Oleh Lim Kooi Fong
Pada 4 haribulan Mei tahun ini, Hari Wesak disambut meriah oleh penganut Buddha tempatan selepas beberapa tahun tidak dapat mengadakan perarakan besar-besaran ikutan kawalan pergerakan Covid-19 dari tahun 2020-2022. Bagi meraikan era Buddha yang ke-2567, ramai pengunjung termasuk warga asing berhimpun di kuil-kuil Buddha dan di sepanjang jalan-jalan di bandar-bandar seperti Melaka, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Ipoh, dan Pulau Pinang untuk menyaksikan acara perarakan Wesak.
Di Melaka, perarakan Wesak memukau perhatian penonton yang hadir dengan bergerak di jalanraya sejauh enam kilometer. Berpuluh-puluh buah kereta berhias menyertai perarakan tersebut dan berarak melalui Jalan Gajah Berang, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Ali, Jalan Tun Mutahir, Lorong Hang Jebat, dan Jalan Tengkera. Terdapat juga rombongan tarian naga dan singa yang mengiringi perarakan.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Wesak Persatuan Buddha Melaka Cedric Tan berkata lebih daripada 10,000 penganut dan pengunjung berkumpul di Kuil Seck Kia Eenh di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang. Tan berkata seramai 2,400 peserta daripada 15 persatuan Buddha di Melaka terlibat dalam mengendalikan acara Wesak tersebut.
Seperti mana juga pusat agama Buddha yang lain di seluruh negara, aktiviti yang diadakan sempena acara itu termasuk upacara sembahyang dan pemberkatan para-para penganut oleh sami-sami Buddha, persembahan nyalaan lilin di perkarangan kuil dan pengagihan bunga.
Hari Wesak, cuti umum di Malaysia
Wesak, yang lebih dikenali sebagai Vesak di masyarakat dunia, juga dipanggil sebagai Waisak di Indonesia, Buddha Jayanti atau Buddha Purnima di India dan Nepal, dan Hari Buddha di pelbagai negara lain. Nama “Vesak” berasal dari istilah Pali “vesakha” atau Sanskrit “vaisakha“, sempena dengan bulan lunar Vaisakha di India. Ianya telah disambut sejak lebih 2000 tahun lampau sehingga kini.
Hari Wesak mengingatkan penganutnya akan Kelahiran, Pencerahan (Enlightenment) dan Kemangkatan (Maha Parinibbana) pengasasnya, Buddha pada bulan lunar Vaisakha 543CE. Cuti kebangsaan pertama untuk Hari Wesak disambut di Malaysia pada 18 Mei 1962. Tahun lepas (2022), genaplah 60 tahun penganut Buddha Mahayana dan Theravada di Malaysia bersatu hati untuk menyambut perayaan tersebut. Sebenarnya perayaan Hari Wesak disambut pada hari yang berbeza di seluruh dunia kerana ada perbezaan pendapat tentang hari yang sebenar untuk upacara tersebut serta perbezaan penghitungan mengikut kalendar bulan (lunar) ataupun kalendar gabungan pergerakan bulan dan matahari (lihat Kalendar Solilunar dalam budaya dan sejarah Cina). Disebabkan bulan lompat yang berlaku dalam kalendar lunar tahun ini, sesetengah negara merayakan Hari Wesak pada bulan Jun, termasuk negara jiran kita Indonesia, Singapura dan Thailand.
Untuk tahun ini, penganut Buddha di Malaysia menyambut Hari Wesak pada 4 Mei, serentak dengan Bangladesh dan Kemboja.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu secara rasmi mengiktiraf Hari Vesak melalui resolusi 54/115 pada tahun 1999, “sebagai pengiktirafan sumbangan agama Buddha selama lebih dua setengah milenium dan terus menyumbang kepada kerohanian kemanusiaan”. Tahun ini PBB akan menyambut Hari Wesak pada 5 Mei.
Kepentingan Wesak bagi penganut Buddha Malaysia
Penganut Buddha terdiri daripada 21% daripada jumlah penduduk Malaysia dan merupakan kumpulan agama kedua terbesar selepas Islam. Kuil-kuil dan pusat Buddha di Malaysia kebanyakannya sangat aktif mengadakan ceramah ajaran Buddha (Dharma) terutamanya pada hujung minggu dan ada juga yang mengadakan sekolah Ahad untuk kanak-kanak.
Dengan adanya pusat-pusat pengajian agama sebegini, penganut Buddha dapat menerapkan nilai kedamaian ajaran Buddha kepada generasi muda yang beragama Buddha. Perayaan Wesak yang diiktiraf sebagai perayaan kebangsaan di Malaysia juga memberi peluang untuk mewujudkan kesedaran dikalangan penduduk majmuk negara kita tentang nilai-nilai Buddhis seperti kasih sayang, belas kasihan dan amalan kesedaran diri (mindfulness). Nilai-nilai murni yang wujud dalam setiap agama perlu menjadi tali persaudaraan kita sesama manusia dan menjadi inspirasi untuk setiap dari kita berusaha menjadi insan yang mulia.
Nilai Murni bagi Penganut Agama Buddha dan pembangunan negara
Penganut agama Buddha diajar tiga ciri kehidupan yang asas, yakni, tiada apa yang akan kekal (anicca), dan oleh kerana segala-galanya tidak kekal, maka jiwa itu pun tidak mempunyai asas kekekalannya (“non-self“, atau dalam Pali, anatta). Tidak mengetahui dua perkara ini akan membawa seseorang kepada penderitaan (dukkha).
Oleh kerana ajaran asas ketidakkekalan ini ditekankan, penganut Buddha dari kecil diajar untuk menghadapi realiti dunia yang sentiasa berubah, supaya mereka senantiasa dapat menyesuaikan kehidupan mereka seiring dengan perubahan-perubahan yang berlaku. Ini bermakna bahawa mereka perlu mengamalkan sikap pembelajaran yang berterusan. Ini selaras dengan nilai pembangunan negara yang progresif, kerana teknologi dan industri baharu memerlukan rakyatnya untuk terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan pembaharuan yang mutakhir.
Namun begitu, adanya semangat untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan benda-benda baharu tidak bermakna sesiapa sahaja boleh melakukan apa yang mereka suka. Dalam agama Buddha, karma – yang merupakan undang-undang tindakan dan tindakbalas, atau sebab dan akibatnya – memainkan peranan penting dalam menentukan tingkah laku etika penganut Buddha. Lima tatasila keperlakuan adalah salah satu daripada tabiat hidup yang perlu dianuti dan dipraktis oleh seorang Buddhis. Tatasila ini memberi panduan dan halatuju kepada kehidupan yang bermoral dan beretika. Peraturan tersebut mendesak penganut Buddha supaya berlatih untuk mengelakkan daripada tindakan yang berikut – membunuh, mencuri, salah laku seksual, berkata yang tidak benar dan mabuk mental. Oleh itu, walaupun Buddhis mempunyai kebebasan untuk mencuba idea perintis dan memuji sifat peloporan, mereka juga harus mengambil kira motif tingkah laku mereka agar hasil perbuatan mereka mematuhi etika dan moral, dan tidak membawa padah samada kepada diri mereka sendiri, kepada masyarakat atau kepada alam persekitaran.
Satu lagi ajaran asas yang penting ialah pemupukkan kasih sayang (metta) dan belas kasihan (karuna) dalam jiwa setiap insan Buddhis. Buddha mengajar bahawa adalah penting untuk berkongsi nilai-nilai ini dengan semua makhluk, termasuk mereka yang kepercayaan dan budayanya berbeza daripada kita, dan juga haiwan. Kedua-dua nilai ini apabila ditonjolkan oleh penganut agama Buddha dalam negara berbilang bangsa, budaya dan agama seperti Malaysia, pasti menjadi penyumbang seolah-olah suatu blok pembangunan masyarakat yang harmoni. Setiap masyarakat dengan kepercayaan dan budayanya yang menonjolkan ciri-ciri kasih sayang dan hormat-menghormati sesama ahli masyarakat adalah asas kepada pembangunan Malaysia yang sejahtera dan aman sentosa.
——–
Lim Kooi Fong adalah seorang penceramah dan guru agama Buddha yang aktif di Kuala Lumpur dan Selangor, Malaysia. Beliau telah mengasaskan “The Buddhist Channel” (https://buddhistchannel.tv/), satu-satunya portal berita Buddhis yang terunggul di dunia.