INSTITUSI KAJIAN TINGGI TAMADUN
PIMPINAN SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS
Muhammad Afiq bin Abd Rahman
Institusi kajian tinggi tamadun semakin banyak ditubuhkan di seluruh dunia, tetapi untuk menemukan sebuah institusi yang benar-benar dapat dikatakan institusi kajian tinggi itu sukar. Ditambah pula dengan pelbagai masalah dalam pengajian tinggi yang melibatkan soal faham ilmu dan akhlak semakin membimbangkan. Masalah yang biasanya dibahaskan adalah pengajian tinggi yang kehilangan ruh yang terjadi akibat pengurusan universiti yang mengikut ranking Barat. Disebabkan hendak menjaga ranking, maka pelbagai krisis timbul seperti (1) krisis kutipan jurnal yang perlu mencapai tahap kutipan tertentu walaupun kajiannya tiada bermanfaat untuk masyarakat keseluruhannya, (2) krisis penulisan jurnal yang ditulis seorang pengkaji tetapi diletakkan nama orang yang tidak kaji sebagai penulis bersama, dan (3) krisis perdagangan universiti untuk mencapai bilangan kemasukan pelajar yang ramai meskipun melebihi kemampuan universiti dari segi kepakaran dan kemudahan.
Perihal krisis kajian di universiti menurut Pierre Bourdieu dalam karyanya bertajuk Homo Academicus adalah berpunca dari kawalan politik yang mengubah kepentingan fakulti tertentu berdasarkan dasar politik, bukan lagi berdasarkan kedudukan sebenar sesuatu ilmu berbanding ilmu lain. Terlebih dahulu John Henry Newman telah mencirikan perihal krisis sedemikian sebagai division of intellectual labor, yang lahir akibat dari sifat ketergesaan para pemimpin universiti. Maka beliau mengajak pembaca bukunya yang bertajuk Discourse on the Scope and Nature of University Education untuk melihat kembali keadaan para sarjana agung Barat terdahulu yang berjasa besar dalam penemuan ilmu untuk menilai semula keadaan pemimpin dan ahli akademik masa kini yang telah berbeza dengan sarjana terdahulu, seperti Pythagoras, pemikir agung Magna Græcia, namun pernah tinggal di gua untuk beberapa ketika, seperti Thales, pemikir agung Ionia, hidup bujang dan sering menolak undangan majlis raja-raja, seperti Plato yang meninggalkan Athens dan menyampaikan kuliah di Academus, seperti Aristotle yang tekun menuntut ilmu daripada Plato selama dua puluh tahun, dan seperti Isaac Newton yang berfikir dengan sangat mendalam walaupun dalam keadaan kurang sihat di usia tua.
Krisis dalam pendidikan di Barat berlaku menurut Alfred North Whitehead dalam karyanya bertajuk The Aims of Education pula adalah disebabkan kejahilan berkenaan hakikat diri manusia. Kejahilan itu pula telah membantutkan perkembangan pemikiran kerana perkembangan yang sepatutnya melibatkan dua sisi iaitu sisi budaya dan sisi kepakaran—budaya bukan bermaksud kegiatan luaran, dan kepakaran pula bukan subjek-subjek akademik, seperti yang lazimnya dianggap, tetapi budaya dan kepakaran yang dapat dikatakan sebagai mewakili kehidupan. Malah perkembangan pendidikan sebenar bermula dari pendidikan ibu kepada anak-anak, dan yang terpenting, dasar bagi pendidikan adalah agama, yang melibatkan perihal tanggungjawab dan nilai diri.
Bagi Muslim pula, krisis di universiti kini yang dinyatakan pada perenggan pertama tadi adalah tanda kepada masalah sebenar iaitu masalah faham ilmu dan masalah akhlak. Universiti sepatutnya adalah tempat bermakna yang menempatkan dan melahirkan orang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab, tetapi jadi rosak di tangan mereka yang tidak sepatutnya diamanahkan sebagai pemimpin universiti. Malah universiti sepatutnya adalah pusat peradaban sesuatu bangsa, yang daripadanya semua dasar-dasar ilmu dan akhlak dipelajari, difahami dan diamalkan dengan baik. Meskipun demikian, Malaysia pernah mempunyai institusi kajian tinggi tamadun yang mengambil berat untuk mengatasi krisis yang sedemikian, iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (International Institute of Islamic Thought and Civilization) atau singkatannya ISTAC, yang diasaskan oleh Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas pada tahun 1987, dan dipimpin oleh al-Attas sehingga tahun 2002. Dalam masa pimpinannya itu pelbagai sumbangan yang beliau lakukan sehingga institusi tersebut dapat diibaratkan sebagai pusat peradaban agung masa kini yang menjadi tumpuan para sarjana ternama di seluruh dunia. Itu disebabkan tradisi ilmu yang diterapkan oleh al-Attas dan kemudiannya diwarisi oleh para murid beliau.
Tradisi ilmu al-Attas adalah dasar pimpinan beliau sewaktu memimpin Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, malah tradisi tersebut telah diamalkan beliau sejak zaman beliau belajar lagi. Tradisi itu terbahagi kepada lima aspek iaitu (1) perihal adab, (2) perihal bahasa, (3) perihal ilmu, (4) perihal akhlak, dan (5) perihal pendidikan. Kelima-lima aspek tersebut adalah teras perbahasan dalam karya-karya yang ditulis oleh Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sejak zaman beliau belajar di universiti sehinggalah masa kini, yang bukan sahaja ditulis dalam karya, tetapi berlaku dalam realiti. Sejak tahun 1959 hingga tahun 2015 banyak buku telah dikarang beliau. Malah buku-buku beliau sebenarnya menjelaskan buku-buku yang beliau karang sebelumnya terutama sejak buku kajian Master dan PhD beliau diterbitkan dan sejak beliau berkhidmat di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Buku The Mysticism of Hamzah Fansuri misalnya diulas oleh Prof. Annemarie Schimmel, iaitu seorang orientalis terkemuka, dengan ulasan bahawa buku yang dikarang al-Attas itu adalah buku asas untuk pelajar pengajian Tasawwuf. Jadi, bagi memahami buku tulisan al-Attas, seseorang sekurang-kurangnya perlu melengkapkan diri dengan alat ilmiah yang sepatutnya yang kebiasaannya terdapat pada pelajar yang khusus mempelajari pengajian Islam sama ada di mana-mana institusi sekalipun, universiti atau pondok. Alat ilmiah tersebut adalah (1) subjek bahasa yang meliputi nahu (perubahan baris kata), sarf (perubahan makna kata), balaghah (keindahan kata) dan mu’jam (perkamusan kata), (2) subjek mantiq yang meliputi mantiq mutaqaddimin (classical/theoretical logic) dan mantiq mutakhirin (modern/practical logic), (3) subjek jadal (debat) dan (4) subjek munazarah (perbincangan).
Dari masa ke masa, pelbagai cabaran timbul yang dihadapi al-Attas sendiri yang mulanya berkhidmat di Universiti Malaya dan kemudiannya Universiti Kebangsaan Malaysia sehingga terbit pelbagai buku yang menjawab kekeliruan orientalis berkaitan faham agama Islam, akhlak, sejarah, tamadun, tasawwuf dan falsafah. Maka suatu ketika di awal tahun 1973, al-Attas merakam syarahan beliau dibantu oleh pembantunya sewaktu di UKM untuk menggariskan apakah masalah sebenar yang berlaku pada masa kini, kenapa masalah tersebut berlaku dan bagaimana masalah itu berlaku. Rakaman ini kemudiannya terbit sebagai buku Risalah untuk Kaum Muslimin (Risalah UKM) pada tahun 2001, diterbitkan oleh ISTAC, iaitu sejenis karya imlak, dan rakaman ini merupakan dasar buku Islam and Secularism yang diterbitkan pada tahun 1978 selepas peristiwa persidangan di Mekah. Kemudiannya sewaktu berkhidmat sebagai Pengarah ISTAC pada tahun 1987 hingga tahun 2002, beliau mengajar semua pelajar ISTAC satu subjek yang merupakan subjek utama dan subjek dasar, iaitu The Religion of Islam. Dalam tempoh kuliah ini beliau telah menggunakan buku Prolegomena to the Metaphysics of Islam iaitu buku asas bagi murid-murid ISTAC. Pada masa kini, jika sesiapa bertandang menuntut ilmu di kelas WISE Mingguan yang diadakan setiap tahun untuk beberapa bulan, kelasnya menggunakan rujukan utama dari buku Risalah untuk Kaum Muslimin, diajarkan oleh pensyarah-pensyarah yang merupakan murid-murid rapat Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Buku karangan al-Attas terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori pengenalan dan kategori pendalaman, seperti berikut:
P E N G E N A L A N | 1972 1978 1980 1995 2001 2007 | Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu Islam and Secularism The Concept of Education in Islam Prolegomena to the Metaphysics of Islam Risalah untuk Kaum Muslimin Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam |
P E N D A L A M A N | 1959 1963 1966 1968 1969 1970 1970 1971 1975 1981 1986 1988 2011 2015 | Rangkaian Ruba’iyat Some Aspects of Sufism as Understood and Practised among the Malays Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh The Origin of the Malay Sha’ir General Theory of the Islamization of the Malay—Indonesian Archipelago The Mysticism of Hamzah Fansuri The Correct Date of the Trengganu Inscription Concluding Postscript to the Origin of the Malay Sha’ir Comments on the Re-Examination of al-Raniri’s Hujjatu’l-Siddiq: A Refutation The Positive Aspects of Tasawwuf A Commentary on the Hujjatu’l-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri The Oldest Known Malay Manuscript Historical Fact and Fiction On Justice and the Nature of Man |
Buku-buku berikut pula al-Attas telah himpunkan dalam buku Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam. Susunannya juga beliau telah susun mengikut tertib pada bab dalam buku itu dari pengenalan sampai pendalaman, seperti berikut: Islam: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality (1976), The Meaning and Experience of Happiness in Islam (1993), Islam and the Philosophy of Science (1989), The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul (1990), On Quiddity and Essence (1990), The Intuition of Existence (1990), dan The Degrees of Existence (1994).
Bersambung ke Bahagian 2