Muhammad Afiq bin Abd Rahman
Kebiasaannya penulisan sejarah dan tamadun tertumpu pada cerita-cerita politik, sedangkan
sejarah atau tamadun itu luas perbahasannya, manakala politik sebenarnya tiada dapat
memberikan gambaran yang adil berkenaan sejarah dan tamadun sesebuah masyarakat.
Misalnya jika sejarah dan tamadun hanya tentang peperangan kerajaan, ini membayangkan
sesebuah tamadun itu terdiri atas kekerasan, walaupun hakikatnya dalam masa peperangan
juga masih ada ulama’ atau sarjana yang tetap menjalankan kegiatan ilmu, namun kurang
diberi perhatian dalam soal kegiatan ilmu itu. Maka karya masa kini ada yang telah
memperluas perbahasan sejarah dan peradaban dengan mengalih tumpuan bukan lagi pada
tinjauan kepolitikan, sebaliknya mengarahkan fahaman sejarah dan tamadun berdasarkan
kegiatan ilmu para sarjananya.
Dalam karya Chase F. Robinson bertajuk Islamic Civilization in Thirty Lives
misalnya, beliau mempersoal bagaimana hendak membezakan sejarah yang palsu dengan
yang benar. Maka untuk menjawab soalan ini beliau meninjau ciri yang paling ketara dalam
tamadun Islam iaitu penulisan buku dan masalah yang dihadapi oleh para sarjana Muslim.
Menurut beliau, ini kerana penulisan sejarah yang bersifat kepolitikan mengaburi makna
sebenar Islam sedangkan menurut hadith jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang
maka Allah memberikan kefahaman kepadanya dalam agama. Mereka yang faham ini tidak
lain adalah para sarjana Muslim.
Seramai 30 puluh orang penting yang ditinjau oleh Chase F. Robinson dalam
karyanya itu kebanyakannya terdiri daripada para sarjana Muslim iaitu Rabi’a al-’Adawiyyah
(ahli sufi), al-Hallaj (ahli sufi), al-Tabari (ahli tafsir dan ahli sejarah), Abu Bakar al-Razi (ahli
perubatan), Ibn Muqla (ahli kaligrafi), al-Biruni (ahli astronomi dan ahli kebudayaan), Ibn
Hazm (ahli agama dan ahli falsafah), Karima al-Marwaziyyah (ahli hadith), al-Ghazali (ahli
agama, ahli falsafah dan ahli sufi), al-Idrisi (ahli geografi), Ibn Rushd (ahli agama dan ahli
falsafah), Rumi (ahli sufi), Rashid al-Din (ahli perubatan), Ibn Taymiyyah (ahli agama), dan
Ibn Khaldun (ahli sejarah dan ahli sosiologi).
Apa yang Chase F. Robinson tulis itu hakikatnya adalah kaedah para sarjana Muslim
terdahulu menulis sejarah seperti karya-karya wafayat (biografi), manaqib (pengalaman),
nasab (keturunan), tabaqat (silsilah) dan tazkirat (memoir). Karya-karya tersebut biasanya
merekodkan sejarah para sarjana sama ada berdasarkan bidang ilmu yang dikuasainya atau
penglibatan secara umum dalam keilmuan. Antara karyanya seperti Tazkirat al-Awliya’ karya
Fariduddin Attar, sebuah memoir berkenaan ahli sufi, Tabaqat al-Sufiyyah karya Abd
Rahman al-Sulami, sebuah silsilah ahli sufi zaman berzaman, Wafayat al-A’yan karya Ibn
Khallikan, sebuah biografi para ahli ilmu dalam pelbagai bidang, manakala karya manaqib
menumpukan pada cerita seseorang sarjana, dan nasab pula disimpan dalam kalangan ahli
keluarga Rasulullah dari keturunan sayyid dan sharif.
Justeru, artikel ini pula bertujuan untuk memperkenal kamus-kamus karya para
ulama’ dalam peradaban Melayu. Sebanyak enam kamus diperkenalkan serba sedikit
kandungan pentingnya berserta latar belakang penulisnya. Apa yang hendak dipelajari
daripada latar belakang penulis ini adalah tradisi ilmu atau kegiatan ilmu yang melatari setiap
mereka yang datang dari pelbagai negeri di Alam Melayu namun menulis dalam bahasa
Melayu.
Kenapa kamus, bukan karya lain? Ini kerana karya lepas berkenaan karya ulama’
dalam peradaban Melayu belum membahaskan berkenaan kamus karya ulama’. Dalam buku
bertajuk Karya Agung Tamadun Islam dan Peradaban Melayu terbitan IKIM misalnya,
hanya memperkenal karya-karya Shaykh Nuruddin al-Raniri, Shaykh Daud al-Fatani, Za’ba
dan Amir Hamzah, sebagai antara karya yang mewakili karya agung peradaban Melayu.
Dalam buku bertajuk Usuluddin dalam Karya Arab dan Melayu Klasik karya Ibrahim Abu
Bakar pula hanya memperkenal dua naskah kitab usuluddin karya ulama’ Melayu sebagai
mewakili karya Melayu klasik iaitu Miftah al-Jannah karya Muhammad Tayyib dan Faridah
al-Faraíd fi ‘Ilm al-’Aqa’id karya Ahmad Muhammad Zain.
Dalam buku bertajuk Bahasa dalam Tamadun Islam karya Mustafa Daud pula beliau
membahaskan peranan bahasa dalam tamadun Islam, sumbangan al-Qur’an kepada Bahasa
Arab, sumbangan al-Qur’an kepada Bahasa dunia, sumbangan Bahasa Parsi kepada Bahasa
dunia dan sumbangan bahasa Parsi dan Turki kepada bahasa Melayu. Penggunaan istilah
sumbangan itu kurang tepat kerana, sebaliknya yang tepat adalah al-Qur’an membetulkan
bahasa Arab Jahiliyyah menjadi bahasa Arab Islam. Bahasa Arab Islam itu pula adalah
ibunda bagi keluarga bahasa Islam seluruh dunia, iaitu bahasa-bahasa selain Arab yang mengambil rupa huruf Arab dan makna daripada bahasa Arab Islam itu. Mustafa Daud juga
hanya menjelaskan dengan ringkas berkenaan sumbangan Bahasa Parsi dan Turki kepada
Bahasa Melayu dan hanya mengulas karya Muhammad Abdul Jabbar Beg.
1.Kitab Pengetahuan Bahasa karya Raja Ali Haji
Kitab Pengetahuan Bahasa karya Raja Ali Haji terdiri daripada tiga bahagian kamus,
iaitu muqaddimah, bab awwal dan bab thani. Muqaddimahnya dinamakan Kitab fi al-Lughat
al-Mashhur ’ala al-Lisan al-Malayu al-Juhur, menyatakan maksud istilah-istilah berkaitan
ilmu bahasa. Manakala bab awwal dan bab thani dinamakan Kitab Lughat wa fiha Abwab.
Bab awwal adalah kamus istilah-istilah kunci Islam, manakala bab thani adalah kamus
perkataan-perkataan yang lazim digunakan orang.
Istilah-istilah kunci Islam dalam bab awwal itu terdapat tujuh istilah iaitu ikut
tertibnya, bermula dengan Allah, Nabi Muhammad, Sahabat Nabi, Ulama’, Insan, Dunia dan
Akhirat. Bentuk penulisan maksudnya bagi istilah kunci itu panjang sebuah karangan
beberapa perenggan, manakala bagi maksud istilah-istilah ilmu bahasa dan maksud perkataan-perkataan lazim ada yang ringkas sepotong ayat, dan ada juga yang panjang sebuah
karangan beberapa perenggan.
Istimewanya Raja Ali Haji ini selain seorang raja, separuh abad zaman beliau terdapat
beberapa orang penulis karya ilmu bahasa di Riau, malah Riau juga dikenali sebagai Negeri
Sahibul Kitab. Bermula daripada beliau yang menulis Kitab Pengetahuan Bahasa (1859) ini
dan Bustanul Katibin (1857). Kemudian cucu beliau, Raja Abdullah Hakim menulis
Rangkaian Kitab Pelajaran Bahasa Melayu (1920). Kemudian Raja Ali Kelana menulis
Bughyatul ’Ani fi Huruf al-Ma’ani (1922). Raja Ali Kelana, Sayyid Shaykh al-Hady dan Tok
Kenali adalah murid Shaykh Ahmad al-Fatani sewaktu di Mekah yang terlibat dalam
persuratan Melayu.
2.Kamus Arab-Melayu karya Shaykh Muhammad Idris al-Marbawi
Keistimewaan Kamus Arab-Melayu karya Shaykh Muhammad Idris al-Marbawi ini
adalah kamus ini merupakan kamus yang terkenal di Alam Melayu pada abad lepas sehingga
kini. Asalnya diterbitkan di Mesir untuk kegunaan pelajar Melayu di sana. Kemudian
digunakan juga oleh pelajar Melayu di Mekah, dan akhirnya digunakan di seluruh Alam
Melayu. Beliau menggambarkan betapa habis usianya menulis kamus ini iaitu, “Ku habiskan
wujudku mutala’ah kitab lughah Arab yang besar-besar.” Ini mungkin kerana berbeza dengan
kitab hadith karyanya yang disalin dari kuliah pengajian hadith, sebaliknya dalam menulis
kamus ini beliau merujuk sendiri kamus-kamus Arab lama.
Kamus-kamus lama tersebut, berdasarkan huruf potong yang dinyatakan beliau,
adalah Asas al-Balaghah karya al-Zamakhshari, Taj al-’Arus karya Sayyid Murtada al-
Zabidi, Hayat al-Hayawan karya al-Damiri, al-Qamus al-Muhit karya Fayruzabadi, Mukhtar
al-Sihah karya al-Razi, dan al-Misbah al-Munir karya al-Fayyumi. Walau bagaimanapun
huruf potong tersebut tidak dinyatakan pada maksud yang dicatatkan.
Susunan beliau bagi sesuatu perkataan adalah menurut golongan akar kata iaitu
misalnya maksud Islam terdapat pada golongan kata “salima, yaslamu, salāmah, wa salāmā”
(hlm. 299, juzuk 1), maksud adab dalam golongan kata “aduba, ya’dubu, adabān” (hlm. 14,
juzuk 1), maksud sa’adah dalam golongan kata “sa’idu, yas’adu, sa’ādatan” (hlm. 289,
juzuk 1), dan maksud ilmu dalam golongan kata “’alima, ya’lamu, ’ilmān” (hlm. 40, juzuk
2).
Selain itu, Shaykh Muhammad Idris al-Marbawi juga merupakan anak murid Tok
Kenali. Tok Kenali selain dikenali sebagai Wali Allah, sebenarnya beliau merupakan
pengasas bahagian penerbitan dan percetakan kitab dan majalah Majlis Agama Islam
Kelantan pada awal abad lepas. Makna kata, Wali Allah pun harus tulis buku dan banyak
baca buku, selain amal salih yang lain. Karya-karya Tok Kenali boleh dibaca dalam Majalah
Pengasuh. Tok Kenali juga merupakan sahabat Tok Selehor.
3.Kamus Pengetahuan Islam karya Dato’ Dusuki bin Ahmad
Dato’ Dusuki bin Ahmad pula menulis Kamus Pengetahuan Islam, juga bekas Ahli
Parlimen Tumpat, Kelantan dan bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir. Beliau pernah
berkhidmat di Utusan Melayu sebagai Penyunting Agama, dan di Dewan Bahasa dan Pustaka
sebagai Pengarang dan Ketua Unit Buku Agama. Beliau ialah bapa Dato’ Dr. Asyraf Wajdi,
Ketua Pemuda UMNO dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di UIAM dan International
Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) iaitu institusi pengajian tinggi di bawah
Bank Negara Malaysia, serta penasihat syari’ah bagi beberapa buah bank. Antara karya Dato’
Dr. Asyraf Wajdi adalah Fundamentals of Islamic Banking, terbitan IBFIM.
Ibunda penulis kamus ini ialah Khadijah binti Tok Selehor, anak kepada isteri ketiga
Tok Selehor. Tok Selehor asalnya dari Yala, Fatani. Ibunda Tok Selehor ialah Tok Sya’ir.
Tok Selehor ialah antara murid Shaykh Ahmad al-Fatani. Shaykh Ahmad al-Fatani ialah
pakar ilmu bahasa yang menulis karya agung bahasa bertajuk Tashil Naylil Amani iaitu
syarahan kepada karya agung ’Awamil al-Jurjani. Antara karya Khadijah binti Tok Selehor. adalah Kata-kata Orang-orang Tasawwuf dan sebuah karya hadith 40 bertajuk Pemimpin
Kaum Wanita. Beliau juga guru agama yang mendidik YDPA Sultan Abdullah di Istana
Pahang suatu ketika dahulu.
Kamus ini asalnya terbit pada tahun 1976 oleh YADIM, sewaktu beliau berkhidmat
sebagai Ketua Pengarah YADIM pada tahun 1974 sehingga tahun 1982, kemudian kamus ini
diterbitkan semula oleh Utusan Publications pada tahun 2012. Pada mulanya dicadangkan
sebagai ensiklopedia, tetapi digunakan istilah kamus. Ini kerana penjelasannya bagi sesuatu
perkataan adalah ringkas berbanding ensiklopedia. Kaedah penulisan kamus ini menurut
beliau dikumpulkan perkataan dan maksudnya dalam kad yang dikumpulkan sejak tahun
1969.
4.Kosakata Keagamaan karya Prof. Quraish Shihab
Kosakata Keagamaan karya Prof. Quraish Shihab, seorang yang prolifik dan kini
dikenali dengan rancangan televisyen Shihab dan Shihab bersama anak perempuannya Najwa
Shihab, seorang pengacara dan Duta Baca Indonesia. Quraish Shihab ialah antara sarjana
Indonesia masa kini yang mendapat perhatian Universiti al-Azhar selain Amany Lubis, dan
Hamka di masa lalu. Antara rujukan kamus ini adalah Maqayis karya Ibn Faris, Mufradat
karya al-Isfahani, Ta’rifat karya al-Jurjani, Misbah karya al-Fayyumi dan Sihah karya al-
Jawhari. Kamus ini terbit bulan Februari tahun 2020 yang lepas.
Menurut Prof. Quraish Shihab, “Mengetahui hakikat makna satu kata memerlukan
perjuangan dan jalan panjang yang dimulai dari sisi kebahasaannya untuk kemudian
memahami substansinya. Kosakata bagaikan makhluk hidup, maknanya dapat berkembang.
Bandingkanlah sekian banyak kosakata yang digunakan oleh masyarakat Indonesia dengan
yang digunakan oleh masyarakat Malaysia. Kata atau kalimat diibaratkan dengan wadah.
Setiap wadah mestinya menampung semua isi dan menyingkirkan selain isinya.”
Kamus al-Bustan al-Saghir karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah adalah
sebuah karya posthumous iaitu sejenis buku yang diterbitkan selepas penulisnya meninggal
dunia, terbitan Khazanah Fathaniyah. Kamus ini terbit pada tahun 2020 yang lepas. Tajuk
kamus ini tidak sempat dinamakan sewaktu Ustaz Wan Mohd Shaghir hidup. Maka pihak
Khazanah Fathaniyah mengadakan pertandingan menamakan tajuk kamus ini pada tahun
2018, dan nama al-Bustan al-Saghir terpilih. Nama ini dicadangkan oleh Muhammad Afiq
bin Abd Rahman, iaitu penulis artikel ini.
Ustaz Wan Mohd Shaghir berasal dari keturunan Shaykh Ahmad al-Fatani di sebelah
ibundanya. Ibundanya pula banyak mengumpul dan mewarisi kitab-kitab Jawi lama. Penerbit
Khazanah Fathaniyah pula diasaskan oleh Ustaz Wan Mohd Shaghir dan kini diteruskan oleh
kelurganya. Karya-karya Ustaz Wan Mohd Shaghir yang lain berkenaan bahasa terbitan Dewan
Bahasa dan Pustaka adalah: (1) Karya-karya Klasik Abad 16: Bukti Bahasa Melayu Bahasa Ilmu, terbit tahun 1990, (2) Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Meninjau Pemikiran Shaykh
Ahmad al-Fatani, terbit tahun 1990, (3) Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Meninjau Pemikiran
Shaykh Nuruddin al-Raniri, terbit tahun 1990, (4) Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Shaykh
Abdul Malik Terengganu, terbit tahun 1990, (5) Bahasa Melayu Bahasa Ilmu: Meninjau
Kitab Sabil al-Muhtadin Shaykh Arsyad al-Banjari, terbit tahun 1990, (6) Mengkaji Gaya
Bahasa dalam Kitab Hidayah al-Salikin Abd al-Samad al-Falimbani, terbit tahun 1990, (7)
Mengkaji Gaya Bahasa dalam Kitab Tuhfah al-Raghibin Shaykh Arsyad al-Banjari, terbit
tahun 1990, dan (8) Puisi-puisi Shaykh Ahmad al-Fatani, terbit tahun 2007.
6.Durus al-Lughah al-’Arabiyyah karya Imam Zarkasyi dan Imam Subani
Kamus Durus al-Lughah al-’Arabiyyah dikarang oleh Imam Zarkasyi dan muridnya
Imam Subani untuk kegunaan para guru dan murid di Pondok Modern Darussalam Gontor,
iaitu sebuah pondok yang diasaskan oleh Imam Zarkasyi, Kiyai Ahmad Sahal dan Kiyai
Zainuddin Fannani pada tahun 1926 di Ponorogo, Indonesia. Kamus ini adalah kamus Arab-
Melayu yang ringkas tetapi merupakan kamus khusus untuk memahami karya Imam Zarkasyi
dan Imam Subani berkenaan subjek bahasa Arab iaitu Durus al-Lughah. Kamus ini
diibaratkan sebagai pembantu kerana karya subjek bahasa Arab tersebut ditulis dalam bahasa
Arab.
Kamus ini masih digunakan sehingga kini di Pondok Modern Darussalam Gontor.
Malah pondok itu juga telah membangun dari sebuah pondok, kemudian pada tahun 1963
ditambah sebuah universiti yang dinamakan Institut Pendidikan Darussalam, mengikut model
Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Muslim Aligarh, India. Pada tahun 1994, Institut
Pendidikan Darussalam ditukar nama sebagai Institut Studi Islam Darussalam, dan mula menyediakan program pengajian sarjana pada tahun 2010. Pada tahun 2014, ISID itu ditukar
namanya sebagai Universitas Darussalam Gontor (UNIDA Gontor). UNIDA kini dipimpin
oleh Prof. Hamid Fahmy Zarkasyi, sebagai Rektor bagi tahun 2020—2025, manakala Pondok
Modern Darussalam dipimpin oleh Kiyai Hasan Abdullah Sahal, Kiyai Akrim Mariyat dan
Prof. Amal Fathullah Zarkasyi bagi tahun 2020—2025.
Sebagai pencinta ilmu, kita tidak dapat lari dari kesedaran bahasa yang menjadi tunggak sesebuah peradaban. Di zaman kolonisasi Barat, kolonisasi ilmu bermula dengan pengumpulan kosa kata sesebuah masyarakat yang kemudiannya dibukukan sebagai kamus, tesaurus dan leksikon sesebuah masyarakat yang terjajah, biarpun bangsa Melayu, Arab atau Afrika. Dengan usaha pihak Orientalis sedemikian, sesebuah masyarakat pribumi bukan hanya akan terhutang budi, tetapi juga menghambatkan jati diri mereka dengan pandangan alam yang asing dari yang asal. Kerana itulah penulis-penulis kamus yang disoroti di makalah ini adalah tabib bagi tamadun kita, merawat luka hasil usaha mereka mengekalkan maksud asal bahasa ibunda. Di harap para guru semua, tergerak hati untuk menjadi penerus warisan bahasa ini. Moga-moga generasi akan datang akan membina semula peradaban hebat yang terungkap dalam setiap istilah yang kita halusi dalam tutur kata harian kita.