Rasulullah yang masuk Islam dan mengikuti perjuangan Baginda, sebaliknya mereka yang hidup pada zaman Baginda tetapi tidak masuk Islam maka tidak digelar sahabat, manakala mereka yang masuk Islam tetapi tidak mengikuti perjuangan Baginda kerana berpura-pura maka mereka ini juga bukan termasuk sahabat Rasulullah. Dalam kata lain, apabila Rasulullah menggunakan istilah sahabat bukan bermaksud berjiwa rakyat, tetapi berdasarkan ilmu berkenaan aliran pemikiran. Ini kerana Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia, seperti sabda Baginda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak.”
Bagi tujuan menyempurnakan akhlak manusia itulah maka dalam ilmu akhlak biasanya dibahaskan berkenaan lima aspek diri manusia iaitu jasad, ruh, akal, qalbu dan nafsu, supaya seseorang dapat mengenal dirinya untuk membolehkan dirinya memimpin diri sendiri sebelum mampu memimpin orang lain. Memimpin diri sendiri adalah yang utama dan melibatkan tadbir kehidupan diri, mengawal kehendak diri dan memelihara fikiran diri. Namun sebagai manusia sempurna yang berperanan untuk menyempurnakan manusia, Rasulullah juga turut muhasabah, seperti sabda Baginda:
اَللَّهُمَّ حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي
“Ya Allah, sebagaimana Engkau telah cantikkan rupa kejadian aku, maka cantikkanlah juga akhlak aku.”
Itu juga adalah doa apabila kita melihat cermin. Lazimnya pemimpin adalah cerminan yang dipimpin. Begitu juga perbuatan diri seseorang adalah cerminan nafsu, hati dan akal yang memimpin dirinya, yang membuat keputusan-keputusan penting dalam hidupnya, dan yang memilih dalam pelbagai pilihan di hadapannya, serta yang menetapkan mana yang perlu didahulukan dan mana yang terkemudian dalam rencana kegiatannya. Dalam era globalisasi, kehendak diri semakin mudah untuk dicapai. Misalnya, online shopping, yang boleh dilakukan dengan cepat dan terdapat pelbagai jenis barangan yang dapat ditemui. Namun demikian, diri yang tidak terkawal dalam online shopping akan melahirkan sifat boros dalam berbelanja, membeli melebihi keperluan dan menghabiskan duit untuk perkara yang tidak bermanfaat. Sebaliknya, diri yang terkawal mampu mengurus belanjawan dan menetapkan keutamaan.
Istilah kepimpinan adalah kata terbitan dari kata kerja pimpin, manakala kata namanya adalah pemimpin. Perkataan pemimpin dalam bahasa Arab boleh disebut sebagai mursyid atau amir. Perkataan mursyid asalnya dari akar kata rashada yang bermaksud petunjuk atau pedoman, manakala perkataan amir asalnya dari akar kata amara yang bermaksud perintah atau suruhan. Istilah pengurusan pula adalah kata terbitan dari kata kerja urus, manakala kata namanya adalah pengurus. Perkataan urus dalam bahasa Arab boleh disebut sebagai tadbir. Perkataan tadbir asalnya dari akar kata dabara yang bermaksud belakang atau keluar. Perbezaan di antara perintah dan tadbir hakikatnya telah jelas dinyatakan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah dalam Surah an-Nazi’at, ayat 5:
فَٱلْمُدَبِّرَٰتِ أَمْرًا
“Para malaikat itu tadbir dunia berdasarkan perintah Allah.”
Justeru apabila kepimpinan dan pengurusan dihubungkan dengan kenyataan al-Qur’an itu, kedua-duanya mempunyai kesan mendasar terhadap pengunaan istilahnya sendiri dan juga terhadap pengamalannya. Misalnya jika seseorang mengatakan ilmu memimpin manusia, ini bermasalah disebabkan adakalanya seseorang manusia berilmu tetapi tiada adab, ataupun adakalanya seseorang manusia belajar ilmu agama Islam tetapi tidak masuk Islam seperti mereka yang dari kalangan orientalis. Dalam kata lain, ilmu tidak memimpin manusia biadab itu dan ilmu juga tidak memimpin orientalis ke Tuhan. Manakala jika sekiranya seseorang mengatakan Allah yang memimpin ilmu, inilah maksud yang dikehendaki dari apa yang dinyatakan pada ayat 5 dalam Surah an-Nazi’at itu tadi. Ini kerana ilmu yang dipimpin Allah itu semestinya membawa manusia ke jalan yang lurus, sebaliknya suatu yang mustahil bagi Allah memimpin ilmu yang akan membawa manusia ke jalan yang menyimpang. Dalam hubungan sesama manusia pula umumnya setiap orang Islam dipimpin Allah. Namun orang Islam yang melakukan kerosakan dalam kepimpinan tidaklah dapat dikatakan dipimpin Allah, dan mereka sebenarnya bukanlah pemimpin dan tidak pun memimpin, sebaliknya mereka adalah perosak yang melakukan kerosakan. Begitu juga orang Islam yang melakukan kerosakan dalam kehidupannya dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang dan tidak melaksanakan perkara-perkara yang diperintahkan Allah ke atasnya, mereka ini sebenarnya juga tidak dapat dikatakan sebagai pemimpin kehidupan mereka, sebaliknya mereka adalah perosak yang melakukan kerosakan dalam kehidupannya. Malah Rasulullah menegaskan perihal mas’uliyyah, iaitu tanggungjawab yang akan dipersoal kepada kita semua. Klik untuk sambung membaca.