INSTITUSI KAJIAN TINGGI TAMADUN
PIMPINAN SYED MUHAMMAD NAQUIB-ATTAS – BAHAGIAN 2
Untuk memahami tradisi ilmu al-Attas yang menjadi akar tunjang pimpinan sebuah institut yang selayaknya dikatakan sebagai institut kajian tinggi tamadun, terdapat lima peristiwa berdasarkan pengalaman Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk dipelajari dan diambil iktibar. Sesetengah peristiwa ini dilaporkan dalam buku beliau sendiri manakala sesetengahnya dari buku lain, iaitu (1) peristiwa faham penyamarataan di sebuah universiti tempatan, (2) peristiwa sarjana yang menyalah guna idea al-Attas, (3) peristiwa pertukaran lambang UKM yang dicipta al-Attas, (4) peristiwa kesalahan seorang sarjana Orientalis memahami karya al-Attas, dan (5) peristiwa kontrak al-Attas di ISTAC tidak disambung.
Dalam artikel bertajuk Letakkan Masing-masing pada Tempatnya: Wawancara bersama Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang diterbitkan dalam majalah Dewan Budaya terbitan Januari 1992, al-Attas berkongsikan pengalamannya sewaktu berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya pada tahun 1968. Ketika itu berlaku demonstrasi yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa yang dipimpin oleh pelajar bukan Muslim. Demonstrasi itu telah menimbulkan masalah dan al-Attas diminta menyelesaikannya. Masalah itu timbul asal usulnya daripada Fakulti Ekonomi. Suatu ketika dahulu di Universiti Malaya ada pelajar datang dengan motosikal dan meletakkan motosikalnya di tempat letak kereta profesor. Apabila profesor itu datang, pelajar itu lihat motosikalnya telah dialih, maka pelajar itu marah dan ambil batu mencalarkan kereta profesor itu. Apabila profesor keluar dan melihat keretanya begitu, profesor itu marah, dan mencari siapa yang melakukannya. Akhirnya masalah itu melarat sehingga ramai pelajar marah dan buat demonstrasi. Apabila al-Attas diminta menyelesaikan masalah itu, al-Attas memanggil wakil persatuan dan pelajar yang mencalarkan kereta itu datang ke bilik pejabat al-Attas. Pelajar itu pula datang sambil hisap rokok. Al-Attas melarangnya tetapi pelajar itu tidak mahu ikut. Akhirnya al-Attas bertegas menyebabkan pelajar itu terkejut dan berhenti merokok. Apabila al-Attas meminta pelajar itu duduk, tetapi pelajar itu angkat kaki sebelah, dan al-Attas melarangnya, barulah pelajar itu menurunkan kakinya. Maka, al-Attas bertanya kepada pelajar itu sebab-sebab terjadinya kejadian itu. Pelajar itu mempersoal al-Attas, adakah kita tidak sama rata. Al-Attas bertanya pula, siapa yang memberitahu kalian kita sama rata. Pelajar itu menyatakan bahawa itulah yang diajarkan kepada mereka di universiti. Maka menurut al-Attas, itulah punca masalahnya, iaitu daripada profesor yang mengajar mereka.
Dalam buku Islam and Secularism terbitan ISTAC cetakan kedua tahun 1993, al-Attas berkongsikan berkenaan idea beliau yang telah digunakan para sarjana tanpa mengakui bahawa itu adalah idea beliau. Ini berlaku sewaktu World Conference on Muslim Education pada tahun 1982 yang diadakan di Islamabad dan beberapa ibu negara seluruh dunia. Tujuan persidangan itu adalah untuk menggesa Islamization of Knowledge, istilah yang telah diambil dari karangan al-Attas yang pada mulanya dibentangkan dalam First World Conference on Muslim Education di Mekah pada tahun 1977. Dalam persidangan kedua itu al-Attas tidak dijemput. Al-Faruqi menganjurkan persidangan di Islamabad itu dan menerbitkan buku Islamization of Knowledge terbitan IIIT pada tahun 1982. Peristiwa ini adalah asal-usul perbezaan pendapat yang ditemui dalam idea Islamization of Knowledge seperti yang disorot dalam buku al-Faraqi berbanding dengan idea yang diperkenalkan oleh al-Attas kepada umum dengan terbitnya buku Islam and Secularism di Kuala Lumpur pada tahun 1978. Untuk perbandingan lebih lanjut, rujuk kepada penerangan dari Prof Wan Mohd Nor.
Awal tahun ini pula timbul isu lambang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diubah jadi lambang yang berunsur melawan yang dilakukan oleh seorang rakyat Malaysia bernama Fahmi Reza. Namun sebab musabab kejadian pada masa kini itu adalah sama dengan kejadian pada masa dahulu kerana lambang UKM yang sekarang ini juga adalah lambang yang berunsur melawan. Ini kerana lambang asal UKM adalah lambang yang dicipta oleh Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Dalam lambang asal itu terdapat cogan kata yang menyatakan pandangan alam Islam berkenaan ilmu iaitu Zidni ’Ilman. Namun dalam buku bertajuk Para Pembaharu Pemikiran dan Gerakan Islam Asia Tenggara yang diterbitkan pada tahun 2009 oleh Southeast Asian Muslims for Freedom and Enlightenment (SEAMUS), menyatakan bahawa lambang asal itu ditukar disebabkan pada masa dahulu itu pihak senat UKM tidak mahu UKM menggunakan bahasa Arab, maka lambang itu ditukar dan cogan kata Zidni ’Ilman juga ditukar jadi Ilmu Memimpin. Lantas al-Attas mengatakan bahawa ilmu tidak memimpin, tetapi Allah yang pimpin ilmu, dan meminta agar nama pengerusi senat juga ditukar ke bahasa Melayu kerana namanya bahasa Arab. Al-Attas sendiri banyak memimpin UKM dengan teras keilmuannya. Antara karya al-Attas yang lahir khusus untuk UKM adalah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Selain itu, al-Attas juga menulis Risalah untuk Kaum Muslimin yang asalnya dari rekod yang disalin oleh pembantunya sewaktu al-Attas berkhidmat di UKM. Rekod itu kemudian diterbitkan oleh ISTAC. Jika disingkatkan nama buku itu adalah Risalah UKM. Buku ini juga merupakan asas penulisan buku Islam and Secularism yang seharusnya disyarah, dipelajari dan dikaji dengan mendalam di semua universiti pada masa kini.
Peristiwa seterusnya dalam buku Comments on the Re-Examination of al-Raniri’s Hujjatu’l-Siddiq: A Refutation, yang diterbitkan oleh Muzium Negara pada tahun 1975, al-Attas menunjukkan bagaimana corruption of knowledge dilakukan oleh sarjana dengan mengemukakan penolakan terhadap ulasan yang dibuat oleh Drewes, seorang orientalis Belanda yang mengulas karya al-Attas. Ulasan yang dibuat oleh Drewes itu menurut al-Attas terdapat beberapa salah faham ilmu yang menunjukkan tahap penguasaan bahasa Drewes yang tidak cukup mantap bagi pencapaian ilmiah yang dikendongnya. Ini kerana karya al-Attas yang diulas itu adalah karya tesis Master al-Attas, yang memerlukan penguasaan bahasa yang berlandaskan metafizika Islam dan juga pandangan alam masyarakat setempat yang masih dipengaruhi faktor sejarah peradaban-peradaban sebelum Islam. Persediaan bahasa seorang sarjana Orientalis jelas tidak setanding dengan pandangan seorang sarjana yang telah didedahkan dengan selok-belok bahasa, agama, adat dan budaya peradaban-peradaban Melayu dan Islam sejak usia muda. Ulasan Drewes itu diterbitkan dalam jurnal berkenaan pemikiran Islam untuk bacaan para sarjana, sedangkan kualiti ulasannya itu tidak sepatutnya diterbitkan dalam jurnal tersebut. Malah ulasan Drewes itu juga sengaja menunjukkan kepada pembaca bahawa al-Attas seolah-olah hanya penulis biasa dan sengaja juga menumpang populariti al-Attas, kerana ketika itu al-Attas adalah profesor Melayu yang dikenali dalam kalangan orientalis sebagai seorang yang tegas. Al-Attas juga mengemukakan sikap orientalis yang cenderung membandingkan pemikir yang lebih baik di antara dua pemikir, atau muslim yang lebih baik dalam kalangan Muslim, yang menurut al-Attas merupakan suatu kesalahan dalam berfikir kerana yang sepatutnya difikirkan apabila mengkaji fikiran pemikir Muslim adalah misalnya berkenaan apakah maksud salah dan maksud betul sebagaimana yang difahami oleh pemikir Muslim. Ini untuk membezakan pemikir Muslim dengan pemikir Barat.
Peristiwa terakhir adalah peristiwa di ISTAC. Sejak penubuhan ISTAC oleh al-Attas dari tahun 1987 sehingga 2002, bersamaan 15 tahun, terdapat 7 kajian terjemahan, selain penerbitan buku-buku al-Attas yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa lain. Namun demikian pada tahun 2002, al-Attas tidak disambung kontrak untuk berkhidmat di ISTAC. Satu sebabnya mungkin kerana terdapat pihak tertentu yang melihat aktiviti terjemahan, penulisan, debat, dialog dan syarahan sebagai suatu yang tiada mendatangkan keuntungan kebendaan dan keuntungan duniawi. Jadi, selepas tahun 2002, bangunan ISTAC masih digunakan untuk tujuan tersebut, tetapi dengan memasukkan elemen materialisme dalam fungsinya, menerusi tambahan aktiviti baru iaitu aktiviti sewa bangunan ISTAC untuk majlis kenduri kahwin, penggambaran pengantin dan lokasi perfileman. Tetapi pada masa kini, meskipun tanpa bangunan sedemikian, fikiran al-Attas masih dibahaskan dalam dan luar negara.
ISTAC sebagai pusat peradaban tercermin dalam program dan kegiatan yang dianjurkan. Program yang dibentuk oleh al-Attas bertujuan untuk memulihkan tradisi ilmu, membetulkan kerosakan adab dan memimpin usaha penyelidikan. Selain program pengajian sarjana dan doktor falsafah, ISTAC juga menganjurkan kegiatan untuk orang awam dan seminar antarabangsa. Program pengajian sarjana dan doktor falsafah itu berbeza dengan program lain di seluruh dunia, kerana al-Attas menekankan peri penting hubungan guru dengan murid. Para pensyarah walaupun terdapat ramai yang diambil dari luar negara, tetapi mereka akan merujuk al-Attas apabila menulis berkenaan sesuatu agar dapat dibetulkan kesalahan jika terdapat kesalahan. Makna kata, hubungan guru dengan murid tidak dikecilkan hanya di antara pensyarah yang menyelia pelajar sarjana dan doktor falsafah, sebaliknya hubungan guru dengan murid juga diterapkan di antara pengarah dengan para pensyarah tersebut yang merupakan profesor juga. Ini suatu yang jarang dilakukan di dunia, kerana orang yang sudah berpangkat doktor, profesor, biasanya berhenti berguru atau sudah rasa dirinya berilmu dengan hanya bermodalkan soalan-soalan skeptik walaupun hakikatnya tiada tahu menahu berkenaan falsafah dan sumber ilmu.
Bentuk penyamaran pengetahuan yang mendasari para sarjana itulah yang al-Attas pulihkan menerusi ISTAC. Dari segi cara bertanya soalan yang betul amat ditekankan agar seseorang sarjana mampu berfikir berdasarkan tradisi ilmu Islam, bukan berfikir berdasarkan tradisi falsafah Barat. Ini kerana berfikir berdasarkan tradisi falsafah Barat itu didasari oleh fahaman skeptikisme yang seboleh-bolehnya meragukan pelbagai pengetahuan dan sumber ilmu. Sebaliknya berfikir berdasarkan tradisi Islam adalah dengan cara menekankan persamaan pemikiran atau mencari apakah pandangan yang sama dikongsi dalam pelbagai aliran, atau dalam kata lain menjurus ke arah tinjauan perkara usul berbanding perkara furu’. Tradisi Islam dalam cara berfikir ini al-Attas ibaratkan seumpama mengasah batu permata agar lebih banyak cahaya yang menembusi batu permata itu.
Falsafah ISTAC perihal pendidikan dan penyelidikan menurut murid al-Attas, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud, dalam karyanya bertajuk The Beacon on the Crest of a Hill, adalah berdasarkan konsep ilmiyyah bahawa ilmu adalah kulliy, iaitu ilmu mengandungi ciri-ciri yang meliputi semua aspek kehidupan dan penciptaan, iaitu ringkasnya seperti berikut:
- Ilmu sepatutnya mencerminkan yang kulliy; dan penyelidikan dalam wilayah-wilayah pengkhususan sepatutnya dijalankan bukan sahaja untuk memahami perinciannya tetapi untuk memahami kedudukan yang terperinci itu dalam kedudukan keseluruhan.
- ISTAC tidak dipisahkan kepada fakulti atau jabatan seperti yang dilakukan oleh universiti-universiti masa kini, sebaliknya ISTAC disusun mengikut fardu ’ayn dan fardu kifayah mengikut kemampuan dan kebolehan pelajar.
- Konsep fakulti yang diamalkan Barat walaupun diinspirasi dari perkataan quwwah tetapi tidak mengikut maksud asalnya iaitu daya yang terpendam dalam ruh, qalbu, akal, nafsu dan jasad insan, yang dengan konsep ini sepatutnya bentuk, peranan dan tujuan manusia disusun sebagai dasar yang menentukan fikiran dan amalan universiti.
- Tujuan pengajian tinggi ISTAC berbeza dengan Barat, kerana ISTAC bukan bertujuan untuk melahirkan manusia sebagai penduduk atau rakyat, sebaliknya menurut Islam, iaitu untuk melahirkan manusia sempurna, insan yang kulliy.
- Sarjana Muslim ialah manusia yang bukan mahir dalam satu bidang, sebaliknya sarjana Muslim ialah insan kulliy yang berkeahlian dalam pelbagai bidang yang berkaitan.
- Kegiatan ISTAC meliputi majalis (pertemuan), kursi (ahli), ijazah (lesen), qira’at (syarah), ta’liqat (laporan), tariqat an-nazar (perselisihan fikiran), jadal (debat) dan munazarah (perbincangan).
- ISTAC sepatutnya mencerminkan Rasulullah dalam ilmu dan amal dalam tugasnya untuk melahirkan Muslim yang mencerminkan sifat-sifat Rasulullah sebaik mungkin mengikut bakat dan kebolehan masing-masing, kerana Rasulullah adalah uswah hasanah.
- Rasulullah sebagai panduan ISTAC ini dinyatakan juga pada lambang ISTAC yang bertulis nama Muhammad pada bahagian tengah lambang yang dikeliling nama ISTAC.
Kesimpulannya, banyak yang dapat dipelajari daripada ilmu dan pengalaman al-Attas sepanjang hampir separuh abad beliau berkhidmat di Malaysia dan 15 tahun memimpin ISTAC. Sehingga kini buku-buku beliau semuanya diterbitkan oleh penerbit di Malaysia termasuklah kajian tesis sarjana dan disertasi kedoktoran beliau. Meskipun diterbitkan di Malaysia, tetapi fikiran beliau dibahaskan di seluruh dunia masa kini menerusi siri program Worldview of Islam dan beberapa seminar yang dianjurkan oleh murid-murid beliau di Malaysia, Indonesia, Mesir, malah turut dianjurkan di Sweden oleh warganegara Sweden yang membaca buku al-Attas, negara yang terkenal dengan Hadiah Nobel. Sebaliknya pada masa kini ramai sarjana dan pentadbir universiti yang mengagungkan penerbitan buku dan jurnal luar negara, namun fikirannya tiada membayangkan faham agama Islam warisan tradisi para sarjana kaum Muslimin sepanjang sejarah 1400 tahun peradaban Islam yang lepas, yang banyak menghasilkan buku yang berjilid-jilid di sebalik zaman dahulu yang kononnyalah dikatakan serba serbi tidak membangun disebabkan tiada kemajuan kebendaan.
RUJUKAN
Al-Attas, (1975). Comments on the Re-Examination of al-Raniri’s Hujjatu’l-Siddiq: A Refutation. Kuala Lumpur: Muzium Negara
_______, (1993). Islam and Secularism. Kuala Lumpur: ISTAC
Alfred North Whitehead, (1932). The Aims of Education and Other Essays. London: Williams & Norgate Ltd.
Annemarie Schimmel, (1973). The Mysticism of Hamzah Fansuri by Syed Muhammad Naguib al-Attas. Dalam Die Welt des Islams (International Journal for the Study of Modern Islam), New Series, 14 (1). Leiden: Brill. Hlm. 231−233
Letakkan Masing-masing pada Tempatnya: Wawancara bersama Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, dalam majalah Dewan Budaya, Januari 1992. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
John Henry Newman, (1852). Discourse on the Scope and Nature of University Education. Dublin: James Duffy
Ahmad Suaedy, et al. (2009). Para Pembaharu Pemikiran dan Gerakan Islam Asia Tenggara. Jakarta: SEAMUS (Southeast Asian Muslims for Freedom and Enlightment)
Pierre Bourdieu, (1988). Homo Academicus. Diterjemahkan oleh Peter Collier. California: Stanford University Press
Sharifah Shifa al-Attas, (1998). ISTAC Illuminated: A Pictorial Tour of the International Institute of Islamic Thought and Civilization. Kuala Lumpur: ISTAC
Wan Mohd Nor Wan Daud, (1991). The Beacon on the Crest of a Hill: A Brief History and Philosophy of the International Institute of Islamic Thought and Civilization. Kuala Lumpur: ISTAC
One Response