oleh Muhammad Afiq
Dalam sejarah dakwah di seluruh dunia zaman perang, pencerobohan, dan huru hara, kegiatan dakwah kebiasaannya mula dengan pendidikan, dan mungkin tiada dakwah masa lalu yang menumpukan sumbangan kebendaan semata-mata. Padahal masa lalu itu kebiasaannya orang ramai makan seadanya, masak sendiri atau kerap berlapar, malah terlalu sedikit jualan makanan siap masak, dan makanan mentah juga tidak begitu banyak pilihan seperti kini.
Sebaliknya masa kini, makanan sudah banyak, pilihan yang pelbagai dan sedap belaka nampaknya, tetapi dakwah kini sudah kurang menumpukan kepada pendidikan yang teratur, hanya segelintir usaha dakwah yang benar-benar menumpukan pada pendidikan. Kebiasaan kegiatan dakwah kini hanya memberi tumpuan utama kepada kegiatan kebendaan. Misalnya jika disebut sumbangan untuk yuran pelajar universiti, sumbangan kepada pensyarah universiti, atau sumbangan buku, atau sumbangan penerbitan buku, ini semua adalah benda pelik yang tidak lagi tercapai oleh akal kebanyakan orang masa kini. Kenapa ini terjadi di sebalik kemajuan?
Mungkin satu sebabnya adalah kurang keberkatan dalam rezeki kebanyakan manusia masa kini. Maka banyak perkara yang utama yang suatu ketika dahulu menjadi impian mereka yang hidup dalam zaman peperangan, hura hara dan pencerobohan, jarang pula dilakukan kini dan malah menjadi asing.
Sebab lainnya, mungkinlah keselesaan dan kesenangan telah menjadi batu penghalang kepada kebanyakan orang kini sehingga tiada dapat menghidupkan pendidikan dan bergiat cergas dalam ilmu ugama seperti zaman klasik yang kononnyalah serba kurang maju itu. Sebab lain lagi, mungkin juga pada masa kini terlalu banyak diadakan mesyuarat dan perbincangan, sehingga setiap sesuatu hendak dimesyuaratkan dan dibincangkan seolah-olah benak sangat untuk difahami yang dibincangkan itu, dan malah jika setiap minggu atau setiap bulan mesyuarat, itu mungkin menunjukkan tahap benak atau tahap ketidakbolehpercayaan yang tinggi dalam sesebuah organisasi.
Bagaimana kita tahu bahawa isu dakwah yang dikecilkan peranannya kepada kebendaan telah mengakibatkan peranannya dalam pendidikan merosot berbanding masa dahulu? Tanda masalah ini adalah munculnya kegiatan persendirian dalam mendapatkan sumbangan untuk pendidikan. Misalnya permohonan sumbangan daripada pelajar untuk biaya yuran yang dilakukan sama ada menerusi tulisan di media sosial atau menerusi perantaraan laman web yang menyediakan kemudahan untuk uruskan pengumpulannya dengan sistematik.
Antara laman web yang biasa digunakan itu adalah Kitafund yang dahulunya dikenali sebagai Skolafund. Laman web itu dibina berasaskan apa yang disebut sebagai crowdfunding, iaitu pengumpulan dana sumbangan daripada orang ramai. Mereka yang hendak memohon sumbangan perlu daftar percuma di web itu dan menulis tujuan permohonan dan jumlah sumbangan yang dikehendaki. Maklumat berkenaannya akan disemak dan kemudian dipaparkan dalam web itu. Sesiapa sahaja yang melihat paparan itu boleh memberikan sumbangan.
Kitafund diasaskan oleh Tengku Ahmad Syamil, dan diuruskan menerusi syarikat Kita Global Group Sdn. Bhd. Bagi tujuan keberlangsungan syarikatnya, setiap transaksi sumbangan akan dikenakan caj 8%. Manakala sumbangan yangditerima tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadi pemohon, tetapi terus dibayarkan kepada institusi berkaitan. Misalnya, jika pemohon memohon yuran universiti, duit sumbangan yang diterima menerusi laman web itu akan dibayar terus kepada pihak universiti. Sejak tahun penubuhannya pada tahun 2015 sehingga tahun 2019, Skolafund telah mengutip sumbangan sebanyak RM1.6 juta dengan hampir 300 pelajar penerima sumbangan. Pada tahun 2019 mereka menjenamakannya semula sebagai Kitafund.
Kewujudan crowdfunding untuk pendidikan itu merupakan tanda kelompongan dalam peranan dakwah disebabkan pendidikan tidak lagi menjadi keutamaan dalam dakwah oleh individu mahupun kumpulan. Sebaliknya, usaha dan dana yang sangat banyak dicurahkan hanya untuk melatih pendakwah. Sedangkan seseorang yang belajar di sekolah atau universiti, meskipun tidak dilatih sebagai pendakwah, tetapi memerlukan sumbangan. Dengan sumbangan itu pula nanti secara tidak langsung memudahkan ramai orang dan menghasilkan manusia yang berpendidikan yang dapat berperanan mengikut kemahirannya sekaligus menyuburkan suasana keilmuan yang seharusnya menjadi matlamat dakwah secara khusus dan matlamat hidup secara umum.
Selain itu, disebabkan pendidikan bukan lagi menjadi tumpuan dakwah, maka meskipun tabung masjid penuh, tetapi tidak pernah kita dengar masjid membayarkan yuran pengajian untuk pelajar universiti, untuk penerbitan buku ilmiyyah, atau untuk kajian para sarjana. Ini mungkin terjadi disebabkan pihak masjid tidak mengetahui cara menggunakan tabung itu untuk tujuan pendidikan dan keilmuan yang serius, atau apabila dinasihatkan tetapi tidak mahu mendengar nasihat. Yang sering terjadi adalah sumbangan kebendaan yang bersifat jangka pendek dalam kesan dakwahnya kepada orang ramai.
Disebabkan itu pula, maka, tidak hairanlah jika ada berita yang dilaporkan berkenaan muallaf yang murtad disebabkan tidak lagi menerima sumbangan kebendaan seperti makanan, wang saku atau pakaian. Tidak juga menghairankan jika ada dari kalangan muslim yang murtad atau kurang percaya Islam hanya kerana tertarik dengan sumbangan kebendaan yang disalurkan oleh pihak institusi agama selain Islam atau oleh gerakan-gerakan kebebasan.
Di samping itu, disebabkan pendidikan bukan lagi tumpuan dakwah, maka tidak hairanlah jika terdapat anggapan bahawa media sosial dalam internet adalah merosakkan manusia hanya kerana orang ramai leka hendak mengetahui cerita orang dan pelbagai cerita yang menular. Sedangkan itu mungkin terjadi disebabkan pendidikan masa kini yang tidak menyediakan peluang untuk pelajar mengasah bakat dalam ilmu sejarah dan penyampaian khabar kerana ilmu sejarah dan penyampaian khabar yang dikecilkan peranan dan kepentingannya hanya sekadar ilmu biasa yang tidak sepenting sains, teknologi atau perniagaan, sedangkan sifat ingin tahu adalah sifat tabi’i manusia.
Disebabkan sifat manusia itulah maka dalam sejarah tamadun Islam terdapat banyak kitab-kitab tabaqat, tazkirah dan tarikh yang kebanyakannya berpuluhan jilid dikarang oleh seseorang penulis meliputi pelbagai bidang ilmu, kerana terdapatnya kitab himpunan biografi ahli perubatan, himpunan biografi ahli sastera, himpunan biografi ahli tasawwuf, himpunan biografi ahli fiqh dan himpunan biografi ahli hadith. Namun, dalam pelajaran sejarah masa kini tiada dibacakan kitab-kitab himpunan biografi agung sedemikian yang mengandungi ilmu penting dalam menerima khabar, menyampaikan khabar dan menilai khabar.
Dalam pendidikan masa kini juga sifat tabi’i manusia tidak dipelajari sebagaimana sepatutnya. Kesannya orang tidak lagi mengenali makna dirinya. Soalan asas seperti siapa dirinya, apakah peranan dirinya, apakah tujuan hidupnya, ini semua seolah-olah terbuka untuk sesiapa sahaja memberikan jawapannya, sedangkan untuk menjawabnya perlukan ilmu berkenaan nafsu, akal, ruh, dan qalbu, iaitu berkenaan diri manusia sendiri, yang sudah jarang ditekankan peri pentingnya masa kini. Maka timbul pelbagai jurucakap yang bercakap berkenaannya tanpa mempelajari ilmu yang berkaitan, dan seringkali hanya bercakap berdasarkan pengalaman, tidak dengan ilmu.
Soalannya, bagaimana mengatur sifat manusia yang ierba Ingin tahu pelbagai benda? Manusia kini kebanyakannya tidak dapat bezakan apa yang dikatakan arts dan specialization. Bagi mereka setiap orang perlu bercakap satu bidang yang dia mahir. Akhirnya orang belajar bidang berasingan yang terpisah dari pemahaman yang dikehendaki secara universal/kulli. Karya yang boleh disifatkan sebagai arts adalah karya-karya kulli/universal yang menyentuh pelbagai bidang ilmu seperti Ihya’ Ulum al-Din karya al-Ghazali dan Muqaddimah karya Ibn Khaldun. Karya yang boleh disifatkan sebagai specialization adalah karya-karya juz’i/particular yang lazimnya membahaskan bidang-bidang ilmu tertentu.
Yang utama untuk dipelajari dan diajari adalah karya arts, kerana karyanya menyentuh pelbagai bidang ilmu yang seharusnya diketahui dan sesuai dengan kebolehan dan kemampuan kebanyakan manusia untuk memahaminya dan sesuai dengan sifat manusia yang serba ingin tahu pelbagai benda. Masalah lambakan maklumat bukan baru, dan sepatutnya bukan lagi satu masalah kerana penyelesaiannya telah pun dilakukan oleh dua ulama’ tersebut. Hanya orang mahu manfaatkannya atau tidak, sama ada manfaat secara langsung atau manfaat dari kaedahnya. Namun kini terdapat yang beralasan bahawa membaca buku tidaklah sepenting amalan. Ini disebabkan mereka beralasan tanpa mengikut ilmu.
Menurut Dr. ’Abd al-Karim Zaydan, dalam karyanya bertajuk Usul al-Da’wah, tulisan adalah salah satu bentuk ucapan dan menjadi salah satu perantaraan dakwah. Tambahan beliau, Rasulullah telah memerintahkan menulis surat kepada para pemimpin negara yang bukan Islam untuk menyeru mereka agar menerima Islam seperti surat yang dikirim kepada Raja Kisra di Parsi, Hercules di Bizantium, Mawqawqis di Mesir dan Negus di Ethiopia. Menurut beliau lagi, para ulama’ dan pemimpin Islam sesudah itu juga mengikuti jejak langkah Rasulullah itu.
Manakala dakwah menerusi perbuatan, menurut beliau, adalah perantaraan yang mungkin mendorong orang lain untuk melakukan kebaikan seperti mendirikan masjid, sekolah. Perbuatan zahir ini menurut beliau sama juga kedudukannya dengan perbuatan secara diam dan malah lebih berkesan dalam menyampaikan Islam kepada orang lain. Perbuatan secara diam ini adalah perbuatan seseorang individu yang menjalani syari’at Islam di tengah masyarakat. Dakwah menerusi tulisan dan perbuatan ini boleh disifatkan sebagai dakwah yang menumpukan pada pendidikan atau dakwah secara peribadi.
Menurut Hamka, dalam karyanya bertajuk Prinsip dan Kebijaksanaan Dakwah Islam, menyatakan bahawa dakwah yang dilakukan secara peribadi adalah jauh lebih besar pengaruhnya berbanding dakwah negara kerana dakwah secara peribadi dilakukan dengan tekun, tidak mengharapkan penghargaan daripada penguasa. Ini menurut Hamka ditunjukkan dalam sejarah Islam di India, Parsi, Khurasan, Daylam dan wilayah “Ma Wara’ an-Nahr”, yang dikenali kini sebagai Transoxiana, iaitu negara Uzbekistan, Tajkistan, Kyrgyzstan dan Kazakhstan, yang sebahagian besar dakwahnya adalah atas usaha peribadi-peribadi.n Mereka itu menurut Hamka lagi, masuk Islam bukan kerana dipujuk atau ditipu, bukan juga dipaksa atau disiksa, dan bukan pula dengan memberikan pakaian, makanan dan minuman kepada orang miskin.
Di Alam Melayu menurut Ab. Aziz Mohd Zin, dalam karyanya bertajuk Metodologi Dakwah, kaedah dakwah Melayu adalah berasaskan pedagang, pemerintah, perkahwinan dan penerimaan dakwah adalah berdasarkan kesesuaian dan juga Melayu melihat pedagang sebagai orang yang tinggi kedudukan. Ini adalah tidak tepat kerana banyak karya dalam bahasa Melayu Jawi yang ditulis pada zaman dahulu. Karya-karya itu menandakan kaedah dakwah Melayu adalah berasaskan pendidikan, bukanlah berasaskan atau didorong oleh pengaruh luaran atau kebendaan atau ikut rasa sesuai.
Antara karya terawal adalah terjemahan ’Aqa’id al-Nasafi yang ditulis dalam bahasa Melayu Jawi. Ini tidak dapat dilakukan oleh pedagang biasa, tetapi pedagang yang telah menuntut ilmu agama pada tahap yang tinggi yang membolehkannya menterjemah karya Arab ke dalam bahasa Melayu Jawi. Oleh kerana untuk menterjemahkan itu sahaja memerlukan pendidikan ilmu agama yang tinggi, inikan pula mereka yang mula-mula mencipta bahasa Melayu Jawi, sudah tentu hanya mereka yang berkeahlian tinggi dalam ilmu yang telah mencipta bahasa Melayu Jawi, bukan pedagang biasa. Untuk menerima perubahan besar dalam Alam Melayu itu pula, sudah tentu pula orang-orang Melayu pada ketika itu bukan ikut rasa sesuai, tetapi berdasarkan ilmu dan pendidikan yang tinggi.
Malah pada zaman Nabi Muhammad, menurut Prof. Sayyid Muhammad bin ’Alawi al-Maliki, dalam karyanya bertajuk Usul al-Tarbiyyah al-Nabawiyyah, Muaz bin Jabal diutus sebagai qadi tentera di Yaman untuk mendidik manusia berkenaan Islam, Mus’ab bin Umayr diutuskan ke Madinah untuk mendidik manusia berkenaan Islam dari rumah ke rumah, dan bermula ketika kaum Ansar menawan 70 orang kafir Quraish sewaktu perang Badar, setiap tawanan wajib bayar tebusan harta benda untuk bebas, namun jika tawanan itu tidak mampu maka tawanan diwajibkan untuk mendidik ilmu menulis kepada anak-anak di Madinah dan tidak akan dibebaskan sehingga selesai kewajipan mendidik itu, iaitu mendidik 10 orang anak-anak Madinah barulah kemudian dibebaskan.
RUJUKAN
’Abd al-Karim Zaydan, (2009). Dasar-dasar Ilmu Dakwah, 2 jilid. Terjemahan Usul
al-Da’wah. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar
Ab. Aziz Mohd Zin, (2001). Metodologi Dakwah. Kuala Lumpur: Penerbit
Universiti Malaya
Halaman Rasmi Kitafund. https://kitafund.com/about-us
Pengasas Kitafund. https://vulcanpost.com/…/malaysia-crowdfunding…/
Sayyid Muhammad, (2002). Prinsip-prinsip Pendidikan Rasulullah. Terjemahan
Usul al-Tarbiyyah al-Nabawiyyah. Jakarta: Gema Insani Press
Syed Muhammad Naquib al-Attas, (1988). The Oldest Known Malay Manuscript: A
16th Century Malay Translation of the ’Aqā’id of al-Nasafi. Kuala Lumpur:
Department of Publications, University of Malaya