Kembara Hidup Seorang Sukarelawan
William Cheah (Malaysia)
Hari ini umurku genap 50 tahun dan aku telah gagal dalam hidup ini.Ini kerana bagi masyarakat yang mengukur kejayaan seseorang hanya dari aspek kekayaan dan pemilikan material, tiada istilah lain bagi pencapaianku dalam 50 tahun tersebut melainkan kegagalan.
Wang simpanan yang ada, berjumlah RM34,983, dan akaun KWSPku dalam lebih kurang RM230k. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana caruman KWSP telah diwajibkan untukku menyimpan dizaman bekerja diawal hidupku lagi. Jika tidak pasti kosonglah. Aku memandu Honda CRV yang sudah 13 tahun umurnya dengan penggunaan 464,000 batu; aku tinggal di rumah teres yang masih milik bank selama 20 tahun lagi. Aku tiada jam tangan, atau mana-mana aksesori lain apalagi yang mahal. Tiada pakaian mewah walaupun rasanya benda paling mahal yang pernah orang nampak aku pakai ialah sepasang Skechers yang berharga RM300.
Jadi ya…memang aku gagal dalam erti kata itu. Mungkin, sekiranya aku berhenti bekerja sekarang, aku mungkin mampu untuk hidup senang selama 5 tahun sahaja lagi sebelum kehilangan tempat berteduh. Ketika insan lain memulakan zaman persaraan, aku gagal mencapai tahap kewangan yang terjamin.
Tetapi peliknya aku tidak pula berasa gagal.
Ini mungkin kerana aku rasa diberkati dengan cara lain yang tidak bergantung dengan wang ringgit.
Beberapa tahun yang lalu, keperibadianku diuji. Ujian tersebut seolah-olah mampu menentukan siapa aku sebenarnya, apakah sifat ku kini serta apakah perkara yang sanggup ku pertahankan dan pegangan diriku ini. Sama ada aku telah lulus atau tidak dalam ujian itu, aku sendiri tidak tahu. Tetapi ia benar-benar memberi kesedaran padaku akan hakikat diri ini.
Aku dikunjungi seorang insan yang berada selepas PKP pertama. Waktu itu Kembara berhadapan dengan situasi yang amat sukar. Ketika pertemuan tersebut lelaki itu mengatakan:
“Saya ingin memberi ganjaran kepada awak untuk semua kerja yang telah awak lakukan untuk masyarakat. Ini adalah RM500,000. Buatlah apa awak suka dengan duit ini – ianya untuk awak.”
Wang itu banyak sangat, dalam keadaan apa sekalipun….tapi kami mengambil masa 10 minit untuk “menolak”nya.
Aku dan YiLyn Chan nekad tidak mahu menerima hadiah peribadi berdasarkan visi dan misi kami untuk membantu orang lain. Adalah tidak wajar untuk kami mendapat manfaat secara peribadi daripada kerja itu. Tentulah kami tertarik dengannya.. Kami berbincang panjang mengenainya sambil berangan pergi bercuti ke luar negara (kami belum pernah lakukan sebelum ini), dan menikmati hidangan stik Waghyu Beef yang tidak pernah kami rasai sebelum ini…tetapi tidak! Bagaimana tergodapun kami dengan tawaran itu, kami tidak menerimanya. Kami mengambil masa 10 minit.
Sebaliknya kami meminta beliau melabur dalam Kembara dan menjadi rakan kongsi kami. Wang itu diperlukan supaya kami dapat meneruskan kerja kami di tengah-tengah situasi pandemik.
Saya benar-benar gembira dengan tindakan kami tersebut kerana misi bantuan kami menjadi lebih terdesak dalam masa 2 tahun selepas itu. Suntikan duit tersebut membantu kami terus bertahan ketika sukarelawan lain kelemasan dan memerlukan bantuan. Kerana itu kami dapat menghulurkan bantuan kepada mereka. Secara jujurnya, ini adalah ujian keperibadian yang menentukan siapa diri ku sebenar dan siapakah aku pada hari ini.
Apa lagi berkat yang aku ada?
Seorang isteri yang tidak pernah berkelip mata (untuk menolak misi kami) dan sehaluan dengan saya dalam soal wang. Berapa ramai daripada kita ada pasangan yang rela bersetuju untuk menolak hadiah peribadi sebanyak setengah juta – malahan dia bersetuju pula untuk memasukkannya ke dalam organisasi kemasyarakatan yang bertujuan untuk membantu orang lain walaupun kami sendiri sedang bergelut.
Walaupun aku bekerja setiap hari selama 7 hari seminggu aku tetap menantikan ini setiap hari. Aku tidak rasa menyampah dengan tugas ini apabila aku bangun di pagi hari. Sebaliknya aku kepingin untuk menyelesaikan masalah diluar sana kerana aku yakin dengan hasil usaha-usahaku ini. Secara terus terang ku katakan, aku sukakan pekerjaanku. Berapa ramaikah antara kita yang bekerja dan penuh yakin bahawa apa yang anda usahakan benar-benar membawa perubahan baik kepada orang lain?
Yang penting bagi ku adalah hidup dengan hati nurani yang bersih. Ketika ramai ahli masyarakat terdiri dari golongan penipu, golongan yang berpusu-pusu mengejar kekayaan yang tidak mudah dicapai – seperti rumah besar, kereta-kereta mewah, akaun bank yang melimpah dengan duit… Aku tidak terbanding diriku dengan mereka tetapi aku rasa puas. Dalam bidang kerja ku ini, banyak duit rakyat yang melintas didepan mata, namun aku yakin diri ini dapat melawan godaan untuk mengambilnya sendiri.
Kerana itu, mungkin aku seorang yang gagal…tetapi aku gembira dengan kegagalan ini.
William ialah seorang usahawan kemasyarakatan. Lahir pada tahun 1972, beliau genap berumur 50 tahun hari ini! William adalah pengasas gerakan sukarelawan Kembara Kitchen Malaysia (KKM) (di Shah Alam) dan Luma Kembara (di Semporna). Beliau giat memberi bantuan kemasyarakatan dan kerja-kerja menyelamat ketika bencana sejak 2015 lagi. Dia memulakan KKM dan Kembara Community Care Centre (K3C) pada 2017 bersama isterinya, Yilyn Chan dan seorang lagi pengasas ketiga. KKM menawarkan bantuan dalam bentuk masakan makanan manakala K3C memberikan bekalan kecemasan kepada mangsa.