Mas Elizawati binti Mohammad Ali
Keluarga adalah unit asas di dalam hidup bermasyarakat. Tanpa sokongan keluarga dalam apa bentuk sekalipun, hidup seseorang akan dilanda kemelutan. Di dalam Al-Quran, kepentingan keluarga terserlah dengan jelasnya bila kita membaca Ayat 21 Surah ar-Rum tentang kecenderungan mendirikan keluarga (atau rumahtangga) merupakan tanda keajaiban Allah. Bila bercakap tentang keluarga, salah satu analogi yang amat bermakna untuk menerangkan hubungan keluarga ialah bagai buah pinggang kepada badan. Keluarga yang harmoni dan bekerjasama dapat menyisihkan benda yang keruh dan menjernihkan semula segala keraguan. Keamanan dan kestabilan yang dinikmati di peringkat keluarga akan melahirkan masyarakat yang progresif dan berakhlak. Ini bertepatan dengan pendekatan yang perlu kita ambil untuk menangani cabaran atau ideologi baru seperti liberalisme yang boleh menjejaskan unit asas ini.
Begitulah intipati yang saya telah dapat simpulkan daripada menghadiri secara maya dialog antara agama mengenai institusi keluarga. Bertajuk “Family Institution from the Perspectives of a Muslim, a Christian and a Buddhist” (Institusi Keluarga dari perspektif seorang Muslim, Kristian dan penganut Buddha), forum dialog yang boleh disertai secara talian ini berlangsung pada 23 Disember 2022 yang lepas. Ia telah dianjurkan oleh Institut Antarabangsa untuk Perpaduan Umat Islam (IIMU), Jabatan Usul Al-Din dan Perbandingan Agama (RKUD) di bawah naungan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Perbincangan yang penuh beradab ini menarik perhatian saya kerana ia membantu untuk menjanakan pemahaman yang lebih baik tentang pendekatan dan definisi agama lain mengenai institusi keluarga.
Setelah mendengar ucapan alu-aluan daripada tiga tokoh UIAM yang terhormat, tiga orang wakil masing-masing dari tiga agama yang disebut kemudiaannya membuat pembentangan mengenai instituti keluarga secara bergilir-gilir. Mewakili Islam untuk perspektif seorang Muslim ialah Profesor Madya Dr. Amnah binti Bahari daripada Jabatan Usul Al-Din dan Perbandingan Agama. Wakil Kristian daripada cabang gereja Katolik pula ialah Profesor Dr. Franz Jozef Servaas Wijsen yang bekerja di Universiti Radboud di Belanda. Akhir sekali ialah wakil Buddhisme, seorang pensyarah senior, Encik Samantha Ilangakoon yang berasal dari Universiti Peradeniya di Sri Lanka. Setiap wakil diberikan 20 minit untuk menyampaikan hujah mereka.
Dr. Amnah binti Bahari memulakan diskusi dengan memberi takrifan tentang keluarga dari segi pandangan Islam. Bila ditafsir daripada bahasa Arab, keluarga merujuk kepada pelbagai maksud yang bertindih seperti ‘ahli’ (boleh berkahwin), ‘usrah’ (ikatan) dan ‘á-ilah’ (menyokong). Di dalam Islam, perkahwinan secara umumnya bermaksud kontrak sivil antara dua individu dengan sokongan dua keluarga. Secara khusus pula, perkahwinan adalah komitmen pasangan dan keluarga mereka kepada satu sama lain. Dari segi kesaksamaan (‘equality‘) di hadapan Allah, beliau menegaskan bahawa perbezaan peranan antara lelaki dan wanita tidak bermakna ada perbezaan dalam kemanusiaan.
Seterusnya, beliau menyentuh topik pengurusan keluarga dengan memberi tekanan kepada pembinaan karakter (‘character building’) untuk mereka yang berada dibawah jagaan sesebuah keluarga. Semua manusia dilahirkan di dunia dalam keadaan suci dan tanpa sebarang kecelaan. Ibubapa atau penjaga diamanahkan untuk membentuk akhlak mereka supaya dapat memenuhi fitrah hidup iaitu menjadi hamba Allah yang soleh dan mentaati perintahNya. Langkah rasional dan logik untuk membimbing manusia sudah tentunya tertera di dalam Kitab suci Al-Quran, khususnya Surah Luqman. Menurut Dr. Amnah, pelbagai tauladan yang tersirat dalam Surah Luqman menjadikannya model pendidikan yang paling bersesuaian dengan prinsip Islam.
Kebijaksanaan Luqman dalam mendidik dan membentuk akhlak anaknya perlu dicontohi oleh ibubapa yang mahu membesarkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna. Komunikasi yang efektif adalah komponen penting di dalam enam buah teknik yang Luqman telah gunakan untuk menjalin hubungan baik dengan anaknya. Teknik-teknik tersebut menolong dalam memastikan anak-anak berpegang teguh kepada akidah dan boleh berfikir secara kritikal apabila timbul sesuatu keadaan. Setelah mendalami teknik yang Luqman ajarkan, ibubapa boleh mempromosikan pengetahuan yang betul untuk diri mereka sendiri, anak-anak mereka dan orang lain yang terlibat mengenai cara untuk berinteraksi dan berdiskusi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Dalam ucapan pengenalannya, Profesor Wijsen menegaskan bahawa beliau akan bercakap berdasarkan latar belakangnya dalam gereja Katolik, dan bukan mengikut pengajaran Gereja Ortodoks ataupun Protestan. Menurut kepercayaan beliau, model institusi keluarga yang paling unggul untuk orang Kristian ialah Keluarga Kudus (‘Holy Family’) yang terdiri daripada Mary, Jesus dan Joseph. Beliau juga menjelaskan hanya terdapat dua tempat di dalam kitab suci (‘Scriptures’) di mana Keluarga Kudus telah disebut, iaitu dalam Gospel (Kata-kata Jesus) of Luke dan Gospel of Matthew. Kedua-dua cerita ini memberi tumpuan kepada kasih sayang dan penjagaan rapi dalam sebuah keluarga. Dari segi pembentukan keluarga, beliau membuat persamaan di antara nilai-nilai yang diterap oleh Islam (seperti yang disampaikan oleh Dr. Amnah) dan ajaran yang ditekankan dalam mazhab Katolik.
Selain dari Gospel-gospel dan Kitab suci mereka, penganut Katolik juga mengikut katekismus (‘catechism’), iaitu ajaran Gereja Katolik. Bila bercakap tentang keluarga, petikan artikel di dalam katekismus mendefinisikan “seorang lelaki dan seorang wanita yang disatukan melalui perkahwinan, bersama anak-anak mereka, membentuk sebuah keluarga”. Ia juga berkata keluarga Kristian adalah sel untuk Gereja, komuniti dan masyarakat secara menyeluruh. Di samping katekismus, sumber ketiga untuk orang Katolik ialah Paus (‘Pope’) yang terletak di bahagian paling teratas hierarki, di mana Paus sendiri mengakui kekurangan dan perpecahan yang membelenggu institusi keluarga.
Selanjutnya, Profesor Wijsen bercakap tentang kerumitan yang banyak mengaburi keluarga Kristian kontemporari sekarang. Di Belanda, lebih kurang 80% dari rakyatnya adalah sekular dan tidak menganut sebarang agama. Dilema wujud apabila undang-undang sesebuah negara dilebihkan kepentingan daripada kepercayaan Kristian. Contohnya, perkahwinan sama jantina yang sah di sisi undang-undang dan kelaziman ibubapa tunggal semestinya berada jauh di luar ajaran Katolik yang ideal. Paus menggesa supaya penganut jangan mengutuk situasi tersebut tetapi sebaliknya mendekatinya dengan penuh kasih sayang dan perhatian. Profesor mengakhiri pembentangan dengan mencadangkan hak untuk berkahwin antara agama perlu diperjuangkan supaya boleh menjadi model penting di dalam masyarakat majmuk atau pluralistik.
Setelah itu, saudara Samatha Ilangakoon memulakan perbincangan tentang keluarga dan kepercayaan Buddhisme dengan menjelaskan bahawa keluarga adalah konsep dari perspektif ajaran Buddha. Pada asalnya, hanya individu sahaja yang wujud. Seperti yang ditulis dalam salah satu teks Buddha (‘sutta’) yang dipanggil Aggañña Sutta, penduduk awal di dunia tidak ada sebarang jantina tetapi telah bertukar menjadi perempuan dan lelaki apabila mereka mula memakan nasi dan sayur-sayuran. Keinginan yang kuat terhadap satu sama lain membawa kepada kelakuan yang tidak senonoh di khalayak ramai. Ini menyebabkan mereka membina tempat tinggal untuk menyembunyikan aktiviti masing-masing. Maka begitulah cara keluarga dievolusikan mengikut tradisi ajaran Buddha.
Menurut beliau, keluarga dipanggil dengan istilah ‘Kula’ di dalam kanun Pali, teks suci penganut Buddha yang lain. Unit keluarga yang merangkumi maksud Kula, bukan sahaja merujuk kepada keluarga nuklear (ibu, bapa dan anak-anak), malah ia termasuk datuk, nenek, semua menantu perempuan, kakak atau adik perempuan si bapa, dan mungkin juga sanak saudara terdekat. Suami yang memiliki kedudukan utama di dalam sebuah keluarga, dipanggil ‘Kulapati’ sementara isteri yang mewakili suaminya dalam semua urusan keluarga, dipanggil ‘Bhariya’. Agama Buddha juga mementingkan hubungan suami isteri yang timbal balik (‘reciprocal’) dan saling menghormati (‘mutual respect’). Selain itu, tekanan diberi kepada menjalankan tugasan rumahtangga dan bukan kepada memperjuangkan hak-hak. Bila suami atau isteri menjalankan tugasan yang sepatutnya, hak-hak itu akan muncul secara semula jadi dan sukarela.
Seterusnya, beliau menerangkan isu berkaitan institusi keluarga mengikut ajaran agama Buddha. Sebenarnya, kehidupan berkeluarga tidak digalakkan dan sebaliknya perlu ditinggalkan (‘renounce’) untuk hidup seorang diri dan mengamalkan pembujangan atau selibasi (‘celibacy’). Cara hidup ini adalah yang terbaik dari segi pembangunan rohani. Oleh yang demikian, kehidupan berkeluarga dianggap sebagai gangguan atau kemusnahan kepada perkembangan rohaniah yang mahu dikecapi oleh setiap penganut Buddha. Salah satu penyelesaian ialah hidup berkumpulan di kuil seperti sami atau biarawan dalam suasana hidup berkeluarga sambil memberi penekanan kepada gaya hidup membujang. Di kalangan orang awam, ada juga para individu yang tekad untuk hidup bersendirian dan mengamalkan selibasi.
Setelah selesai hujahan terakhir dan sesi soaljawab, moderator Profesor Madya Dr. Fatmir Shehu membuat ulasan ringkas tentang kandungan yang sudah dibentangkan oleh tiga orang wakil agama dan bagaimana banyak pengajaran dapat dipelajari dari perspektif agama tersebut. Beliau juga membidas mengenai isu perkahwinan antara agama yang dipertengahkan oleh Profesor Wijsen dengan menjelaskan bahawa ia hanya dibenarkan dalam Islam bila lelaki Muslim berkahwin dengan perempuan bukan Muslim (dan bukan sebaliknya). Salah satu sebab mengapa perkara ini dijadikan syarat ialah kerana orang lelaki diberikan peranan dan tanggungjawab kepimpinan di dalam Islam.
Dialog antara agama ini telah membukakan mata saya kepada isu-isu berkaitan yang boleh diperhatikan dan dialami oleh penganut agama lain. Ia amat menyegarkan untuk melihat evolusi keluarga dari kaca mata orang luar dan bagaimana penyelesaian konflik (‘conflict resolution’) digunakan untuk menangani isu keluarga semasa. Akhir kata, saya setuju dengan pendapat Dr. Amnah tentang pendekatan yang betul dalam dialog antara agama: Kita tidak melemahkan sistem kepercayaan asas agama sendiri apabila kita berhubung dan menyesuaikan diri dengan orang lain di mana semangat muhibbah dapat dipupuk di kalangan kita.
Klik Link di bawah untuk melihat Youtube video Forum Dialog antara Agama.