Hari Tesaurus Kebangsaan (National Thesaurus Day)
Mas Elizawati Mohammad Ali
18 Januari yang lepas merupakan Hari Tesaurus Kebangsaan atau National Thesaurus Day yang disambut di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Canada, dan United Kingdom. Bila kita memerlukan perkataan yang sempurna untuk menyampaikan sebuah idea, sering kali kita akan mencari laman web yang mengandungi berjuta-juta sinonim dan antonim. Tesarus adalah tempat yang paling sesuai untuk menimba ilmu tentang pelbagai perkataan yang akan memberangsangkan lagi isi kandungan nukilan hati seseorang. Orang yang mencintai bahasa pasti menghargai perayaan ini yang membolehkan dia meluahkan kemahiran perbendaharaan katanya kepada orang lain.
Selain meraikan Tesaurus sebagai buku rujukan berguna yang sudah wujud untuk beratus-ratus tahun, Hari Tesaurus Kebangsaan juga memberi penghormatan kepada Peter Mark Roget yang menulis Tesaurus pertama dalam sejarah manusia. Seorang ahli leksikografi (perkamusan) dan pakar perubatan British, Roger dilahirkan pada hari ini pada tahun 1779. Pada tahun 1840, Roget bersara daripada kerjaya yang tersohor dalam bidang perubatan dan menghabiskan sisa hidupnya untuk mengarang dan menghasilkan buku terkenal yang akan menjadi rujukan di seluruh dunia: Tesaurus Perkataan dan Frasa Bahasa Inggeris Roget (Roget’s Thesaurus of English Words and Phrases). Nama asal buku itu pada waktu penerbitan ialah Thesaurus of English Words and Phrases Classified and Arranged so as to Facilitate the Expression of Ideas and Assist in Literary Composition.
Kerja yang mengagumkan ini adalah hasil daripada beberapa dekad mengumpul senarai perkataan dan mengkategorikannya, sama seperti seorang saintis akan mengumpul sesuatu spesimen. Dalam kes Roget, dia mengumpulkan kata-kata. Idea buku ini berdasarkan sistem pengelasan lisan yang telah dimulakan oleh Roget sendiri pada tahun 1805. Ini amat sesuai dengan makna perkataan Tesaurus itu sendiri yang berasal dari bahasa Yunani ‘thēsaurós’ yang bermaksud gudang (storehouse), harta (treasure) atau perbendaharaan (treasury). Mengikut satu biografi, Roget memang sangat berminat untuk membuat senarai sejak beliau berumur lapan tahun lagi. Tesaurus Roget telah diterbitkan untuk pertama kali pada tahun 1852 dengan 15,000 perkataan. Sebenarnya, ia adalah lebih daripada hanya berfungsi sebagai sebuah buku sinonim – ia adalah pengkategorian dan organisasi lengkap setiap perkataan mengikut makna.
Di samping menjadikan manusia lebih berpengetahuan, tesaurus ini juga meningkatkan mutu karya sastera. Semenjak ia diterbitkan, para penyair dan penulis telah menggunakan tesaurus beliau untuk membantu dalam menghidupkan karya tulisan mereka. Walau bagaimanapun, ada segelintir yang mengkritik penggunaan tesaurus secara meluas dan tidak keruan. Pada pendapat mereka, seseorang yang selalu bergantung kepada tesaurus akan melemahkan pemahaman bahasa dan memusnah bahasa itu sendiri.
Ramai penulis terkemuka, termasuk Stephen King, telah memberi amaran kepada seorang yang serius tentang penulisan agar tidak merujuk kepada kandungan sebuah tesaurus. Bila digunakan secara tidak wajar, tesaurus boleh memburukkan lagi penulisan yang buruk. Selalunya, penulis beralih kepada penggunaan tesaurus semata-mata untuk menukar satu perkataan dengan perkataan lain, tetapi pada realitinya, satu perkataan jarang boleh ditukar ganti dengan sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, bila digunakan dengan teliti, tesaurus boleh menjadi alat yang hebat untuk menolong penulis. Apabila mencari sesuatu perkataan untuk diguna, seseorang mesti mempertimbangkan setiap aspek perkataan itu, termasuk denotasi, takrif kamusnya dan konotasi, idea atau emosi yang dicadangkan oleh perkataan itu. Di samping itu, kualiti tesaurus anda akan membuat perbezaan yang besar untuk mengetahui sama ada buku thesaurus itu sangat berguna atau tidak. Tesaurus bersifat asas (basic) yang ada pada pemproses kata (word processor) tidak akan menawarkan peluang yang hampir sama untuk meneroka dan menemui perkataan yang sempurna seperti yang dicadangkan oleh Tesaurus Roget yang asli. Tidak seperti tesarus yang lain, Tesaurus Roget menyediakan kategori perkataan berkaitan dan bukan hanya penyenaraian perkataan dari A sehingga Z.
Sama ada anda sedang mencari perkataan yang lebih tepat atau cuba memperbaiki penulisan anda, tesaurus semestinya akan menjadi kawan baik anda. Dengan memperluaskan perbendaharaan kata, seseorang akan meningkatkan kemahiran komunikasi bertulis dan pertuturan, kebolehan menulis secara kreatif dan boleh membantu dalam memajukan kerjayanya. Sebagai peminat tegar kamus dan thesaurus, saya mengakui bahawa saya kerap merujuk kepada buku-buku hikmat tersebut untuk mencari perkataan yang sesuai dengan idea yang mahu saya luahkan kepada segmen para pembaca tertentu. Namun, saya juga akur tentang had sesebuah tesaurus di mana sesetengah hasil penulisan yang menakjubkan datang dari hati ikhlas tanpa batasan sebarang tesaurus. Dengn memilih jalan tengah, saya percaya hasil penulisan seseorang akan lebih menyerlah dengan ilham sendiri dan bantuan tesaurus ketika menghadapi saat-saat yang buntu.
—————————————————————————————
Cara meraikan Hari Tesaurus Kebangsaan secara umum
- Gunakan tesaurus untuk mencari perkataan yang sesuai untuk penulisan anda.
- Main permainan perkataan untuk mengembangkan perbendaharaan kata anda.
- Terokai kedai buku dan temui tesaurus baharu (atau lama) untuk dibaca
- Cabar rakan untuk menerangkan tentang satu sama lain dengan seberapa banyak perkataan yang mungkin tanpa menggunakan tesaurus. Kemudian, lihat bagaimana penghuraiana masing-masing menjadi bertambah baik apabila mereka menggunakannya.
- Menggunakan #NationalThesaurusDay atau #HariKebangsaanTesaurus untuk sebarang bahan berkaitan tesaurus di media sosial.
Aktiviti untuk meraikan Hari Tesaurus di peringkat sekolah
- Guru menyediakan sebuah cerita yang telah dicetak di mana murid-murid perlu menggunakan tesaurus untuk membuat cerita yang lebih kreatif dengan menggantikan perkataan dalam kurungan dengan sinonim yang bersesuaian.
- Buat beberapa kad imbasan atau cetak senarai perkataan. Bahagikan pelajar kepada kumpulan dan cabar mereka untuk menghasilkan sinonim bagi perkataan dalam senarai dengan hanya bergantung kepada daya ingatan. Kemudian, mereka diminta mencari dalam tesaurus untuk melihat perkataan mana yang mereka terlepas. Ingatkan mereka bahawa perkataan di luar konteks boleh menjadi kata nama, adverba, kata adjektif atau kata kerja. Mereka perlu mempertimbangkan bagaimana perkataan itu akan digunakan di dalam ayat.
- Di dalam kumpulan yang kecil, murid-murid akan, secara bergilir-gilir, mengambil kad yang disusun secara bertindan di atas meja. Seterusnya, pemain yang memiliki kad itu akan memberikan pemain-pemain lain tiga sinonim perkataan pada kad untuk membantu mereka meneka perkataan tersebut. Sebagai contoh, jika perkataan itu ialah ‘gembira’, pemain boleh mengatakan girang, ceria dan senang hati. Orang pertama yang meneka perkataan asal akan menyimpan kad itu. Pada akhirnya, orang yang mempunyai kad terbanyak menang.
Soalan Lazim Tesaurus
- Adakah tesaurus hanya mengandungi sinonim? Tidak. Tesaurus juga menyenaraikan antonim, simpulan bahasa dan frasa yang berkaitan.
- Adakah tesaurus termasuk definisi? Biasanya tesaurus tidak termasuk definisi. Walau bagaimanapun, sesetengahnya mempunyai bahagian kamus yang membekalkan definisi.
- Apakah bentuk jamak (plural) bagi tesaurus dalam Bahasa Inggeris? Bentuk jamak tesaurus adalah sama ada thesauri atau thesauruses.