Penulis: Mas Elizawati Mohammad Ali
Saya masih ingat lagi hari pertama saya bekerja sebagai guru tadika. Pada 24 April 2018, saya mengambil langkah pertama masuk ke sebuah sekolah tadika swasta. Setelah 12 tahun tidak berkerjaya, saya amat gementar dan tidak tahu apa yang diharapkan daripada saya. Namun, dengan tunjuk ajar daripada rakan sekerja dan pemerhatian di dalam bilik darjah, saya hampir hilang rasa kekok dan cemas bila mengajar di hadapan kelas. Sekarang sudah lebih lima tahun saya bergelar guru (walaupun saya hanya menjadi guru kelas selepas pertengahan tahun 2020). Banyak perkara yang saya telah pelajari dan harungi untuk mendidik kanak-kanak prasekolah dengan hati yang cekal.
Setiap tahun, tanpa sebarang halangan,16 Mei adalah sambutan hari guru di Malaysia. Hari yang penuh bermakna ini diraikan untuk merakamkan rasa penghargaan kita kepada semua insan bergelar guru. Tidak dapat disangkal lagi, para guru yang bertungkus lumus memberikan pendidikan kepada pewaris negara kita, semestinya disanjung tinggi dan disegani di kalangan masharakat. Tanpa wujudnya guru, tidak akan lahir ahli pakar, cendekiawan dan ilmuwan yang lain.
16 Mei telah dipilih sebagai tarikh Hari Guru kerana pada hari yang sama dalam tahun 1956, Majlis Perundangan Persekutuan Persekutuan Tanah Melayu telah menyokong Laporan Razak, satu daripada empat laporan Jawatankuasa Pelajaran mengenai pendidikan di Malaysia. Dinamakan demikian sempena tokoh negara, Tun Abdul Razak yang merupakan Menteri Pendidikan pada masa itu, Laporan Razak telah menjadi asas pendidikan di Malaysia semenjak hari bersejarah itu.
Walaupun ia bukan cuti sekolah rasmi, perayaan biasanya diadakan pada 16 Mei, atau lebih awal jika ia jatuh pada hari Sabtu atau Ahad. Pada tahun ini, oleh kerana tarikh Hari Guru bertembung dengan perayaan Hari Wesak pada Ahad 15 Mei, sambutan Hari Guru di peringkat sekolah terpulang kepada budi bicara pihak pentadbiran sekolah.
Tema Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’. Seperti tulang belakang yang memberi sokongan kukuh ke seluruh anggota badan untuk berfungsi dengan optimum, para guru mencurahkan tenaga dan mengorbankan waktu supaya anak-anak muridnya dapat dibimbing dengan sepenuh hati. Tema in selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (‘PPPM’) 2013–2025 yang menekankan etika dan kerohanian setiap murid sepanjang tempoh pembelajarannya di sekolah.
Di samping itu, penerapan ilmu, etika, kerohanian dan identiti nasional di bawah konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bertujuan untuk melahirkan insan sejahtera yang akan menyumbang kepada kemakmuran negara, masharakat, negara dan komuniti global. Seiring dengan tema ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’, konsep ini membantu memperkasakan para guru untuk membina generasi baharu yang sentiasa mendahagakan ilmu dalam pelbagai bentuk dan rupa.
Lengkap dengan keinginan tahu dan pencarian ilmu, murid yang sedar betapa pentingnya sumber ilmu yang autentik, sahih dan berwibawa akan lantas memburu ilmu yang bermanfaat sepanjang hayatnya. Oleh itu, guru berperanan menanamkan dalam jiwa anak-anak muridnya perasaan cinta dan dahaga kepada ilmu pengetahuan. Hati yang ikhlas untuk berguru seterusnya akan melahirkan ilmuwan yang memperoleh kejayaan dalam bidang yang mereka terokai.
Walaupun sudah lebih lima tahun saya menjadi guru prasekolah, masih ada banyak lagi ilmu yang saya mahu pelajari dan kaedah pengajaran yang saya ingin asahkan lagi. “Learning is a lifelong process” – Saya sangat percaya akan kata-kata keramat itu: Pembelajaran adalah proses sepanjang hayat. Sesungguhnya, melihat anak murid faham dan minat terhadap topik yang dipelajari memberi saya semangat untuk membaiki diri lagi. Persis kata mutiara, “Sukakan gaharu kerana baunya, sukakan guru kerana ilmunya” saya berazam menjadi guru yang memberi tunjuk ajar kepada murid dari umur yang kecil. Selamat Hari Guru kepada semua guru di luar sana!